Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


PAS tolak Wan Azizah jadi MB bukan sebab dia wanita

Posted: 14 Aug 2014 09:30 AM PDT


Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, pihaknya telah menyatakan sebab kepada PKR mengapa parti itu menolak Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor.

Bagaimanapun, Mustafa berkata, sebab mengapa Wan Azizah ditolak tidak boleh didedahkan kepada umum buat masa ini.

Ketika ditanya sama ada Wan Azizah ditolak kerana beliau seorang wanita, Mustafa berkata: "Tidak".

"Kita dah beri sebab-sebab kenapa kita tak mahu.

"Tak boleh dedahkan (sebab-sebab tolak Wan Azizah)," katanya ketika diminta menjelaskan sama ada penolakan itu disebabkan jantina atau kelayakannya.

Mustafa berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat lajnah politik PAS di pejabat agung parti itu di Kuala Lumpur sebentar tadi.

PAS beri tempoh 24 jam untuk ADUN tarik balik sokongan kepada Wan Azizah?

Posted: 14 Aug 2014 08:30 AM PDT


Pas Selangor memberi tempoh 24 jam kepada dua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu di negeri ini untuk menarik balik pendirian mereka menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor yang baharu.

Kalaulah betul apa yng dilaporkan oleh Berita Harian tu.. semakin menghairankan tindakan PAS ini.. Tan Sri Khalid dipecat dari PKR kerana beliau ingkar kepada arahan parti selain itu beliau juga bertindak membelakangkan parti dalam kebanyakkan perkara yang dilaksanakannya di Selangor..

Dan Khalid diberika tempoh 14 hari untuk kemukakan sebarang rayuan..

Tetapi walaupun beliau telah dipecat kerana ingkar arahan Parti, beliau disokong sepenuhnya oleh PAS yang kononnya akan menentukan nasib Khalid pada 17hb ini.

Hari ini dua ADUN PAS telah secara terbuka memberikan sokongan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baru..

Malangnya mereka telah diberikan tempoh 24 jam untuk menarik balik pendirian mereka dari menyokong Presiden PKR Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

PAS menyokong Ahli PKR yang ingkar arahan parti tapi bila ahli mereka pula yang ingkar diberikan amaran pula.. Kenapa?

Adakah kerana ingkarnya Tan Sri Khalid menguntungkan PAS maka ianya perlu disokong dan ingkarnya ahli mereka merugikan mereka maka mereka berdua itu perlu dihukum?

Apakejadahnya ni?

Laporan berkaitan....

PAS beri tempoh 24 jam untuk ADUN tarik balik sokongan kepada Wan Azizah 

SHAH ALAM 14 Ogos - Pas Selangor memberi tempoh 24 jam kepada dua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu di negeri ini untuk menarik balik pendirian mereka menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor yang baharu.

Setiausaha Pas negeri, Mohd. Khairuddin Othman berkata, sekiranya kedua-dua ADUN berkenaan - Hasnul Baharuddin (Morib) dan Saari Sungib (Hulu Kelang) - enggan berbuat demikian, mereka bakal berdepan dengan tindakan disiplin.

"Pas Selangor memandang serius tindakan dua Adun Pas ini yang telah mengambil pendirian dan bersikap bersendiri tanpa menurut tatacara serta arahan yang telah ditetapkan parti.

"Saya nasihati kedua-dua Adun ini untuk menarik balik tindakan (menyokong Dr Wan Azizah) atau Pas Selangor akan mulakan tindakan disiplin termasuk melihat kepada kandungan bai'ah (janji) yang telah dilafazkan sewaktu mereka menjadi calon (Adun)," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hasnul dan Saari hari ini menyertai sidang media bersama Dr Wan Azizah bagi menyatakan sokongan kepada presiden PKR itu sebagai menteri besar baharu menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dr. Wan Azizah, yang juga ADUN Kajang, mendakwa 30 ADUN Selangor daripada DAP dan PKR serta Hasnul dan Saari juga menyatakan rasa hilang kepercayaan terhadap Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.

