Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Memalukan!! Gara-gara percaya fitnah macai, MP BN kena gelak dalam Dewan..

Posted: 13 Oct 2014 07:59 AM PDT


Cerita pasal Guan Eng beli kereta berperisai yang harganya lebih mahal dari Hummer ini sebenarnya adalah satu cerita lama.

Ceritanya muncul dalam Facebook apa nama tah yang akupun dah lupa ketika 'S' Class baru milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang hangat diperdebatkan dalam berbagai laman sosial.

Ianya bukanlah fitnah dari pemilik laman Facebook itu sebab admin Facebook itu telah menulis dengan huruf besar 'SINDIRAN' pada awal cerita itu.

Berita itu pada mulanya muncul di Facebook dengan penafian yang ia adalah satu berita olok-olok - namun perkara itu gagal difahami oleh blog yang menyebarkannya.

Entah macam mana tiba-tiba ianya kembali berdedar dalam laman sosial seminggu dua yang lalu.. mungkin kerana macai dah tak ada modal nak dijadikan isu.. jumpa saja cerita tu terus recycle..


Betul atau tidak.. mereka tak kisah..

Kemudiannya beberapa blog pro-Umno minggu lepas mengedarkan gambar Conquest Knight IV yang didakwa dibeli Lim pada harga RM2,298,263.75.

Tetapi cubaan macai-macai itu untuk memperbodohkan rakyat Malaysia kurang berjaya.. malangnya ianya berjaya memperbodohkan Ahli Parlimen dari UMNO sendiri...

Kan dah kena gelak...

MP BN ditertawa bangkit 'kereta perisai' Lim

Datuk Zahidi Zainul Abidin (BN-Padang Besar) diketawakan sebilangan MP Pakatan Rakyat kerana menyoal tentang berita olok-olok membabitkan kenderaan rasmi ketua menteri Pulau Pinang.

Zahidi bertanya tentang perkara itu sewaktu mencelah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membahaskan Belanjawan 2015 tengah hari ini.

Zahidi bertanya tentang pembelian kereta rasmi Lim Guan Eng yang menurutnya dilengkapi perisai kalis peluru.

Pertanyaan itu membuatkan Khalid Samad (PAS-Shah Alam) berdiri dan mula ketawa pada beliau.

Menurut Khalid, berita olok-olok itu mula disebarkan oleh blog pro-Umno dan Zahidi kini mempercayainya.

"Padang Besar (Zahidi) ini tertipu dengan propaganda Umno sendiri yang mengatakan ketua menteri beli kereta harga RM2 juta.

"Ini bila dah cukup banyak sangat penipuan, dia sendiri pula percaya.

"Inilah satu kes yang agak kelakar bila dah banyak sangat penipuan, yang menipu itu pun percaya dengan penipuan mereka sendiri.

"Jangan percaya sangat tentera siber Umno ini semua. Tak ada gunalah," kata Khalid mengundang kemarahan dari seorang lagi MP Umno.

Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) bangkit dan membidas Khalid.

"Permatang Pauh (Anwar), tak usik Umno langsung. Hujah itu baik. Janganlah kacau daun," katanya.

Khalid membalas, "Cara Shah Alam, cara Shah Alam. Cara Permatang Pauh, cara Permatang Pauh".

Anwar kemudian menegaskan bahawa tuduhan pembelian kenderaan bernilai RM2 juta itu tidak benar.

Menurutnya, Lim tiada apa-apa yang mahu disorokkan tentang pembelian kenderaannya yang bernilai RM300,000 ~ Malaysiakini

Annuar Musa ajak PAS sertai BN

Posted: 13 Oct 2014 05:08 AM PDT


Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa hari ini berkata, PAS adalah tulang belakang kepada komponen parti dalam Pakatan Rakyat (PR) meskipun kemelut menteri besar Selangor sebelum ini menyaksikan parti Islam itu bertelagah dengan DAP dan PKR.

Annuar berkata, lebih baik PAS bersama dengan Barisan Nasional (BN) daripada terus dibuli rakan-rakan dalam PR.

"PAS marilah duduk bersama BN," katanya ketika perbahasan Belanjawan 2015 di Dewan Rakyat Parlimen, Kuala Lumpur hari ini.

