Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Ucapan Perwakilan PAS Pulau Pinang dibidas Pemuda DAP dan AMK Pulau Pinang..

Posted: 19 Sep 2014 08:45 AM PDT


Dalam membahaskan ucapan dasar Presiden PAS bertajuk "Terus Beristiqamah" - yang memasuki hari kedua - dalam Muktamar PAS di Batu Pahat hari ini, Perwakilan Pulau Pinang mendakwa kerajaan negeri pimpinan DAP itu lebih cenderung memihak kepada pemaju perumahan daripada membela nasib rakyat negeri itu.

Izuree Ibrahim mendakwa kerajaan negeri itu gagal menyedia dasar perumahan yang prorakyat dalam menangani masalah perumahan, sebaliknya lebih propemaju seperti yang diamalkan BN.

"PAS Pulau Pinang tidak menentang pembangunan pesat. Tetapi kita tidak bersetuju dengan pembangunan yang merugikan rakyat.

"PAS Pulau Pinang bimbang (situasi) terkini trend pemimpin (kerajaan negeri lebih) mesra pemaju daripada membela rakyat," katanya.

Menurutnya lagi harga sekaki tanah di Pulau Pinang kini mencecah antara RM300 hingga RM500 dan sebuah rumah kini mencecah jutaan ringgit.

"Itu tidak termasuk (pelaksanaan cukai) GST, ini akan membebankan rakyat," kata Izuree.

Sehubungan itu, beliau mendesak supaya PAS turut dilibatkan dalam proses merangka polisi perumahan di Pulau Pinang bagi mengemukan cadangan untuk pembangunan lestari di negeri itu.

Selain itu, beliau juga mengingatkan supaya kerajaan Pakatan Rakyat menghentikan sikap "menutup sebelah mata" mengenai isu perbandaran khususnya pembangunan melibatkan penduduk setempat di negeri itu.

Beliau juga mengingatkan supaya Pakatan membantu pertikaian penduduk di mahkamah apabila tuan tanah atau pemaju menuntut semula tanah yang mereka diami dalam tempoh yang lama.

Antara kampung terlibat, katanya, ialah Kampung Perda di Teluk Bahang, Kampung Mutiara di Batu Feringghi, Kampung Cik Ti, Kampung Pokok Asam di Jelutong, Kampung Batu Uban dan Kampung Bijai di Bayan Lepas dan Kampung Tok Suboh di Seberang Perai.

"Satu persatu perkampungan Islam dan bukan Islam menjadi mengalami pengusiran daripada menjadi mangsa di mahkamah," katanya.

"Cogan kata pakatan pembela rakyat perlu direalisasikan dan diperkasakan dengan tidak menunjukkan sikap serupa denga BN yang terlalu mesra dengan pemaju.

"Jika ciri-ciri ini sudah mula kelihatan sudah tentu rakyat menjadi mangsa kerakusan pemaju dan cogan kata tadi menjadi gimik politik semata-mata," katanya...

Bagaimanapun ucapan Izuree Ibrahim telah dibidas oleh Haris Zuan Ketua Pemuda DAP Bukit Benderadengan menganggap Izurie umpama musuh dalam selimut bagi Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

Menurut Haris tuduhan yang dilemparkan oleh Izurie itu iaitu dasar pembangunan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sama seperti UMNO adalah tidak berdasarkan fakta..

Saya berasa terkejut dan kesal apabila membaca kenyataan yang dibuat oleh Saudara Izuree Ibrahim ketika perbahasan dalam muktamar PAS di Batu Pahat hari ini yang menuduh Kerajaan Negeri Pulau Pinang gagal menyedia dasar perumahan yang pro-rakyat dalam menangani masalah perumahan, sebaliknya lebih pro-pemaju seperti yang diamalkan BN.

Sebagai salah seorang Ahli Majlis – pembuat dasar di peringkat kerajaan tempatan – di negeri ini, ucapan Saudara Izuree Ibrahim itu sangat membingungkan kerana jelas tidak bersandarkan fakta sebenar (yang beliau seharusnya maklum) dan menafikan segala usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang selama ini.