Mohd. Khairuddin turut menempelak tindakan kedua-dua ADUN itu yang disifatkan terlalu gopoh dan terlalu taksub sehingga sanggup membelakangkan parti sedangkan PAS Pusat hanya akan memutuskan pendirian rasmi mereka dalam mesyuarat jawatankuasa pusatnya Ahad ini (17 Ogos).

"Pas mempunyai organisasi negeri, kepimpinan pusat dan majlis syura ulama yang harus kita patuh. Apa jua keputusan dan ketetapan yang akan dibuat oleh PAS Pusat pada 17 Ogos ini kita akan patuh. Sebab itu sabar," katanya. - BERNAMA

Mesyuarat PAS 17hb dah tak relevan lagi untuk tentukan siapa MB.. tentukan nasib sendirilaa..

Posted: 14 Aug 2014 06:00 AM PDT


POLITIK Selangor mencipta sejarah kerana buat kali pertamanya seorang Adun Bebas menjadi MB. 

Maka, persoalannya, apakah beliau mempunyai legimitasi untuk kekal sebagai MB? 

Dari segi undang-undang, jawapannya ya.

Beliau masih mendapat perkenan Tuanku, mempunyai empat Exco untuk membolehkan kerajaan berfungi dan belum ada undi tidak percaya yang dibuat ke atas beliau di Dewan.

Namun, dari dari segi moral politiknya, legitimasi MB tersebut telah hilang.

Apatah lagi, tadi pagi Presiden PKR mengumumkan beliau telah mempunyai sokongan majoriti 30 ahli Dewan daripada 56 semuanya.

Justeru PKR telah mendapat sokongan majoriti, maka mesyuarat Pas pada 17 Ogos nanti sudah tidak relevan lagi dalam menentukan siapa dan parti mana yang mendapat sokongan majoriti di Dewan.

Yang relevannya mesyuarat Pas pada 17 Ogos nanti ialah untuk menentukan pendiriannya sama ada mahu terus kekal dalam PR atau bergabung dengan BN atau bersendirian dalam politik negara.

Bagi membuktikan PKR mendapat sokongan majoriti ahli Dewan, maka PKR hendaklah memohon perkenan Tuanku untuk mengadap bagi membuktikan hal ini.

Jika ini tidak berlaku, maka cara lain yang boleh dibuat ialah dengan MB menasihati Tuanku Sultan untuk membubarkan Dewan atau Speaker mendapat perkenan Tuanku untuk mengadakan sidang khas Dewan bagi menentukan sokongan majoriti ahli Dewan.

Kemelut apapun tentang hal ini, konflik politik Selangor ini perlulah di atasi kerana dalam sistem demokrasi moden, falsafahnya ialah sesebuah kerajaan itu perlu mempunyai legitimasi rakyat dan undang-undang.

Sama ada cara penyelesaiannya adalah dengan mengadakan pilihan raya atau menamakan MB pengganti yang baru, itu bukan isu utamanya.

Isu utamanya ialah MB Selangor perlu mempunyai legitimasi jelas dan konflik politik Selangor ini perlu diselesaikan.

Jangan biarkan rakyat gelisah!


PROF. MADYA DATUK DR MOHAMMAD AGUS YUSOFF

Setelah dua ADUN sokong Wan Azizah.. PAS dedah sebab mesyuarat ditangguh..

Posted: 14 Aug 2014 03:05 AM PDT


PAS mengambil masa seminggu lagi untuk membuat keputusan berhubung perubahan dalam jawatan menteri besar Selangor kerana tugas itu bukan semudah menukar ketua kampung, kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, hari ini.

Parti Islam itu dikritik hebat kerana melengahkan keputusannya sama ada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim patut atau tidak dikekalkan sebagai menteri besar Selangor walaupun cadangan PKR mengenai pertukarannya dibuat pada 23 Julai iaitu memutuskan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan mengambil alih jawatan berkenaan.

"PAS sengaja mengambil lebih masa, bukan sebulan tetapi hanya seminggu untuk mencapai keputusan berhubung isu mengganti menteri besar Selangor. Kita bercakap mengenai jawatan menteri besar, kerusi nombor satu dalam pentadbiran kerajaan negeri.