"PKR dan DAP buli PAS, turut buli bekas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Mereka lupa kekuatan DAP dan PKR datang daripada PAS," katanya.

Kenyataan itu kemudiannya disambut Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad yang bangun dan menegaskan PAS tidak akan "termakan umpan" yang dihulurkan Umno untuk menyertai BN.

"Ucapan Ketereh amat melucukan, macam nak cuba beri umpan. Beliau kata kita orang lama, minta maaf Ketereh, kita tidak termakan umpan," kata Khalid ketika membalas hujah daripada Annuar.

Annuar kemudiannya memuji PAS kerana mempunyai pendirian yang teguh meskipun diasak kepimpinan DAP dan PKR.

"PAS tidak akan hancur kerana mereka istiqamah dalam perjuangan mereka, yang hancur parti lain," kata Annuar.

Khalid kemudian bangun sekali lagi dan menegaskan kebersamaan PAS bersama PR berjaya menjadikan sokongan mereka meningkat sehingga 52% ketika pilihan raya umum 2013.

"Apa nak bangga sangat dengan 52%, kalau orang buli," kata Annuar.

"Saya tidak salahkan Shah Alam, beliau tidak tahu," kata pemimpin Umno itu.

Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Abduh Nik Abdul Aziz sebelum ini melalui akaun Facebook miliknya mengakui PAS menjadi mangsa buli DAP dan PKR rentetan isu di Selangor berhubung isu menteri besar dan pemecatan ahli majlis di Pulau Pinang baru-baru ini.

Anak Mursyidul Am PAS itu berkata, jika dahulu PAS mangsa buli Umno, sekarang mereka dibuli rakan sendiri dalam PR.

"Hari ini, selain Umno, PKR dan DAP mula hendak buli PAS.

"Sehinggakan PAS kelihatan seperti terpinga-pinga tidak tahu hendak sentuh yang mana satu. Semua macam tidak menjadi," katanya dalam tulisan akaun Facebook miliknya.

Pertelagahan PAS dengan rakan komponen PR semakin hangat apabila parti itu tetap menghantar lebih daripada satu nama calon menteri besar, sedangkan DAP dan PKR memutuskan mereka akan tetap menghantar nama Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengkehendaki parti pemerintah di Selangor itu menghantar lebih daripada satu nama calon untuk dilantik sebagai menteri besar.

Baginda kemudiannya memilih melantik Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali sebagai menteri besar Selangor ~ The Malaysian Insider

Meroyanlah Muhyiddin.. Blogger Mahathir namakan Khairy sebagai pengganti TPM..

Posted: 13 Oct 2014 01:57 AM PDT


Wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin berkata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berpeluang menjadi timbalan perdana menteri sekiranya Datuk Seri Najib Razak berundur sebelum pilihan raya umum akan datang.

Bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times Press (NSTP) itu berkata, situasi ini akan berlaku sekiranya Najib menyerahkan kepimpinan negara kepada sepupunya Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang kini merupakan menteri pertahanan.

"Kalau dengan takdir Mohd Najib terpaksa berundur sebelum pilihan raya umum (PRU) akan datang, pasangan (Tan Sri) Muhyiddin Mohd Yassin dan (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi adalah alternatif yang logik," tulis Kadir dalam artikel bertajuk "Isu Kepemimpinan: Memperkatakan Khairy Jamaluddin" dalam blognya "The Scribe A Kadir Jasin", hari ini.

"Tetapi kalau Muhyiddin terus penat dan menderita sindrom timbalan perdana menteri maka jawatan PM mungkin jatuh ke tangan Hishammudin Hussein dan dalam situasi itu, Khairy berpotensi naik menjadi TPM."

Menurut Kadir, ketika ini tidak ada pelapis kepimpinan Umno yang menonjol seperti menantu bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi itu.

"Dalam dunia yang dipacu oleh media sosial, ramai orang tahu bahawa Khairy menghantar anaknya ke sekolah kebangsaan pada saat ramai pembesar Umno, termasuk menteri sendiri curi-curi hantar anak-anak mereka ke sekolah elit swasta. Beliau sendiri masuk menjadi anggota Tentera Wataniah.