Pulau Pinang merupakan kerajaan negeri pertama di negara ini yang mewujudkan dana RM500 Juta untuk Tabung Perumahan Awam dan Mampu Milik bagi membina 20,000 unit oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).
Jumlah ini merupakan jumlah terbesar seumpamanya di negara ini. Saudara Izuree pastinya sedar, tidak seperti negeri BN yang lain, Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak menerima apa-apa pembiayaan daripada Kerajaan Persekutuan untuk perumahan awam atau mampu milik.
Malah Kerajaan Persekutuan hanya membina 70 unit PPR atau perumahan awam untuk golongan miskin di Pulau Pinang, bilangan terendah di negara ini.

Pembangunan pesat sejak tahun 2008 di Pulau Pinang setelah Pakatan Rakyat mengambil alih Pulau Pinang telah membuka banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Pulau Pinang dan pada masa sama telah melonjakkan harga hartanah di negeri ini yang secara tidak langsung meningkatkan harga hartanah.

Namun, Kerajaan Negeri sedar bahawa peningkatan nilai hartanah di negeri ini juga memberi kesan besar terhadap pemilikan rumah di negeri ini. Maka, bagi mengawal spekulas i hartanah kerajaan negeri telah melaksanakan kaedah perumahan baru yang berkuatkuasa pada 1 Feb 2014 yang mana antara lain, mengenakan larangan jualan 5 tahun pada perumahan mampu milik dan 10 tahun larangan jualan untuk perumahan awam (tertakluk kepada pengecualian bagi rayuan dalam kes-kes tertentu).

Malah sejak Julai 2012, bagi mengawal pembelian hartanah oleh warga asing, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menghadkan pembelian hartanah oleh warga asing kepada RM1 juta dan ke atas (RM2 juta bagi landed property) untuk meredakan spekulasi hartanah supaya harga rumah kekal berpatutan untuk golongan berpendapatan sederhana.
Sebagai langkah tambahan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mencadangkan levi sebanyak 3% pada harga urus niaga hartanah di Pulau Pinang oleh warga asing bermula 2014. Tambahan pula, dasar baru juga menetapkan bahawa rumah mampu milik (bawah RM400,000 di Pulau) hanya boleh dibeli oleh orang yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri, manakala semua pembelian rumah kos rendah, sederhana rendah dan mampu milik dikenakan moratorium penjualan semula selama 10 tahun (kos rendah dan sederhana rendah) dan 5 tahun (mampu milik), bagi memastikan spekulasi hartanah tidak berlaku.

Siapa sebenarnya yang menindas rakyat?

Apakah Saudara Izuree tidak memperkirakan segala fakta ini sebelum membuat tohmahan bahawa dasar pembangunan Kerajaan Negeri Pulau Pinang ini tiada bezanya dengan Barisan Nasional?
Pada masa yang sama, ucapan Saudara Izuree tidak menggambarkan situasi sebenar di negeri ini apabila langsung tidak menyebut berkenaan cadangan projek pemindahan pangkalan TUDM Butterworth yang jika direalisasikan akan menyebabkan 19 perkampungan serta pekan di kawasan sekitar Tasek Gelugor dan Kepala Batas di SPU lenyap, sekaligus mengubah demografi penduduk secara agresif. Apakah sikap dan solusi yang boleh ditawarkan oleh Saudara Izuree dalam isu ini?

Bagaimana pula dengan tindakan pemimpin UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan pengarah pilihan raya BN Pulau Pinang, Datuk Omar Faudzar yang menjadi broker dengan mengaut keuntungan peribadi sebanyak RM5 juta dalam tempoh tiga bulan sahaja hasil jualan 10 ekar tanah milik 31 pemilik tanah Melayu di Kampung Terang, Balik Pulau, Pulau Pinang?
Mengapa UMNO yang membuat keuntungan jutaan ringgit atas hartanah di negeri ini tidak disentuh oleh Saudara Izuree tetapi sebaliknya menyerang Kerajaan Negeri?

Mengapakah Saudara Izuree tidak mengkhabarkan kepada dewan muktamar betapa banyak kes mahkamah antara pemaju dan penduduk yang cuba dibantu oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan menjadi pemudahcara? Sebaliknya, Saudara Izuree menyebut mengenai projek pembangunan Batu Uban. Siapa disebalik projek pembangunan di Batu Uban?
Apakah Saudara Izuree mencadangkan agar Kerajaan Negeri melanggar perjanjian yang dibuat awal sebelum ini?