"Kita bukan mahu menukar ketua kampung, ini mengenai pertukaran seorang menteri besar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Wan Azizah hari ini mendedahkan bukti beliau mendapat sokongan 30 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada PKR, DAP dan PAS untuk mengambil alih tugas menteri besar tetapi Khalid enggan menerimanya, dan berkata majoriti perlu diputuskan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Persidangan DUN akan datang dijadualkan pada November. Salahudin merayu rakan dalam Pakatan Rakyat (PR) - PKR dan DAP - memberi PAS masa sehingga 17 Ogos untuk membuat keputusan yang adil, berhemah dan berhikmah.

"Janganlah ada di kalangan kita mengambil pendekatan 'pushing down into our throats' (memaksa orang lain menerima sesuatu yang tidak disukai). Sekurang-kurangnya ada pilihan, agar yang terbaik diberi berkhidmat kepada rakyat.

"Usah gusar dengan komitmen PAS dalam perjuangan menentang kezaliman, menentang rasuah, menentang, kronisme dan nepotisme," katanya.

Salahudin berkata, bukan saja masa, wang, keringat dan air mata yang PAS curahkan, malah darah dan nyawa mereka korbankan dalam perjuangan menentang kebatilan.

Katanya, pada saat yang kritikal ini, unsur emosi dan sentimen harus diketepikan.

"Prinsip integriti, setiakawan, keadilan, kebijaksanaan serta hikmah mesti mengambil tempat dalam mempertahankan kerajaan PR di Selangor," katanya.

Beliau berkata, semua pihak perlu berhemah dalam hal ini.

"Kita perlu menghalusi faktor-faktor ini secara terperinci agar kita sampai kepada keputusan yang adil dan baik bagi semua pihak termasuk negeri, rakyat, istana dan individu yang terlibat. Keadilan yang menjadi teras perjuangan PR mesti ditegakkan," katanya lapor The Malaysian Insider


Hmmmm... masaalahnya Pak Din.. rumah kita sedang terbakar ni.. takkan nak kena tunggu mesyuarat dulu kot..

Sepatutnya mesyuarat itu disegarakan.. bukannya ditangguh-tangguhkan..

Dua ADUN sedia keluar parti jika PAS terus menyokong Khalid..

Posted: 14 Aug 2014 01:05 AM PDT


ADUN PAS dari Hulu Kelang, Saari Sungib bersedia untuk keluar parti jika PAS kekal menyokong Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim selepas mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat pada 17 Ogos ini. 

Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan wartawan selepas sidang media tengah hari tadi. 

"Kalau itu antara pilihan di antara parti dan saya, saya bersedia," katanya.

Beliau ditanya jika beliau sanggup berbuat demikian jika PAS kekal dengan pendirian mereka sekarang dalam krisis menteri besar Selangor.

Saari dan ADUN Morib Hasnul Baharuddin hari ini menyatakan sokogan terhadap Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor bagi menggantikan Khalid.

Saari berkata, mereka berbuat demikian kerana "dasar PAS yang bersama-sama Pakatan Rakyat".

"Saya bergerak dari satu asas iaitu polisi dan dasar PAS untuk bersama-sama Pakatandan polisi ini saya sokong untuk membolehkan Pakatan terus memerintah dan mentadbir Selangor," kata Saari.

Menurutnya, beliau yakin baki 13 orang ADUN PAS lain akan menurut jejak langkah beliau. "Saya percaya rakan-rakan ADUN dari PAS juga akan mengambil langkah yang sama," katanya selepas sidang media Wan Azizah di Subang tengah hari ini.

Saari juga yakin mesyuarat ahli Jawatankuasa Pusat PAS pada 17 Ogos ini akan memutuskan untuk terus berada bersama Pakatan.

"Saya yakin selepas 17 hari bulan, sekiranya benar apa yang saya yakini PAS tidak akan berganjak daripada Pakatan Rakyat.

"Saya anggap memperkukuhkan Pakatan di Selangor tidak bertentangan dengan PAS," katanya.

Hasnul pula berpendapat pentadbiran Khalid sekarang tidak lagi menjunjung semangat Pakatan selepas beliau mengumumkan kerajaan Pakatan tidak wujud lagi di Selangor.

"Saya sebagai YB Morib mengambil langkah yang sama dengan YB Hulu Kelang untuk menyokong kerajaan Pakatan di Selangor.

