Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Dua model separuh bogel di Ipoh didenda RM400

Posted: 27 Aug 2014 01:39 AM PDT


Dua model yang berpakaian menjolok mata ketika sesi fotografi di lampu isyarat Jalan Sultan Yusof di sini kelmarin, mengaku salah di Mahkamah Majistret sebentar tadi.

Model lelaki, Low Kah Wai, 27 dan model wanita, How Jo Yee, 21 didakwa secara bersama menimbulkan kegusaran awam di lampu isyarat berkenaan yang juga di depan sebuah bank pada jam 9 pagi, 25 Ogos lalu.


Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan iaitu satu kesalahan yang menyebabkan kegusaran am kepada orang awam.

Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yag sama, sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM400.

Majistret Haslinda A Raof kemudiannya menjatuhi hukuman denda RM400 setiap seorang atau penjara sebulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd Jeffery Ong manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Andrew Soong.

Sementara itu, peguam tertuduh memberitahu kedua-dua anak guamnya akan membayar secara tunai denda berkenaan.

Mengikut fakta kes, Kah Wai hanya memakai seluar panjang hitam dan berkasut manakala Jo Yee memakai coli dan seluar dalam putih lapor Berita Harian

Kemelut MB Selangor: Akhirnya Najib bersuara..

Posted: 26 Aug 2014 11:00 PM PDT


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat Selangor menilai secara rasional perkembangan politik di Selangor.

Najib yang juga pengerusi BN berkata 'nepotisme terbuka' sedang berlaku di negeri Selangor di mana wakil rakyat yang sihat disuruh meletak jawatan dan digantikan dengan isteri sendiri dan satu pilihan raya kecil diadakan dan selepas itu isteri sendiri dicalonkan untuk menjadi menteri besar.

"Cuba bayangkan, kalau dalam BN kita angkat isteri menjadi menteri besar, kita akan dituduh nepotisme terbuka tetapi ini sedang berlaku di Selangor.

"Ini terserah kepada rakyat Selangor cuba fikirkan apa yang baik dan patut lakukan berasaskan pertimbangan masuk akal dan rasional dan pertimbangan ini menyelamatkan negeri dan negara kita secara keseluruhan.

"Pertimbangan bermotif sesuatu seperti ada udang 'galah' di sebalik batu akan merugikan rakyat," katanya di majlis mesra Aidilfitri Umno Peringkat Selangor yang dihadiri lebih 10,000 orang di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) di Dengkil malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Badan Penghubungan Umno Selangor dan Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor Datuk Seri Noh Omar.

Najib berkata kerajaan pusat melahirkan penghargaan kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang bersetuju menandatangani perjanjian mengenai Projek Loji Rawatan Air Langat 2 untuk dilaksanakan bagi menjamin bekalan air berterusan kepada rakyat negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Beliau berkata walaupun perjanjian itu sepatutnya ditandatangani tiga tahun dulu tetapi politik telah mengatasi pertimbangan rasional Abdul Khalid.

"Menteri Besar Selangor sudah sedar bahawa keputusan kerajaan pusat sebelum ini adalah benar dan tepat, tanpa Langat 2 tiada jaminan bekalan air," katanya.

Sementara itu, Najib berkata tragedi MH17 ada hikmahnya apabila rakyat Malaysia di seluruh negara yang dilanda perasaan sedih dan pilu, disatukan, dengan bertafakur selama seminit, sebagai tanda penghormatan.

"Kita bersatu dalam kesedihan. Inilah keadaan yang amat unik dan teristimewa apabila kita dapat lupakan persengketaan, perbezaan ideologi politik, tidak kira bangsa dan agama tetapi atas dasar kita rakyat Malaysia, kita kongsi kesedihan dan simpati.

"Ini menunjukkan dalam ujian tersebut, rakyat Malaysia boleh bersatu dan tiada rintangan yang tidak boleh ditempuhi," kata Najib.

Sebelum itu, Najib bersama hadirin bertafakur selama seminit untuk memberi penghormatan kepada penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai lalu dan juga MH370 yang hilang sejak Mac 8.

Di majlis itu, Najib turut menyampaikan sumbangan kepada jemaah haji di Parlimen Sepang yang bakal menunaikan haji. - Bernama

Wanita Malaysia sertai ‘jihad seks’ di Timur Tengah..

Posted: 26 Aug 2014 09:11 PM PDT


Wanita Malaysia dipercayai menyertai pasukan kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis) untuk menawarkan Jihad Al-Nikah atau jihad seksual, kata pegawai kanan risikan.

Pihak berkuasa mengesahkan tiga wanita Malaysia pergi ke Timur Tengah untuk menyertai pasukan Isis.

Jihad Al-Nikah merujuk kepada konsep kontroversi iaitu wanita Sunni dikatakan menawarkan diri mereka dalam bentuk peranan memenuhi keperluan seksual pejuang yang memperjuangkan undang-undang Islam.

Konsep itu berasal daripada fahaman Wahhabi sekitar 2013, yang menyeru penyokong wanita Sunni untuk tampil melakukan jihad seks dan menyemarakkan moral pejuang terhadap regim Bashar al Assad di Syria.

