Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Pandangan Tok Guru Nik Aziz mengenai Broker, Barua dan Pasma..

Posted: 28 Sep 2014 08:38 AM PDT


Banyak pihak yang melihat kemelut politik di Selangor meletakkan Pas dalam situasi rugi apabila hubungan parti itu dengan sekutunya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dikatakan mula retak.

Konflik tersebut juga dikatakan meretakkan anggota dalaman Pas sendiri. Jika tidak dibendung ia mampu memecahbelahkan parti itu memandangkan perselisihan pendapat beberapa kelompok yang wujud dalam Pas semakin ketara.

Paling ketara dengan kewujudan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma), sebuah badan yang disebut-sebut bakal menjadi 'Pas baharu'.

Sebagai Mursyidul Am Pas, pasti ramai yang mahu mendengar pendapat Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tentang konflik yang melanda parti Islam itu terutama selepas berakhirnya Muktamar Tahunan Pas Ke-60 yang mencipta pelbagai kejutan baru-baru ini.

Justeru, wartawan Mingguan Malaysia, ZAAIN ZIN dan jurugambar ROSNI MASRI menemui bekas Menteri Besar Kelantan itu di kediamannya di Pulau Melaka, Kota Bharu untuk mendapatkan pandangan beliau tentang konflik yang melanda Pas.

Dalam ruang pertemuan yang ringkas di rumahnya, Nik Aziz yang sinonim dengan panggilan 'Tok Guru' secara terbuka berkongsi beberapa pandangan yang tidak pernah disampaikan kepada umum sebelum ini.

Antaranya pertembungan golongan profesional dan ulama dalam Pas, kedudukan Pas dalam pakatan pembangkang, kebimbangan beliau terhadap kewujudan 'broker dan barua' serta kekecewaannya terhadap Pasma.

MINGGUAN: Apa pandangan Tok Guru apabila Pas sekarang dikatakan berdepan dengan krisis kepemimpinan sehingga membawa kepada perpecahan memandangkan sudah ada pihak mula berani mempersoalkan kredibiliti golongan ulama secara terbuka?

NIK AZIZ: Politik Islam mula dikenali di Tanah Melayu pada tahun 1950-an. Sebelum ini tidak ada politik Islam. Yang ada demokrasi, komunis, sosialis dan sebagainya. Oleh yang demikian, bila politik Islam diperkenalkan di Tanah Melayu dulu, mulalah orang kritik. Yang kritik itu bukan Cina atau kaum lain, tetapi Melayu sendiri. Melayu golongan Eropah, Yahudi (berpendidikan sekular). Bagaimanapun, itu pada awal dan sekarang ini politik Islam telah dipimpin oleh ulama. Golongan ulama ini ialah orang yang berilmu Islam.

Sekarang ini semakin ramai golongan intelektual menyertai Pas. Pada waktu saya mula-mula masuk Pas tahun 1967, ada seorang sahaja intelektual atau orang universiti yang menyokong parti Islam. Keadaan sekarang jauh berbeza kerana sudah ada pensyarah dan doktor, baik doktor perubatan mahupun Ph.D (doktor falsafah) menyokong parti Islam. Selepas Nabi Muhammad SAW meninggal dunia, di tengah-tengah itu bermacam-macam timbul masalah kepada Islam. Ada sunnah, sunni dan syiah. Di Timur Tengah, ada macam-macam gerakan baik yang benar-benar Islam atau menjadi ejen kepada Amerika untuk timbulkan pecah-belah. Jadi tak pelik kalau perkara sama berlaku di Malaysia.

MINGGUAN: Apabila berlaku krisis dalaman, individu yang disalahkan ialah Presiden Pas iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Beliau dikatakan pemimpin yang lemah dan perlu diganti, malah pendapat dan keputusan beliau disanggah ahli sendiri. Mungkin sudah sampai masa beliau diganti?

NIK AZIZ: Tok Guru Haji Hadi lemah atau tidak, itu bukan persoalannya. Cuba orang lain ambil alih pucuk pimpinan, macam itu juga jadinya. Akan ada orang tuduh juga. Kalau Hadi undur, mari orang lain (gantikan beliau) kena tuduh juga. Macam-macam tuduhan akan tetap timbul.

