Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Chegu Bard, Dr. Hatta antara puluhan aktivis bantah GST yang ditahan Polis..

Posted: 23 Mar 2015 03:39 AM PDT


Puluhan aktivis yang membantah cukai barangan dan perkhidmatan (GST) di kompleks Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Kelana Jaya ditangkap polis selepas enam jam berada di situ.

Kira-kira 60 orang dimasukkan ke dalam trak polis sebelum dibawa ke sebuah dewan, tidak jauh dari koridor pusat maklumat jabatan itu, tempat asal mereka berkumpul.

Turut ditahan setiausaha agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan.

Sebelumnya, lebih 100 aktivis merancang bermalam di kompleks itu sebagai membantah GST yang bakal dilaksanakan minggu depan.

Mereka merancang begitu, jika perlu, dalam usaha mendapatkan jawapan daripada Jabatan Kastam berhubung lebih 100 soalan mereka tentang pelaksanaan GST.

Arutchelvan dan ketua Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shahrin, yang memimpin bantahan ini, mengesahkan perkara tersebut kepada Malaysiakini tetapi enggan memberikan butiran lanjut.

"Kami bersedia untuk bermalam di sini sehingga kami mendapat jawapan-jawapannya. Kami ada rancangannya, anda perlu tunggu," kata Arutchelvan.

Kumpulan itu duduk di kaki lima berdekatan pusat maklumat GST dengan diawasi sekumpulan anggota polis pencegah rusuhan. Mereka berbual di situ, selain menyanyi dan mendengar ucapan-ucapan.

Antara yang hadir termasuk Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Dr Dzulkefly Ahmad, Pengerusi PSM Mohd Nasir Hashim, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, MP Kuala Krai Mohd Hatta Ramli dan MP Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar Devaraj.

Pagi tadi, kumpulan itu menyerbu masuk ke dalam kompleks tersebut dengan 106 soalan berhubung polisi cukai baru itu, dan menuntut ia dimansuhkan atau ditangguh jika pihak berkuasa itu gagal menjawabnya.

Mereka dihalang di kaunter informasi luar kompleks itu oleh anggota polis yang kemudiannya bersama pasukan polis antirusuhan.

Dalam perbincangan polis dan Arutchelvan, polis berjanji untuk membawa Ketua Pengarah Kastam, Datuk Abdul Gani Othman untuk berbincang dengan mereka, tetapi dengan syarat peserta harus menunggu di luar pintu pagar kompleks itu.

Ketua pengarah kena 'boo'

Setibanya Abdul Gani dan rombongan pada jam 1.30 petang, beliau hanya menjawab dua soalan. Aktivis yang berada di situ kesal dengan tindakannya.

"Saya minta maaf tapi saya tidak dapat menjawab di sini," katanya yang berjanji akan memberikan jawapan bertulis kepada orang ramai yang kemudian mengejeknya dengan "boo".

Menjawab soalan pertama diajukan sama ada kastam bersedia melaksanakan GST minggu depan, Gani menunjukkan tanda ibu jari sebagai sokongan.

Soalan kedua dibangkitkan kenapa sardin dalam tin dikenakan GST tetapi makanan mewah seperti udang kara dikecualikannya.

Gani kemudian menjawab: "Perintah dari Parlimen. Saya hanya melaksanakan." lapor Malaysiakini



KTM rugi RM200 juta setahun..

Posted: 22 Mar 2015 09:50 PM PDT


Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mahu tambang perkhidmatannya dinaikkan kerana selama beberapa tahun telah menanggung kerugian mencecah RM200 juta setahun berikutan peningkatan kos operasi.

Pengerusinya, Datuk Ir Nawawi Ahmad berkata, walaupun kerugian itu mendapat suntikan duit daripada kerajaan, tetapi KTMB mahu mengambil langkah untuk berdiri sendiri tanpa terus mengharapkan bantuan kerajaan.

"Kos kami tinggi seperti elektrik, minyak, gaji pekerja dan penyelenggaraan naik setiap tahun. Oleh itu, setiap tahun nak minta sedekah daripada kerajaan RM200 juta. Sampai bila kita nak minta, kita kena ada satu daya usaha untuk jadikan syarikat ini boleh berdiri di atas kaki sendiri.

