Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


GEMPAR!! Biawak nak makan orang di Pulau Tioman..

Posted: 23 Sep 2014 10:10 AM PDT


Seorang bayi perempuan berusia lapan bulan cedera teruk di muka dan kepala selepas digigit seekor biawak besar di kuarters pekerja Berjaya Resort Tioman, Pulau Tioman, dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 10 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Johari Jahaya, berkata, kejadian tersebut hanya disedari ibunya apabila terdengar tangisan kuat bayi tersebut secara tiba-tiba.

"Bayi seberat kira-kira 9kg itu diletakkan di atas lantai dapur dan pada masa itu ibunya meninggalkan bayinya sekejap untuk mengambil sesuatu sebelum terdengar bunyi bising diikuti tangisan kuat anaknya tidak seperti biasa.

"Ibu bayi malang itu bergegas mendapatkan anaknya dan hampir pitam apabila melihat seekor biawak besar sedang mengigit serta mencengkam kepala bayi perempuannya dengan kuku. Biawak itu juga cuba menarik bayinya keluar dari kawasan dapur untuk dibawa lari ke dalam semak berhampiran," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Johari berkata, ibu bayi itu berjaya menyelamatkannya sebelum meminta bantuan orang awam membawa bayinya ke Klinik Kesihatan Kampung Tekek, Pulau Tioman untuk menerima rawatan.

Katanya, bapa bayi itu juga sudah membuat laporan polis di Balai Polis Tioman kira-kira jam 4.51 petang semalam.

"Bayi itu telah dibawa ke Hospital Mersing untuk rawatan lanjut bagaimanapun keadaannya kini dilaporkan stabil," katanya.

Sementara itu, jurucakap Hospital Mersing yang dihubungi mengesahkan bayi malang tersebut telah dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan lanjut lapor Sinar Harian.


Bernama pula melaporkan biawak tu lapar katanya..

KUANTAN - Biawak yang menyerang bayi berusia lapan bulan dalam kejadian di kuarters pekerja di Berjaya Resort, Pulau Tioman pagi semalam berkemunginan dalam keadaan lapar.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Khairiah Mohd Shariff berkata biawak daripada spesies biawak air itu amat jarang menyerang manusia kecuali merasa terancam atau lapar.

"Haiwan liar itu mungkin terlalu lapar dan menganggap bayi berkenaan sebagai makanannya sehingga menyerang dan menggigit muka mangsa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Khairiah berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian serangan biawak terhadap Nurhidayah Abdul Rahman yang mengakibatkan luka sepanjang enam sentimeter di bahagian muka bayi malang tersebut.

Beliau tidak menolak kemungkinan ia juga berpunca daripada faktor pengabaian soal kebersihan di kawasan sekitar sehingga menjadi tarikan kepada haiwan liar itu memasuki rumah untuk mencari makanan.

Sehubungan itu, Khairiah menyeru pihak pengurusan resort berkenaan supaya mempertingkat aspek kebersihan.

Antaranya termasuk memastikan pembuangan sisa makanan dilakukan secara lebih teratur untuk mengelak kawasan itu menjadi tarikan kepada haiwan berkenaan.

Dalam masa sama, katanya Perhilitan juga telah menghantar anggotanya ke kawasan kejadian bagi menyiasat punca sebenar haiwan itu menyerang manusia. - Bernama

Cukuplah lagakan kami, kata Saari Sungib

Posted: 23 Sep 2014 05:50 AM PDT


ADUN Hulu Kelang Saari Sungib enggan memberikan sebarang komen berhubung pelantikan Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu, sebaliknya beliau meminta media memberi sedikit ruang kepada beliau dan rakannya, ADUN Morib Hasnul Baharuddin.

Katanya, selepas ini beliau mahu menumpukan perhatian dan fokus kepada kebajikan rakyat di kawasannya kerana perkara itu lebih penting.

"Tak payah komen lagilah, bagi (kami) damai sikit. Takkan nak timbulkan masalah saja. Setiap kali selepas ditemubual, saya akan dapat gelaran baru.

"Jadi boleh bagi ketenangan dan kedamaian kepada kami tak? Kami nak berkhidmat kepada rakyat, nak bantu orang susah. Jangan laga-lagakan kamilah (saya dan Hasnul dengan Pakatan). Boleh tak?" katanya.

Hari ini Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor yang ke-15 di Istana Alam Shah, selepas sembilan bulan negeri itu dibelit kemelut pelantikan calon jawatan itu.

Azmin, 50, mendapat perkenan Sultan Selangor untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang meletak jawatan selepas berhadapan masalah dalaman PKR hingga dipecat.