MINGGUAN: Sejak kebelakangan ini, suara ulama terutama Majlis Syura dilihat seakan-akan semakin terpinggir manakala suara profesional semakin didengari dalam Pas. Apa pendapat Tok Guru?

NIK AZIZ: Tidak terpinggir, cuma sebab dia (ulama dan profesional) semakin bersatu. Dia jadi orang sama, yakni ulama itu adalah profesional, profesional itu adalah ulama.

MINGGUAN: Kalau kita lihat sekarang, perasaan prejudis terhadap kepemimpinan ulama semakin ditunjukkan apabila keputusan dibuat dibantah secara terbuka. Sepatutnya ahli parti menghormati dan mengangkat golongan itu pada tahap sepatutnya dalam parti. Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

NIK AZIZ: Tidak, tak betul.

MINGGUAN: Bagaimana Tok Guru melihat masa depan Pas dan kepimpinan ulama, adakah parti ini akan terus dipimpin oleh ulama atau mungkin berlaku suatu hari nanti situasi di mana kumpulan profesional diangkat sebagai pemimpin tertinggi?

NIK AZIZ: Sekarang ini golongan profesional semakin ramai dalam Pas dan sedikit masa lagi, saya harap orang yang mengajar Matematik (profesional) ialah orang yang sama mengajar agama. Boleh dua-dua.

Saya memang harap boleh jadi macam itu, yang mengajar agama ialah golongan profesional, yang mengajar Matematik ialah ustaz. Ini kerana ustaz dan profesional itu orang sama dalam Islam.

MINGGUAN: Muktamar Tahunan Pas baru-baru ini menjadi medan kepada akar umbi meluahkan perasaan sedih dan kecewa terhadap pendekatan pemimpin tertentu Pas yang cenderung mengikut telunjuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) terutama Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sejauh mana Tok Guru melihat kebenaran dakwaan mereka itu?

NIK AZIZ: Tak ada sampai macam itu, nak ikut telunjuk macam mana. Pas (ditubuhkan) dulu, Pas wujud tahun 1951, PKR dan DAP tahun berapa? Pas cuma tak banyak bercakap. Lagi pun mahu bercakap banyak buat apa, kita ini sebagai abang. Dua lagi iaitu PKR dan DAP ialah adik. Yang menumpang ialah dua parti itu kerana Pas yang wujud dulu, tahun 1951 lagi.

MINGGUAN: Dalam tahaluf siyasi, tiada mana-mana parti lebih tinggi atau rendah kedudukannya. Namun apa yang berlaku sekarang, Pas sering diketepikan. Malah Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din sudah mengeluarkan kenyataan tahaluf siyasi perlu dikaji semula. Perlukah Pas berbuat demikian termasuk mempertimbangkan cadangan meninggalkan pakatan?

NIK AZIZ: Nak kaji semula tahaluf tidak apa, tetapi nak tinggalkan tahaluf, tidak. Islam sendiri mahukan tahaluf. Pada zaman Nabi Muhammad SAW pun ada tahaluf macam ini. Tahaluf itu diambil daripada baginda sendiri.

MINGGUAN: Dalam muktamar, Presiden Pas ada sebut tentang golongan 'broker dan barua' yang wujud dalam Pas sehingga menjadi musuh dalam selimut yang membahayakan Pas. Adakah benar wujud golongan ini dalam Pas?

NIK AZIZ: Saya tak campur. Dalam mana-mana organisasi pun ada benda tu (broker dan barua). 'Broker' ini dalam Islam kita panggil munafik. Golongan munafik inilah 'broker'. Dalam Islam ada sebut (kewujudan) tiga golongan iaitu mukmin, kafir dan munafik. Tiga kumpulan ini mana-mana pun ada. Jadi dalam mana-mana pertubuhan, tak kira parti ke, korporat ke, semua ada 'broker'.


MINGGUAN: Jadi bagaimana Pas mahu memastikan parti bersih daripada golongan ini?

NIK AZIZ: Itu terletak pada iltizam masing-masing. Sama ada mempunyai iltizam atau tidak iltizam.