Sebagai rakan Ahli Majlis dalam MPPP, saya sentiasa cuba memahami segala kerisauan Saudara Izuree mengenai isu pemilikan rumah dan status kampung Melayu di negeri ini. Malah, saya antara yang menyokong kuat cadangan Saudara Izuree untuk mengadakan sesi taklimat khas oleh pakar kebudayaan dan warisan Melayu di peringkat kerajaan tempatan bagi membolehkan dasar yang lebih inklusif dapat dirangka bagi menjaga perkampungan warisan Melayu.

Namun, belum pun sempat taklimat ini diadakan, Saudara Izuree telah dengan semberono memfitnah Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengamalkan dasar pembangunan ala BN. Saya tiada masalah jika Saudara Izuree mahu mencari populariti dalam muktamar, namun jangan sesekali mengkhianati persahabatan antara parti dalam Pakatan Rakyat di Pulau Pinang dengan tidak berkata benar.

Saya khuatir, jika kenyataan ini tidak diperbetulkan, akan wujud tanggapan bahawa sikap Saudara Izuree ini umpama musuh dalam selimut.

Haris Zuan
Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Pulau Pinang
Ketua Pemuda DAP Bukit Bendera

Manakala Naib Ketua AMK Pulau Pinang A.Kumaresan pula menyifatkan kenyataan Izurie itu tidak sepatutnya keluar daripada seorang pemimpin dalam komponen PR lagi-lagi daripada Izuree kerana beliau juga merupakan seorang Ahli Majlis, di Majlis Perbandaran Pulau Pinang.

Sepatutnya Izuree sebagai seorang Ahli Majlis sepatutnya lebih peka dan memahami tentang keadaan perkembangan dalam pasaran perumahan sebelum membuat sebarang kenyataan mengenainya.

Kumaresan juga menggesa Izuree untuk menarik balik kenyataan beliau dan memohon maaf kepada seluruh rakyat Pulau Pinang kerana mengeluarkan kenyataan tidak tepat dan mengelirukan rakyat.

Kenyataan Izuree Ibrahim YDP Pas Bayan Baru di muktamar Pas di Batu Pahat hari ini kononnya Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak pro-rakyat dalam isu perumahan menunjukkan beliau tidak langsung mencerminkan polisi sebenar Kerajaan Negeri (KN) Pakatan Rakyat.

Kenyataan sebegini seharusnya tidak patut keluar daripada seorang pemimpin dalam komponen PR lagi-lagi daripada Izuree kerana beliau juga merupakan seorang Ahli Majlis, di Majlis Perbandaran Pulau Pinang.

Sebagai pembuat dasar dalam Kerajaan Tempatan (PBT) Izuree sepatutnya lebih bijak dalam menilai segala dasar yang dibuat oleh PBT dan Kerajaan Negeri dalam membantu rakyat Pulau Pinang untuk memiliki rumah mampu milik.

Memang tidak dapat dinafikan harga hartanah di Pulau Pinang semakin meningkat, namun terdapat juga beberapa faktor yang menyebabkan harga hartanah ini meningkat dan antaranya adalah kerana kawasan yang ada semakin terhad.

Selain itu, menurut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA ) kenaikan semua kos juga merupakan punca harga rumah kini melonjak tinggi.

Maka, tuduhan Izuree mendakwa KN Pulau Pinang kononnya pro pemaju dan gagal menangani masalah perumahan adalah satu tuduhan yang liar dan dibuat tanpa kajian yang mendalam dalam isu tersebut.

Izuree sebagai seorang Ahli Majlis sepatutnya lebih peka dan memahami tentang keadaan perkembangan dalam pasaran perumahan sebelum membuat sebarang kenyataan mengenainya.

Saya amat kesal dengan tuduhan beliau kerana ianya mengambarkan seolah-olahnya KN tidak prihatin terhadap isu perumahan yang melibatkan rakyat Pulau Pinang. Malahan, KN melalui Perbadanan Pemajuan Pulau Pinang (PDC) telah mewujudkan dana RM500 juta untuk Tabung Perumahan Awam dan Mampu Milik bagi membina 20,000 unit rumah di kawasan Pulau dan Seberang Perai.

