IPOH - Pemuda Pas Perak membidas tindakan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang yang mempersoalkan kedudukan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ketuanya, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, gesaan supaya Abdul Hadi berundur dari memegang jawatan itu sebagai satu tindakan keterlaluan kerana dilihat sebagai mencampuri urusan parti.

"AMK Pulau Pinang tidak berhak untuk campuri urusan dalaman Pas. Fokus kepada memperbaiki parti sendiri!

"Masing-masing mempunyai peranan kepada parti sendiri. Mohon hormati presiden kami," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Raja Ahmad Iskandar berkata, AMK Pulau Pinang seharusnya memberi tumpuan terhadap parti sendiri daripada menyibuk parti orang lain.

Kelmarin, AMK Pulau Pinang mengeluarkan kenyataan melalui timbalan ketuanya, Khairil Anuar Kamarudin mendesak Abdul Hadi untuk menjelaskan pendirian Pas berhubung isu kerajaan perpaduan Pas-Umno  dalam tempoh 14 hari.

Dalam sidang medianya itu, beliau meminta Abdul Hadi supaya tidak berdolak dalih dalam memberikan penjelasan sebenar.

Gesaan itu dipercayai ada kaitan dengan pendedahan mengenai satu rakaman video mengenai penerangan isu kerajaan campuran antara Pas dan Umno.

Di Georgetown, Ketua Penerangan Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohd Shafirol Rozali berkata, AMK negeri tidak menjalankan kajian sebelum membuat kenyataan media.

"Sudah banyak maklumat yang disebarkan (viral) di media sosial (seperti WhatsApp, Facebook), klip video selain program dalaman yang menegaskan Pas tidak akan bergabung dengan Umno," katanya.

"AMK negeri sepatutnya bertindak lebih matang iaitu bertanya dan berbincang dengan Pemuda Pas negeri terlebih dahulu, bukan terus menggunakan media dengan mengeluarkan kenyataan yang boleh merenggangkan hubungan antara parti PR," katanya.

Mohd Shafirol berkata, AMK negeri juga perlu lebih bijak menjaga hati pengundi, penyokong dan petugas Pas khususnya dalam menghadapi PRK Parlimen Permatang Pauh nanti.

"Adakah Timbalan Ketua AMK negeri sengaja bangkitkan kemarahan Pas agar Pas kurang memberi kerjasama dalam PRK Permatang Pauh? Sekiranya undi merosot atau PR kalah, maka Pas akan dijadikan kambing hitam seperti kekalahan Kedah?

Adakah ini yang AMK negeri mahu?
"Pemuda Pas negeri mengajak semua pimpinan PR agar bersikap lebih matang, bijak dan berilmu kerana trend politik anak muda hari ini adalah berdasarkan politik ilmu dan hujah," katanya.