Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


UPSR Bocor: Kakitangan Kementerian Pendidikan dedah bagaimana soalan boleh bocor..

Posted: 15 Sep 2014 06:10 AM PDT


Rabu lepas, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) mengumumkan peperiksaan UPSR bagi mata pelajaran Sains 018, 028, 038 yang dijadualkan pada Khamis ditangguhkan berikutan kebocoran kertas peperiksaan dikesan sehari sebelum itu.

Keesokannya, Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh pula berkata kertas UPSR mata pelajaran Bahasa Inggeris 1 dan 2 juga bocor, dikesan setelah pelajar menduduki kertas tersebut dan kerajaan menetapkan 30 Sept sebagai tarikh baharu bagi peperiksaan kedua-dua kertas itu.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan kesal perkara seperti itu masih berlaku walaupun sistem pendidikan yang teratur telah diwujudkan oleh kementerian sejak sekian lama.

"Ini memang sesuatu yang boleh saya katakan memalukan, perkara seperti itu masih berlaku," katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Tritahunan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan(KPPK) ke-20, di sebuah hotel, di sini, hari ini lapor Sinar Harian

Memang memalukan.. namun untuk meletakkan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan.. jangan diharap..

Berikut adalah pandangan dari seorang kakitangan Kementerian Pendidikan Malaysia yang bernama Haji Darus Awang disebalik isu soalan UPSR bocor..

