Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Menteri akui hutang 1MDB sangat tinggi..

Posted: 17 Apr 2015 02:30 AM PDT


Datuk Seri Abdul Wahid Omar mengakui dana pelaburan strategik negara milik Kementerian Kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membebankan kerana kegagalannya menjana tunai berbanding hutang besar syarikat tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata 1MDB membuat pinjaman bank dan pasaran modal dalam membeli aset tetapi gagal menjana aliran tunai yang menyebabkan ia tidak mampan.

"Selama ini mereka berkembang dengan membuat pinjaman daripada bank atau pasaran modal, mereka membeli banyak aset termasuk IPP (syarikat jana kuasa bebas) sehingga meningkat hutang RM4.2 bilion setakat Mac 2014.

"Jadi anda boleh bayangkan bebanan hutang yang tinggi, ia sebenarnya sangat tinggi dan ini sukar," katanya pada forum anjuran Akademi Kapten Hussein di Petaling Jaya, Selangor malam tadi.

Jumlah hutang terkumpul 1MDB sebelum ini dilaporkan RM42 bilion.

Menjawab soalan orang ramai, Wahid berkata selagi aset yang dibeli itu tidak dapat menghasilkan aliran tunai, maka selagi itu 1MDB tidak akan mampan.

"Melainkan aset itu dapat menjana aliran tunai, ia tidak akan mampan," katanya.

Wahid berkata, bebanan hutang itu disedari memberi impak kepada 1MDB dan 3 langkah strategik sudah diambil bagi mengatasi masalah dihadapi.

"Mereka sudah ambil langkah strategik mengkaji semula model perniagaan dan struktur modal, 3 keputusan sudah dibuat," katanya.

Beliau berkata, 3 langkah itu termasuk menghentikan semua bentuk pinjaman baru, fokus kepada 2 projek utama mereka iaitu Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia serta memastikan rancangan tawaran awam (IPO), syarikat IPP miliknya, Edra Energy dapat dilaksanakan secepat mungkin.

"Jadi ini kajian strategik yang sudah dikenal pasti," katanya. 1MDB, dimiliki sepenuhnya Kementerian Kewangan, mencatatkan kerugian selepas cukai RM665.4 juta daripada hasil RM4.26 bilion bagi tahun kewangan berakhir Mac 2014.

Kerugian mungkin lebih parah kalau bukan kerana keuntungan menerusi penilaian aset hartanah berjumlah RM896.8 juta.

Laporan tahunan 2014 syarikat itu meletakkan pinjaman jangka panjang dana negara itu naik sehingga RM33.5 bilion, iaitu kenaikan RM7.2 billion atau 27% daripada RM26.3 bilion pada 2013. Hutang jangka pendek 1MDB berjumlah RM8.3 bilion.

Pada hujung Mac tahun lalu, baki tunai dan baki bank 1MDB berjumlah RM3.8 bilion, turun 42% daripada RM6.7 bilion pada tahun kewangan 2013.

Penurunan ini berpunca daripada bayaran faedah yang tinggi serta pinjaman yang masih ada. Bagi tahun berakhir Mac 2014, 1MDB membelanjakan RM2.4 bilion untuk kos kewangan.

Pemimpin politik, termasuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menuntut siasatan dibuat ke atas kewangan 1MDB dan juga menggesa kerajaan menjelaskan urus niaga yang mereka dakwa menyebabkan dana awam disalurkan keluar.

Susulan tekanan tersebut, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan ketua audit negara menjalankan audit bebas ke atas akaun 1MDB.

Pelbagai dakwaan dan kritikan menyelubungi 1MDB, malah pemimpin Umno baru-baru ini juga melancarkan serangan ke atas ahli perniagaan Low Taek Jho yang dikenali sebagai Jho Low kerana dikatakan di antara pemain penting di belakang syarikat tersebut lapor The Malaysian Insider


Sayangnya peluang yang ada kita sia-siakan... BODOH sangatkah kita?