"Wanita ini dipercayai menawarkan diri mereka untuk melakukan hubungan intim kepada pejuang Isis yang cuba memperkenalkan peraturan Islam di Timur Tengah.

"Konsep ini mungkin kelihatan kontroversi tetapi ia semakin berkembang apabila sesetengah wanita Islam di sini bersimpati dengan kepayahan Isis," kata seorang pegawai risikan kepada The Malaysian Insider.

Enggan didedahkan identitinya, pegawai itu berkata seorang wanita Malaysia berlepas ke Timur Tengah pada Disember tahun lalu.

"Wanita itu, berusia 30-an, pergi ke Turki sebelum bertemu dengan orang tengah yang membantunya melengkapkan perjalanan ke Syria melalui jalan darat.

"Seorang lagi wanita Malaysia berusia 40-an dipercayai bekerjasama dengan pasukan Isis pada April tahun ini," kata sumber.

Pegawai risikan berkata, bukan wanita Malaysia saja yang melakukan jihad seksual kerana ada juga wanita Islam lain terbabit.

"Pertukaran risikan dengan beberapa negara mendedahkan wanita Islam Sunni dari Australia dan United Kingdom juga menyertai Isis," katanya.

Pegawai risikan berkata, Isis mengeluarkan dekri atau edik pada Jun tahun ini menawarkan pengerahan Jihad Al-Nikah atau jihad seksual.

"Sebaik saja selepas bandar Mosul di Iraq ditawan pasukan Isis, orang ramai diarahkan menghantar wanita tidak berkahwin berjihad untuk seks," dedah pegawai risikan.

"Dalam pengisytiharannya, Isis mengancam untuk melaksanakan undang-undang syariah terhadap mereka yang gagal mematuhi edik atau dekri itu," kata pegawai berkenaan.

Pegawai risikan berkata, rakan sejawatannya di Britain mendedahkan lebih 600 umat Islam British dipercayai berjuang untuk Isis.

"Jumlah itu termasuk wanita Islam British yang bukan berjuang di barisan hadapan, tetapi masih terbabit dengan melakukan jihad seksual.

"Pegawai risikan Australia mendedahkan lebih 100 wanita Islam Australia berada di Syria berjuang di smaping Isis," kata pegawai risikan itu.

Walaupun Putrajaya pada awalnya mendedahkan kira-kira 30 rakyat Malaysia berlepas ke Timur Tengah berjuang untuk Isis, tetapi angka itu dipercayai sebenarnya lebih tinggi.

"Pemeriksaan yang dilakukan dengan rakan sejawatan kami di luar negara mendedahkan mungkin jumlah rakyat Malaysia di Timur Tengah mencecah 50 orang," katanya kepada The Malaysian Insider.

Setakat ini, 3 rakyat Malaysia dilaporkan maut di Syria ketika berperang menentang pasukan Presiden Syria Bashar Al-Assad.

Mat Soh, 53, dilaporkan terbunuh selepas dilanggar lori tangki ketika pertarungan sengit antara Isis dengan pasukan Syria minggu lalu.

Pada Jun, Ahmad Tarmimi Maliki, 26, mati selepas insiden bunuh diri yang menyebabkan lebih 20 askar Iraq maut di pangkalan mereka di Al-Anbar.

Identiti rakyat Malaysia ketiga yang maut dalam satu insiden masih belum disahkan oleh pihak berkuasa di sini.

Sejak konflik di Syria meletus pada Mac 2011, lebih 190,000 kematian dilaporkan setakat ini, menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Kejadian pembunuhan paling mengerikan ialah pada 20 Ogos ketika Isis melancarkan satu rakaman menunjukkan seorang lelaki yang dikatakan berjihad, bercakap dengan loghat selatan Inggeris, memenggal kepada seorang wartawan dan jurugambar warganegara Amerika, James Foley.

Foley ditangkap di Syria pada penghujung 2012. Rakaman video itu menunjukkan beliau dibunuh di kawasan padang pasir.

Video bertajuk 'Pesanan kepada Amerika' itu dimuat naik di YouTube sebagai amaran kepada Presiden Amerika Syarikat Barack Obama berhubung serangan terhadap militan di Iraq.

Sebelum dibunuh, wartawan berusia 40 tahun itu dipaksa membaca satu kenyataan yang menyalahkan Amerika atas kematiannya lapor The Malaysian Insider

Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang diharamkan?

Posted: 26 Aug 2014 05:30 PM PDT


Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Pasukan Peronda Sukarela (PPS) di Pulau Pinang berikutan penubuhan pasukan itu tidak berdaftar dan menyalahi undang-undang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya telah menerima makluman rasmi daripada pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS) bahawa PPS tidak berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335). "

Sehubungan itu, PDRM menganggap PPS adalah pertubuhan yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 41 Akta Pertubuhan 1966.

"PDRM akan menjalankan siasatan ke atas aktiviti pasukan berkenaan dan akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE


-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...