Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Isu Exco selesai.. PAS Selangor diminta hormati pimpinan tertinggi PAS..

Posted: 27 Sep 2014 05:35 AM PDT


Menteri besar Selangor Mohamed Azmin Ali menolak rasa tidak puas hati PAS Selangor yang dikurangkan jumlah Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), menegaskan keputusan dicapai bersama pimpinan atasan Pakatan Rakyat.

Azmin menghormati pandangan kepimpinan parti Islam di negeri Selangor tersebut, bagaimanapun menegaskan keputusan pemilihan ahli exco sudah selesai.

"Saya sudah dapatkan nasihat dengan kepimpinan atasan Pakaatan dan hanya mengikut keputusan bersama yang dicapai," kata beliau di Subang Jaya hari ini.


"Saya faham perasaan sesetengah orang tetapi keputusan sudah dibuat dan Sultan Selangor sudah memperkenan pelantikan."

Semalam, setiausaha PAS Selangor Mohd Khairuddin Othman berkata kepimpinan pusat parti tidak pernah bersetuju kepada cadangan tiga exco, sebaliknya mengekalkan kedudukan sama seperti sebelum ini semasa pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Khairuddin juga berkata PAS Selangor berpandangan Azmin tidak mempunyai asas untuk menyingkirkan Dr Halimah Ali dan Sallehen Muhkyi daripada pentadbirannya.

Kedua-dua mereka berkhidmat dibawah Khalid lapor The Malaysian Insider

Setelah hilang 1 Exco di Selangor.. Ahli Majlis PAS dipecat pula..

Posted: 26 Sep 2014 09:32 PM PDT


Nampaknya berturut-turut berita malang buat PAS dalam minggu ini.. mula-mula diberikan 'kemenangan yang ditangguhkan' di Pengkalan Kubor kemudian satu kerusi EXCO Selangor dikurangkan.. Ini pulak Ahli Majlis digantung tugas pulak...

Punca Ahli Majlis ini digantung dipercayai ada kaitan dengan ucapannya yang membidas dasar perumahan kerajaan negeri Pulau Pinang yang di dakwanya lebih mesra pemaju seperti yang diamalkan BN.

Dalam membahaskan ucapan dasar Presiden PAS bertajuk "Terus Beristiqamah" - yang memasuki hari kedua - dalam Muktamar PAS di Batu Pahat itu Perwakilan Pulau Pinang mendakwa kerajaan negeri pimpinan DAP itu lebih cenderung memihak kepada pemaju perumahan daripada membela nasib rakyat negeri itu.

Biarpun apa yang didakwa oleh Izuree itu ada benarnya namun cara dan tempat ianya dipersoalkan kelihatan tidak wajar..

Kerana Izuree adalah salah seorang Ahli Majlis MPPP, sepatutnya beliau menggunakan peluang yang ada dalam mesyuarat untuk mempersoalkan dan membincangkan perkara tersebut dalam mesyuarat Ahli Majlis.

Bukannya membelasah dasar Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam Muktamar PAS yang lalu..

Baca apa komen Pemuda DAP dan AMK tentang kenyataan Izuree itu di ( SINI )

Rentetan itu Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 25 September 2014 telah memutuskan untuk mengeluarkan Iszuree Ibrahim (Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang - PAS) dari semua Jawatankuasa Tetap MPPP serta membekukan semua peruntukan beliau..


Maka meroyanlah Yusni Mat Piah dengan tindakan Majlis Mesyuarat Kerajaan itu.. beliau mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang..

Katanya "Keputusan perlu diputuskan secara kolektif &bersama, andai PAS masih dianggap rakan dalam Pakatan Rakyat"...

Kah.. kah... kah.. Kolektif dan bersama?.. Alo Brother.. Keputusan bersamapun hang langgar, la ni hang mau orang lain ikut keputusan kolektif dan bersama?

Lagipun mesyuarat EXCO yang dah putuskan tu... EXCO tahu tak EXCO..

Berikut adalah kenyataan media Yusni Mat Piah..

DEWAN PEMUDA PAS PULAU PINANG KECAM TINDAKAN GANTUNG TUGAS AHLI MAJLIS PAS DALAM MAJLIS PERBANDARAN PULAU PINANG (MPPP).

Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang mengecam tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang difahamkan telah membuat keputusan melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 25 September 2014 untuk mengeluarkan Sdr Iszuree Ibrahim (Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang - PAS) dari semua Jawatankuasa Tetap MPPP serta membekukan semua peruntukan beliau, meskipun beliau mempunyai 'track record' cemerlang sebagai Ahli Majlis.

Tindakan ini dipercayai susulan dari ucapan bernada teguran membina & memberi pandangan untuk menambah baik polisi pembangunan rakyat Pulau Pinang oleh Sdr Iszuree Ibrahim yang juga Bendahari Badan Perhubungan PAS Negeri (BPPN) P.Pinang sebagai pembahas yang dilantik mewakili PAS P.Pinang dalam Muktamar PAS yang berlangsung di Johor tempoh hari.

Hukuman 'gantung tugas' yang dikenakan terhadap beliau dengan berdasarkan laporan media yang disalah petik tanpa perbincangan secara bersemuka disifatkan sebagai keputusan yang tidak mencerminkan sikap demokratik, berat sebelah & tergesa-gesa.

Perlu diingatkan, perlantikan jawatan beliau bukanlah atas kapasiti individu, sebaliknya ia adalah atas kapasiti parti politik mewakili PAS. Maka sewajarnya pihak MMK turut mengambil kira pandangan & keputusan dari PAS P.Pinang sebelum membuat apa-apa keputusan, jika benar semangat kerjasama Pakatan Rakyat itu dihormati. Tindakan yang diambil ini dilihat seumpama merobek kembali luka yang baru hendak sembuh.

Bagi terus memelihara hubungan kerjasama Pakatan Rakyat, DPPN P.Pinang menggesa agar tindakan ini ditarik semula seberapa segera, sebelum timbul persepsi awam bahawa pemerintahan Kerajaan PR P.Pinang dilihat sama dengan Barisan Nasional dari sudut kebebasan bersuara.

Sidang mesyuarat Pakatan Rakyat yang tertangguh sejak selesai PRU13 perlu segera diadakan. PAS Pulau Pinang bersama Sdr Iszuree perlu diberi hak untuk memberi penjelasan penuh. Keputusan perlu diputuskan secara kolektif & bersama, andai PAS masih dianggap rakan dalam Pakatan Rakyat.

Sepertimana kami boleh bersabar dengan perbezaan pandangan & terbuka menerima kritikan, kecaman, cemuhan, sehingga dituduh "pengkhianat di Selangor" dari rakan kami, maka kami juga meminta supaya rakan kami juga dapat berjiwa besar berbuat begitu.

Selaras dengan tema "Memperkukuh Muafakat" yang diketengahkan Ketua Pemuda PAS Malaysia & penegasan Presiden PAS supaya "Terus Beristiqamah" dalam muktamar kami yang lalu, kami desak supaya isu ini diselesaikan segera sebagai rakan, bukan sebagai lawan!

MOHD YUSNI MAT PIAH
Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang
27 September 2014

Bila kena kat dia baru nak mintak orang lain 'berjiwa besar'.. beri penjelasan penuh.. keputusan perlu kolektif... pirahhhh!!

Yang kat Sungai Acheh dulu apa cerita?.. ada diikut keputusan kolektif?.. ada diberi penjelasan penuh?



“Kajang Move” punca krisis Selangor - Sultan Sharafuddin

Posted: 26 Sep 2014 05:30 PM PDT


Kemelut dan pergolakan dalam Parti Pakatan Rakyat ini bermula daripada Pakatan Rakyat membuat "Kajang Move"-Langkah Kajang dan bermulalah usaha mereka untuk menyingkirkan Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kecewa dengan perbuatan hasut menghasut dan tohmahan yang dilempar terhadap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim - dalam usaha menyingkirnya sebagai menteri besar - walaupun semasa bulan Ramadhan.

Titah baginda, dalam bulan suci itu, umat Islam sepatutnya membuat ibadah dan membuat kerja-kerja amal yang diredhai Allah untuk membersihkan doasa dan maksiat.

"Beta telah menyeru dan mengingatkan beberapa kali, rakyat Melayu beragama Islam di negeri Selangor supaya di bulan Ramadhan yang mulia ini hendaklah sentiasa bertaqwa kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan melakukan amal jariah kita supaya diterima Allah," titah baginda di majlis pelantikan barisan Exco kerajaan negeri Selangor di Istana Alam Shah petang semalam.