MINGGUAN: Selepas ada krisis dalam Pas, sekarang wujud pula badan yang menggelar diri mereka Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma). Pasma ini mendakwa sebagai organisasi yang mahu mengukuhkan hubungan Pas dengan PKR dan DAP. Cara dia adalah cuba mencorak semula pemikiran politik Pas yang dikatakan jumud dan ketinggalan akibat diterajui golongan ulama. Pendek kata, Pasma ini dikatakan bakal jadi Pas 'baharu'.

NIK AZIZ: Pasma yang timbul ini tidak tahu boleh kata Pas baharu atau tidak, itu dia punya pasal. Saya masuk Pas ketika zaman Datuk Mohd. Asri Muda. Bila UMNO ajak Pas masuk Barisan Nasional (BN), Pas berpecah belah kepada empat. Ada Hamim, Berjasa, Bebas Bersatu dan Pas. Saya antara orang yang menyokong Pas masuk BN, maka saya berada di pihak yang melawan Hamim, Berjasa dan Bebas Bersatu.

Bagaimanapun Alhamdulillah, orang itu semua sudah tidak ada sekarang. Ini semua kerana iltizam, yang kita sebut juga sebagai istiqamah. Pas yang ada sekarang istiqamah dengan perjuangan Islam. Saya tak nampak Pasma boleh gantikan Pas, apatah lagi UMNO, jauh sekali. UMNO yang bawa kebangsaan tidak akan dapat menyelamatkan orang Melayu daripada akhirat. Saya tak bimbang dengan Pasma, tetapi kecewa itu ada.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140928/re_02/Rasa-kecewa-itu-ada---Nik-Aziz#ixzz3EcnbrAZX © Utusan Melayu (M) Bhd

Mat Sabu muncul menyelamatkan Iszuree dari dipecat..

Posted: 28 Sep 2014 06:01 AM PDT


Iszuree Ibrahim bukan dipecat sebagai Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), tetapi dikeluarkan dari semua jawatankuasa tetap serta dibekukan peruntukan beliau.

Memetik sumber dalam parti, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Tuan Haji Mohamad Sabu menjelaskan Iszuree masih tidak dipecat daripada jawatannya itu seperti digambarkan oleh AJK PAS Pusat, Nasrudin Hasan At-Tantawi dan Yusni Mat Piah (Ketua Pemuda PAS Negeri).

"Iszuree sepatutnya dipecat, tetapi, saya berunding supaya ada kaedah lain agar dia tidak dipecat," jelas Mohamad dalam Mesyuarat Perhubungan PAS Negeri di Pongsu Seribu, petang semalam.

Sumber memberitahu, seorang lagi Ahli Majlis MPPP daripada PAS, Mhd Nasir Yahaya telahpun diberi tanggungjawab menguruskan baki peruntukan Iszuree.

Sebelum itu, Iszuree diminta memberi penjelasan lanjut mengenai laporan berita 'Pulau Pinang lebih mesra pemaju macam BN'.

Iszuree dalam reaksi spontan berdalih, "berita itu (adalah) manipulasi Malaysiakini."

Dalihnya lagi, apa yang diucapkan beliau dalam Muktamar PAS Ke-60 pada pertengahan bulan lepas adalah berdasarkan teks ucapan perwakilan, yang kononnya turut disemak oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa.

Bagaimanapun, beliau gagal mengemukakan perkara yang benar berdasarkan teks ucapannya dan yang palsu berdasarkan laporan berita Malaysiakini itu, semasa disyor oleh seorang anggota mesyuarat Badan Perhubungan Negeri.

Mesyuarat turut disyor menubuhkan jawatankuasa menilai ucapannya Iszuree tersebut lapor Faqar di ( SINI )


Selepas Suhaizan .. Kit Siang pulak kata Kelantan akan terlepas dari PAS...

Posted: 27 Sep 2014 11:39 PM PDT


Pemimpin popular DAP Lim Kit Siang memberi amaran bahawa kerajaan PAS Kelantan mungkin jatuh ke tangan BN.

Katanya, perkara itu mungkin berlaku jika peralihan undi 4.5 peratus terhadap PAS dan Pakatan Rakyat, terus berlaku di kawasan-kawasan lain di negeri itu, selepas Pengkalan Kubor.

"Jika Pengkalan Kubor berlaku (di semua tempat di Kelantan), Pakatan hanya akan mendapat 20 kerusi dan BN pula 25 kerusi.

