CELAH GELEGAR

CELAH GELEGAR


(PESTA ARAK, OKTOBERFEST) Nik Zawawi, SU Ulamak Pas HETAM Khalid Samad

Posted: 03 Oct 2014 02:48 AM PDT


Negara majmuk bukan alasan membenarkan pesta arak Oktoberfest – Nik Zawawi

BANGI, 3 Okt – Alasan negara majmuk tidak boleh digunapakai untuk terus membenarkan pesta arak seperti 'Oktoberfest' dianjurkan di negara ini, tegas Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Ustaz Nik Zawawi Nik Salleh.

Sekalipun pengharaman arak hanya kepada orang Islam, tetapi orang bukan Islam tidak boleh menganjurkan pesta arak.

"Dari sudut kaca mata Islam, Islam hanya memberikan ruang untuk mereka minum sahaja, bukannya dalam bentuk pesta, iklan atau mempromosikan arak.

"Apatah lagi dianjurkan di khalayak ramai. Semua itu bercanggah dalam Islam," tegasnya kepada wartawan ISMAweb.



Khalid Samad: Pesta arak 'Oktoberfest' tidak boleh dihalang

Sebelum ini Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, menjelaskan bahawa penganjuran pesta arak 'Oktoberfest' anjuran Carlsberg Malaysia tidak boleh dihalang ekoran Malaysia merupakan sebuah negara majmuk.

Sekalipun, arak difahami sebagai ibu segala maksiat bagi ummat Islam dan pesta arak bercanggah dalam Islam, namun penganjuran pesta oleh Carlsberg itu tidak boleh dihalang kerana ia dianjurkan untuk orang bukan Islam.

"Islam mengiktiraf bahawa arak tidak merupakan sesuatu yang haram mengikut ajaran agama mereka.

"Tambahan pula pesta kemuncak yang akan diadakakan di Petaling Jaya itu adalah di kawasan majoriti bukan Islam.
"Apatah lagi jika mahu dibandingkan dosa arak dengan syirik, sebenarnya dosa syirik lebih besar berbanding arak, namun gereja dan kuil tetap dibenarkan," ujarnya ketika dihubungi wartawan ISMAweb.


Beliau berkata demikian sebagai respon berkenaan penganjuran pesta arak oleh Carlsberg yang didedahkan ISMAweb beberapa hari lalu. Pesta arak ini telah pun bermula sejak 24 September lalu di RP, Saujana Hotel Subang dan diikuti di Berjaya Time Square Hotel, Brussels Setia Walk, Puchong, I Beam, Batu Pahat, Johor, Deutsches Gasthaus, Kepong, KL, Hakka Restaurant Kuala Lumpur, Movida, Sunway Giza, PJ dan Euro Deli, Penang.

Kemuncak pesta ini akan diadakan pada 10 hingga 12 Oktober ini di tempat letak kereta, One Utama Petaling Jaya.

Tambah beliau, lebih 60% di Petaling Jaya ini adalah bukan Islam, jadi tidak ada sebab untuk mengahalang mereka mengadakan acara sebegitu.

"Cumanya, perlu dipertegaskan bahawa orang Islam tidak boleh hadir ke pesta arak seperti itu.

"Pada masa yang sama kawalan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu diadakan untuk menentukan tiada keterlanjuran oleh man-mana pihak akan berlaku dan ianya dilakukan dalam suasana terkawal," katanya.

Jadi bagi mengatasi budaya minum arak ini, ujar Khalid, mungkin pihak kerajaan boleh mengadakan kempen kesedaran kepada orang bukan Islam berkenaan bahaya dan keburukan arak.

Walaupun kita tidak boleh menghalang program sebegini dianjurkan oleh pihak bukan Islam, namun kesesuaian tempat dan kaedah anjuran perlu sentiasa dikaji PBT.

(AKTA HASUTAN TIDAK BERSALAH) Mansuh Akta Hasutan atau Mansuhkan Manusia Yang Salah Guna Akta Hasutan

Posted: 03 Oct 2014 02:12 AM PDT


FAQ ‪#‎KekalAktaHasutan‬

Soalan : Kita perlu mansuhkan Akta Hasutan kerana ia sering di salahgunakan oleh kerajaan untuk mendakwa pemimpin pembangkang. 

