Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


"PR Perak tolak Hudud".. ini satu pencerahan..

Posted: 24 Mar 2015 08:46 AM PDT


Kepada, Editor Sinar Harian

Assalamu'alaikum... 

Pencerahan tentang tajuk Sinar Harian edisi 24/3/2015 "PR Perak tolak Hudud"

1. Dukacita dimaklumkan tajuk sedemikian adalah tidak tepat dalam konteks kenyataan media yang dibuat dan tindakan -tindakan proaktif PR Perak selama ini. Tajuk sedemikian bakal menimbulkan fitnah dan kemungkinan ancaman kepada pihak-pihak yang terlibat.

2. Mesyuarat PR Perak telah dibuat pada 21/3/2015 dan agenda mesyuarat adalah i) Pengukuhan PR Perak secara khusus dan PR keseluruhannya. ii) Bantuan kepada 13 penyokong PR yang di penjara lantaran protes di Kuala Kangsar pada 6/2/2009

3. Dalam mesyuarat tersebut, ahli-ahli majlis PR Perak yang beragama Islam telah memperjelaskan bahawa enakmen syariah Kelantan hanya berkuat kuasa kepada orang-orang Islam dan hanya untuk Kelantan. Bahkan kami memaklumkan undang-undang sedemikian hanya boleh berkuat kuasa setelah parlimen meluluskan peruntukan tertentu perlembagaan persekutuan yang menghadkan kuasa-kuasa mahkamah syariah.

4. Mesyuarat pada hari itu juga bersetuju untuk tidak membincangkan merit dan demerit perlaksanaan undang-undang syariah tersebut kerana semua ahli-ahli majlis yang non muslim juga akur bahawa undang-undang syariah adalah termaktub dalam kitab suci Al Quran.

5. Buat makluman PR Perak seawal 26/6/2014 telah menganjurkan sidang meja bulat "Pemahaman undang-undang jenayah syariah" yang dihadiri oleh 70 peserta dan sebahagiannya adalah pemimpin-pemimpin non muslim daripada PKR, DAP dan termasuk wakil-wakil rakyat. Wakil Dewan Ulama PAS Pusat turut membentangkan kertas kerja.

6. Kejayaan PR Perak menerangkan isu-isu undang-undang syariah secara inklusif dan interaktif dapat dilihat melalui testimoni bahawa tidak ada pemimpin-pemimpin non muslim PR Perak yang pernah mempersoalkan apatah lagi menghina hukum hudud. Ini adalah merupakan kejayaan dakwah kami yang berfalsafahkan "Supaya jika pun orang bukan Islam tidak memeluk Islam tetapi mereka tidak memusuhi Islam".

7. Oleh itu persoalan PR Perak tolak Hudud tidak berbangkit. Yang dibincangkan adalah kewajaran mengharmonikan hubungan pemimpin-pemimpin PR di semua peringkat melalui mekanisme sedia ada iaitu "Segala tindakan-tindakan penting oleh parti-parti komponen PR perlulah dibincang bersama melalui majlis Presiden PR Pusat". Peringatan oleh PR Perak supaya Majlis Presiden bermesyuarat dalam isu pembentangan enakmen syariah di Kelantan dan di Parlimen adalah bagi memgelakkan kekeliruan berterusan oleh ahli-ahli penyokong PR.

8. Adapun kenyataan bahawa enakmen syariah tidak berkaitan dengan Perak adalah dengan maksud PR Perak tidak akan membawa enakmen sedemikian di dalam DUN Perak sama seperti Kerajaan PR Selangor (2008 & 2013) dan PR Kedah (2008) tidak berbuat demikian kerana faktor-faktor yang diketahui ramai oleh pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong PR. Adakah ini bermakna PR Selangor dan PR Kedah menolak Hudud ? Kami menggesa jangan sesiapa mempolitikkan isu hudud. Dalam konteks Perak, pendekatan praktikal kami adalah berdakwah tentang kelebihan dan kebaikan hukum-hukum Islam termasuk hudud. Kami berkeyakinan apabila masyarakat memahami Islam maka perlaksanaan hukum-hukumnya akan lebih mudah diterima.