"Semangat dan roh Pakatan itu tak ada pada menteri besar dan saya bersama Pakatan untuk memerintah negeri Selangor sebenar-benarnya," katanya.

Beliau turut mengkritik Khalid yang menurutnya "merosakkan Selangor jam demi jam".

"Kerosakan yang dilakukan Khalid kepada Selangor bukan setakat minggu ke minggu tetapi on an hourly basis (jam demi jam)," katanya.

Wan Azizah tetap mahu jadi MB Selangor..

Posted: 13 Aug 2014 09:51 PM PDT


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan mengadakan sidang media di Subang Jaya hari ini untuk membuktikan beliau mempunyai sokongan majoriti Adun Selangor untuk menjadi menteri besar.

Dalam satu jemputan yang dikirimkan kepada media sebentar tadi, presiden PKR itu dikatakan akan mempersembahkan sokongan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) melebihi Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Khalid pada Isnin berjaya kekal sebagai menteri besar Selangor selepas berjaya meyakinkan Sultan Sharafuddin Idris Shah beliau masih mendapat sokogan DUN walaupun dipecat PKR hujung minggu lalu.

Sultan Selangor sehari selepas itu turut bersetuju agar Khalid memecat enam Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor daripada PKR dan DAP.

Pakatan Rakyat (PR) kini mempunyai 43 Adun daripada 56 kerusi DUN selepas Khalid menjadi Adun Bebas.

Khalid sekarang ini mentadbir negeri Selangor dengan empat exco PAS.

Krisis Selangor ini juga bakal menggugat PR kerana kedegilan untuk bersetuju dengan keputusan PKR dan DAP untuk menyingkirkan Khalid.

PR sekarang ini mempunyai 87 kerusi Parlimen selepas Khalid yang juga ahli Parlimen Bandar Tun Razak menjadi Bebas lapor The Malaysian Insider

Surat Terbuka Untuk Anwar Ibrahim

Posted: 13 Aug 2014 05:29 PM PDT


Salam Datuk Seri, Saya perlu akui bahawa saya bukan penyokong tegar Datuk Seri selama ini.

Meskipun demikian, pada PRU13 yang lalu, saya diamanahkan menjaga Facebook Datuk Seri dan juga Datuk Seri Wan Azizah, saya menjaganya dengan baik dengan hasrat membantu PR mencapai kemenangan.

Di dalam isu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri perlu jelaskan matlamatkan Datuk Seri. Adakah Datuk Seri hanya ingin Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ditukarkan? Atau Datuk Seri inginkan Datuk Seri Wan Azizah menjadi Menteri Besar? Kedua-dua objektif itu berbeza.

Seperti mana PRK Kajang, meskipun ada di kalangan PR tidak bersetuju dengan PRK Kajang, tapi semua turun berkempen untuk kemenangan Datuk Seri Wan Azizah, demi menjaga keutuhan PR.

Kerusi Dun Kajang adalah kerusi PKR, yang PKR boleh menentukannya siapa calon tanpa merujuk kepada Pas dan DAP. Tapi Datuk Seri, jangan pula Datuk Seri anggap kerusi Menteri Besar Selangor sama dengan kerusi Dun Kajang. Kerusi Menteri Besar Selangor adalah milik ketiga-tiga parti – Pas, DAP dan PKR.

Cuma persetujuannya ialah hanya mereka di kalangan PKR yang dipersetujui ketiga-tiga parti boleh dilantik menjawat jawatan terpenting ini. Atas setiakawan, Pas dan DAP telah lama mengisytiharkan bahawa kerusi Menteri Besar Selangor perlu dilantik dari kalangan PKR. Tiada siapa yang ingin merampas kerusi itu daripada PKR.

Itu sudah satu kejayaan bagi Datuk Seri dan PKR. Akan tetapi, ini tidak bermakna Datuk Seri dan PKR tidak perlu mendapatkan pandangan daripada Pas dan DAP terhadap calon ganti kepada Tan Sri Khalid Ibrahim. PR bergerak atas nama konsensus – di mana setiap parti ada kuasa vetonya.