Jawapan : Undang-undang tidak pernah menyalahgunakan manusia tetapi manusialah yang sering kali menyalahgunakan undang-undang. Oleh itu yang wajib di mansuhkan adalah manusia itu, bukannya undang-undang. Selagi manusia itu ada maka manusia itu akan terus mengulangi perbuatannya. 

Siapa manusia itu? 

Yang berkuasa membuat pendakwaan adalah Peguam Negara. Jika terbukti Peguam negara dengan niat jahat beliau hanya mendakwa pemimpin pembangkang maka ini bermaksud beliau telah melanggar sumpah jawatan beliau sendiri untuk membuat keputusan secara adil dan tidak memihak. Maka kita perlu tukar Peguam Negara sekarang kepada Peguam Negara yang baru, bukannya mansuh Akta Hasutan. 

Begitu juga dengan PM. Jika persepsi menyatakan bahawa PM yang mengarahkan Peguam Negara untuk membuat dakwaan, maka ini adalah satu penyalahgunaan kuasa yang wajib di buktikan berlakunya salahguna kuasa tersebut. Anwar Ibrahim telah merengkok di penjara kerana salahguna kuasa beliau sebagai TPM untuk mengarahkan polis memaksa saksi menarik balik akuan bersumpah mereka. Dengan bukti-bukti yang di bicarakan di mahkamah dan bukti itu gagal di sangkal oleh 10 orang peguambela terhandal di Malaysia maka Anwar masuk jail 6 tahun.

Maka perkara yang sama perlu di buktikan samada betul atau tidak PM telah menyalahgunakan kuasanya mengarahkan Peguam Negara untuk membuat pendakwaan terpilih. Kalau betul maka PM juga wajib kita tukar yang baru, bukannya mansuhkan Akta Hasutan tapi PM masih manusia yang sama. 

It is always the people who abuse the law but the law never abuse people. Change the people, not the law.

Malaysia Mempertahankan Akta Hasutan

Buzze Azam

(PENJELASAN Untuk Prof. Agus) Kenapa Harga Minyak Dunia Turun Tapi Harga DINAIKKAN

Posted: 02 Oct 2014 11:46 PM PDT


PENERANGAN MENGENAI ISU RASIONALISASI SUBSIDI

Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia,

Berikut adalah beberapa penerangan dan pencerahan mengenai persoalan yang timbul mengenai perlaksanaan rasionalisasi subsidi baru-baru ini. 


1. Kerajaan ni tak sebut naikkan harga minyak tapi harga dekat pam naik? Apa sebenarnya ni? 

Kerajaan sebenarnya melaksanakan apa yang disebut sebagai rasionalisasi subsidi yang mana kerajaan mengurangkan hasil pemberian subsidi yang dibayar kepada syarikat minyak untuk memastikan harga bahan bakar di pam tetap pada harga tertentu. Apabila sebahagian subsidi ini ditarik balik hasilnya harga minyak di pam meningkat, sebab itu kita sebut kerajaan mengurangkan subsidi sebanyak 20 sen seliter maka impak dari keputusan ni ialah harga di pam meningkat kepada RM 2.30 untuk RON95 dan RM2.20 seliter untuk Diesel. 

2. Kenapa rasionalisasi ini dilaksanakan?

Ini sebahagian dari langkah kerajaan untuk menangani defisit belanjawan negara serta menstabilkan kewangan negara dalam jangka masa panjang. Defisit bermaksud perbelanjaan kita melebihi dari pendapatan, sebelum ini kerajaan berbelanja lebih bertujuan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara.

Perbelanjaan disalurkan kepada projek pembangunan seperti pembinaan infrastuktur dan kepada beberapa pakej rangsangan untuk memastikan ekonomi kita kekal teguh sewaktu pasaran dunia dilanda krisis. Sebab itu sewaktu krisis pinjaman perumahan di Amerika Syarikat yang berlaku beberapa tahun lepas Malaysia tidaklah menerima kesan yang begitu teruk.

Kini apabila ekonomi kita stabil dan pasaran dunia juga tidak bergitu bergolak kerajaan mengambil keputusan untuk memperbetulkan kembali perbelanjaan negara.