"Sebab itu saya kata banyak sebab berlaku kerugian dan sebab utama adalah kerana kos. Kos operasi kita lebih tinggi daripada pendapatan kita kerana sejak 2003, tambang kepada penumpang tidak dinaikkan," katanya, semalam.

Mengulas lanjut, kata Nawawi, pihak KTMB bukan bertujuan menaikkan harga tiket kerana mahukan keuntungan semata-mata.

Katanya, KTMB telah mendesak kenaikan tersebut dari beberapa tahun lalu, tetapi sering kali ditangguh kerana faktor lain lapor Sinar Harian


Errr.. Nawawi Ahmad tu Ahli Parlimen BN kan?. maka tak hairanlah..



Nak mati pun kena GST ka?

Posted: 22 Mar 2015 07:30 PM PDT


Walaupun perkhidmatan pengkebumian dikecualikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), namun pembelian keranda dan batu nisan adalah dikenakan cukai.

Menurut China Press, keadaan itu akan menyebabkan kos pengkebumian untuk kaum Cina meningkat selepas pelaksanaan GST.

Pakar ekonomi, Datuk Chua Tia Guan berkata, senarai terkini kerajaan menunjukkan perkhidmatan persemadian sama ada secara dibakar atau pengkebumian adalah dikecualikan GST.

Beliau bagaimanapun berkata, pembelian lot tanah perkuburan, keranda dan batu nisan perlu membayar GST.

Selain itu, terdapat pengusaha yang menjangkakan hampir 50 peratus bahan sembahyang untuk kepercayaan tradisi Cina akan dikenakan GST, walaupun perkara itu belum dimuktamadkan.

Menurut laporan China Press, 'keranda ekonomi' pada ketika ini dijual antara RM3,000 hingga RM4,000 tetapi keranda yang mewah mungkin mencecah RM20,000.

Untuk batu nisan pula, harganya adalah antara ratusan Ringgit sehingga harga paling mahal sekitar RM10,000 lapor MalaysiaGazette



Harga kereta akan lebih murah selepas GST.. Kastam kata..

Posted: 22 Mar 2015 05:30 PM PDT


Secara keseluruhannya harga kereta akan menjadi lebih murah selepas Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan 1 April, kata Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad.

Beliau menjelaskan GST hanya enam peratus sahaja manakala cukai jualan kenderaan ketika ini ialah 10 peratus.

Cukai jualan kenderaan akan dimansuhkan pada 1 April, katanya.

Khazali memberitahu Bernama, kesangsian berhubung sama ada harga akan naik atau turun wujud susulan terdapat kekeliruan dalam kalangan pengedar kereta berhubung bagaimana mereka hendak menjual kereta yang mereka telah bayar cukai jualan kereta sebanyak 10 peratus.

"Sebenarnya, Kastam akan membayar balik cukai jualan 10 peratus yang telah dibayar oleh mereka dengan syarat mereka harus menunjukkan dokumen rasmi sebagai bukti yang mereka telah membayar cukai itu dan masih belum menjual kereta berkenaan setakat 31 Mac," katanya.

Presiden Persatuan Pengedar Kereta dan Syarikat Kredit Kuala Lumpur-Selangor (KLSCDCCA), Khoo Kah Jin berkata beliau tidak menjangkakan penurunan ketara harga kereta kerana perbezaannya mungkin diimbangi oleh harga komponen kereta yang diimport berikutan kadar tukaran asing lebih tinggi.

"Harga kereta memang akan turun iaitu dua hingga tiga peratus dengan GST," katanya.

"Namun, harga itu mungkin akan naik sedikit bergantung kepada kadar tukaran asing kerana kebanyakan komponen kereta adalah diimport, contohnya Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun," katanya.

Khoo berkata bagi kereta terpakai, harganya juga dikenakan GST namun dimasukkan ke dalam Skim Margin bagi mengelakkan pembayaran cukai berganda.

"Pembeli (kereta terpakai) tidak akan terjejas dengan kenaikan harga kerana GST hanya dikenakan ke atas pengedar kereta terpakai berdasarkan keuntungan daripada jualan kereta.

"Sebagai contoh pengedar kenderaan terpakai membeli sebuah kereta dari seorang individu dengan harga RM30,000, kemudian menjualnya semula kepada individu lain dengan harga RM60,000, maka GST akan dikenakan ke atas kadar keuntungan RM30,000 itu sahaja," katanya lapor Free Malaysia Today
-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...