Beliau merupakan antara tiga calon yang disenarai pendek dan menghadap Sultan Selangor secara berasingan pada minggu lalu.

Selain Azmin, dua calon lagi adalah ADUN Chempaka, Iskandar Abdul Samad dan ADUN Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi.

Sebelum ini Saari dan Hasnul dikecam ahli dan pimpinan PAS setelah kedua-duanya bertindak membelakangi parti menyatakan sokongan terhadap pencalonan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Mereka dikecam kerana menandatangani Akuan Bersumpah (Statutory Declaration) menyokong Azizah tanpa kebenaran parti. PAS Selangor kemudiannya memberi tempoh 24 jam kepada mereka untuk menarik balik sokongan mereka terhadap Wan Azizah atau bakal berdepan tindakan disiplin. 

Malah mereka turut digelar oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai "barua" kerana menyokong Azizah sebagai calon MB negeri itu lapor Antarapos

Guan Eng pulak cari gaduh dengan PAS...

Posted: 23 Sep 2014 01:48 AM PDT


DAP menyokong penuh pelantikan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali sebagai menteri besar Selangor baharu bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan tetapi menyelar pengkhianatan empat ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) PAS kepada Pakatan Rakyat (PR).

Menurut Lim Guan Eng, keputusan menyokong Azmin dibuat selepas Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP (CEC) mengadakan mesyuarat tergempar malam tadi sebaik sahaja menerima berita daripada pihak Istana Selangor.

"Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP (CEC) dalam mesyuarat tergemparnya pada 22 September 2014 memutuskan untuk menyokong kenyataan dibuat Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menarik diri daripada jawatan menteri besar Selangor berikutan titah Sultan Selangor melantik Mohamed Azmin Ali sebagai MB Selangor baharu," kata setiausaha agung DAP itu dalam satu kenyataan malam tadi.

Kemelut menteri besar Selangor hampir selesai selepas Azmin disahkan bakal menjadi MB baharu dan Dr Wan Azizah juga menerima keputusan pilihan pihak Istana secara terbuka.

Lim berkata, keputusan DAP selari dengan pendirian jawatan menteri besar Selangor mesti diserahkan kepada PKR.

"Keputusan beliau (Dr Wan Azizah) untuk menyokong Azmin juga konsisten dengan pendirian DAP yang tegas dan berprinsip bahawa MB Selangor seharusnya memiliki sokongan majoriti Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor," katanya.

"DAP berasa kesal dengan pengkhianatan empat orang ahli exco Selangor PAS terhadap prinsip solidariti dan demokrasi serta kegagalan untuk setia bersama enam lagi exco DAP dan PKR yang dipecat secara tidak adil oleh bekas MB yang kehilangan sokongan majoriti DUN Selangor."

Majlis Angkat Sumpah Menteri Besar Selangor akan diadakan pada hari ini pada jam 10.30 pagi di Istana Alam Shah, Klang.

Spekulasi sebelum ini mengatakan Azmin akan dilantik sebagai menteri besar Selangor yang baru, namun tiada pengesahan daripada pihak Istana hingga surat pelantikan tersebut didedahkan semalam lapor The Malaysian Insider

Kenyataan Media pertama Azmin sebagai Menteri Besar Selangor

Posted: 23 Sep 2014 12:15 AM PDT


Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT di atas perlantikan ini dan saya menjunjung kasih di atas perkenan Tuanku Sultan melantik saya sebagai Dato' Menteri Besar.

Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan terima kasih kepada YB Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Presiden KEADILAN dan YB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum KEADILAN serta seluruh Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor atas kepercayaan serta sokongan untuk saya menerajui Negeri Selangor.

Ketika yang sama, saya menghargai dokongan daripada 15 Ahli Dewan Negeri DAP dan Pakatan Rakyat.

Selaku Menteri Besar Selangor yang baru dilantik, saya akan mendukung institusi demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

Saya berjanji akan menggalas amanah ini dengan penuh tanggungjawab, jujur dan berintegriti untuk memperkukuhkan Negeri Selangor sebagai sebuah negeri yang maju, harmoni serta bersatu-padu.

Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor akan melaksanakan konsep Negeri Pembangunan atau developmental state berlandaskan amalan tata kelola yang baik, ketelusan dan kebertanggungjawaban.


Mohamed Azmin Ali
Menteri Besar Selangor


Istana dedah sebab Azmin dipilih sebagai MB Selangor..

Posted: 22 Sep 2014 08:07 PM PDT


Istana Selangor menjelaskan bahawa kelewatan pelantikan menteri besar Selangor adalah disebabkan pergolakan dalaman PKR dan ketidaksefahaman parti dalam Pakatan Rakyat dalam pencalonan menteri besar.