9. Kenyataan PR Perak untuk menubuhkan Kerajaan berasaskan paksi TAKWA (Telus,Adil,Kebajikan,Wawasan dan Amanah) adalah konsisten sejak 7 tahun yang lepas yang tentunya bersesuaian dengan perkara-perkara penting dalam perlembagaan seperti Kedaulatan Islam, Raja Melayu, Bahasa Melayu dan Hak-Hak Istimewa Bumiputra.

10. Akhirnya PR Perak mengharapkan PR terus bersatu demi kebaikan dan masa depan rakyat dan negara ini.

Terima Kasih atas kerjasama saudara.

Wassalam.

Dr. Hj. Khairuddin Bin Dato' Abd. Malik
Setiausaha Majlis Pakatan Rakyat Perak.



Zahid Bersumpah Tak Pernah Dapat Satu Sen Pun Dari Raja Judi..

Posted: 24 Mar 2015 05:28 AM PDT


Senanglah ya kalau semuanya main pakai sumpah saja.. tak perlu ada Polis.. tak perlu ada Mahkamah..

Kebocoran surat yang dia tulis untuk membela Raja Judi yang kini di Amerika Syarikat tu dia minta Polis siasat..

Tapi sebab dia menulis untuk membela Raja Judi tu tak pulak diminta Polis siasat.. sebab apa beliau sanggup menulis untuk Raja Judi yang bukannya rakyat Malaysia tu..

Pandai pulak dia kata individu yang membocorkan surat itu adalah tidak amanah.. tapi meletakkan keselamatan negara ditangan Raja Judi yang bukannya rakyat negara kita itu.. amanahke?

Laporan berkaitan..

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat pada Selasa dikejutkan dengan tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang bersumpah bahawa beliau tidak pernah menerima sebarang habuan daripada pakar judi, Paul Phua Wei Seng.

Malahan, beliau juga menegaskan tidak pernah menerima "walau sesen" daripada individu berkenaan selepas menulis surat pelepasan statusnya kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

"Sebagai seorang Islam, wallahi wabillahi wattallahi saya tak pernah mendapat kepentingan satu sen pun daripada penjudi berkenaan. Malah saya tak pernah bersengkogkol dengan orang itu.

"Saya tak pernah terima sebarang duit haram, saya tak pernah buat begitu," katanya ketika menggulung perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat di sini.

Isu berhubung surat pelepasan status Paul Phua yang ditulis Ahmad Zahid atas kapasitinya sebagai menteri kepada FBI menjadi topik perbahasan hangat di Dewan Rakyat oleh wakil rakyat pembangkang.

Antaranya, mereka mempersoalkan keperluan surat berkenaan malah mendakwa Ahmad Zahid mempunyai kepentingan tertentu dalam kes tersebut.

Ketika ucapannya, Ahmad Zahid turut mengakui menulis surat kepada FBI yang sedang menghadapi pertuduhan di Amerika Syarikat.

Tegasnya surat yang ditulis kepada Timbalan Pengarah FBI, Mark F. Giuliano pada 18 Disember tahun lepas adalah untuk menjelaskan status Paul Phua.

Tambah Ahmad Zahid lagi, tindakannya menulis surat kepada FBI dibuat secara profesional berdasarkan perjanjian antara Malaysia dengan negara luar, khususnya berkaitan isu perkongsian maklumat keselamatan.

"KDN dari masa ke masa sentiasa menerima permohonan pelbagai agensi kerajaan asing untuk membuat semakan atau tapisan ke atas rakyat negara ini berhubung isu keselamatan.

"Sehubungn itu saya mohon perkara ini tidak dieksploitasi oleh mana-mana pihak. Surat tersebut dibuat secara profesional dan berdasarkan hasil siasatan polis.

"Saya juga menegaskan bahawa pada bila-bila masa pun saya tak pernah mempunyai hubungan dengan Paul Phua...malah tidak pernah mengenali beliau," katanya.

Paul Phua serta anaknya, Darren Wai Kit Phua kini dalam tahanan rumah di Amerika Syarikat dan menghadapi pertuduhan di mahkamah negara itu atas kesalahan penghantaran maklumat pertaruhan dan menjalankan kegiatan perjudian tidak sah di Las Vegas semasa Piala Dunia 2014 lalu.

Paul Phua yang cukup terkenal dalam sirkit permainan poker profesional, pernah mengambil bahagian dalam kejohanan Big One For One Drop dalam Siri Poker Dunia 2012.