Petang tadi anak saya yang kelapan bertanya: "pa betul ke soalan sains bocor, Shira dengar kawan-kawan beritahu soalan sains bocor". Satu soalan pendek tetapi sukar juga untuk menjawabnya. 
Saya hanya beritahu: "esok Shira pergi aje ke sekolah, kalau ada periksa jawab elok-elok". Anak pun mengangguk sahaja dengan penjelasan yang tidak menepati pertanyaan. 
Begitulah dunia kanak-kanak hari ini. Mereka juga bermaklumat. Mereka boleh akses maklumat di hujung jari seperti orang dewasa. Anak kelapan saya memiliki kemahiran yang luar biasa dalam ilmu IT ini. 
Apa-apa sahaja barang elektronik seperti telefon bimbit, laptop atau apa jua gajet, mampu digunakanannya. Kita terkial-kila membaca "command" atau buku manual, tetapi anak hanya tekan sana sini sudah selesai. 
Sudah lapan daripada sembilan anak saya menduduki UPSR. Seingat saya baru kali ini kes soalan UPSR bocor. Soalan PMR dan SPM telah acap kali bocor. Semasa Cambridge yang menyediakan soalan peperiksaan untuk negara kita, tidak pernah ada kes kebocoran soalan kerana tingginya integriti orang putih. 
Kanak-kanak yang masih mentah terpaksa berdepan dengan tekanan psikologi yang tinggi, Terutama jenis ibubapa yang terlalu mengharapkan kejayaan cemerlang dan luar biasa dari anak sekecil ini. 
Saya sebenarnya tidak pernah pedulikan peperiksaan UPSR ini. Sedikit pun saya tidak ambil peduli berapa A yang bakal diperolehi oleh anak-anak. Ayat-ayat mudah saya katakan pada anak-anak, jika semua A pun bukan boleh terus masuk universiti. Semua subjek dapat A pun akan masuk tingkatan satu terlebih dahulu. Begitu juga dengan PMR. Saya juga tidak memberikan apa-apa tekanan pada anak-anak. 
Jadi, anak-anak saya secara santai menduduki peperiksaan UPSR dan PMR. Sebabnya saya dan isteri tidak sedikit pun memberi tekanan kepada mereka. Mereka terlalu kanak-kanak untuk dipaksakan dengan kejayaan yang bukan-bukan. 
Sejujurnya saya mahu anak-anak membesar dengan cara semula jadi (natural), seperti zaman saya membesar dahulu. Biar mereka hidup dengan realiti zaman kanak-kanaknya. 
Sistem pendidikan di negara ini telah meragut dan merampas zaman kanak-kanak secara keseluruhannya. Bertambah malang jika kedua ibubapa juga berperangai menekan anak-anak untuk lulus cemerlang. 
Pada mereka anak-anak yang cemerlang peperiksaan adalah kebanggaan kedua ibubapa, walaupun akhlaknya kurang cemerlang. Yang penting mereka berjaya dengan barisan semua A atau "straight A". A adalah pengukur kecemerlangan walaupun akhlak tidak menjadi. 
Perlu diingat, anak-anak bukan robot. Anak-anak kita adalah manusia yang punya jiwa dan perasaan. Jika mereka masih kanak-kanak, maka perasaan keanak-anakan itulah yang menjadi realiti hidup mereka. Sistem pendidikan kita hari ini mengajar kanak-kanak menjadi tua sebelum masanya. Zaman kanak-kanak mereka dirampas secara zalim dan kejam bersandarkan kecemerlangan akademik dan "straight A". 
Saya mendidik anak-anak dengan cara purba dan konservertif iaitu membiarkan kesemua anak-anak membesar secara "natural" seperti saya dibesarkan. Saya biarkan mereka bermain hujan dan panas. 
Mereka boleh bermain di longkang sambil tangkap ikan longkang dan banyak lagi kehidupan kanak-kanaknya dilayan seadanya. Mereka hidup santai dan ceria. Apabila menduduki peperiksaan mereka tetap berjaya cemerlang. Kesemua yang menduduki UPSR, PMR dan SPM berjaya dan cemerlang. 
Kesemua mereka masih di bangku sekolah. Lima orang yang telah menduduki SPM, kini berada di universiti dalam dan luar negara di dalam pelbagai bidang profesional seperti perubatan, arkitek, kejuruteraan dan pensyarah. Yang sulung sedang menghabiskan pengajian sarjana. 
Saya tidak pernah menekan mereka di peringkat UPSR dan PMR. Jika mereka mahu tuisyen saya hantar, jika mereka tidak mahu, belajar sahaja di rumah. Mereka bebas memilih untuk belajar kelas tuisyen dan tiada paksaan. 
Saya hanya fokus ketika di peringkat SPM. Di peringkat ini saya ingatkan mereka supaya lebih fokus pada masa depan. SPM adalah penentu untuk memasuki lebuhraya pendidikan peringkat tinggi. Bermula dengan diploma hingga ke peringkat doktor falsafah (Phd), itulah jalur pendidikan peringkat tinggi. Saya selalu ingatkan bahawa universiti berada di dalam diri, bukan di sekolah yang mereka duduki. 
Sebab itu, sedikit pun saya tidak pernah ambil kisah tentang sekolah berasrama penuh. Ada anak-anak yang dapat memasuki asrama penuh untuk pengambilan tingkatan satu dan empat, tetapi mereka tidak pergi. 
Setakat ini, hanya anak ke empat memasuki tingkatan empat di asrama penuh dan anak ketujuh memasuki ketika tingkatan satu. Bukan kehendak saya dan isteri, tetapi itu kehendak dan pilihan mereka sendiri. 
Maknanya kejayaan bukan di sekolah, tetapi di dalam diri mereka sendiri. Mereka yang mengurus kejayaan dengan bimbingan dan sokongan kita sebagai ibubapanya. Saya dan isteri sentiasa sibuk dengan tugasan kerja rasmi, Di waktu antara maghrib dan isyak ketika di bilik solat, saya bertanyakan tentang persekolahan mereka. 
Itu sahaja masa yang saya ada untuk memberi dorongan kepada mereka. Tetapi setiap malam kami bersolat hajat untuk kejayaan ahli keluarga. Inilah kekuatan luar biasa yang tiada tolok bandingnya. 
Apabila terdengar cerita dan terbaca berita di dalam media sosial tentang soalan bocor, terfikir oleh saya soalan bocor atau integriti segelintir orang yang diamanahkan itu yang bocor. Kenapa boleh bocor. 
Apabila bocor mesti ada orang yang kena dipertanggungjawabkan di atas kebocoran ini. Kes seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Kes ini lebih kepada bocor atau ketirisan integriti mereka ini. 
Antaranya pencetak soalan, segelintir pegawai di Lembaga Peperiksaan KPM dan juga pegawai yang diamanahkan di Bilik Kebal setiap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). Saya bukan menuduh, tetapi kebocoran pasti bermula dari salah satu lubang di situ. 
Agak lama juga saya bekerja di KPM Putrajaya. Sedikit sebanyak perkara-perkara dasar seperti ini saya tahu juga. Isunya lebih kepada integriti pegawai yang diamanahkan menggubal soalan, pencetak yang diamanahkan mencetak soalan dan pegawai yang diamanahkan menjaga Bilik Kebal. 
Mereka ini perlu dipertanggungjawab terlebih dahulu. Mereka telah mengharubirukan suasana ketenangan murid yang sedang menduduki UPSR. Kurang sungguh integriti segelintir mereka yang diamanahkan terhadap perkara-perkara yang sulit seperti soalan peperiksaan ini. 
Namun begitu, kelihatan anak saya rileks dan santai sahaja. Sebabnya tiada apa-apa tekanan dari kami sebagai ibubapa kepadanya. Kami biarkan dia membesar dengan dunia kanak-kanaknya tanpa dirampas dengan meletakkan harapan yang menggunung tingginya. Sedangkan dia hanya seorang kanak-kanak. 
Saya mahu kesemua anak saya menikmati zaman kanak-kanaknya sebaik mungkin. Harapan yang terlalu tinggi menjadi tekanan kepada anak-anak kita. Mereka akan stress. Bertambah stress jika peperiksaan ditangguhkan. 
Haji Darus Awang
Persoalannya... Semasa Cambridge yang menyediakan soalan peperiksaan untuk negara kita, tidak pernah ada kes kebocoran soalan.. kenapa?

