Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


PAS Pulau Pinang pun tolak Wan Azizah sebagai MB Selangor?

Posted: 28 Aug 2014 05:44 AM PDT


Tindakan beberapa pemimpin tertinggi di dalam Pakatan Rakyat yang mengkritik PAS dalam kemelut perlantikan Menteri Besar Selangor dimana DAP dan PKR berkeras mahukan Datin Seri Wan Azizah sebagai calon tunggal telah mengundang rasa kecewa pemimpin PAS Pulau Pinang.

Melalui Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Mohd Salleh Man dalam satu kenyataan kepada media berkata bahawa tindakan yang dilakukan oleh beberapa pemimpin PR yang terus menerus menyalahkan PAS adalah satu tindakan yang tidak wajar selaku rakan di dalam satu gabungan di mana asas perjuangan adalah sama untuk mengambil alih kepimpinan kerajaan dari Barisan Nasional.

Salleh Man dalam kenyataannya itu bertegas mahu pemimpin PKR dan DAP berhenti dari menuduh PAS cuba menikam dari belakang dua parti tersebut hanya kerana tidak bersetuju Wan Azizah sebagai calon tunggal untuk dilantik menjadi MB yang baru di Selangor dan berharap dua parti tersebut memikirkan semula komitmen yang diberi PAS sebelum ini sehingga gabungan PR berjaya menang besar pada Pilihanraya Umum yang lalu.

"Tuduhan yang dilemparkan oleh beberapa pemimpin DAP dan PKR kononnya Pas cuba menikam pakatan pembangkang adalah tidak tepat, sebaliknya kami selama ini telah membuktikan komitmennya dengan memberi kerjasama yang baik dalam pakatan sepertimana yang ditunjukkan pada PRU yang lalu." ujar Salleh Man disini semalam.

Tambah beliau lagi, beliau sedar setelah Datuk Mustafa Ali selaku Setiausaha Agung PAS mengumumkan bahawa 13 Adun Selangor enggan menandatangani akuan bersumpah menyokong Wan Azizah sebagai MB, beberapa pemimpin PR dan jentera cyber mereka telah menuduh PAS dengan pelbagai andaian dan juga persepsi negatif di laman-laman sosial.

"Saya tahu selepas Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali memaklumkan 13 Adun Pas di Selangor tidak akan menandatangani akuan bersumpah menyokong Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, jentera PKR dan DAP mula membuat pelbagai spekulasi dan persepsi di laman sosial.

Malah, ada yang mengecam kami dengan pelbagai tuduhan." tambah beliau lagi.

Sementara itu, PAS Selangor semalam memberitahu bahawa pihak mereka belum mengadakan sebarang mesyuarat berhubung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang mahukan nama calon bagi jawatan MB.

"Hal ini akan dibincangkan di peringkat Pusat dan mereka akan minta pandangan kami.

"Kami belum mesyuarat lagi. Saya tak boleh dedahkan sebelum mesyuarat," ujar Iskandar Abdul Samad selaku Pesuruhjaya PAS Selangor kepada media semalam lapor UtaraNews

"Rumah Mampu Tengok" pesat dibina di JB

Posted: 28 Aug 2014 03:49 AM PDT


Di kala kerajaan negeri Johor di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sibuk merangka program untuk membina lebih banyak rumah mampu milik, namun apa yang sedang berlaku di Iskandar Malaysia ketika ini adalah sebaliknya.

Perkembangan di Iskandar Malaysia kini terutamanya di Johor Bahru dan Nusajaya menyaksikan kepesatan pembinaan satu lagi kategori perumahan khusus untuk golongan berkemampuan yang dipanggil oleh segelintir warga Johor Bahru "rumah mampu tengok".

Penduduk Johor Bharu menggelar kategori rumah itu sedemikian kerana harga yang ditawarkannya adalah jauh di luar kemampuan sebahagian besar daripada warga tempatan di negeri selatan tanah air ini.

"Harga-harga seunit kondominium yang ditawarkan oleh pemaju-pemaju itu mencecah RM800,000 bagi unit permulaan seluas 800 kaki persegi dan ke bawah manakala harga unit dengan keluasan 1000 kaki persegi dan berhadapan dengan laut pula akan melebihi RM1 juta."

"Sebab itu, saya dan penduduk JB yang lain menggelarkan kategori rumah ini sebagai 'rumah mampu tengok" kerana kita hanya mampu melihatnya dan tidak berkemampuan untuk memilikinya," menurut pekerja swasta, Hezree Abdul Samad, 35, kepada Malaysia Gazette hari ini.

Beliau yang sudah berumahtangga menjangkakan, kebanyakan atau kesemua daripada pembeli "rumah mampu tengok" itu adalah warga asing terutamanya dari Singapura serta China yang dilaporkan amat berminat untuk melabur di dalam sektor hartanah di Johor.

Menurut beberapa laporan media sebelum ini, dianggarkan terdapat lebih daripada 10 pemaju asing terutamanya daripada China dan Singapura sedang bergiat aktif di dalam sektor hartanah di Iskandar Malaysia dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) keseluruhan projek-projek mereka dianggarkan mencecah RM50 bilion.