Antara projek terbaru rumah mampu milik adalah di Jalan SP Chelliah, Teluk Kumbar, Jelutong, Pintasan Cecil, Batu Kawan , Kampung Jawa, Mak Mandin, Ampang Jajar, Bukit Mertajam, dan Juru.

Selain itu, KN juga mengambil beberapa insiatif turun padang mendekati rakyat dengan program penerangan seperti "Road Show Mission Home Possible" yang akan diadakan di setiap kawasan Parlimen dan juga kaunter perkhidmatan yang dibuka 5 hari bekerja untuk borang permohonan dan khidmat nasihat kepada orang awam yang boleh dicapai di Tingkat 3, Komtar.

KN walaupun tidak mendapat sokongan dan bantuan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan namun, KN tetap berikrar untuk membantu dan menyediakan perumahan mampu milik kepada golongan yang memerlukannya.

Dengan ini, saya menggesa Izuree untuk menarik balik kenyataan beliau dan memohon maaf kepada seluruh rakyat Pulau Pinang kerana mengeluarkan kenyataan tidak tepat dan mengelirukan rakyat.

A.Kumaresan
Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Pulau Pinang
Naib Ketua AMK Pulau Pinang

Hmmm.. Ahli Majlis rupanya dia.. tapi sayang jadi Ahli Majlis pun tak tahu dasar Kerajaan Negeri.. kalau macam tu jadi Ahli Majlis buat apa?

Letak jawatan sajalah.. menghabiskan duit rakyat untuk membayar elaun dia yang mencecah RM3000 sebulan tu saja....

Perwakilan Pemuda PAS kena 'boo' sebab gesa PAS tolak jawatan MB.. (Video Inside)

Posted: 19 Sep 2014 05:53 AM PDT


Seorang perwakilan Pemuda PAS dicemuh apabila beliau dengan penuh semangat menyeru kepimpinan tertinggi parti menolak jawatan menteri besar Selangor sekiranya Sultan Selangor memilih pemimpin daripada PAS bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Insiden itu mencetuskan kekecohan petang ini apabila perwakilan dan pemerhati muktamar bangun dan menjerit "boo" kepada Mohd Sany Hamzah dan mengarahkannya berhenti berucap.

"Jika benar Sultan Selangor lantik menteri besar daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS, Pemuda ingin menyarankan supaya kita tolak jawatan itu.

"Setuju semua? Sebab itu janji kita," katanya semasa membahaskan ucapan dasar presiden pada hari kedua Muktamar Tahunan PAS ke-60 di Batu Pahat, Johor hari ini.

"Setia kita dalam Pakatan Rakyat (PR). Sebab itu saya nak sebut, kalau mahu ambil kerusi menteri besar, tunggu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kita sapu 20 kerusi di Selangor, kita jadi menteri besar," katanya dan mencetuskan kekecohan apabila disambut dengan "boo" oleh mereka yang hadir. 

Sany bagaimanapun tenang menerima bantahan dan berkata ia adalah pendirian sayap Pemuda PAS bersama PR.

"Tak apa, saya tidak ada masalah, itu pendirian Pemuda yang kita janji dan sepakati bersama dalam Pakatan," katanya.

Sany turut mempersoalkan peranan Jawatankuasa Disiplin PAS yang dilihat seperti tidak wujud kerana tiada sebarang tindakan diambil ketika ahli parti dan pimpinanannya melakukan kesalahan yang melanggar arahan kepimpinan pusat.

"Betul atau tidak kita ada Jawatankuasa Disiplin, jika ada timbullah, kita mahu mereka berperanan. 

"Berkaitan 2 Adun PAS di Selangor, kita tengok pelbagai tohmahan...ada kata pengkhianat, munafik," katanya, merujuk kepada dua Adun PAS yang menandatangani Akuan Bersumpah menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor.

"Kalau kita ada rasa tidak puas hati, ada benda ingin disampaikan, laporan perlu kita beri kepada Jawatankuasa PAS Pusat dan Jawatankuasa Disiplin.

"Biar mereka tentukan hukuman untuk diberikan kepada 2 Adun itu," katanya.

Sany turut mencadangkan agar PAS mewujudkan jawatankuasa pengurusan krisis yang mana bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan daripada parti apabila berlaku krisis dalaman PAS.