Salah satu tempat yang paling banyak perbelanjaan dikeluarkan ialah dengan pemberian subsidi bahan bakar yang diberi secara pukal dan tidak bersasar, sebagai contoh kenderaan mewah akan lebih mendapat manfaat subsidi berbanding kenderaan ekonomi (motorsikal dan kereta kecil) yang biasanya digunakan oleh warga berpendapatan rendah. Kerajaan melihat perbelanjaan ini tidaklah begitu efisyen maka sebab itulah rasionalisasi dilakukan terhadap pemberian subsidi di sektor ini. 

3. Kenapa rasionalisasi subsidi buat terhadap minyak je? Subsidi lain macam mana? 

Di sini kerajaan mengambil keputusan untuk memberi fokus kepada subsidi bahan bakar kerana dilihat pemberian subsidi ini yang dilakukan secara pukal dan tidak bersasar mempunyai banyak pembaziran dari segi penyeludupan dan ketirisan.

Untuk pengetahuan, antara penerima subsidi besar yang lain adalah seperti perbelanjaan kesihatan, persekolahan, subsidi yuran pengajian tinggi dan sebagainya. Pemberian subsidi ini juga (kesihatan, sekolah dll) juga meningkat dari tahun ke tahun akibat dari pertumbuhan penduduk sama seperti perbelanjaan subsidi bahan bakar.

Namun kerajaan membuat keputusan untuk melaksanakan rasionalisasi subsidi bahan bakar (Petrol dan Diesel) supaya kita tidak perlu menyentuh mahupun mengurangkan pemberian subsidi sektor ini yang kita kira jauh lebih penting untuk masa hadapan. 

4. Harga minyak dunia turun? Kenapa harga kita naik? Ada berita negara lain siap turunkan harga minyak lagi baru-baru ni, apa cerita?

Berbeza dengan kebanyakkan negara lain kita tidak mengapungkan harga bahan bakar akan tetapi kita tetapkan pada harga tertentu. Kebanyakan negara lain sama ada mengikut harga pasaran secara terus ataupun melaksanakan sistem subsidi terapung. Contohnya untuk setiap liter disubsidi sebanyak 30 sen maka kalau harga minyak dunia naik, naiklah harga di pam, kalau turun maka turunlah harga di pam. Sebab itu harga mereka turun apabila harga minyak dunia baru-baru ini turun.

Apa yang sedang kita laksanakan ialah rasionalisasi subsidi, bermaksud kita mengurangkan perbelanjaan terhadap subsidi minyak dan kesan apabila melakukan rasionalisasi sewaktu harga minyak dunia rendah ialah penjimatan terhadap kewangan negara lebih berkesan berbanding sewaktu harga dunia tinggi. 

5. Raya Haji dah nak dekat ni, harga minyak naik, kos pun akan beri kesan, macamana?

Pertamanya kementerian sedar dan tahu ianya akan memberi kesan kepada rakyat, kami memberi komitmen bahawa kementerian akan berusaha untuk sekurang-kurangnya memastikan harga barangan asas terutama bahan makanan adalah dalam keadaan terkawal untuk musim perayaan ini.

YB Menteri telah mengarahkan penguatkuasa untuk memastikan para peniaga untuk tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya. Kami telah meningkatkan jumlah pemeriksaan dan operasi di kesemua pasar-pasar utama dan premis perniagaan. YB Menteri juga telah mengarahkan kementerian untuk berjumpa dengan para pembekal untuk memastikan tiada kekurangan dari segi bekalan.

Untuk makluman walaupun harga barangan tertakluk kepada hukum pasaran, KPDNKK masih mempunyai kuasa melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011. Sekiranya terdapat aduan dan penguatkuasa kita mendapati ada kenaikan harga barangan yang melampau maka kita boleh mengarahkan peniaga memberi penjelasan sekiranya gagal kita boleh ambil tindakan. 

6. Kenapa tak buat lepas raya haji?

Rasionalisasi Subsidi adalah satu tindakan yang tidak popular, ianya perlu dilakukan tetapi sangat tidak popular, jadi walau apa masa sekalipun yang dipilih kesannya tetap dirasai. Sebagai contoh kalau dilakukan selepas Hari Raya haji ada yang akan bertanya mengapa dibuat sebelum Deepavalli pula, kalau selepas Deepavalli mungkin akan memberi kesan untuk perayaan Hari Natal.

