Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Dari Melati kepada macai yang nama “KuntaKinte Malaysia” tu...

Posted: 04 Oct 2014 01:00 AM PDT


Aktivis dan ahli DAP, Jamila Rahim, seorang wanita Islam berpurdah, lebih dikenali sebagai Melati, percaya tidak wujud konflik antara keimanannya dengan parti yang disertai, walaupun ia membawa ideologi sosialis dan sekularis.

"Saya tertarik kepada DAP kerana ia menolak politik perkauman dan fokus kepada keadilan dan kebajikan.

"Islam menganjurkan kebajikan dan kemanusiaan," katanya.

Aktivis berusia 22 tahun itu menerima kritikan hebat minggu ini selepas ramai mengetahui beliau menyertai DAP, dengan seorang penulis blog Melayu hingga berkata lebih baik Melati jadi pelacur.

Kepada mereka yang membencinya, Melati ada jawapan ini:"Allah tidak pernah beri sesiapa hak untuk menghina orang lain."

Beliau yang juga seorang penulis novel berkata kepada The Malaysian Insider tidak pernah menjangka hentaman sedemikian terhadapnya hanya kerana menyertai DAP.

"Hanya kerana saya berpurdah, orang anggap saya patut hadkan tindakan. Tetapi saya ada hak untuk buat apa yang saya mahu dan saya tidak firkin menyertai DAP itu salah.

"Saya menyertai sebuah parti; Saya tidak jual agama. Saya tidak tukar agama. Saya masih Islam," katanya.

Seorang penulis blog dengan nama "KuntaKinte Malaysia" menulis keputusan Melati untuk menyertai DAP adalah sama seperti menjual diri dan agamanya untuk kekayaan yang ditawarkan.

"Pelacur yang menjual diri tidak akan menghakis kedudukan kebesaran Islam di negara ini, tapi mereka yang menyertai DAP sedang membantu menghancurkan kedudukan Islam di Malaysia.

"Hakikatnya, lebih mulia jadi pelacur yang menjual diri untuk sesuap nasi, dari mereka yang bertudung dan berpurdah 'menjual diri' kepada DAP untuk kesenangan dunia sehingga melemahkan Islam," katanya di laman sosial www.mykmu.net.

Penghinaan penulis blog itu tidak meruntuhkan Melati.

"Mereka mempersoalkan keimanan saya dalam Islam, tetapi mereka sendiri tidak melakukan perkara yang betul dengan menghina saya. Islam tidak pernah mengajar kita untuk hina orang seperti itu," katanya.

Beliau berkata, kritikan itu umpama api kepadanya, tetapi ia tidak membuatnya menyesal menyertai DAP atau memakai purdah.

"Dalam Islam, berpurdah tidak wajib, ia Sunnah. Dan saya buat keputusan memakainya kerana saya percaya ia adalah hak saya," katanya.

Melati melihat agama sebagai perkara peribadi, dan tidak seperti PAS, yang mahu menukar Malaysia kepada negara Islam dan melaksanakan hudud, beliau mengambil pendirian lebih pragmatik berhubung isu berkenaan.

"Agama adalah hak peribadi seseorang. Kita tidak boleh paksa orang jadi seperti kita, dan kita tidak boleh paksa orang buat apa yang kita mahu.

"Jika kita lihat kenyataan Tunku Abdul Rahman, beliau berkata Malaysia adalah negara sekular, tetapi Islam adalah agama rasminya.

"Saya orang Islam, dan hudud disebut dalam Al-Quran. Saya tidak menolaknya. Tetapi untuk melaksanakannya dalam negara berbilang bangsa dan agama …

"Ia seperti apa yang (bekas mufti Perlis) Dr Mohd Asri Zainul Abidin said, kita perlu menyelesaikan isu lain dulu, seperti membanteras rasuah," katanya.

Mempunyai 7 adik beradik, Melati menamatkan pengajian dari Universiti Selangor dengan diploma Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua pada 2011.

