Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Diampunkan atau tidak, Anwar tetap tidak bersalah, kata pengundi Permatang Pauh

Posted: 01 Mar 2015 07:00 PM PST


Sama ada petisyen untuk pengampunan diraja dikemukakan atau tidak, dan sama ada ia akan diberikan atau tidak, bagi kebanyakan pengundi Permatang Pauh, ahli Parlimen mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap tidak bersalah.

Mereka juga merasakan, petisyen yang diserahkan kepada Istana Negara pada Selasa lalu, bukan masalah dan tidak akan mengubah pandangan mereka sama ada ia mengandungi maksud tersirat yang Anwar bersalah.

Penyokong tegar beliau mungkin berpandangan demikian kerana kesetiaan mereka kepadanya, tetapi bagi orang ramai, persepsinya ialah sama ada beliau bersalah atau tidak, musuh politik Anwar memang hendak mengenakannya.

Ada juga yang berkata, rakyat sudah mula bosan dengan politik untuk menyingkirkannya sebagai satu ancaman kepada Barisan Nasional (BN).

Pengundi Ishak Chik, 56, berpendapat, mereka yang mengatakan Anwar bersalah adalah musuhnya yang tidak mahu beliau terlibat lagi dalam politik.


"Masa dia jatuh dari kerajaan pada 1998 orang dah tuduh dia. Mengapa dia nak buat lagi dan mengundang risiko menyusahkan dirinya lagi? Saya tidak percaya. Tak masuk akal bagi saya. 

"Anwar keluar masuk mahkamah sepanjang 16 tahun yang lalu. Siapa lagi dalam negara ini yang hidup sebegitu?

"Kita perlu tanya diri kita sendiri. Kita mesti fikir sedalam-dalamnya, mengapa ini terjadi," katanya kepada The Malaysian Insider pada Rabu di pasar Sama Gagah di Permatang Pauh, Pulau Pinang. 

Pesara itu berkata petisyen yang dikemukakan tidak semestinya bermakna Anwar bersalah, kerana bukan pemimpin pembangkang itu sendiri yang meminta pengampunan.

Ia dikemukakan ahli keluarganya, diketuai isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pada saat akhir pada 24 Februari, hari terakhir untuk berbuat demikian.

"Ia bukan pengakuan bersalah. Kenapa dia nak minta pengampunan diraja kalau dia tak bersalah? Isteri dan anak-anaknya yang menghantar petisyen itu kepada Agong untuk menyelamatkan dia. 

"Adakah kamu tidak akan cuba melakukan apa yang terdaya bagi menyelamatkan ayah kamu yang dalam kesusahan?" soal Ishak.

Walaupun petisyen itu bermakna Anwar akan terus kekal di kerusi Parlimen Permatang Pauh sehingga Agong membuat keputusan mengenai permohonan pengampunan itu, Ishak percaya pilihan raya kecil tetap akan diadakan.

Katanya, dia pesimis mengenai peluang Anwar mendapat pengampunan, memetik satu laporan berita yang Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak atas nasihat Lembaga Pengampunan.

Lembaga itu terdiri daripada perdana menteri, peguam negara dan tidak lebih daripada 3 anggota lain.
"Saya rasa inilah sebabnya mengapa Anwar tidak pernah cakap beliau nak minta pengampunan diraja. Apa gunanya?

"Pilihan raya kecil tetap akan berlaku. Cuma tak tahu bila saja. Kita tunggulah, BN pasti akan kalah lagi," kata Ishak.

Seorang lagi pesara Hamid Salleh, 65, dari Permatang Pasir berkata, peluang Anwar mendapatkan pengampunan diraja mungkin tipis.


"Lima hakim persekutuan itu sebulat suara mendapatinya bersalah... semua, lima-lima mereka. Adakah peluangnya lebih baik dengan Lembaga Pengampunan?" katanya.

Bercakap kepada The Malaysian Insider di sebuah kedai kopi di Penanti, Hamid berkata tidak kira apa yang diputuskan mahkamah, rakyat Permatang Pauh masih percaya kepada wakil rakyat mereka dan mereka yakin beliau tidak lakukan kesalahan seperti yang disabitkan.

"Semua ini politik, tak lebih dari itu. Rakyat tak percaya dia buat perkara itu. Mereka marah dan kecewa apabila sabitannya dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan," katanya.

Hamid berkata orang ramai mungkin tidak lagi bercakap mengenai Anwar tetapi sokongan mereka kepada ketua pembangkang itu masih kukuh.

Beliau berkata, dengan apa yang berlaku kepada bekas timbalan perdana menteri itu baru-baru ini, sokongan rakyat mungkin lebih kuat kali ini, sekiranya pilihan raya kecil diadakan bagi memilih ahli Parlimen baru.

"Ini merupakan pilihan raya kecil ketiga diadakan kerana Anwar, tetapi tidak kira berapa kali ia diadakan, BN tetap tidak akan menang. Orang Permatang Pauh tahu, semua ini politik, satu perkara yang pelik di negara ini.

