Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Seorang nafikan, kini tinggal lagi dua calon MB Selangor..

Posted: 21 Sep 2014 07:21 AM PDT


20 Ogos lalu The Star telah melaporkan tiga individu telah dipanggil mengadap untuk ditemuduga jawatan Menteri Besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Khalid.

Mereka ialah Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Samad dan Dr Ahmad Yunus Hairi serta Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.

Hari ini salah seorang dari ketiga-tiga individu yang dikatakan telah dipanggil untuk temuduga itu telah menafikan bahawa beliau adalah bakal MB yang baru..

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Cempaka, Iskandar Abdul Samad menafikan namanya 'naik' untuk menjadi Menteri Besar Selangor baharu yang akan diumum Selasa ini.

Katanya, dia difahamkan nama calon lain sudah diperkenan Istana Alam Shah untuk jawatan tersebut.

"Saya difahamkan bukan saya.

"Yang saya tahu nama orang lain sudah naik. Sudah jadi 'open secret'," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Iskandar mengulas kemungkinan bakal menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu selain dua calon lain yang disebut-sebut iaitu ADUN Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali dan ADUN Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi.

Astro AWANI sebelum ini menerima salinan kad jemputan istiadat Angkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Selangor Selasa ini jam 10 pagi di Balairong Seri, Istana Alam Shah, Klang.

Teka-teki siapa akan menjadi Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan terjawab pada Selasa.

Laporan Bernama sebelum ini yang memetik sumber memberitahu, Istana Selangor mengesahkan PAS menghantar tiga nama untuk dipertimbangkan sebagai calon menteri besar Selangor yang baharu.

Bagaimanapun nama calon-calon berkenaan tidak didedahkan.

Astro AWANI sebelum ini memetik sumber yang memberitahu, 99 peratus kemungkinan Azmin akan menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mahu pihak Istana Alam Shah mempertimbangkan nama Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah untuk jawatan berkenaan.

Tambah Saifuddin, sebarang berita kononnya Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju secara lisan untuk menerima Azmin adalah tidak tepat, selain tetap dengan keputusan mencalonkan Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Astro AWANI masih berusaha untuk mendapatkan kenyataan mengenai isu pencalonan menteri besar daripada Dr Ahmad Yunus lapor AstroAwani

Dari Saari kepada Hadi.. 'Tunjuk Bukti Saya Dibeli'

Posted: 21 Sep 2014 05:07 AM PDT


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang, Saari Sungib mencabar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menunjukkan bukti beliau telah dibeli oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) semata-mata untuk menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Tunjukkan bukti dahulu," katanya ketika dihubungi The Star Online pada Ahad. H

adi dalam ucapan penggulungannya pada Sabtu mendakwa sekutunya dalam Pakatan Rakyat iaitu PKR 'membeli' dua Adun PAS demi mendapatkan sokongan majoriti untuk menjadikan Dr Wan Azizah sebagai menteri besar.

Saari menjelaskan tindakannnya menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Dr Wan Azizah adalah bagi menafikan peluang Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menimbulkan lebih banyak kekacauan terhadap pentadbiran kerajaan negeri.

"Khalid dakwa beliau mempunyai sokongan majoriti, dan dia mula memecat ahli Exco. Bagaimanapun, Khalid tidak mengadakan rundingan dengan mana-mana Adun bagi mengetahui sama ada mereka menyokong beliau atau sebaliknya.

"Matlamat ketika itu adalah menafikan apa yang dilakukan Khalid. Bagaimanapun, peguam menerangkan bahawa Dewan Undangan Negeri memerlukan sokongan daripada seorang lagi calon bagi mengesahkan SD berkenaan, jadi kami menyatakan sokongan kepada Dr Wan Azizah kerana PKR dan DAP telah bersetuju dengan pencalonan beliau," katanya.

Saari menegaskan kesilapan yang dilakukannya hanyalah demi menyelamatkan kedudukan Pakatan Rakyat di Selangor dan membidas PAS kerana membenarkan ahli parti mencaci dan menghina beliau tanpa mengetahui kisah sebenar.

"Ramai sarjana Islam dalam parti, namun mereka membenarkan usul untuk mengutuk tindakan saya, perenggan mana dalam Perlembagaan parti membenarkan hukuman dijatuhkan sebelum perbicaraan dijalankan. Adakah ini sebuah parti Islam?

"Di Muktamar, pengerusi tetap tidak campur tangan apabila ada perkwakilan yang memohon doa daripada Allah agar perkara buruk berlaku ke atas saya. Ini benar-benar memalukan parti," tambahnya.

Saari dan Adun Morib, Hasnul Baharuddin merupakan dua Adun PAS yang menandatangani SD yang menyokong Dr Wan Azizah pada 14 Ogos lalu, tiga hari sebelum PAS membuat kenyataan rasmi mengenai krisis menteri besar Selangor lapor mStar

'Broker dan Barua' ..Haji Hadi marah kat dua ADUN tu saja?

Posted: 20 Sep 2014 09:21 PM PDT


Pemerhati dan pihak media pada hari terakhir Muktamar Tahunan PAS ke-60 semalam dikejutkan dengan kemarahan yang ditunjukkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan penggulungannya.

Kemarahan itu, seperti juga isi kandungan ucapannya, bukan petanda baik untuk PAS dan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Tiga hari lepas, ucapan dasar Hadi penuh dengan keterbukaan dan belas ehsan terhadap semua, baik penyokong mahu pun pengkritik.