"Ini bererti kuasa untuk memerintah negara akan hilang," katanya dalam majlis makan malam DAP di Petaling Jaya malam tadi.

Kenyataan Lim itu dibuat seminggu selepas Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat memberi amaran bahawa sokongan terhadap PAS Kelantan turun ke paras 50 peratus, menurut bedah siasat oleh jawatankuasa pusat parti itu.

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menolak bahawa Kekalahan PAS di Pengkalan Kubor, dengan majoriti lebih besar, akibat tempias kemelut pentadbiran di Selangor.

Pada pilihan raya kecil itu, calon BN Mat Razi Mat Ail memperoleh 9,981 undi, menewaskan calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim yang mendapat 7,326 undi dan calon bebas Izat Bukhary Ismail (38 undi).

Mat Razi mempertahankan kerusi DUN itu dengan majoriti 2,635 undi, meningkat hampir 900 undi berbanding penyandang DUN itu allahyarham Noor Zahidi Omar yang mendapat majoriti 1,736 undi pada pilihan raya umum ke-13 lapor Malaysiakini

Menantu Haji Hadi, Din Ayam menjawab isu 'BMW 7 Series' dan saham ESOS..

Posted: 27 Sep 2014 09:27 PM PDT


Pada 13 September 2014 saya dah tulis dalam timeline saya bahawa saya dapat maklumat daripada kawan yang masuk dalam mesyuarat NGO Politik pertama di Malaysia yang merancang menguasai kepimpinan PAS dan cuba menjatuhkan orang-orang tertentu dengan fitnah.

Waktu itu, saya tak nampak fitnah apa yang mereka nak buat terhadap saya. Ternyata selepas itu, sewaktu muktamar baru-baru ini fitnah ini bertalu-talu diratib dengan mengimejkan saya sebagai mewah dengan disebarkan gambar BMW 7 series berwarna merah yang harga pasaran lebih setengah juta. Fitnah ini ditambah lagi dengan isu saham ESOS.

Saya tergelak apabila membaca sebaran yang diforwardkan oleh rakan-rakan kepada saya kerana melihat penyebar-penyebar ini terlalu dangkal dan jahil tentang kereta dan saham. Saya yakin tak sampai 5% rakyat Malaysia yang mahir tentang jenis kereta, harga kereta, design kereta dan cara mendapatkan kereta dan spare part murah secara sah di pasaran global. Tidak melampau jika saya kata tak sampai 3% rakyat Malaysia yang betul-betul mahir tentang selok belok saham ESOS dan saham-saham lain di pasaran terbuka seperti IPO.

Asalnya saya tak nak jawab dan layan dengan sebaran ini justeru ianya terlalu dangkal dan melucukan di samping kesibukan tugas dan tanggungjawab. Tapi bila saya dapati ia semakin tersebar dan cuba mengaitkan parti, jemaah, golongan Ustaz, Ulama dan Majlis Syura, maka saya bimbang ia akan berlarutan. Justeru itu saya akan jawab secara ringkas, kerana kalau nak terangkan detail, 10 muka surat masih tak mengcukupi.

Berkaitan isu kereta, memang saya mempunyai syarikat jual beli kenderaan motor dan kereta yang didaftarkan sebagai Al-Faqeeh Trading. Fokus perniagaan ialah mendapatkan kereta-kereta murah dan dimodifikasi semula supaya selesa dan sedap mata memandang. Oleh itu, saya mampu memperolehi kereta dengan harga yang jauh lebih murah daripada pasaran biasa. Saya telah menjual kereta BMW 730i sebelum ini dengan margin sebuah sekitar RM20-RM40 ribu. Sekarang masih ada 1 biji Myvi yang masih dalam pembikinan semula, 1 Myvi 2013 dan motor Z100 2011 yang sedang tunggu payment bank. Stok masih ada ialah Mercedes CLS350 dan E240 milik bekas duta dan pegawai kedutaan Saudi yang dah balik kampong.

Kereta-kereta yang dijual termasuk kereta yang saya pakai sendiri sebagaimana yang disebarkan dengan tujuan negative. Ia adalah kereta lama dengan pendaftaran JMB2003, dicustome/modifikasi dan dimakeup semula. (lihat gambar dari store sehingga ke jalan raya). Harga asal kereta yang saya pakai ialah RM64,500 sahaja (pembelian daripada CIMB), jauh lebih murah berbanding Exora baru yang berharga RM89,000 (Jenis Prime Premium 1.6 cc) (Rujuk Purchaser invoice yang saya lampirkan) Iaitu mahal sedikit berbanding Myvi 1.5 extreme full spec.