"Dalam politik tidak ada yang mustahil. Yang tidak masuk akal pun boleh berlaku. Jadi, suka atau tidak kita terpaksa meletakkan Khairy di tempat yang penting dalam senario politik dan kepemimpinan negara untuk dekad ini," katanya.

Kadir berkata, selepas Abdullah meletak jawatan sebagai perdana menteri dan presiden Umno berikutan prestasi buruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU12), Najib menjadi penyelamat kepada Khairy.

"Hari ini, kedudukan beliau dalam politik Umno boleh disifatkan sebagai unshakable - sukar digoyang. Sebagai Ketua Pemuda serta menteri belia dan sukan, beliau mempunyai kedudukan yang cukup kuat dalam hierarki Umno.

"Untuk itu, beliau wajar berterima kasih kepada Mohd Najib kerana melantik beliau menyandang jawatan menteri belia dan sukan. Saya adalah antara orang yang mahu Khairy diberikan jawatan menteri apabila beliau menang Ketua Pemuda," katanya.

Menurut Kadir, gabungan jawatan Ketua Pemuda dengan kementerian belia memberikan terlalu banyak kuasa dan kelebihan kepada Khairy berbanding barisan kepemimpinan Umno dan kerajaan yang seangkatan dengannya.

"Sama ada Mohd Najib menyedarinya atau tidak, Khairy kini muncul sebagai orang paling hadapan dalam pewarisan Umno. Selepas presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden adalah Khairy.

"Sebab itu pada masa lampau, presiden Umno dan perdana menteri amat berhati-hati memberi jawatan dan peranan kepada Ketua Pemuda. Tidak semua Ketua Pemuda diberikan jawatan, apatah lagi jawatan menteri belia," katanya.

Menurut Kadir, terdapat perdana menteri yang tidak memberikan jawatan menteri belia kepada ketua pemuda jika tidak diyakini kesetiaannya.

"Jadi kita tidak perlu hairan atau marah kepada Khairy kalau beliau nampak begitu yakin dan berani.

"Pertamanya, perwakilan Pemuda telah memberi undi mutlak kepada beliau dua kali berturut-turut. Keduanya, presiden Umno merangkap perdana menteri melantik beliau menjadi menteri belia," kata wartawan veteran itu ~ The Malaysian Insider

Rafizi kini bukan lagi Pengarah Strategik PKR..

Posted: 12 Oct 2014 10:30 PM PDT


Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat keputusan mengejut apabila melantik Naib Presiden, Rafizi Ramli sebagai setiausaha agung parti itu yang baharu bagi menggantikan Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Ketetapan itu dilakukan seiring dengan pelantikan Timbalan Presidennya, Mohamad Azmin Ali yang kini mengisi jawatan Menteri Besar Selangor.

Saifuddin dan Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar kini dilantik sebagai Pengarah Bersama Pilihan Raya parti, manakala Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin mengambil alih kerusi Rafizi sebagai pengarah strategik.

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat yang dipengerusikan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Ahad.

Bercakap kepada The Star Online, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, perubahan itu adalah amalan biasa untuk memastikan pemimpin yang sesuai mengisi jawatan tertentu bagi memantapkan operasi parti.

"Dengan timbalan presiden dilantik sebagai menteri besar, tentu sekali dia sibuk dengan pelbagai tugas selain dalam parti, sebab itu kita perlu membuat perubahan ini," katanya ketika dihubungi.

PKR juga melantik dua naib presiden yang baharu, sebagai tambahan kepada tiga yang dipilih baru-baru ini.

Bagaimanapun, seorang lagi naib presiden belum diputuskan dan ia dikatakan akan diisi di kalangan pakar akademik Melayu.

"Dua naib presiden baharu itu adalah Ahli Dewan Undangan Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar dan Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking.

"Bagaimanapun, kami belum memutuskan nama ketiga untuk jawatan itu. Pengumuman mengenainya akan dibuat tidak lama lagi," kata Zuraida.

Sementara itu, katanya, Fahmi Fadzil kekal sebagai pengarah komunikasi parti.