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Munir Bani berkata, keengganan DAP dan PKR mematuhi arahan Istana pada 27 Ogos untuk mencalonkan lebih dua nama, menyulitkan lagi tindakan Sultan sehingga terpaksa meneliti calon lain dalam parti itu yang tidak dicalonkan.

Menurutnya, Azmin dipilih kerana Sultan mempertimbangkan konsensus Pakatan Rakyat mengenai kerusi menteri besar di Selangor dan percaya beliau pilihan terbaik untuk mendapat sokongan semua parti.

"Baginda mengambil maklum bahawa kerajaan negeri Selangor dibentuk melalui kesepakatan tiga komponen parti PAS, PKR dan DAP.

"Baginda juga mengambil maklum kesefahaman di antara tiga parti tersebut bahawa menteri besar Selangor perlu dilantik di kalangan ADUN PKR untuk mendapatkan kepercayaan majoriti dan sokongan dari parti-parti Pakatan Rakyat di Dewan Negeri Selangor," katanya.

Kenyataan tersebut juga menyatakan Azmin, yang dilahirkan di Singapura telah bermastautin dan dibesarkan di Hulu Kelang, Gombak sejak tahun 1968.

Azmin mendapat surat lantikan dari Istana semalam untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, menyelesaikan tanda tanya siapa bakal menerajui negeri terkaya di Malaysia ini.

PKR dan DAP semalam turut sebulat suara menyokong Azmin memberikan sokongan majoriti kepada beliau.

Kedua parti itu sebelum ini hanya menghantar satu nama iaitu presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sehingga ditegur oleh Istana yang mahukan lebih dari dua nama dari setiap parti.

PAS pula telah menyatakan akan mengikut pilihan dari Sultan Selangor. Bagaimanapun Munir tidak memberikan sebab mengapa Wan Azizah ditolak.

Beliau dalam kenyataan sama turut menyanggah kenyataan yang mendakwa Sultan Sharafuddin Idris Syah telah mencampuri pentadbiran kerajaan negeri termasuk pelantikan menteri besar Selangor.

"Untuk makluman umum, ingin dijelaskan sekali lagi bahawa Sultan Selangor tidak pernah mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri selain dari menasihati Datuk Menteri Besar Selangor.

"Di dalam urusan pelantikan menteri besar, Sultan Selangor hanya bertindak menurut budi bicara baginda sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959," kata beliau lapor Malaysiakini

Jurugambar Diserang Ketika Liputan Kes Rasuah Lima Pegawai Kastam

Posted: 22 Sep 2014 05:30 PM PDT


Jurukamera merangkap wartawan, Lutin Ahmad, 39, mendakwa dikasari oleh lelaki yang turut mengiringi lima pegawai kanan kastam yang didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas kesalahan menerima rasuah.

Kejadian pada pukul 12 tengah hari itu berlaku ketika jurugambar merakamkan gambar lima pegawai kanan kastam yang dibawa keluar dari bilik perbicaraan oleh beberapa anggota polis mahkamah. 

"Ketika saya merakamkan imej mereka dibawa keluar di koridor sayap kiri tingkat dua mahkamah, salah seorang lelaki dipercayai pegawai yang mengiringi mereka mengangkat kedua-dua tangan sebagai menghalang kamera kami daripada merakam sambil menjerit kuat.

"Tiba-tiba dia yang tidak berpuas hati terus bertindak agresif mengkasari saya dengan menyentuh dan memusingkan leher saya sebelum saya hilang keseimbangan. Saya terjatuh sebelum lelaki itu bertindak lebih agresif cuba memijak saya," katanya.


Tambah Lutin, dia yang dibantu rakannya terus menuju ke arah lima tertuduh bagi merakam mereka. 

Malangnya, kata Lutin, dia sekali lagi dikejar lelaki sama yang cuba menyerangnya namun berjaya dihalang rakan-rakan lain.

"Bagaimanapun dia yang kelihatan tidak puas hati dengan kami terus menjerit sambil melontarkan ugutan terhadap saya supaya menunggu di kompleks mahkamah,"katanya sebelum lelaki itu beredar.


Menurut Lutin, beliau telah membuat liputan mahkamah sejak sekian lama namun tidak pernah dikasari.

"Inilah kali pertama saya terkejut melihat orang bertindak keterlaluan sehingga menyerang wartawan.

"Lagipun saya tak bersalah dan hanya menjalankan tanggungjawab saya sebagai media, dia tidak patut bertindak sedemikian terhadap kami media," katanya tanpa menjelaskan tindakan selanjutnya selepas ini berikutan insiden tersebut. - MalaysiaGazette
-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...