Tetapi, titah baginda, PKR tetap meneruskan agenda mereka walaupun dalam bulan suci Ramadhan dengan terus menghina dan mencaci sehingga mereka berjaya dalam niat mereka untuk menjatuhkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor.

Titah baginda pelantikan Exco yang baru adalah disebabkan PKR dan DAP tiada mempunyai keyakinan kepada Abdul Khalid sebagai menteri besar, yang dilantik selepas Pilihanraya Umum ke-13.

"Oleh itu seorang menteri besar yang baru dan Exco yang baru juga perlu dilantik untuk mentadbirkan Kerajaan Negeri Selangor ini," titah baginda,.

Titah baginda lagi, kemelut dan pergolakan dalam Parti Pakatan Rakyat bermula daripada Pakatan Rakyat membuat "Kajang Move" -Langkah Kajang dan bermulalah usaha mereka untuk menyingkirkan Abdul Khalid sebagai menteri besar Selangor.

Dengan ini, titah baginda, timbullah pelbagai hasutan dan tomahan untuk memburukkan Abdul Khalid supaya dapat diturunkan daripada jawatan menteri besar Selangor.


Berikut adalah Teks penuh titah ucapan Sultan Selangor..

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Bismillahir Rahmanir Rahim.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah dan kurnianya pada hari ini, Beta dapat mengadakan Pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (EXCO) pada petang ini.

Seperti yang kita sedia maklum pelantikan Exco yang baru ini adalah disebabkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Democratic Action Party (DAP) tiada mempunyai keyakinan kepada Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim yang menyandang Menteri Besar Selangor, yang dilantik selepas Pilihanraya Umum ke 13. Oleh itu seorang Menteri Besar yang baru dan Exco yang baru juga perlu dilantik untuk mentadbirkan Kerajaan Negeri Selangor ini.

Kemelut dan pergolakan dalam Parti Pakatan Rakyat ini bermula daripada Pakatan Rakyat membuat "Kajang Move"-Langkah Kajang dan bermulalah usaha mereka untuk menyingkirkan Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Dengan ini timbullah pelbagai hasutan dan tomahan untuk memburukkan Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim supaya dapat diturunkan daripada jawatan Menteri Besar Selangor. Perkara hasut menghasut dan melempar tohmahan-tohmahan terhadap Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim berterusan walaupun semasa bulan suci Ramadhan, dimana umat Islam sepatutnya membuat ibadah dan membuat kerja-kerja amal yang diredhai oleh Allah Subhanahu Wata'ala untuk membersihkan dosa dan maksiat. Beta telah menyeru dan mengingatkan beberapa kali, rakyat Melayu beragama Islam di Negeri Selangor ini supaya di bulan Ramadhan yang mulia ini hendaklah sentiasa bertaqwa kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan melakukan amal jariah kita supaya diterima Allah.

Tetapi Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetap meneruskan agenda mereka walaupun dalam bulan suci Ramadhan dengan terus menghina dan mencaci sehingga mereka berjaya dalam niat mereka untuk menjatuhkan Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Di sini Beta ingin mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim yang telah menjalankan tugas beliau dengan jaya dan sempurna sebagai Menteri Besar, yang mana hubungan Istana dengan beliau telah berjalan dengan baik dan lancar.

Krisis yang berlaku berkenaan dengan Menteri Besar Selangor ini telah membuka mata dan hati serta pandangan Beta terhadap politik di Negeri Selangor ini. Ahli-ahli politik datang dan pergi, mereka akan berkhidmat untuk selama 5 tahun dan mungkin akan diganti pada pilihanraya yang akan datang. Tetapi kedudukan Beta sebagai Sultan yang memerintah Negeri Selangor akan berterusan sehingga akhir hayat Beta.

Sebagai Sultan yang memerintah, tugas-tugas Beta amatlah berat untuk memastikan rakyat Negeri Selangor yang Beta kasihi ini dapat menikmati hidup yang berkualiti dan pembangunan Negeri yang sempurna. Beta tidak campur tangan dalam pentadbiran Negeri yang dijalankan oleh Menteri Besar. Beta hanya menasihatkan Menteri Besar jika terdapat sesuatu perkara yang boleh menyusahkan rakyat.