Bekas Ketua Pemuda UMNO hadapi tuduhan ceroboh DUN PP

Posted: 15 Sep 2014 01:02 AM PDT


Seorang ahli perniagaan yang juga bekas ketua Pemuda Umno Cawangan Kampung Rawana di George Town mengaku tidak bersalah atas tuduhan menceroboh masuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada Mei lepas.

Wan Norazman Ariffin, 41, didakwa menceroboh masuk DUN Pulau Pinang dengan niat hendak menggusarkan orang yang memiliki harta itu iaitu Setiausaha DUN Pulau Pinang M. Maheswari pada 1.30 tengah hari, 21 Mei lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya.

Majistret L. Umma Devi menetapkan 29 September ini untuk sebutan semula kes dan tertuduh dibenarkan diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Talib berkata tertuduh adalah tangkapan baru berhubung kes menceroboh DUN Pulau Pinang pada Mei lepas.

Oleh itu, beliau memohon agar tertuduh dibicarakan bersama-sama 15 lagi individu yang telah dihadapkan ke mahkamah pada 19 Jun lepas bagi pertuduhan sama, pada 29 September ini.

Wan Norazman diwakili tiga peguam bela Rosli Ismail, Yusnita Yusof dan Norhardi Haron.

Lima belas tertuduh berkenaan ialah Datuk Mohd Ridzwan Bakar, 54, Hisham Ahmad Sabri, 43, Afriz Mohd Noor, 36, Rosesarwandi Saad@Yaacob, 33, Mohd Rizuad Mohd Azudin, 37, Hisham Abdul Hamid, 38, Mohd Nashrol Hisham Abdullah, 38, Azmeal Abu Bakar, 42, Mohamad Yusmadi Mohad Yusof, 34, Mohd Hilmie Ibrahim, 37, Jasmin Noordin, 40, Nordin Wahab, 41, Mohamed Ghani Abd Jiman, 48, Wan Abidin Zain, 51 dan Mohamed Ibrahim A.Siahoo, 31. - Bernama

Putrajaya sahkan petrol dan diesel akan dikenakan GST?

Posted: 14 Sep 2014 10:18 PM PDT


Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kastam dan Eksais Ishak Daud mengesahkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan dikenakan kepada petrol dan diesel walaupun kerajaan masih belum membuat pengumuman demikian, kata Rafizi Ramli.