Apa pun kementerian faham bahawa rakyat akan menerima sedikit beban atas rasionalisasi subsidi ini dan seperti yang telah diterangkan sebelum ini kami akan cuba sedaya upaya untuk memastikan barangan asas seperti makanan terkawal harganya dan bekalan mencukupi untuk musim perayaan. 

7. Bagaimana dari segi kos pengangkutan?


Penetapan harga tambang, kos pengangkutan adalah di luar bidang kuasa KPDNKK namun boleh dirujuk pada Suruhanjaya Pengangkutan Darat (SPAD). Akan tetapi sekiranya pengguna merasakan mereka ditipu atau diambil kesempatan oleh pengusaha yang tidak bertanggungjawab, bolehlah membuat laporan dan aduan kepada kami melalui hotline 1800 886 800. 

8. Kesan terhadap harga barangan? 

Kementerian akan memantau dari semasa ke semasa khususnya dari segi kesan cost past through yakni kesan kenaikan harga minyak ini terhadap barangan. Kementerian akan mengawasi harga barangan asas dari semasa ke semasa dan kami akan memastikan kesan minima terhadap barangan asas seperti bahan makanan. 

9. Kenapa buat lepas PRK Pengkalan Kubor? Nak menang pilihanraya ke? 

Pelan rasionalisasi subsidi ini telah lama dirancang tanpa menjangkakan mana-mana pilihanraya kecil diadakan terlebih dahulu, sesungguhnya rasionalisasi subsidi ini kalau dibuat pada masa apa sekalipun ianya tetap tidak popular. 

10. Mengapa tidak fokus kepada membasmi penyeludupan dan ketirisan berbanding mengurangkan subsidi?

Kita telah pun fokus kepada membasmi ketirisan melalui Ops Titik yang telah menunjukkan kejayaan dalam mengurangkan penyelewengan diesel bersubsidi. Namun untuk penyelesaian jangka masa panjang harga di pam tidak boleh terlalu ketara perbezaanya dengan harga pasaran.

Lagipun fokus utama rasionalisasi subsidi ialah sebagai salah satu strategi untuk mengawal defisit belanjawan negarac.

Pejabat Menteri 
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan 

*Zaman dulu harga minyak murah, kereta tak sebanyak sekarang, setahun RM2 billion untuk subsidi. Sekarang ni, kos subsidi sebulan dah sampai RM2billion.

(PENGIKUT PAS MESTI BACA) Dewan Ulamak Pas SEPENDAPAT Dengan JAKIM Dalam MENENTUKAN Hari Wukuf dan Aidiladha di Malaysia

Posted: 02 Oct 2014 08:56 PM PDT


PUASA HARI ARAFAH DAN HARI RAYA AIDILADHA DI MALAYSIA

Oleh: 
Ustaz Ahmad Mouhyideen Hasyim
Pengarah Operasi
Majlis Penyelidikan & Tafaqquh
Dewan Ulamak PAS Pusat

Rakyat Islam Malaysia perlu berpuasa sunat Hari Arafah pada hari Sabtu, 4 Oktober 2014 bersamaan 9 Zulhijjah 1435H walaupun hari Wukuf di Arab Saudi adalah pada hari Jumaat, 3 Oktober 2014. Begitu juga Hari Raya Aidil Adha perlu disambut di Malaysia pada hari Ahad, 5 Oktober 2014 bersamaan 10 Zulhijjah 1435H walaupun hari raya tersebut disambut di Arab Saudi pada hari Sabtu, 4 Oktober 2014.

Perbezaan ini adalah kerana Islam meraikan perbezaan tempat terbit matahari dan bulan (matla') di setiap negara. Perbezaan tempat dan waktu terbit ini akan menatijahkan perbezaan waktu dan hari. Malaysia mempunyai tempat terbit matahari dan bulan yang berbeza dengan Arab Saudi. Jika tarikh di Malaysia sama dengan Arab Saudi sekali pun, perbezaan waktu tetap berlaku. Usaha untuk menyamakan hari puasa sunat Arafah dan Hari Raya Aidil Adha di seluruh dunia adalah umpama ingin menyamakan waktu solat di setiap negara.