"Kita minta ini diwujudkan segera. Apabila ada isu, semua bercakap. Kita dihalakan mikrofon ini kita akan bercakap," katanya lapor The Malaysian Insider

Pemuda PAS doakan kehancuran Pemimpin PAS.. (Video Inside)

Posted: 19 Sep 2014 03:31 AM PDT


Ironinya mereka ini mengaku mereka pendokong pro-ulama dan kumpulan yang menyokong "Presiden & MSU" tanpa memperdulikan akhlak buruk dan perbuatan dosa mereka melakukan demikian.

Dan hari ini kumpulan yang sama membaca doa mengutuk pula ke atas kumpulan yang tidak mereka sukai walaupun sesama ahli jemaah.

Mereka ketandusan hujjah, lalu memilih jalan singkat untuk melepaskan geram dengan mencaci maki yang pada mereka halal belaka.

Kita ingin mengingatkan mereka bahawa Allah tidak suka kepada mereka yang melampaui batas.

Terdapat 41 kali disebutkan di dalam Al-Quran menyebut bahawa Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.

Doa laknat yang mereka bacakan itu akan kembali kepada mereka sendiri ~ Greenboc

Seorang perwakilan di Muktamar PAS mengambil peluang dalam ucapannya untuk membacakan doa yang mengutuk pemimpin parti – termasuk timbalan presiden Mohamad Sabu dan dua ADUN parti itu di Selangor.

Dua ADUN yang disasarkan oleh wakil PAS Wilayah Persekutuan, Azhari Ariffin itu ialah Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib).

Dua ADUN tersebut sebelum ini menyokong presiden PKR sebagai calon menteri besar Selangor yang baru dalam pengakuan berkanun mereka.

Dalam doanya sepanjang 25 minit itu, Azhari memanjatkan doa agar Mohamad Sabu tidak akan mengeluarkan kenyataan bertentangan dengan presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau juga berkata Saari dan Hasnul ibarat ejen perosak dalam parti itu, dengan memetik perumpamaan "nila setitik yang merosakkan susu sebelanga".

"Sekarang kita ada dua nila – satu Cap Hulu Kelang dan satu Cap Morib, mereka nila yang sangat beracun," katanya dalam doa itu sambil menadah tangan.

"Ambil tindakan displin kepada dua titik nila ini... Mereka yang khianat akan binasa," katanya lagi.

Kebanyakan perwakilan yang bersidang di bawah khemah besar di Parit Salleh Ros, Batu Pahat itu dilihat turut menadah tangan.

Malah, ada juga sebilangan para wartawan yang membuat liputan muktamar tersebut yang turut menadah tangan.

Doanya yang meleret-leret sehingga lebih 25 minit itu memaksa pengerusi tetap muktamar, Abu Kassim Abdullah mengulangi peringatan agar beliau menamatkan ucapan.

Ia turut menimbulkan kemarahan wakil Kuala Kedah, Ridzwan Abu Bakar, yang meluru ke pentas dan menuntut agar tindakan dikenakan ke atas Azhari.


Beliau meminta pengerusi tetap mengeluarkan ketetapan sama ada tindakan membaca doa yang mengutuk orang lain dalam parti itu boleh dibenarkan dalam persidangan.

Beliau meminta pengerusi tetap mengeluarkan ketetapan sama ada tindakan membaca doa yang mengutuk orang lain dalam parti itu boleh dibenarkan dalam persidangan.

"Saya minta pengerusi tetap membuat ketetapan, menghentam pemimpin dalam doa. Apakah ini akhlak dalam jamaah Islam?

"Dan kawan-kawan wartawan yang bukan Islam, masing-masing tertanya apakah ini agama yang diajar dalam Islam.

"Kenapa kita perlu mempergunakan agama? Datangkan hujah sepatutnya," katanya sebelum seorang anggota Unit Amal muncul dan turut mematikan mikrofon tersebut.

Kata-katanya itu turut disambut dengan sorakan dari sekumpulan individu di bahagian belakang dewan tersebut.


Pengerusi tetap seterusnya cuba mengawal keadaan dengan meminta anggota perwakilan bertenang.