Sejak dilancarkan pada 2006 sehingga kini, Iskandar Malaysia telah berjaya menarik sebanyak RM140 bilion pelaburan daripada dalam dan luar negara dengan 60 peratus daripada pelaburan yang diterimanya adalah di dalam sektor hartanah.

Lokasi projek-projek hartanah "rumah mampu tengok" oleh pemaju asing ini terletak di kawasan pesisir Selat Johor, berhadapan dengan Singapura.

Angka berkenaan projek hartanah asing di Iskandar Malaysia itu, bagaimanapun tidak termasuk projek-projek hartanah yang sedang dilaksanakan oleh pemaju tempatan seperti UEM Sunrise, Mah Sing Group, SP Setia, Damansara Realty, Johor Land dan lain-lain.

Syarikat hartanah tempatan juga tidak terkecuali turut serta dengan keghairahan membina ribuan rumah-rumah serta pangsapuri mewah di Iskandar Malaysia.

Menurut Hazree, harapannya untuk memiliki rumah di Johor Bahru kini bergantung kepada program-program seperti Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) oleh kerajaan negeri Johor atau Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA) oleh kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun, projek-projek inisiatif kerajaan pusat dan negeri ini berjalan amat perlahan dan kuantiti rumah yang ditawarkan di Johor Bahru tidak dapat menampung permintaan yang tinggi daripada penduduk yang dahagakan kemudahan rumah mampu milik.

PRIMA dijangka membina 8,000 rumah mampu milik di Johor Bahru dengan kerjasama agensi kerajaan negeri termasuk Johor Corporation, manakala program RMMJ sebagaimana disebut oleh Exco Perumahan Negeri Datuk Latiff Bandi pula menawarkan sekitar 25,000 rumah seumpama itu di seluruh negeri.

Kuantiti pembinaan rumah mampu milik di Johor Baharu itu bagaimanapun gagal menandingi kepesatan pembinaan "rumah mampu tengok" dengan pemaju China, RF Properties Ltd sahaja merancang untuk membina 30,000 pangsapuri mewah di bawah projek mewahnya Princess Cove di Tanjung Puteri.

Sebuah lagi pemaju perumahan China, Country Garden Ltd pula akan membina 9,000 unit kondominium di bawah projek hartanah di Danga Bay, membuktikan lagi selera besar pemaju-pemaju asing ini untuk memenuhkan Johor Bahru dengan projek-projek "rumah mampu tengok" mereka yang bernilai jutaan ringgit.

Bagi Hezree, beliau masih menunggu notis daripada pejabat Setiausaha Perumahan Negeri Johor tentang permohonannya untuk mendapatkan salah satu unit rumah mampu milik bernilai RM80,000 yang ditawarkan di bawah RMMJ ~ MALAYSIAGAZETTE

PAS berhasrat untuk bertanding di Pengkalan Kubor

Posted: 27 Aug 2014 05:42 PM PDT


Bila dah bersuara macam ni.. kalau PKR nak letak calon juga tak mustahil apa yang telah berlaku di Sungai Acheh dan Damansara ketika PRU13 yang lalu akan berulang.

Pihak yang paling beruntung dan gembira sudah tentu pihak Barisan Nasional, tak perlu menabur projek berjuta-juta RM dalam PRK ini..

Sebabnya jika PKR kekal mahu letakkan calon dan PAS juga meletakkan calon, undi untuk PR sebelum ini akan berpacah dua.

Dan jika ini berlaku Barisan Nasional akan peroleh kemenangan mudah disertai dengan majoriti yang lebih tinggi...

Laporan berkaitan...

Walaupun kerusi Dun Pengkalan Kubor ditandingi Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini, rakan pakatannya Pas berhasrat untuk bertanding kerusi Dun itu pada PRK kerana yakin mampu mencapai kemenangan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, kerusi itu yang diberi kepada PKR pada PRU13, hanyalah sebagai pinjaman sahaja dan Pas boleh kembali mempertahan kerusi itu berikutan ada sokongan kuat dari akar umbi.

"Kerusi itu memang milik Pas sebelum ini, tetapi atas dasar pakatan kita beri pinjam kepada PKR untuk bertanding menentang BN dalam PRU-13 lalu," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Kota Sejahtera Chiku di sini, hari ini.

Turut hadir Adun Paloh, Datuk Nozula Mat Diah dan Ketua Jajahan Gua Musang, Nazran Mohamad. Mohd Amar berkata hasrat Pas itu akan dibincangkan dengan PKR.

"Kita lihat ada peluang untuk kita menang...soal calon belum dibincangkan lagi setakat ini," katanya.

Kerusi Dun Pengkalan Kubor kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noor Zahidi Omar, 57, di Guangzhou, China pada 20 Ogos lalu kerana kanser hati.

Allahyarham Noor Zahidi merupakan Adun Pengkalan Kubor selama tiga penggal dan Ketua Umno Bahagian Tumpat selama empat penggal.

Pada pilihan raya umum lepas, Allahyarham yang mewakili BN mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi. - Bernama
-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...