Selain daripada itu, maksud puasa sunat Hari Arafah pula ialah pada tarikh 9 Zulhijjah, bukannya semata-mata kerana ibadat Wukuf di Arafah. Jika dilihat kepada takrifan yang diberikan oleh Ulamak di dalam kitab feqah dan syarahan hadis Rasulullah s.a.w. tentang Hari Arafah maka mereka mengatakan Hari Arafah itu ialah pada 9 Zulhijjah sebagaimana yang terdapat dalam kitab 'Al-Kamus Al-Fiqhi', 'Mu'jam Lughah Al-Fuqaha', 'Al-Mughni libni Qudamah' dan lain-lain lagi. Bahkan terdapat di sana riwayat yang menyebut bahawa Rasulullah s.a.w berpuasa pada 9 Zulhijjah. Ia tidak merujuk semata-mata kepada ibadat Wukuf di Arafah. Riwayat tersebut telah diriwayatkan oleh Abu Daud, Ahmad dan An-Nasaie serta telah disahihkan oleh Syeikh Al-Albani.

Hujjah yang menyatakan bahawa zaman sekarang mempunyai teknologi yang canggih tidak sepatutnya membawa kepada perbezaan tarikh di antara negara-negara Islam adalah tidak dapat diterima. Ini kerana secanggih mana sekali pun teknologi yang ada, ia tidak boleh mengubah tempat atau waktu terbit matahari dan bulan yang berbeza mengikut negara dan sekali gus tidak boleh mengubah perbezaan hari dan waktu.

Perbezaan menunaikan ibadat puasa sunat Hari Arafah dan menyambut hari Raya Aidil Adha di setiap negara tidak bermakna umat Islam dilihat berpecah. Kedatangan Islam bukan untuk menyatukan semua perkara bahkan ia meraikan perbezaan dalam perkara cabang agama. Perkara yang tidak boleh berlakunya perbezaan ialah dalam perkara prinsip dan usul.

Umat Islam mesti bersatu dan tidak boleh berbeza pandangan dalam pensyariatan Hari Raya Aidil Adha dan puasa sunat Hari Arafah kerana ia adalah perkara prinsip dan usul. Walaubagaimana pun, hari dan waktu untuk menunaikan ibadat tersebut yang berbeza mengikut tempat atau waktu terbit matahari dan bulan adalah merupakan cabang agama yang mesti diraikan.

Perbezaan ini menyerlahkan keindahan Islam kerana ia bersifat anjal dalam perkara cabang dan tegas dalam perkara prinsip. Ia adalah sesuai di setiap tempat dan zaman.


Rakyat Lebih Rela BR1M DIHENTIKAN Berbanding MENAIKKAN Harga Minyak

Posted: 02 Oct 2014 06:47 PM PDT


KEMAMAN – Kebanyakan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di daerah ini lebih sanggup bantuan tersebut dihentikan, berbanding harga petrol RON95 dan diesel dinaikkan kerana kenaikan bahan api itu meningkatkan lagi kos sara hidup.

Adnan Mohamad, 45, berkata, kenaikan harga bahan api itu akan menyebabkan peningkatan harga barang dan perkhidmatan, seterusnya menjadikan perbelanjaan harian termasuk keperluan dapur setiap keluarga meningkat.

"Sebagai penerima BR1M, saya akui bantuan ini sangat berguna, namun kalau berjimat sekalipun, bantuan ini bertahan beberapa bulan sahaja.

"Sedangkan kenaikan harga bahan bakar ini pula beri kesan secara menyeluruh, bahkan kalau nilai BR1M dinaikkan lagi sebanyak RM300 seperti diumumkan baru-baru ini, ia tetap tidak setimpal sebab rakyat perlu berhadapan dengan harga barang dan perkhidmatan yang lebih mahal berbanding sebelum ini," katanya.

Justeru, kata Adnan, jika diberi pilihan, dia lebih sanggup tidak menerima BR1M asalkan kerajaan tidak mengurangkan subsidi bahan bakar itu.