"Tenang muktamar. Kalau tidak kita pakat balik semua," katanya tanpa membuat sebarang ketetapan dan mempersila pewakilan seterusnya berbahas lapor Malaysiakini

Setelah dibelasah semalam, Pemuda PAS yang keluar dewan jelaskan sebab mereka keluar..

Posted: 18 Sep 2014 11:00 PM PDT


Semalam 50 orang ahli PAS yang dikatakan puak dari Pro Ulamak telah menjadi mangsa belasahan perwakilan PAS dari Kuala Krai.

Zulkifli Mohamad ketika meluluskan minit mesyuarat muktamar lepas di sesi Muktamar Tahunan PAS ke-60 di Batu Pahat, Johor berkata, setiap lapisan kepimpinan seharusnya dihormati ahli PAS.

"Adakah di kalangan kita yang berhasrat menjatuhkan presiden? Bangun! Ada atau tidak?" katanya. 

"Kalau tiada kenapa tulis di belakang, kami menyokong presiden, kami menyokong Majlis Syura Ulama?" katanya lagi mengulas dakwaan insiden keluar dewan ketika perasmian Muktamar Pemuda PAS di Kota Tinggi pada Selasa oleh Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

"Berlainan pandangan dengan presiden bukan bermakna kita lawan presiden."

Perwakilan itu berkata, insiden berkenaan harus disiasat oleh Jawatankuasa Disiplin PAS dan sekiranya benar, tindakan tegas perlu diambil.

"Saya mahu Lembaga Pemerkasaan parti melihat adakah berlakunya sabotaj semasa muktamar pemuda. Kalau benar, kita ambil tindakan.

"Ada kata nak pergi ambil wuduk, sembahyang. Ya Allah, alimnya. Ini jawapan politik.

"Bukan saya nak sokong Mohamad Sabu, tapi hormatlah beliau. Banyak jasa dia. Siapa kamu nak dibandingkan dengan Mat Sabu?" katanya merujuk kepada panggilan mesra Mohamad.

Zulkifli berkata, tanpa mengira kedudukan, kepimpinan PAS seharusnya dihormati.

"Adakah sebab kesalahan sedikit jadi alasan untuk kita lakukan tindakan sedemikian?

"Adab seperti ini hendaklah dibuang daripada adik-adik kita," katanya.

Sebab dah kena belasah semalam.. maka mahu tak mahu mereka terpaksa mencari alasan.. apa saja alasan yang difikirkan mereka sebagai lojik..


Ini alasan mereka sebenarnya..

Perwakilan dari Terengganu, Mohd Nor Hamzah, hari ini memberikan sebab kenapa perwakilan Pemuda termasuk dari Terengganu keluar meninggalkan dewan muktamar ketika Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu menyampaikan ucapannya.  
"Pemuda lari kerana timbalan presiden meminta kita menyokong Jokowi, sedangkan Jokowi disokong kuat oleh Amerika. Kita perlu contohi Rasulullah," katanya yang juga ketua penerangan PAS Terengganu merujuk kepada presiden Indonesia yang baru dipilih, Joko Widodo.  
Kira-kira 50 perwakilan Muktamar Dewan Pemuda di Kota Tinggi Rabu lepas keluar meninggalkan dewan sebaik saja Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu memulakan ucapan perasmian muktamar dewan itu.  
Ia dimulakan perwakilan dari Terengganu yang memakai jaket hitam dengan tulisan "Kami sokong Presiden dan Majlis Syura Ulama" dan diikuti perwakilan negeri lain khasnya Pahang, Selangor dan Wilayah Persekutuan.  


Laporan penuh silalah baca di SINI

Berita Harian dedah Istana pilih ADUN lelaki sebagai MB

Posted: 18 Sep 2014 08:33 PM PDT


Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkemungkinan bukan ADUN Selangor yang bakal mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu pada Selasa ini.

Ini berdasarkan sumber istana yang dihubungi, berkata Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak memilih ADUN wanita bagi menjadi Menteri Besar yang baharu, yang akan mengangkat sumpah jawatan pada 23 September ini.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan siapa ADUN yang bakal mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar daripada Sultan Sharafuddin Idris Shah, kelak mahupun mendedahkan daripada parti mana ADUN berkenaan.