Dalam hal pengganti Khalid, Datuk Seri tahu ada kuasa veto keempat iaitu istana Selangor, kuasa yang terbesar dalam kemelut ini. Ramai yang sudah memberi nasihat kepada PKR bahawa pandangan istana perlu dijadikan pertimbangan dalam strategi politik PKR. Akan tetapi, sangat malang, nasihat ini telah dibawa angin. Datuk Seri dan PKR telah mengambil langkah untuk memecat Tan Sri Khalid.

Semua memahami itu satu langkah terdesak supaya Pas dan DAP memotong nama Tan Sri Khalid daripada senarai calon dari PKR yang layak menjadi Menteri Besar Selangor. Kita boleh memahami mengapa Datuk Seri inginkan isteri Wan Azizah menjadi Menteri Besar Selangor, selaku Presiden PKR. Akan tetapi, itu kehendak Datuk Seri dan PKR. Ini bukan bermakna semua akan menerimanya.

Halangan pertama ialah istana – sebagaimana nasib yang dihadapi Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Idris Jusoh. Saya percaya Datuk Seri juga sayangkan PR dan negeri Selangor. Dan dengan itu, Datuk Seri tidak mahu Dun dibubarkan, sebab itulah Datuk Seri cuba berjumpa dengan Sultan dan berunding dengan Pas dan DAP.

Atas dasar itu, Datuk Seri sekarang kena mempertimbangkan untuk situasi menang-menang. Datuk Seri perlu mengalah untuk mengemukakan Wan Azizah menjadi Menteri Besar Selangor. Lantiklah calon lain dari PKR yang diperkenan Sultan. Dengan ini, kerusi Menteri Besar Selangor masih akan kekal di tangan PKR dan kerajaan negeri Selangor masih kekal di tangan PR.

Selama ini pun, Tan Sri Abdul Khalid tiada jawatan besar di dalam PKR ketika menjawat Menteri Besar Selangor. Jadi, sepatutnya tiada masalah untuk mengemukakan calon lain. Untuk PR menjadi kuat, ketiga-tiga parti perlu kuat secara sendirian.

Usah lagi paksa Pas memberi jawapan, PKR akan kehilangan Selangor tanpa Pas. Pas dan DAP ada prinsip mereka sendiri. Nasib baik, kedua-duanya ada perbezaan prinsip, jika tidak, Pas dan DAP dah cukup kuota Adun untuk membentuk kerajaan tanpa PKR. Datuk Seri sudah mendapat signal jelas dari PAS bahawa Pas ingin kekal bekerjasama dengan PR daripada kenyataan Presiden dan juga Majlis Syura Pas.

Pas dah berkali-kali tegaskan bahawa mereka tidak akan bekerjasama dengan Umno. Lebih besar lagi, Pas telah membuat ketetapan tidak akan menuntut kerusi Menteri Besar dari PKR. Itu sudah satu kemenangan besar untuk Datuk Seri dan PKR.

Tapi di dunia ini, you cannot win all. You gotta give some to take some. Yang Datuk Seri dan PKR perlu lakukan sekarang ialah mencari satu nama calon pengganti Tan Sri Abdul Khalid yang boleh diterima istana (selain Datuk Seri Wan Azizah), dan dengan ini, segalanya akan selesai. Asalkan Datuk Seri dapat clearkan laluan istana, semua akan menyokong tanpa syarat.

Pada ketika itu, Datuk Seri dan PKR boleh terus menerajui Negeri Selangor dengan aman dan damai tanpa Tan Sri Abdul Khalid, orang yang dituduh menjadi duri dalam daging PKR. Dengan itu, objektif terbesar Datuk Seri dan PKR tercapai, cuma objektif kedua sedikit tersasar, tapi ia sudah cukup bagus.

Kalau sekiranya objektif kedua lebih besar daripada objektif membuang Tan Sri Abdul Khalid, maaflah saya kerana tersalah anggap. Lawan tetap lawan. Tapi lawan Datuk Seri bukanlah PAS dan DAP mahupun istana.

Akhir sekali, PR melambangkan kejayaan kareer politik Datuk Seri. Mendapat 52 peratus undi popular di PRU13 ialah satu kejayaan. Bagi saya, itulah yang Datuk Seri perlu pertahankan.

Timmy Say
-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...