Beliau menduduki tempat keenam dalam European Poker Tour Grand Final Monte Carlo 100k Super High Roller 2014 dan disyaki terlibat dengan kegiatan kongsi gelap 14K Triad, sebuah kumpulan kongsi gelap dan sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Berikutan penahanan Paul Phua, firma guamannya, Chesnoff & Schonfeld memohon Ahmad Zahid mengeluarkan surat kepada Giuliano untuk mengesahkan yang lelaki itu bukan seorang anggota kongsi gelap itu, malah ia juga tidak wujud di Malaysia lapor mStar



Tiada hudud di Perak jika PR perintah kata Nizar

Posted: 24 Mar 2015 01:00 AM PDT


Isu Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah seperti yang dibentangkan kerajaan Pas di Kelantan, tidak akan dibangkitkan di Perak.

Keputusan itu diambil PR Perak melalui mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat Perak, Sabtu lalu, bagi menjaga keluhuran Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi PR Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, sekiranya PR membentuk kerajaan negeri baharu, pimpinan itu akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan demi keharmonian kaum dan agama.

"Majlis Pimpinan PR menyatakan komitmen untuk membentuk kerajaan negeri yang berpaksikan kepada prinsip telus, adil, amanah, berkebajikan dan berwawasan.

"Semua dasar yang ingin dilaksanakan ini wajib mendapat persetujuan bersama ketiga-tiga parti iaitu Pas, DAP dan PKR," katanya dalam satu kenyataan bersama, semalam.

Kenyataan bersama itu turut dipersetujui Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dan Naib Pengerusi PKR Perak, Laksamana Pertama (B) Muhammad Imran Abdul Hamid.

Mohammad Nizar berkata, dalam mesyuarat itu juga, mereka bersetuju Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1993 (pindaan 2015) yang diluluskan Sidang Dewan Kelantan yang membawa pelaksanaan hukum hudud, adalah di luar Dasar Bersama PR dan wajar dibincangkan.

Menurutnya, Majlis Presiden PR perlu bermesyuarat dengan kadar segera demi mencapai kata sepakat.

"Ini termasuklah berkaitan kelulusan rang undang-undang itu yang bakal dibentangkan di Dewan Rakyat, kita perlu mengeluarkan kenyataan bersama secepat mungkin," katanya lapor Sinar Harian



Hudud: Aisyah Tajuddin mohon maaf akhirnya..

Posted: 23 Mar 2015 11:00 PM PDT


Selepas hampir seminggu berlarutan diselubungi kontroversi akhirnya penyampai radio perniagaan BFM, Aisyah Tajuddin tampil bagi meredakan kemarahan ramai dengan memohon maaf secara terbuka.

Menafikan bahawa beliau ada niat mahu menghina Islam dan Hudud dalam klip video BFM Kupas, katanya,

"Kini saya sedar bahawa ia telah menimbulkan kemarahan. Maka untuk itu, saya benar-benar kesal dan memohon maaf, maaf. "

Menurutnya, video parodi yang menampilkan dirinya mengupas isu Hudud tidak bertujuan menghina undang-undang tersebut tetapi mempersoalkan keutamaan Kerajaan PAS Kelantan terhadap negeri dan rakyatnya.

"Video tersebut hanya menyangkut perihal politik, perkataan dan perbuatan ahli politik; dan tentunya tidak sekali-kali mengenai agama," jelasnya yang mengakui sedih dan terganggu dengan ancaman yang diterima daripada siaran video parodinya.

"Setelah beberapa hari yang lalu, sebuah video di mana saya bercakap mengenai pindaan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah 1993 telah menyebabkan kemarahan di dalam laman-laman media sosial," katanya dalam kenyataan media mewakili syarikat BFM Media Sdn Bhd.

Beliau mengakui, "Sejak video tersebut diterbitkan, pelbagai ancaman bunuh dan rogol telah ditujukan kepada saya, keluarga, teman sekerja dan rakan-rakan. Ia sangat mendukacitakan."

Sejak video parodinya menjadi viral Aisyah telah mencetuskan kemarahan massa kerana didakwa mempersenda dan menghina Islam dan Hudud sehingga menimbulkan ancaman bunuh dan rogol.

Beliau menjelaskan, liputan meluas media terhadap insiden tersebut mengaburi maksud sebenar yang ingin disampaikan video tersebut, dan menambah,

"Tujuan video tersebut dibuat adalah untuk menggalakkan wacana yang berlangsung seputar isu keadaan sosio-ekonomi rakyat Kelantan."