"Di tempat lain, sebaik selesai pilihan raya, ahli politik buat kerja mereka mentadbir kerajaan dan membangunkan negara. Mereka teruskan kehidupan. Politik Malaysia ini pelik," katanya.

Di kawasan yang mungkin merupakan kawasan Parlimen paling hangat di negara ini, sambutan rakyat terhadap keputusan mahkamah memenjarakan Anwar hanya suam-suam kuku.

Tiada laungan "reformasi" seperti pada 1998 apabila beliau dipecat daripada kerajaan dan dituduh rasuah dan liwat. Keputusan Mahkamah Persekutuan 10 Februari lalu yang mengekalkan sabitan Liwat II terhadapnya tidak langsung menjadi topik perbualan rakyat di kedai kopi dan restoran.

Ahli perniagaan TW Tan, 49, berkata, pengundi tidak lagi ghairah bercerita tentangnya kerana mereka kini hilang minat terhadap "politik kotor" dan isu Anwar kini dianggap "membosankan".

Pandangannya juga mencerminkan keutamaan rakyat yang lebih memberi tumpuan kepada mencari rezeki untuk meneruskan kehidupan mereka.

"Ini 'Take Two' (kali kedua), orang sudah tidak berminat seperti masa 1998. Kalau Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih kerajaan persekutuan pada pilihan raya umum akan datang dan membebaskan Anwar daripada penjara, itu jadi 'Take Three'.

"Rakyat dah jadi tidak ada perasaan. Isu Anwar sudah tidak begitu panas lagi selepas berlarutan lebih 16 tahun.

"Lebih baik untuk jaga perniagaan kita dan mata pencarian kita. Berniaga sekarang merupakan satu cabaran," katanya yang ditemui di kedainya di bandar kecil Penanti.

Tan berkata orang ramai lebih mengambil berat tentang realiti hari ini, seperti isu ekonomi, kejatuhan nilai ringgit, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan hal lain yang sering dibangkitkan PR yang membuat mereka mengkritik kerajaan pemerintah.

Seorang peniaga pasar di Sama Gagah, yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Lang Mat, berkata tiada salahnya keluarga Anwar membuat permohonan pengampunan, kerana sudah tentu mereka tidak boleh sekadar bersabar tanpa berbuat apa-apa.

"Sekarang, kita juga ada isu dengan sistem kehakiman (kerana sabitan kes liwat Anwar). Negara lain pun turut bercakap tentang Malaysia. Kita juga dengar ada institusi yang digunakan oleh mereka yang berkuasa.

"Jadi, kalau negara asing pun bersuara, kita tak perlu berbuat apa-apa apabila kita percaya ada sesuatu yang tidak kena? Bukan satu masalah bagi keluarga Anwar mendapatkan pengampunan diraja untuknya," katanya sambil menambah yang beliau juga tidak percaya Anwar bersalah sebagaimana yang dituduh.

Anwar, yang juga ketua umum PKR, kini di Penjara Sungai Buloh selepas beliau gagal dalam rayuannya membatalkan sabitan liwat dan hukuman lima tahun penjara di Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari.

Kerusi Parlimen beliau sepatutnya diisytiharkan kosong selepas 24 Februari, 14 hari selepas dia kalah kes rayuannya, sekiranya tiada permohonan dibuat bagi mendapatkan pengampunan diraja.

Sebelum ini, peguamnya berkata, Anwar tidak memberi mereka sebarang arahan untuk mengemukakan permohonan pengampunan diraja.

Ada yang mengatakan sekiranya beliau berbuat demikian, ia akan menyusahkan kembali dirinya daripada segi politik, kerana ia boleh dianggap membawa maksud tersirat yang beliau bersalah dan ini hanya menguntungkan musuh politiknya.

Anak perempuan sulungnya Nurul Izzah yang juga naib presiden PKR, menjelaskan tindakan keluarga meminta pengampunan diraja dibuat atas dasar sabitan Anwar tidak mematuhi prinsip keadilan.

Menurut daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya, sehingga November tahun lepas, kawasan Parlimen Permatang Pauh mempunyai 72,513 pengundi berdaftar dengan 51,032 Melayu (70.37%), 16,583 Cina (22.86%), 4,581 kaum India (6.3%) dan 317 lain-lain (0.43% ).

Dalam pilihan raya umum 2013, Anwar memenangi kerusi itu dengan memperoleh 37,090 atau 58.56% daripada 63,332 jumlah undi, dengan majoriti 11,721.

Calon BN Dr Mazlan Ismail memperoleh 25,369 atau 40.06% daripada jumlah undi manakala calon bebas Dr Abdullah Zawawi Samsudin hanya mendapat 201 undi (0.32%) dan hilang wang deposit ~ The Malaysian Insider



-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...