Menurut Mohd Zainal Ramli, 39, pula, langkah kerajaan menaikkan harga petrol dan diesel di saat umat Islam bakal menyambut Aidiladha beberapa hari sahaja lagi, menunjukkan kerajaan tidak bertimbang rasa.

"Apa gunanya kerajaan laungkan slogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' kalau tindakan diambil langsung tidak selari umpama cakap tak serupa bikin? Rakyat marhaen mohon pimpinan negara turun sendiri ke peringkat bawah dan cuba hidup sebagai 'orang biasa' selama sehari.
"Hapuskanlah BR1M kalau begini cara kerajaan ambil semula bantuan ditabur itu. Saya penyokong Umno dan BN, tapi sangat kecewa dengan tindakan menaikkan harga RON95 dan diesel sebanyak 20 sen ini kerana kerajaan mempunyai pilihan lain, selain daripada kurangkan subsidi bahan bakar ini," katanya.

Bagaimanapun, seorang penerima BR1M, Che Wan Zawawi Che Wan Jusoh, 49, tidak bersetuju bantuan itu dihentikan, sebaliknya dia menyarankan agar kerajaan mengurangkan subsidi barang kawalan lain.

(RON95 NAIK 20 SEN) Najib Razak Mesti Baca, Luahan Rakyat Marhaen

Posted: 02 Oct 2014 09:05 AM PDT


RAKYAT DIPAKSA TELAN TANPA PILIHAN - SAIFUL NANG

Jika saya tinggal di London, New York atau paling terukpun di Guangzhao, Melbourne jika minyak naik saya tak terasa pun. Alternatif disediakan untuk saya sampai dari sejauh zon 6 Kota London ke tengah bandar ataupun ke zon 6 arah berlainan dalam masa kurang 1 jam sekalipun semasa penyuraian waktu puncak. Apa nak risau jika Tuan Mayor Kota London juga naik train ke tempat kerja, untuk mesyuarat dengan pelanggan di mana-mana sahaja juga boleh naik train. Belanja pun tak banyak, guna sahaja kad bulanan mereka itu boleh sahaja melacak ke seluruh London. Untuk ke Manchester, Nottingham (seperti kita nak ke Kota Bharu dan Kuala Terengganu) boleh guna train juga dengan kekerapan tinggi dan HARGA YANG MURAH (jika nak banding dengan pendapatan mereka, harga itu memang murah). 

Hari ini kita dipaksa untuk telan kenaikan harga tanpa kerajaan tuntaskan keperluan pengangkutan awam yang sangat parah. Naik bas pun tidak pasti boleh sampai ke pejabat tepat atau awal dari masa walaupun ada lorong khusus untuk bas. Saya minat melihat lorong bas di Istanbul seperti track keretapi yang tidak boleh dilalui kereta. Tak perlu buat landasan dan tak perlu beli keretapi mahal-mahal. Guna bas sedia ada juga sudah lebih baik dari membuat projek pelebaran lebuhraya. Sampai kita ada 50 lorong pun masih tetap tak cukup. 

Tindakan pentingkan diri juga boleh disabitkan. Jika hebat pengangkutan awam nanti Proton punya jualan merosot pula. Dr. M tak akan berdiam diri. 

Malaysia sudah diwarisi kepada Datuk Seri Najib Razak dalam keadaan yang sudah parah. Dapat pula ke tangan anak yang lahir atas dulang emas yang tidak pernah merasai kesusahan rakyat secara realistik dan peribadi. Saya tersinggung semasa pertemuan bersama beliau dalam satu perbincangan "tehtarik" di Jibby & Co Subang awal tahun ini, beliau berseloroh tentang isu air dan saya lihat ia tidak kelakar langsung. Pada keadaan gawat air dengan penggunaannya bercatu dengan asbab beberapa dari kami bercatu air di rumah sehingga mandipun nak bercatu, beliau boleh berseloroh "Saya boleh mandi...rumah saya ada air" (lalu ketawa). 

Saya tahu ini pedas untuk Datuk Seri dan saya juga harap tak perlu nak katakan ini secara umum. Email cadangan berkajang-kajangpun, yang membacanya bukan dia tetapi ditapis oleh lapisan yang mungkin lihat ini remeh. Tapi kita lupa, jika suara rakyat ini seperti air. Jika disekat dia akan melimpah juga sehingga satu ketika limpahan itu akan meruntuhkan empangan yang dibina selama 57 tahun. 