"Mengharungi betapa bahayanya ancaman terhadap keselamatan diri ini merupakan pengalaman yang buruk dan bukan ciri-ciri Malaysia yang saya tahu," katanya lapor Free Malaysia Today



Hanya orang bodoh bincang hudud di Malaysia, kata Pemimpin UMNO

Posted: 23 Mar 2015 05:41 PM PDT


Bekas menteri undang-undang, Datuk Seri Nazri Aziz berpendapat undang-undang hudud tidak akan dapat dilaksanakan di negara ini, dan mereka yang membincangkannya adalah individu yang "bodoh".

Nazri, yang juga menteri pelancongan berkata, undang-undang Islam itu hanya akan dapat dilaksanakan dengan meminda Perlembagaan Persekutuan, yang mana memerlukan majoriti dua pertiga majoriti Parlimen.

"Jangan bincang sesuatu yang tidak akan berlaku, ini bodoh, sesiapa sahaja yang bincang hudud," katanya ketika ditemui di Parlimen hari ini.

Nazri berkata, dalam Perlembagaan sudah termaktub undang-undang berkaitan hukuman jenayah termaktub di bawah bidang kuasa Mahkamah Persekutuan dan bukannya kuasa Mahkamah Syariah.

"Pernah kita nampak Mahkamah Syariah bicarakan kes pembunuhan, bicara kes kecurian?

"Kalau mahu gugurkan bahagian yang mengatakan jenayah itu di bawah mahkamah persekutuan, kita perlu dua pertiga majoriti Parlimen, tetapi kita tiada sekarang," katanya.

"Ini soal agama, kita tidak boleh guna 'whip', ahli Parlimen akan mengundi menggunakan pegangan dan suara hati mereka."

Nazri berkata, rang undang-undang persendirian yang cuba di bawa PAS ke Parlimen juga tidak akan berjaya dibincangkan memandangkan ia hanya akan di bawa apabila selesai aturan urusan kerajaan.

"Benda (hudud) itu hanya berlaku kalau kita boleh pinda Perlembagaan.

"Usul persendirian hanya dibincangkan setelah selesai urusan kerajaan, selagi tidak habis kita tidak boleh bincang," katanya.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, Umno juga menyedari hakikat itu.

"Saya tidak mahu bincang, ia tidak berlaku kerana Perlembagaan. Kalau Umno nak buat pun bukan Umno tak nak buat. Umno tahu memang tidak boleh buat," katanya.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) pada 19 Mac lalu dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan menghantar surat notis pemberitahuan meminta agar rang undang-undang persendirian berkenaan hudud di bawa ke Parlimen ketika sidang kali ini yang akan tamat pada 9 April depan.

Tindakan PAS itu sekaligus menggoncang hubungan Pakatan Rakyat (PR) apabila DAP mendakwa Hadi memungkiri janjinya dalam mesyuarat PR apabila bertindak secara bersendirian menghantar notis pemberitahuan kepada Dewan Rakyat untuk membawa undang-undang persendirian berkenaan hudud ke Parlimen, kata Anthony Loke.

Ahli Parlimen Seremban itu berkata, ketika mesyuarat pimpinan tertinggi pakatan pembangkang pada 8 Februari lalu, sebelum Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan, Hadi memberikan komitmen untuk membentangkan segala cadangan mahu pun pindaan berkenaan hudud dan pilihan raya kerajaan tempatan kepada mesyuarat berkenaan.

"Ini jelas dan bukti, pemberitahu usul ini diberikan, hari sama kerajaan Kelantan kemuka rang undang-undang.

"Tindakan Hadi langgar mesyuarat Majlis Pimpinan PR," katanya, ketika mendedahkan sebahagian kandungan minit mesyuarat berkenaan.

"Ini sebahagian minit mesyuarat, ini janji yang diberikan Hadi."

Loke turut mendedahkan usul pemberitahuan bertarikh 18 Mac, sehari sebelum enakmen jenayah syariah di Kelantan di luluskan, yang diserahkan Hadi kepada Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku pengerusi BN masih belum mengeluarkan pendirian rasmi berhubung sokongan parti pemerintah itu terhadap hudud lapor The Malaysian Insider



-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...