Naib presiden PKR itu berkata, Ishak mendedahkan perkara berkenaan dalam satu taklimat GST anjuran Universiti Tuanku Abdul Rahman minggu lalu yang juga dilaporkan akhbar bahasa Cina, Sin Chew Daily.

"Laporan akhbar Sin Chew Daily turut dipetik oleh laman kereta paultan.org, mengesahkan Umno Barisan Nasional (BN) akan mengenakan GST ke atas petrol dan diesel.

"Ini mengesahkan sangkaan saya selama ini bahawa Umno – BN akan mengenakan GST ke atas petrol dan diesel yang secara langsung bermakna harga minyak akan dinaikkan apabila GST dilaksanakan dalam April 2015 kelak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan sebelum ini berkata kerajaan akan mempertimbangkan tidak mengenakan GST ke atas petrol dan diesel apabila sistem percukaian baru itu dilaksanakan pada April 2015.

Katanya, kerajaan bakal kehilangan hasil jika GST tidak dikenakan ke atas petrol dan diesel, tetapi ia dapat ditampung melalui pelan rasionalisasi subsidi.

Rafizi berkata dengan GST pada kadar 6%, harga seliter petrol selepas ini adalah RM2.27 sen dan jika seorang pengguna biasa dianggarkan menggunakan 320 liter petrol sebulan, kenaikan harga minyak akibat GST akan meningkat RM50 sebulan.

Katanya, petrol dan diesel yang dikenakan GST akan memberi kesan kepada kenaikan harga barang dan perkhidmatan apabila cukai kepenggunaan itu dilaksanakan kelak.

"Akhirnya, bebanan bulanan setiap isi rumah akan bertambah. Saya anggarkan sekurang-kurangnya meningkat RM100 sebulan dengan kenaikan terus harga minyak, harga barang dan perkhidmatan bagi setiap isi rumah di kawasan bandar dan separa bandar.

"Pada ketika pegawai Jabatan Kastam dan Eksais mula mengesahkan kenaikan harga minyak akibat pelaksanaan GST, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih diam seribu bahasa dan mahu berahsia," katanya.

Ahli Parlimen Pandan itu juga dimaklumkan kerajaan akan melaksanakan penarikan balik subsidi minyak dengan mengehadkan kepada golongan tertentu dan sebahagian pengguna terpaksa membayar harga penuh tanpa subsidi.

"Saya dimaklumkan keputusan itu sudah dibuat tetapi belum dilaksanakan sementara memuktamadkan syarikat yang dianugerahkan kontrak untuk menaiktaraf semua pam minyak bagi tujuan ini," katanya.

Katanya, jika dasar begitu dilaksanakan, bebanan kenaikan harga minyak akan menjadi lebih tinggi, begitu juga dengan harga barang dan perkhidmatan.

"Saya menggesa supaya Najib mengesahkan segera harga minyak akan naik dengan pelaksanaan GST dan berterus terang dengan rakyat.

"Pada masa yang sama, saya seru rakyat Malaysia menzahirkan bangkangan mereka kepada kenaikan harga minyak ini melalui laman sosial terlebih dahulu sebelum disusuli dengan protes yang lebih besar," katanya lapor The Malaysian Insider

Rumah teres berharga RM1 Juta menjelang 2020?

Posted: 14 Sep 2014 05:34 PM PDT


RAMAI berpendapat, rumah dibina terlalu mahal harganya sehingga mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana tidak berkemampuan memiliki kediaman sendiri.

Tidak keterlaluan jika dikatakan sebenarnya banyak faktor penyebab kepada kenaikan harga rumah. Justeru Sinar Harian, mengupas punca harga rumah menjadi mahal dan mengapa ia berlaku?

Adakah penyelesaian bagi mengatasi kenaikan harga rumah terutama menjelang pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tahun depan, memandangkan terdapat khabar mengatakan pemaju bakal menaikkan lagi harga rumah tahun depan.

Permintaan tinggi di bandar, pemaju lebih minat bina rumah RM1 juta

Berdasarkan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), permintaan tinggi terutama di kawasan bandar adalah pendorong utama kenaikan harga rumah.