Pengumuman rasmi berhubung perubahan jawatan dalam parti ini dijangka diumumkan dalam masa terdekat lapor mStar

Pondok Polis runtuh dihempap pokok, dua anggota maut..

Posted: 12 Oct 2014 08:24 PM PDT


Ada yang terkorban rupanya dalam beberapa siri runtuhan yang melanda negara kita berikutan angin kuat dan juga hujan lebat dibeberapa negeri semalam.

Tiada yang terbunuh bilamana bumbung jejantas di Lebuhraya Perling-Pasir Gudang runtuh ketika hujan lebat melanda bandaraya Johor Baharu dalam kejadian yang berlaku kira-kira 4.30 petang semalam, hanya dua lelaki dan tiga wanita cedera.


Dan tiada juga yang dilaporkan terbunuh bilamana pentas pertunjukkan tattoo di Stadium Merdeka rosak teruk berikutan ribut petang semalam..


Tetapi andaikata kejadian berlaku ketika pertunjukan berlangsung ianya pasti memalukan negara kerana ianya disertai oleh 12 negara dengan 3,000 anggota tentera terlibat.

Kuala Lumpur International TATTOO 2014 bertempat di Stadium Merdeka ini dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dengan kerjasama dari Angkatan Tentera Malaysia telah dirasmikan oleh Menteri Pertahanan Malaysia, YB Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Kalau runtuh masa Hishamuddin rasmikan tu.. tak tahulah nak kata apa.. mungkin akan ada PRK pula.. dan Pihak Berkuasa akan lebih berhati-hati dalam meluluskan sebarang struktur binaan..

Faham-faham sajalah negara kita ni.. selagi yang runtuh tu tak kena kepala kaum kerabat depa.. tak apa...

Tetapi angin yang kuat dan hujan yang lebat telah meragut nyawa dua anggota Polis..


Dua anggota polis maut dalam kejadian pokok tumbang yang menghempap kontena pondok polis akibat hujan lebat yang melanda sekitar ibu negara malam tadi.

Dua anggota polis yang maut dalam kejadian kira-kira jam 7 malam di Jalan Bellfield, Kampung Attap di ibunegara itu dikenali sebagai Konstabel Mohd Sharil Hisham Hashamdi, 25, dan Koperal Dzulkhairi Ahmad, 48. Mohd Sharil Hisham meninggal dunia di tempat kejadian manakala Dzulkhairi meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah, kedua-dua mangsa bertugas dengan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPPKKL) dan ditugaskan di lokasi berkenaan yang menjadi pejabat setor menyimpan barang kes.

Bercakap kepada pemberita di Zon Kritikal HKL, beliau berkata hujan lebat petang tadi menyebabkan sebatang pokok tumbang lalu menghempap pondok polis itu.

Zainol berkata Allahyarham Mohd Sharil Hisham berasal dari Sabah manakala Allahyarham Dzulkhairi berasal dari Kerinchi, Kuala Lumpur.

"Anggota keluarga kedua-dua mangsa telah dimaklumkan mengenai kejadian itu," katanya sambil menambah bedah siasat akan dilakukan hari ini.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur memaklumkan operasi mengeluarkan mangsa melibatkan 28 anggota dari balai Sungai Besi dan Hang Tuah. - Bernama


Al-Fatihah buat yang terkorban!!

Najib buktikan beliau sendiri tak faham apakejadahnya 1Malaysia itu...

Posted: 12 Oct 2014 05:30 PM PDT

Kenyataan Datuk Seri Najib Razak awal hari ini mengingatkan masyarakat Cina tidak membuat tuntutan kepada kerajaan sekiranya mereka tidak menyokong Barisan Nasional (BN) menerima kritikan hebat pemimpin pembangkang, ahli akademik dan pengguna Internet.

Mereka berkata, sebagai perdana menteri bagi sebuah negara, Najib seharusnya mewakili semua rakyat Malaysia dan mendengar permintaan semua pihak, baik yang menyokong partinya mahu pun yang menentang.