Tetapi beliau memilih untuk mengajar di sebuah rumah kebajikan yang kekurangan kakitangan di Teluk Intan yang menempatkan 70 penghuni dengan pelbagai ketidakupayaan.

"Saya beritahu diri ini, jika saya tidak buat, siapa yang hendak buat," katanya, ketika ditanya mengapa bekerja di tempat itu.

Bekerja di rumah kebajikan membuka matanya kepada diskriminasi yang dialami orang kurang upaya, dan mendorongnya untuk menjadi aktivis dan membela mereka.

Melati berkata, beliau terkesan dan sangat kasihan kepada golongan tertindas dan mereka yang dieksloitasi, dan ia tercermin menerusi penulisannya – novelnya Pelacur Kelas Pertama adalah mengenai pelacur, isteri yang didera dan pengantin yang diculik menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

"Menerusi DAP, Insya-Allah, saya akan boleh membela mereka yang kurang upaya, dan bantu memperkenalkan pendidikan terapeutik kepada mereka.

"Mereka adalah kumpulan terpencil yang mendapat perhatian sangat sedikit. Saya juga mahu fokus kepada hak wanita, dan kebajikan untuk semua," katanya.

Katanya, beliau tidak berminat dengan kedudukan politik dalam parti, dan tidak ada rancangan untuk berbuat demikian pada masa depan.

"Saya tidak pernah terfikir untuk jadi Adun atau ahli Parlimen. Saya menyertai DAP untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat," katanya.

Melati berkata, keluarga dan rakan menyokong keputusan itu walaupun mereka di luar lingkungan yang mengenalinya tidak begitu mengalu-alukan idea berkenaan.

"Di Malaysia, masalah perkauman sangat tinggi. Jadi bila saya masuk DAP, rakan kepada sahabat baik saya rasa saya khianati Melayu. Jadi mereka suruh rakan jangan berkawan dengan saya.

"Rakan dan keluarga berdepan banyak tekanan mengenai perkara ini, tetapi mereka tidak lepaskan kepada saya. Mereka melindungi saya daripada tekanan itu," katanya.

Tetapi Melati sudah biasa dengan kontroversi – beliau menceritakan menerima mesej ancaman di telefonnya selepas menyertai bantahan untuk pendidikan percuma 3 tahun lalu.

"Ketika saya masih belajar di Unisel, orang tidak dikenali hantar mesej kepada saya cakap mahu pukul saya, rogol saya, hanya kerana mereka tidka setuju saya menyertai bantahan seumpama itu," katanya.

Melati berkata, beliau tidak menghiraukan pesanan itu, dan memilih untuk melakukan perkara sama kali ini ketika berdepan dengan hinaan dan gelaran yang mencercanya di Internet.

"Kita tidak boleh halang orang bercakap apa yang mereka mahu. Jika saya balas, ia akan berterusan, jadi, saya hanya tunggu mereka penat dan berhenti," katanya.

Ketika ditanya mengenai harapannya untuk masa depan Malaysia, Melati berkata beliau mahu kerajaan memperuntukkan lebih banyak bantuan kepada golongan kurang upaya dan yang memerlukan, selain menghentikan rasuah.

"Bagi masa depan saya – dalam tempoh 5 tahun, saya harap dapat membuka rumah kebajikan saya sendiri," katanya lapor The Malaysian Insider
 

Jawapan standard Menteri bila petrol, diesel dinaikkan harga..

Posted: 03 Oct 2014 08:51 PM PDT


Setiap kali harga subsidi petrol minyak dan diesel dikurangkan, jawapan standard yang dikeluarkan menteri adalah, "kita minta peniaga jangan naikkan harga barang", "tindakan tegas akan diambil kepada peniaga yang menaikkan harga barang" dan "kerajaan akan pantau harga ikan dan ayam agar tidak dinaikkan".