Petronas diajar untuk mengatakan rezab minyak kita tinggal sedikit, tetapi kerajaan lupa jurutera-jurutera carigali Petronas ada mulut dan ada Facebook. Mereka boleh bercakap dan mereka selalu bercakap rezab minyak kita sangat banyak lagi. Sekecil Brunei itu sendiri rezab minyaknya masih lagi tidak habis-habis dan tidak akan habis sehingga 2030, mengapa kita boleh fikir rezab kita akan habis pada 2030-an?

Masalah bila orang senang mentadbir, semuanya mahu dibeli dengan wang. Berikan rakyat BR1M sebagai gula-gula yang tidak mengenyangkan dan tidak juga berkhasiat. Wang tunai ditabur-tabur seperti Ali Baba Bujang Lapok memberi sedekah di pasar-pasar. 



Turunlah Datuk Seri, Turunlah....

Bukan turun meletak jawatan, tetapi sebelum itu turunlah melihat SENDIRI kepayahan rakyat. Mungkin susah untuk Datuk Seri tahu sehingga Datuk Seri menerima gaji RM1500 sebulan dan perlu berulang alik dengan kereta sendiri yang berhutang dengan bank dengan kadar faedah bank konvensional dan "Islamik" tapi menjerut leher. Isi minyak sendiri dan bayar tol sendiri juga bayaran parking. Makan dengan bekal nasi yang dimasak oleh Datin Seri Rosmah sendiri. Mungkin baru boleh memahami dengan sebenar-benarnya. 

Secara praktikal, itu mungkin sukar tetapi kami yakin Datuk Seri boleh turun dan lihat sendiri dan dengar sendiri kata-kata rakyat tanpa perlu protokol Perdana Menteri yang kadangkala mengarut dan menjarakkan informasi rakyat kepada Datuk Seri. Jika rakyat tak mampu sampaikan terus, rakyat akan sampaikan dalam media sosial. 

Untuk pengetahuan Datuk Seri, jika Datuk Seri buat lawatan ke sesuatu tempat, orang-orang Datuk Seri akan jadikan tempat sampah nampak macam Hyde Park. Setinggan nampak macam hotel 5 bintang tetapi setelah Datuk Seri pulang, semuanya dicabut semula dan tinggallah semuanya dalam keadaan sediakala sementara Datuk Seri dengan bangga membuat kenyataan "SYUKURKAH, MALAYSIA SUDAH MAJU".

Apabila minyak naik harga, kesannya tetap kesan domino. Janganlah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (Menteri Ayam) membuat kenyataakn memujuk yang harga barang tidak akan naik. Saban kali berlaku begitu, harga naik tetap naik. Penguatkuasaan kementeriaan hanya sekadar seperti seorang bapa menegur anak nakalnya yang panjat-panjat rumah tetamu dan memecahkan pinggan dengan teguran "Haiiippppp....babab kangg" dan kemudian sambung bersembang semula. 

Dulu semasa saya kecil, saya terpaksa percaya pada RTM. TV3 masa tu kalau nak dapat siaran pun kena pasang tudung periuk di antena. Setiap kali nak pilihanraya, Van Kementerian Penerangan akan buat hebahan WAYANG PACAK di pekan sehari Felda. Ramai-ramai kami berlonggok nak tengok cerita A.R Badul sambil hampar tikar dan kami juga terpaksa telan kempen pilihanraya yang main dalam wayang pacak ini. Sekarang surat khabar dan TV sudah bukan sumber doktrinisasi kerajaan lagi, kami boleh dengar terus dari suara rakyat di sebelah sana juga sebelah sini tanpa perlu mereka menjadi pemberita. 

Datuk Seri, buanglah darah kerabat dan darah bangsawan yang ada dalam diri. Bercampurlah dengan marhaen yang sering terpaksa menelan semua yang disuapkan tanpa rela. 