Beta ingin mengingatkan bahawa Sultan itu bukanlah sahaja dalam istiadat dan majlis rasmi, tetapi kuasa Sultan adalah untuk melihat negeri dan rakyat Negeri Selangor ini hidup dalam keamanan dan maju jaya.

Oleh kerana rakyat tidak diberi kefahaman akan fungsi sebenar Sultan, rakyat beranggapan Institusi Raja itu adalah sebagai lambang sahaja tanpa mempunyai apa-apa peranan dan kuasa yang diperuntukkan dibawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor. Beta dapati ada ahli politik yang tidak faham akan peranan dan kuasa Institusi Raja atau mereka sengaja tidak memahaminya kerana Beta yakin mereka mempunyai agenda yang lain.

Beta adalah Sultan yang memerintah Negeri Selangor sentiasa berpandukan pemerintahan Beta dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor yang telah di meterikan pada tahun 1959.

Rakyat Negeri Selangor yang berbilang kaum dan berbilang agama serta mempunyai pelbagai adat resam mahukan Negeri Selangor ini aman dan makmur, bebas mengamalkan agama masing-masing serta dapat hidup dalam tenteram dan harmoni.

Seterusnya Beta mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakyat Negeri Selangor yang menyokong Beta dalam kemelut pelantikan Menteri Besar di Negeri Selangor ini dan mempercayai Beta dalam menyelesaikan kemelut ini. Beta sentiasa memikirkan ketenteraman, kemakmuran dan keharmonian rakyat Negeri Selangor yang Beta kasihi ini.

Tidak lupa juga Beta mengucapkan terima kasih kepada pihak media arus perdana yang telah berkerjasama dengan pihak Istana dalam menyiarkan kenyataan-kenyataan akhbar dari Istana.

Disamping itu Beta mahukan orang Melayu Islam janganlah berpecah belah dan tidak extremis atau mengelirukan rakyat hingga mengikut ajaran agama sesat.

Beta tidak mahu orang Melayu Islam berpuak-puak, mencaci antara sesama sendiri, hingga meruntuhkan kemuafakatan orang Melayu yang mana Beta kuatiri suatu hari kelak jika perkara ini berterusan, orang Melayu akan menuju kehancuran.

Kemanakah hala tuju, dan kemanakah perginya orang Melayu nanti. Beta sentiasa berdoa agar Allah Subhanahu Wata'ala membuka hati mereka supaya dapat melihat kebenaran dan seterusnya bersatu padu didalam memelihara dan mempertahankan tanah air kita yang dikasihi ini. Janganlah mudah sangat orang Melayu diperdaya sehingga maruah tergadai demi untuk kepentingan sendiri.

Kepada Ahli-Ahli Exco yang baru, Beta menyeru supaya memberi sokongan yang padu kepada Yang Amat Berhormat Tuan Mohamed Azmin Bin Ali, Dato' Menteri Besar Selangor yang baru. Lupakan segala sengketa yang lalu dan tumpukan segala tenaga, kepakaran dan pengalaman disertakan dengan keikhlasan untuk berkhidmat kepada rakyat Negeri Selangor yang telah memberi mandat kepada tuan-tuan dan puan-puan sebagai wakil rakyat mereka. Rakyat tidak suka melihat Negeri Selangor ini didalam kucar kacir dan mereka tinggal didalam ketakutan dan kesengsaraan.

Beta berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala semoga dengan pelantikan Yang Amat Berhormat Dato' Menteri Besar Selangor yang baru ini, parti-parti yang telah diberi mandat untuk memerintah Negeri Selangor akan dapat berkerjasama untuk mentadbir Kerajaan Negeri dengan penuh jujur dan ikhlas demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Negeri Selangor. Rakyat menaruh harapan supaya mereka dapat tinggal di Negeri Selangor yang kaya dan maju ini serta dapat menikmati segala kemakmuran yang ada di dalamnya.

Beta sentiasa berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala supaya Negeri Selangor yang kita kasihi ini dirahmatiNya dan dilindungi daripada segala malapetaka dan apa juga yang boleh menyusahkan rakyat Negeri Selangor yang Beta kasihi ini. Amin.

Sekian.

-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...