Kira-kira 70 peratus penduduk tertumpu di bandar-bandar utama yang merupakan pusat tumpuan aktiviti ekonomi. Bilangan penduduk pula bertambah disebabkan migrasi untuk mendapatkan pekerjaan.

"Pembangunan kawasan bandar utama menjadi padat. Permintaan terhadap tempat kediaman pula melebihi penawaran. Berikutan penawaran yang terhad dan persaingan mendapatkan kediaman yang diingini, menjadi faktor yang mendorong harga meningkat secara tidak langsung.

"Oleh kerana harga tanah sudah meningkat, trend harga rumah juga turut meningkat. Disebabkan berlakunya kekurangan dalam penawaran tanah untuk dibangunkan sebagai kawasan kediaman," kata jabatan tersebut.

Menurut laporan JPPH, Kuala Lumpur menunjukkan peningkatan lebih dua kali ganda pada suku pertama 2014 dalam unit baharu dilancarkan pada harga dalam lingkungan RM500,000 sehingga RM1 Juta.

Berdasarkan rekod terdapat pertambahan daripada 264 unit pada suku keempat 2013 kepada 684 unit pada suku pertama 2014.

"Ini menunjukkan pemaju lebih cenderung membina rumah-rumah berharga tinggi, iaitu RM500,000 ke atas. Manakala di Selangor menunjukkan penurunan sebanyak 28.3 peratus pada suku pertama 2014 berbanding suku keempat 2013.

"Bagaimanapun, Johor menunjukkan peningkatan drastik di mana pada suku keempat 2013 terdapat hanya 16 unit baharu dilancarkan meningkat kepada 396 unit pada suku pertama 2014.

"Di Kuala Lumpur dengan keadaan populasi yang padat masih terdapat permintaan dari kalangan pembeli tempatan yang mampu untuk memiliki harta harga yang sedemikian," kata jabatan itu.

Menurut JPPH, Johor Bahru menunjukkan peningkatan drastik dalam permintaan melebihi RM1 juta kerana dipengaruhi pembeli warga asing di Iskandar Malaysia.

Sementara itu, Pengurus PropertyGuru Malaysia, Gerard Kho berpendapat, pemaju lebih gemar membina rumah berharga lebih RM1 juta seperti kondominium, adalah kerana keluasan tanah yang tidak sesuai untuk pembinaan rumah teres. Jadi kondominium adalah pilihan tepat.

"Tambahan pula, masyarakat di kawasan bandar mungkin lebih suka memilih kediaman seperti kondominium disebabkan pilihan gaya hidup dan perkhidmatan yang ditawarkan kawasan kediaman seperti faktor keselamatan yang lebih terjamin.

"Kedudukan kediaman dengan tempat kerja yang mungkin mengambil masa perjalanan kurang 15 minit juga menjadi faktor utama pembeli gemar memiliki kondominium," katanya.

Dalam pada itu, laporan sama turut menyaksikan pengurangan bilangan rumah baharu dilancarkan ke dalam pasaran sebanyak 38.8 peratus daripada 10,831 unit yang direkodkan pada suku sebelumnya kepada 6,631 unit.

Mengikut jenis harta tanah, pangsapuri khidmat terus menguasai pasaran perumahan baharu dengan 2,441 unit dilancarkan daripada keseluruhan jumlah dalam negara, diikuti teres 2,399 unit. Teres setingkat pula membentuk 1,053 unit, manakala teres 2-3 tingkat membentuk 1,346 unit. Unit berkelompok dan rumah berkembar 2-3 tingkat, masing-masing membentuk 626 unit dan 439 unit.

Mengikut negeri, Kuala Lumpur, Selangor dan Johor memiliki bilangan unit rumah baharu dilancar tertinggi pada tempoh kajian yang menyumbang 63.2 peratus (4,191 unit) syer pasaran negara.

Kuala Lumpur menawarkan 1,844 unit rumah baru manakala Selangor dan Johor, masing-masing menawarkan 1,207 unit dan 1,140 unit.