Pengguna media sosial pula, sesetengahnya melahirkan rasa terkejut dengan kenyataan Najib yang dibuat semasa berucap di Perhimpunan Agung MCA itu, mengatakan beliau sendiri tidak berpegang kepada slogan 1Malaysia yang diilhamkannya.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menulis di dalam akaun Twitternya: "Masih terus dgn nada angkuh..."

Manakala, pengerusi DAP Selangor Tony Pua menulis di status Facebook: "Memandangkan kami tidak menyokong kerajaan BN dan Najib tidak mahu dengar permintaan kami, mungkin dia tak perlu kutip cukai dari kami juga?"

Naib Presiden PKR Tian Chua menyifatkan ucapan Najib itu satu kesilapan besar dan tidak seharusnya dibuat oleh seorang perdana menteri.

"Dia lupa yang dia selalu berkata dengan bangga yang 'saya akan menjadi perdana menteri untuk semua.' Sekarang dia bercakap sebagai seorang perdana menteri yang berpihak kepada satu kumpulan," katanya sambil mengharapkan agar Najib menarik balik kenyataannya.

Setiausaha DAP Anthony Loke bertanya adakah Najib sedar yang konsep utama demokrasi ialah memberi hak kepada rakyat memilih pemimpin mereka melalui proses pilihan raya.

"Oleh itu, menjadi tanggungjawab parti yang membentuk kerajaan mentadbir negaranya selepas pilihan raya dan berkhidmat kepada semua rakyat tanpa berdendam terhadap sesiapa yang tidak menyokongnya," katanya.

Felo Institut Pulau Pinang Dr Wong Chin Huat, berkata kenyataan Najib itu menunjukkan beliau melihat dirinya hanya sebagai perdana menteri kepada 47% rakyat Malaysia.

"Kalau sesuatu komuniti atau individu terpaksa melepaskan hak mereka sebelum boleh membuat tuntutan yang sah kepada kerajaan, maka mereka patut lepaskan tanggungjawab untuk membayar cukai.

"Lagipun, menjadi kerajaan ialah tentang mengutip cukai dan membekalkan perkhidmatan. Membekalkan perkhidmatan tanpa mengutip cukai ialah kerja amal. Dan mengutip cukai tanpa membekalkan perkhidmatan ialah rompakan," katanya.

Dr Lim Teck Ghee dari Centre for Policy Initiatives (CPI) berkata Najib nampaknya tidak belajar dari kesilapan lalu apabila membuat sesuatu kenyataan yang kasar.

"Beliau selalu berkata begitu kepada masyarakat Cina, dan ia tak pernah berkesan. Beliau sebenarnya lebih memburukkan lagi keadaan bagi MCA apabila dengan kasar berkata, kalau kamu tak undi kami, kami tak akan jaga kamu."

Katanya, mengeluarkan kenyataan begitu di khalayak ramai sama seperti satu ugutan politik, dan ia berkemungkinan besar akan memakan dirinya sendiri.

Antara pengguna media sosial yang memberi komen di portal The Malaysian Insider ialah seorang yang menamakan dirinya Going_bananas, mengucapkan terima kasih kepada Najib kerana mengaku BN tidak berlaku adil terhadap masyarakat Cina.

"Anda sepatutnya seorang PM sebuah negara berbilang etnik. Anda sepatutnya adil kepada semua, bukan hanya kepada penyokong anda sahaja," katanya sambil menambah ucapan Najib itu hanya akan menggalakkan kewujudan lebih ramai orang seperti Datuk Ibrahim Ali yang tanpa segan silu menyerang orang bukan Melayu.

Seorang lagi pembaca D1_Only menulis: "Betulkah ini, Najib? Bukankah kita tinggal di negara demokrasi?" dan beyondthefence mengatakan: "Saya rasa sepatutnya beliau kata, jangan harap orang Cina akan sokong BN sekiranya BN tidak memperbaiki dirinya."

Sementara itu, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai pada satu sidang media menyalahkan portal berita kerana 'memutarbelit' ucapan Najib dan memberi imej negatif terhadap kerajaan.

Beliau menafikan laporan awal hari ini dan mengatakan Najib hanya melahirkan harapan agar komuniti Cina menyokong BN dan bukan Pakatan Rakyat lapor The Malaysian Insider
-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...