Harga pasaran pada waktu itu lebih kurang RM100,000. Margin yang saya dapat daripada pembelian dan jualan semula kereta BMW 7 series ialah RM40,000. 2 buah saya jual, dapat free sebiji. Paling murah jenis 7 Series 2005 (735i model E65 ialah RM45,000) pada tahun lepas di mana harga pasaran ialah RM110,000.

Dengan lampu belakang depan 7 series model terkini yang saya masukkan, menjadikan kereta tersebut dilihat model terkini dan ekslusif, bahkan lebih mantap dengan sport rim terpilih dan fender yang diubahsuai sehingga menaikkan nilai pasarannya kepada RM150,000. Tidak menjadi kesalahan Puspakom jika modifikasi melibatkan lampu dan fender yang lengkap. Kos lampu baru BMW 7 series terbaru di Malaysia lebih kurang RM6,000, maka anda akan kata kos modifikasi sangat tinggi. Walhal, apabila saya dapat keluar daripada monopoli ini pasaran ini melalui import direct lampu terpakai daripada USA, maka kos lampu depan dan belakang hanya sekitar RM1000 lebih sahaja termasuk penghantaran. Kos korporat untuk shipment hanya RM0.70 (70 sen) sahaja (DHL) sekilogram apabila Al-Faqeeh Trading berdaftar sebagai importer korporat dengan syarikat DHL justeru syarikat saya juga terlibat dengan import motor (Recond) daripada USA menggunakan shipment udara (kapal terbang) sekitar 400kg sebiji motor.

Automotive designing ini memang bidang kepakaran dan minat saya justeru ini bukan kereta pertama yang saya design semula. Tangan saya sendiri yang melakar bentuk kereta tersebut daripada kereta usang di dalam store bank berubah menjadi kereta terkini yang selesa, kuat dan laju. Besi yang diguna pakai setebal 8mm berbeza dengan kereta jepun biasa sekitar 6mm manakala besi kereta Malaysia sebahagiannya 4mm sahaja. Sebab tu bila anda tekan bodi kereta tempatan, dia akan masuk ke dalam macam telur. 8 mm takkan kemik walau anda tendang dengan kasut besi sekalipun. Ini seni kereta yang saya miliki, di mana jika anda tidak memilik seni ini, dengan RM64,500 anda hanya mampu mendapatkan sebuah kereta tempatan berbesikan 4mm bodinya, enjin 1.3 liter tanpa horse power. Penggunaan spacer tayar 3.5mm menjadikannya stabil apabila di selekoh, tiada dalam kelebihan kereta Exora yang lebih mahal daripada kereta 'mewah saya yang disebarkan'.

Oleh itu, persoalan yang perlu dijawab oleh penyebar-penyebar fitnah:

1. Di mana salahnya jika saya membeli kereta untuk diniagakan semula dengan harga yang lebih murah daripada kereta Exora? Di sini berlaku penjimatan dan pembelian mampu sebagaimana firman Allah swt bermaksud: Hendaklah orang yang mampu berbelanja (berbelanja) menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia berbelanja dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu) –(At-Tolaq: 7). Para sahabat memiliki Humr An-Niam (unta merah) yang nilainya pada zaman itu 2000 dinar (RM1.4 juta pada hari ini).

2. Di mana salahnya memakai kereta yang selesa? Banyak hadis yang di taqrirkan (diiktiraf) oleh nabi SAW sehingga menjadi galakan kepada orang Islam memiliki kenderaan yang selesa. Antaranya ialah sabda nabi SAW: Empat kebahagian (di atas dunia): isteri yang solehah, tempat tinggal yang luas, jiran yang saleh dan kenderaan yang selesa. Empat perkara yang menjadikan seseorang itu kesempitan: isteri yang teruk, jiran yang jahat, kenderaan yang jengkel dan kediaman yang sempit. – (Hadis Sahih, riwayat riwayat Al-Haakim).

