CELAH GELEGAR

CELAH GELEGAR


[ISU DENDAM MUFTI ANGKUH] Ustaz Kazim Elias Respon

Posted: 05 Mar 2015 02:11 AM PST

Saya kesal dengan penyebaran surat itu kerana ia tidak adil apabila tidak diberi peluang menjawab tuduhan, kata penceramah popular Datuk Kazim Elias
 
Penceramah popular Datuk Kazim Elias kesal dengan tindakan Jabatan Mufti Perlis menuduhnya 'sering terlibat dengan pembacaan riwayat palsu' dan menggunakan ia sebagai alasan menolaknya sebagai ahli panel dalam Forum Perdana Ehwal Islam pada Mei ini, lapor Utusan Malaysia.

Menurut penceramah bebas yang lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Kazim itu, riwayat atau hadis palsu yang disampaikan melalui ceramahnya sepertimana dibangkitkan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin hanya merupakan satu perbandingan.

"Saya cuma kata roti jala pun boleh dijadikan hidangan dalam kenduri masyarakat Islam, untuk bagi orang faham," kata beliau.

Semalam, susulan tersebarnya surat rasmi Jabatan Mufti Perlis kepada pejabat menteri besar yang tidak bersetuju dengan pemilihan Kazim sebagai ahli panel forum tersebut, Asri tampil membuat kenyataan di laman sosial.

Surat itu menyatakan penolakan pemilihan Kazim sebagai ahli panel kerana beliau sering dilihat menggunakan riwayat palsu dalam ceramahnya.

Dalam kenyataannya, Asri yang baru dilantik semula sebagai mufti Perlis awal Februari lalu, turut memuat naik dalam akaun Facebook miliknya, teks ceramah Kazim yang didakwa menggunakan riwayat palsu itu. "Maka kenduri Rasullah yang paling mahal pula ialah roti jala yang dicelup dengan kuah kari. Maka bandingkanlah dengan kita," demikian petikan ucapan Kazim.

Mengulas perkara tersebut, Kazim berkata tindakan Jabatan Mufti Perlis menyebut 'riwayat-riwayat' palsu seolah-olah menggambarkan dirinya banyak kali membacakan hadis yang tidak benar.

Kazim dalam kenyataannya kepada Utusan Malaysia berkata tuduhan tersebut bukan saja menjejaskan kredibilitinya, namun beliau mungkin berdepan risiko tidak lagi dijemput memberi ceramah.

"Jika benar dakwaan itu, saya mahu tahu di mana dan bila saya membacakan hadis palsu yang didakwa. Jika benar saya sedia memberikan penjelasan," katanya.

Beliau mendakwa mengetahui mengenai pembatalan tersebut dua minggu lalu, namun tidak mahu menghebahkannya demi menjaga air muka mereka yang berkaitan.

Ustaz Kazim berkata kenyataan Asri melabelkannya sebagai penceramah yang menggunakan hadis palsu sebagai tindakan memalukan dan gopoh.

Malah, beliau juga kesal, apabila tidak diberi peluang menjawab tuduhan yang dilemparkan terhadapnya. "Apabila berlaku penyebaran surat tersebut, saya kesal, kerana ini tidak adil, saya tidak diberi peluang untuk menjawab tuduhan," katanya. – 5 Mac, 2015.
-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...