"Itu saya tidak boleh ceritalah. Biar ia menjadi kejutan kepada semua. Kita tunggu hari Selasa ini," katanya.

Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Selangor, di Istana Alam Shah, Klang, jam 10.30 pagi itu disahkan Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani petang tadi. 

Sementara itu, dua nama disebut-sebut bakal menjadi menteri besar Selangor yang baharu, Selasa ini iaitu ADUN Chempaka, Iskandar Abdul Samad, iaitu EXCO Kanan dalam pentadbiran kerajaan Selangor ketika ini dan ADUN Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali, yang juga Timbalan Presiden PKR lapor Berita Harian

Anggota ISIS dari Malaysia dedahkan pengalaman dalam 'Diary Of A Muhajirah'..

Posted: 18 Sep 2014 05:30 PM PDT


"Shams", seorang anggota Negara Islam Iraq dan Syria (Isis) yang mengaku sebagai seorang doktor berusia 26 tahun dari Malaysia, menceritakan pengalamannya tinggal di negara yang dilanda perang saudara, Syria melalui media sosial.

Postingnya dalam blog beliau, "Diari seorang Muhajirah" menceritakan aktiviti beliau di Syria, termasuk perkahwinannya dengan seorang rakan anggota Isis selepas dia menjejakkan kaki di negara ini pada bulan Februari, dan juga rawatan perubatan yang beliau berikan kepada penduduk di sana.

"Selepas dua bulan di Shaam (Syria), akhirnya saya berfikir tentang berkahwin kerana kehidupan tanpa mahram (suami) adalah agak sukar dan ia boleh menyebabkan fitnah.

"Apabila saya memberitahu perkara ini kepada salah seorang rakan terbaik saya, beliau adalah orang paling gembira kerana saya tidak pernah berminat untuk kahwin sebelum ini," tulis Shams.

Cerita beliau tersebar di media sosial hari ini di laman web pertama yang BuzzFeed. Akaun Facebook beliau di bawah nama "Diari seorang Muhajirah" yang nampaknya bermula kurang daripada 24 jam lalu.


Katanya, dia bersetuju berkahwin dengan seorang lelaki yang tidak pernah ditemui - iaitu rakan kepada suami rakan beliau - dan beliau berkahwin pada hari pertama bertentang mata dengan lelaki itu.

"Dia memandang saya, mata kami bertentangan antara satu sama lain. Jantung saya berdebar lebih cepat daripada kelajuan cahaya," tulisnya.

"Dia tersenyum. Dan bertanya soalan yang saya tidak akan lupa sepanjang hidup.

"Bolehkah kita berkahwin hari ini? Selepas Asar?"

"Jauh di dalam hati saya menjerit, 'tidakkkk'. Tetapi saya tidak tahu mengapa saya menjawab 'Ya'."

Anekdot tersebut berselang-seli dengan minat memperjuangkan Negara Islam (IS) dengan fakta mengenai perkahwinan dalam IS. "Shams" juga memberikan peringatan kepada wanita untuk menyertai IS kerana Allah dan bukan untuk perkahwinan.

Menurut Shams, anggota IS diberi rumah percuma di Syria dan mereka tidak perlu membayar bil elektrik dan air. Barangan runcit bulanan juga disediakan kepada semua, dan juga elaun bulanan bagi pasangan suami isteri dan anak-anak.

Beliau juga cuba menjawab serangan media terhadap pejuang IS, dan menyifatkan kebanyakan daripada mereka "seperti kita."

"Orang-orang ini, kebanyakannya berumur dalam 20an dan belum berkahwin. Kebanyakan mereka adalah seperti kita, mereka pernah tinggal di masa jahiliah dan menyebabkan mereka bosan dengan kehidupan dunia ini dan mahukan perubahan.

"Orang-orang ini, mereka bukannya dari latar belakang buta huruf. Ramai daripada mereka datang daripada keluarga yang kaya dan hidup seperti seorang raja/putera berdasarkan dari mana mereka datang."

Menurut akaun Twitter dan akaun ask.fm beliau, yang kedua-duanya dipadamkan, Shams berasal dari Malaysia dan berumur 26 tahun ketika pergi ke Syria pada bulan Februari lapor The Malaysian Insider


Blog beliau boleh dibaca di ( SINI )
-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...