3. Di mana salahnya jika saya mengguna pakai kereta ini sehingga saya mampu melakukan perjalanan 1400 km dalam masa 2 hari untuk kerja-kerja parti? Hari pertama daripada KL ke Ayer Kuning Perak (250+-km). Lepas zohor bertolak ke penang (115+- km). Malamnya di Alor Star (115+- km). Lepas subuh bertolak ke Kuala Terengganu (460+-km). Petang bertolak ke KL untuk usrah selepas Isya di sana (450km+-). Jarak sekitara 1400 KM dalam masa 2 hari yang pernah saya tempuhi sewaktu PRU13 sangat sukar ditempuhi dengan menggunakan kereta biasa dengan memandu seorang diri.

4. Di mana salahnya jika mengikuti jejak langkah sahabat yang memiliki kenderaan yang bukan sahaja selesa tetapi kuat untuk berjihad menyampaikan dakwah seperti mereka memiliki Humr Niam dan kuda-kuda yang kuat. Abdul Rahman bin Auf memiliki 100 ekor kuda sewaktu beliau meninggal. Zubair bin Al Awwam, salah seorang antara 10 sahabat yagn dijamin syurga dan terkenal sebagai seorang yang zuhud, memiliki sebanyak 20 ekor kuda.

Berkenaan saham ESOS pula, apa yang disebarkan adalah palsu apabila cuba menggambarkan saya memperolehi setengah juta ringgit kerana kroni kepada Presiden dan MB. Lucunya, orang yang sebarkan berita ni tak tahu maksud ESOS dan bagaimana ia berlaku dan dikira. Ringkas cerita, saham ni bukan parti yang tentukan. Bukan MB yang tentukan. Apatah lagi presiden PAS. Ia berlaku 'by law', diluluskan melalui Bursa dan akta, dilaksanakan melaluli mandat pemegang saham dan dipantau oleh Option Committee. Ia bukan bermula pada tahun 2008 sewaktu PR ambil Selangor, ia bukan di luluskan waktu saya masuk tahun 2011, tetapi ia telah diluluskan oleh AGM (bukan parti politik) pada tahun 2004 lagi.

ESOS ni wujud di syarikat-syarikat korporat. Jika mereka tak pakai ESOS, mereka pakai LTIP (Long Term Incentive Plan) sebagaimana syarikat lama saya dulu (saham di UK). ESOS tertakluk kepada Bursa kerana Perangsang di bawah BURSA justeru ia adalah syarikat Listed Company.

Waktu ESOS dibuka, harga ESOS kepada staf ialah RM1,00, market value (Harga pasaran di Bursa) RM.080 manakala fair value ialah RM1.20+-. Maknanya, kalau saya beli pada waktu itu, saya akan rugi RM0.20 sen setiap saham. Tapi setiap orang boleh beli saham tu hatta kalau nak beli 1 juta unit saham sekalipun boleh melalui open market dengan harga RM0.80 sebab dia disenaraikan di open market di Bursa. Maknanya kalau anda beli saham tu di open market, harganya RM0.80 tapi kalau anda beli melalui ESOS, maka harganya RM1. ESOS ni bukan dapat tiap-tiap tahun dan bukan saya dan Sabki je dapat, semua staf dapat hatta eksekutif biasa sekalipun. Lagi satu, angka jumlah ESOS yang disebarkan itu adalah tidak betul.

Lebih melucukan apabila si penyebar fitnah sebut: "offer pada tahun 2012 (RM1) dan jual pada 2014 (RM1.80). Maka untungnya setengah juta". Nampak sangat tak tahu bab saham ESOS yang expired hanya sekitar 6 bulan sahaja.

Kalau benda tu salah, saya cabar mana-mana pihak buat aduan SPRM atau aduan ke Bursa. Kalau tak percaya kepada SPRM maka report ke Bursa supaya diblock kumpulan Perangsang daripada senarai. Bursa adalah badan berautoriti, telus dan responsif jika berlaku perlanggaran peraturan dalam pengurusan Listed Company di Malaysia.


P/S: 'barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mencegah dengan tangannya." Maka cegahlah FITNAH yang tersebar untuk lindungi diri kita daripada API NERAKA


Jawapan Tulang Besi kepada Din Ayam pula silalah baca di ( SINI )
-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...