Sebaliknya, kenyataannya pada hari terakhir muktamar yang penuh dengan rungutan dan kemarahan itu ialah tentang bagaimana beliau akan memastikan PAS ikut rentaknya sendiri apabila berhadapan isu dasar dan tadbir urus, walaupun ia sebahagian daripada sebuah gabungan.

Beliau tidak cuba membentuk kesepakatan antara dua puak bersaing dalam PAS, iaitu golongan konservatif dan golongan progresif.

Sebaliknya, Hadi mempertahankan puritanisme yang mempengaruhi cara puak konservatif dalam partinya beroperasi.

"Jangan jadikan PAS ni hotel, tempat bersinggah. Jangan jadikan PAS ni jambatan pendek melintas sungai kemudian masuk hutan. Kita bertahaluf dengan PKR, DAP melalui titik persamaan.

"Ahli PAS mesti faham ada perbezaan. PKR berdasarkan sekular pragmatik, DAP sekular sosialis. Kita bukan satu parti," katanya dalam ucapan penggulungannya.

Walaupun beliau tidak menyatakannya secara khusus, Hadi sudah cukup membayangkan yang PAS akan menerima jawatan menteri besar Selangor sekiranya dipilih Sultan.

"PAS tidak merebut, pelahap jawatan menteri besar. Walaupun tiada persefahaman siapa menteri besar, walaupun tiada perjanjian bertulis, tetapi ingat, di sana ada hukum syarak, jangan hukum akal sahaja.

"Bila ada raja yang jaga agama. PAS tidak boleh berdiam diri."


Hadi merujuk keputusan yang dibuatnya menghantar tiga nama ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor ke istana, salah seorangnya Adun PAS.

Keputusan itu disokong Majlis Syura Ulama yang besar kuasanya, tetapi tidak dipersetujui Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat.

AJK PAS Pusat memihak kepada rakan dalam Pakatan, iaitu PKR, dan mahu nama presiden parti itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dihantar kepada Sultan bersama dengan timbalannya Mohamed Azmin Ali.

Hadi pernah menyebut sebelum ini yang PAS akan akur dengan apa saja keputusan Sultan Selangor.

"Ucapannya agak beremosi. Seolah-olah selama ini beliau memendam rasa di dalam dan akhirnya ia pecah keluar tiba-tiba," kata seorang AJK PAS Pusat selepas muktamar berakhir.

Menurut pemimpin PAS yang tidak mahu dinamakan itu, tidak seperti ucapan dasar Hadi, ucapan penggulungannya seperti melepaskan kemarahan kepada pengkritiknya dalam AJK Pusat.

"Beliau tidak langsung mengiktiraf sesiapa pun di antara kami, kecuali mungkin seorang," katanya.

Hadi secara jelas menyatakan dia berhak membuat keputusan sebelah pihak yang difikirkannya sendiri walaupun bertentangan dengan kemahuan AJK Pusat.

Beliau juga menekankan parti itu mesti dipandu ajaran Al-Quran dan Sunnah mengikut tafsiran Majlis Syura.

Ini bertentangan dengan pendirian AJK Pusat yang mengatakan hujah agama mesti diseimbangkan dengan fikiran yang logik dan rasional.

Bagaimanapun, sesetengah pemimpin PAS seperti Nasrudin Hassan dari golongan "ulama" mengalu-alukan ucapan Hadi.

"Tujuannya ialah untuk memperkuatkan kita dari dalam, supaya kita ada pendirian sendiri apabila berurusan dengan Pakatan.

"Ini akan bantu kita mempertahankan diri dari tuduhan yang PAS hanya menjadi pak turut kepada rakan parti dalam Pakatan."

Seorang lagi pemimpin kanan PAS berkata, nada ucapan presiden membawa maksud pertelingkahan akibat krisis menteri besar Selangor tidak selesai dalam masa terdekat.

"Ia boleh berlanjutan hingga tahun depan dan mempengaruhi pemilihan parti kita," kata pemimpin itu yang juga tidak mahu dikenali.

Tetapi, pada jangka sederhananya, sekiranya Hadi berpegang teguh kepada keputusannya menerima menteri besar dari PAS, ia bakal memecahkan Pakatan.

"Jika menteri besar dari PAS, sudah tentu beliau akan menghadapi undi tidak percaya dari PKR dan DAP," kata seorang pemimpin DAP yang enggan mendedahkan identitinya.

Hal ini kerana ia bertentangan dengan kesefahaman yang dicapai Majlis Presiden Pakatan dalam memutuskan kerusi menteri besar Selangor adalah milik PKR.

Sekiranya menteri besar dari PAS itu menerima usul undi tidak percaya dalam sidang DUN pada November, ia mungkin menyebabkan pilihan raya negeri.

Dan PAS dijangka menerima kesan paling besar, sesuatu yang disedari kepimpinan parti.

Dalam ucapannya, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata daripada 15 kerusi DUN Selangor dimiliki PAS, 9 daripadanya dimenangi dengan majoriti kecil.

Husam memberi amaran pilihan raya negeri pada ketika ini bakal memusnahkan parti.

Lapan daripada kerusi PAS itu mempunyai populasi bukan Islam yang sangat besar. Tanpa sokongan DAP dan PKR, PAS bakal berhadapan dengan kehilangan undi yang besar.

"PAS mungkin tidak sedar bahawa rakyat yang meletakkan Pakatan di mana ia berada sekarang. Mereka percayakan PAS kerana sangka PAS dapat memberikan sesuatu yang lebih baik lapor The Malaysian Insider

-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...