Harga tanah pengaruhi harga rumah

Tidak dinafikan nilai harga tanah merupakan faktor utama yang mendorong penentuan sesebuah harga kediaman.

Ia melibatkan kos tanah, binaan, prasarana seperti sistem perparitan, jalan masuk dan penyediaan tapak. Selain itu, fi ikhtisas melibatkan khidmat profesional seperti arkitek, juruukur dan jurutera dalam sesuatu pembinaan dan sumbangan kepada pihak berkuasa tempatan, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Telekom dan Syarikat Air turut mempengaruhi harga kediaman.

Gerard berkata, harga rumah ditentukan mengikut harga pasaran semasa, walaupun pemaju membeli tanah dua atau tiga tahun lebih awal sebelum kawasan tersebut dibangunkan.

"Tanah tersebut kemudian digunakan untuk pembangunan kawasan kediaman.

Tanah dan bangunan yang sudah dibina merupakan kos yang akan dicaj oleh pemaju. Ia termasuk caj yang perlu dibayar pemaju ke atas kos bahan binaan.

"Setiap tahun kos bahan binaan dan tenaga buruh terus meningkat. Ia juga penyumbang kepada kenaikan harga rumah.

"Sudah pasti pemaju juga mahu mengaut keuntungan dan meletakkan margin pada jumlah tertentu. Semua faktor ini merujuk kepada penentuan harga rumah," katanya.

Mengambil contoh kawasan perumahan di Lembah Klang. Gerard berkata, nilai hartanah sememangnya tinggi. Apatah lagi pembeli selalunya akan mencari kediaman sekitar lingkungan 20 hingga 30 kilometer dari tempat kerja.

"Ini juga menyumbang kepada faktor penentuan harga rumah yang mahal di Lembah Klang, Walaupun terdapat pemaju membina perumahan luar dari lingkungan ini, mereka (pemaju) tetap akan kembali melaksanakan projek-projek perumahan di kawasan Lembah Klang kerana permintaan yang tinggi, kerana itu harga rumah di Lembah Klang terus meningkat," katanya.

Menurut Gerard, spekulator juga turut memainkan peranan dalam penentuan harga rumah.

"Sebagai contoh, pemilik yang membeli kediaman di projek perumahan fasa pertama (RM300,000) sudah tentu akan melihat harga yang berbeza dengan rumah yang dibina di fasa kedua. Pastinya harga rumah di fasa kedua lebih tinggi berbanding fasa pertama.

Boleh jadi ia akan mencecah sehingga RM500,000 sebagai contoh. "Ketika ini, pemilik kediaman di fasa pertama mengambil kesempatan dengan menjual rumah mengikut harga rumah yang dibina di fasa kedua. Bahkan mereka boleh menjual lebih dari harga pasaran. Walaupun pemilik dan bakal pembeli masih boleh berunding tentang harga, tetapi pemilik asal akan dapat mengaut keuntungan hasil daripada jualan rumah. Golongan seperti ini juga penyumbang kepada kenaikan harga rumah," katanya.

Bagi Gerard, harga rumah hanya boleh dikawal mengikut keperluan dan permintaan. Jika permintaan tinggi maka harga rumah turut meningkat.

Harga bahan mentah naik 10 peratus, kenaikan paling tinggi

Berkuat kuasa 1 Mei tahun ini, semua harga bagi bahan binaan utama meningkat sehingga 10 peratus.

Kos pembikinan, pengangkutan, kenaikan bahan api dan bermacammacam kenaikan kos berkaitan semuanya menyumbang kepada kenaikan harga bahan binaan ini. Kenaikan pula berlaku saban tahun. Adakala dua kali dalam tempoh 12 bulan, dan ia berlaku tanpa notis.

Pembekal pula tiada pilihan selain menaikkan harga bahan binaan kerana mereka juga perlu menanggung kos terbabit.

Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas 'F' Malaysia (Perkobf Malaysia), Tukiman Radion berkata, kenaikan itu difahamkan adalah yang tertinggi sejak 2007.