Datuk Seri mungkin lihat, selepas beberapa bulan rakyat akan senyap kembali dan semuanya berjalan seperti biasa dan Datuk Seri akan buat kenyataan "Alhamdulillah, Rakyat Malaysia sudah mampu terima kemajuan". 

Boleh naikkan harga minyak, tetapi siapkanlah sarana pengangkutan awam yang murah dan efisyen serta boleh diharap. Jangan jadikan KEPERLUAN AWAM seperti pengangkutan, elektrik dan bekalan air sebagai satu perniagaan untuk dasar keuntungan tetapi jadikanlah itu satu khidmat yang wajib bagi sebuah kerajaan. 

Sedarkah Datuk Seri, di sebalik penerimaan itu bukan kerana kerelaan tetapi kerana mereka terpaksa mencara jalan survival kerana sandaran mereka kepada Kerajaan sudah tidak berguna lagi. Nenek tua yang patut berehat terpaksa menjaja untuk tidak rasa membebankan anak-anaknya yang menjaga beliau. Berapa ramai anak jadi yatim kerana bapanya maut dalam kemalangan motorsikal kerana mengantuk membuat kerja tambahan sehingga 20 jam sehari? Berapa ramai anak-anak yang rosak akhlaknya kerana ibu bapa terpaksa kerah tenaga bekerja siang dan malam? Berapa ramai anak-anak yang terpaksa menukar ruji mereka dari nasi kepada bubur lembik? Berapa ramaikan bapa-bapa marhaen akan dipenjara kerana mencuri susu di pasaraya kerana anak kecilnya menangis kehabisan susu? Berapa ramaikah adik beradik berbunuhan kerana kesempitan ruang hidup? Berapa ramaikah suami dan isteri yang bercerai kerana kehidupan sudah jadi terlalu mahal untuk kekal bersama. 


Datuk Seri tak mungkin tahu perkara ini. Kerana ayah, atuk dan keturunan Datuk Seri ialah orang Bangsawan. Bukan Marhaen yang melarat. Tidak salah jika saya sarankan Datuk Seri untuk belajar dan mungkin bekerjasama dengan individu yang memimpin dalam miskin seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Saya yakin, jika tiada sekatan pembangunan dari kerajaan pusat, saya yakin cara kepimpinan TGNA mampu ubah Kelantan menjadi negeri termaju. 

Bangsawan dengan bangsawan, Marhaen dengan marhaen. Jika makan berpinggan emas, masakan tahu erti tidur berbumbung langit. 

Turunlah ke bawah seperti Khalifah Ummar lakukan....secara DIAM, sembunyi dan tidak dikenali. Jika turun padang Datuk Seri dengan rombongan sekapal dan gempita siren-siren polis pengiring, orang buta pun akan tahu PM yang datang.

Datuk Seri, bukannya marhaen tidak berjimat. Sudah habis susu anak berganti air sirap kurang gula kami berikan anak-anak kami yang menangis. Bukan juga marhaen malas, kerana marhaen sampai sudah hampir 24 jam bekerja. Jika tidur itu tidak wajib, 24 jam itu marhaen akan bekerja. 

Bertimbang taralah... 

Datuk Seri pembuat keputusan tertinggi di Malaysia. Input kepada percaturan keputusan Datuk Seri ialah informasi yang diberi. Jika informasi tidak telus, maka keputusan Datuk Seri pun akan jadi zalim juga. 

Pentadbiran Datuk Seri terlampau mahal dan sesuap makanan Datuk Seri ialah sebaldi peluh marhaen. Bil Elektrik Datuk Seri setahun boleh menghantar 50 orang anak-anak Marhaen menjadi doktor yang tidak berhutang dengan PTPTN. Mungkin juga jika benar desas desus akan beg tangan Datin Seri yang mahal itu, untuk setiap satu beg tangan itu bernilai lebih dari pendapatan seumur hidup beberapa orang marhaen. 

Datuk Seri, tak mengapa jika Wawasan 2020 tidak dicapai pada tahun 2020. Apalah guna jika dicapai tetapi kekayaan negara tidak dapat dirasai bersama, yang miskin terus tertolak tempatnya dari daratan negara. 

Datuk Seri, MALAYSIA BELUM AMAN. MALAYSIA BELUM MAJU. 

SAIFUL NANG
Orang Marhaen
-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...