Terbaru selepas harga petrol RON 95 meningkat kepada RM2.30 seliter daripada RM2.10 dan diesel meningkat kepada RM2.20 daripada RM2, jawapan yang sama kita dengari daripada mulut menteri berkaitan.

Semalam Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melalui jawatankuasa kos sara hidup bagi memantau kenaikan harga barang.

Menteri pertanian dan industri asas tani itu berkata, ia bagi memastikan kepentingan golongan petani dan juga pengguna tidak terjejas susulan kenaikan harga minyak.

"Kalau letak harga barang terlampau rendah, petani akan terjejas. Namun, kalau dinaikkan harga kesannya akan dirasai pengguna pula.

"Oleh itu, kita sentiasa berbincang dengan KPDNKK untuk seimbangkan kepentingan kedua-duanya. Kita mahu kedua-duanya dapat keuntungan," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Ismail berkata, kementeriannya akan memantau harga ikan di seluruh negara berikutan kenaikan harga petrol dan diesel yang berlaku akibat pengurangan subsidi bahan bakar berkenaan.

"Pemantauan di Pasar Tani Khas Hari Raya Aidiladha di sini (Putrajaya) juga mendapati pengurangan subsidi diesel belum memberi kesan kepada harga ikan.

"Namun berdasarkan pengalaman sebelum ini, berlaku kenaikan harga ikan antara 8 hingga 13%," katanya.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata, walaupun kerajaan mengurangkan subsidi petrol dan diesel, rakyat masih menikmati subsidi tepung, gas memasak, minyak masak, kesihatan, perubatan, pendidikan, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kedai Rakyat 1Malaysia dan lain-lain.

Hasan berkata, sebanyak 1,800 anggota penguatkuasa digerakkan ke seluruh negara untuk bertindak terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan berikutan tindakan mengurangkan subsidi harga minyak yang dibuat kerajaan.

Kenyataan seperti ini yang sering diberikan menteri setiap kali kenaikan harga bahan bakar seperti petrol dan disel berlaku akibat pengurangan subsidi.

Sedangkan realitinya kenaikan harga petrol dan diesel sudah tentu memberikan kesan berantai dan golongan peniaga akan menanggung kenaikan kos yang akan dipindahkan kepada pengguna.

Ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mempersoalkan rasional pengurangan subsidi petrol dan diesel dilakukan kerajaan ketika trend harga minyak dunia mengalami penurunan.

Pemimpin PAS itu berkata, beliau hairan mengapa Malaysia tetap mengurangkan harga bahan api walaupun dikenali sebagai negara pengeluar dan penyimpan minyak utama di Asia Tenggara.

"Saya merasa musykil dengan kenaikan harga bahan api yang dilakukan pihak kerajaan semalam (Khamis) sedangkan beberapa hari yang lalu, harga minyak West Texas Intermediate (WTI) mengalami penurunan 4% susulan daripada penurunan sebanyak 3.3% pada awal minggu lepas. Trend penurunan harga minyak juga berlaku di beberapa negara yang lain," katanya dalam satu kenyataan semalam.

"Ditambah lagi dengan perlaksanaan GST yang turut akan memberi kesan kepada kenaikan inflasi kelak. Ini akan menyebabkan beban kewangan rakyat terus bertambah dan kerajaan terus memekakkan diri," katanya.

Daripada terus memberikan jawapan yang "menyakitkan" hati rakyat, adalah lebih baik kerajaan menerangkan kepada rakyat tentang kedudukan kewangan negara.

 

Tetapi, setiap kali Laporan Ketua Audit Negara dikeluarkan, kita akan lihat bagaimana wang pembayar cukai dibazirkan dan ketirisan yang berlaku dalam kerajaan.

Jika kerajaan sendiri tidak berusaha untuk menjaga wang pembayar cukai dan rezab negara, salahkah jika rakyat marah dengan kenaikan harga petrol dan diesel yang sudah pasti akan membebankan kehidupan mereka?


Oleh AMIN ISKANDAR
-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...