"Bahan binaan utama termasuk besi, simen, pasir dan batu konkrit. Kenaikan melibatkan semua projek-projek di seluruh negara, namun bagi projek perumahan di kawasan pedalaman atau luar bandar, kosnya lebih tinggi berbanding di kawasan bandar kerana kos pengangkutan dan penghantaran yang perlu ditanggung pembekal.

"Pada 2008, harga simen ketika itu RM8.50 satu beg. Kemudian naik sehingga 100 peratus dan mencecah RM16. Harga simen pula saban tahun meningkat. Harga besi kini RM2,000 tapi pernah mencecah sehingga RM4,000 pada 2008," katanya.

Katanya kenaikan yang mendadak ini turut menjejaskan pendapatan syarikat-syarikat kontraktor dan pemaju yang terpaksa menghentikan kerja-kerja pembinaan dan mengambil keputusan untuk tidak meneruskan projek kerana melebihi bajet diluluskan.

Rumah teres RM1 juta menjelang 2020?

Dari jangkaan dalam prospek jangka panjang, harta tanah kediaman akan terus meningkat pada masa akan datang.

Menurut JPPH, adalah tidak menghairankan menjelang 2020 rumah teres akan mencecah RM1 juta. Bahkan di lokasi panas, rumah sedemikian telah pun mencapai harga RM1 juta.

"Seiring dengan perkembangan masa dan senario serantau, rumah–rumah kediaman akan meningkat dari segi harga disebabkan harga bahan binaan yang meningkat dan kekurangan penawaran tanah di bandar utama seperti Lembah Klang khususnya Kuala Lumpur dan sekitarnya.

"Kenaikan harga rumah tidak dapat dielakkan dan prospek harta tanah berkenaan akan terus meningkat seiring dengan langkah kerajaan menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi menjelang 2020," katanya.

Katanya, isu kenaikan harga rumah dilihat sebagai senario yang lumrah dan berlaku di mana-mana negara sedang membangun. Di Malaysia, seperti dalam rekod-rekod yang lalu, kadar kenaikan harga rumah akan berbeza mengikut lokasi dan kawasan 'panas' yang menjadi pilihan pembeli dan pelabur.

Sektor harta tanah merupakan sektor penting dalam pertumbuhan ekonomi negara. Kenaikan harga pada kadar yang biasa adalah sihat kerana ia membantu pertumbuhan industri harta tanah. Apa yang perlu dibendung adalah kenaikan harga yang mendadak.

GST tidak jejas harga rumah

Pengenalan GST akan menyebabkan kesan 'one-off' sekali sahaja ke atas kenaikan harga rumah di pasaran.

Menurut JPPH, walaupun sektor kediaman tidak dikenakan GST, namun sektor-sektor lain yang menyumbang kepada kediaman dikenakan GST seperti bahan binaan, Fi profesional dan lain-lain.

"Ini akan memberi sedikit impak kepada harga rumah di masa hadapan. Pelaksanaan GST dijangkakan akan mempengaruhi harga rumah disebabkan GST akan dikenakan ke atas bahan binaan dan industri pembinaan walaupun pembelian rumah kediaman dikecualikan dari GST.

Sementara itu, rata-rata pemaju melahirkan rasa kebimbangan terhadap pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) April depan yang dikatakan bakal meningkatkan lagi harga rumah.

Bagi Tukiman yang sudah menghadiri beberapa sesi taklimat mengenai GST bersama Kastam. GST tidak menaikkan harga rumah.

"Ketika ini, setiap barangan dikenakan cukai berbeza. Tetapi sebaik GST dilaksanakan kesemua cukai tersebut menjadi satu. Bahkan setiap pembekal, pengedar dan peruncit boleh mendapat rebat. Ini bermakna, tiada sebab mengapa cukai tersebut perlu dipindahkan kepada pembeli.

"Bagaimanapun cukai tersebut tidak tertakluk kepada projek perumahan individu atau persendirian. Di mana pemilik rumah harus membayar GST kepada pemaju," katanya yang menyokong penuh pelaksanaan GST lapor Sinar Harian

-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...