Posted: 16 Apr 2015 11:00 PM PDT


Pilihan raya kecil Permatang Pauh dan Rompan - masing-masing merupakan kubu kuat PKR dan Umno - pada mulanya dijangka mungkin tidak begitu menarik.

Tetapi kini ia dilihat berkemungkinan boleh bertukar menjadi medan perang proksi antara bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Penyokong Najib tampil secara terbuka menyuarakan kesetiaan mereka terhadap kepimpinannya dalam mendepani kritikan Mahathir - daripada isu beban hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hingga kepada isu motif di sebalik pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Bagaimanapun, sekutu Mahathir - Tun Daim Zainuddin - berpandangan sokongan itu mungkin 'dibuat-buat' kerana katanya, memang perkara biasa bagi ahli Umno menyatakan sokongan terbuka kepada presiden mereka.

Dengan itu, pilihan raya kecil Parlimen Rompin dilihat akan menjadi kayu pengukur bagaimana tulennya sokongan untuk Najib itu.

Kerusi itu kosong selepas Datuk Jamaluddin - yang merupakan orang kuat Najib yang mewakili kawasan itu selama 25 tahun - terkorban dalam nahas helikopter awal bulan ini.

Walaupun berdepan dengan sentimen anti-establishment dalam pilihan raya umum lepas, namun Jamaluddin berjaya meningkatkan majoriti kemenangannya daripada 10,679 undi kepada 15,114 undi, di kawasan yang terletak bersebelahan dengan kawasan Parlimen Najib - Pekan.

Kritikan Mahathir boleh menjadi 'peluru' untuk PAS yang akan bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

Walaupun Umno dijangka mengekalkan kerusi tersebut, yang terletak di negeri kelahiran Najib, tetapi kemerosotan majoritinya, akan memboleh Mahathir menguatkan lagi dakwaannya bahawa kritikannya turut dikongsi rakyat.

Sekiranya Umno berjaya meningkatkan lagi jumlah majoritinya di Rompin, ia akan menjadi satu tamparan kepada Mahathir dan sebaliknya menunjukkan sokongan kepada Umno di bawah pimpinan Najib tetap utuh, walaupun di sebalik amaran Mahathir bahawa Umno akan kalah dalam pilihan raya umum akan datang.

Cubaan untuk memalukan Dr M

Penyokong Najib juga boleh mengambil kesempatan daripada pilihan raya kecil Parlimen Pauh Permatang di Pulau Pinang dengan memaksa anak Mahathir - Mukhriz - yang merupakan menteri besar Kedah - untuk berkempen di sana dan secara terbuka menyokong Najib.

Malah sekarang pun, penyokong setia Najib telah secara terbuka mendesak Mukhriz supaya mengisytiharkan sokongan kepada presiden Umno itu atau meletak jawatan menteri besar.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh kosong ekoran pemanjaraan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim. Umno, yang akan bertanding kerusi itu, juga akan mahu mengambil kesempatan daripada kemelut yang melanda Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun, Umno mungkin terpaksa berdepan dengan tugas menangkis kritikan Mahathir itu kerana PKR sudah pasti akan mengeksploitasi situasi dalam kempen pilihan raya kecil tersebut.

Walaupun kedua-dua pilihan raya kecil itu akan menjadi medan pertarungan antara BN dan Pakatan, namun pakatan pembangkang yang kini dalam keadaan kucar-kacir, merupakan ancaman yang lebih kecil kepada Najib, berbanding dengan Mahathir.

Di sebalik kempen pilihan raya kecil itu, Najib dan Mahathir tentunya akan mahu mengukuhkan lagi kedudukan mereka untuk berdepan dengan pertempuran sebenar yang bakal mendatang.

Analisa oleh Malaysiakini




Mahathir kutuk Najib lagi..

Posted: 16 Apr 2015 08:31 PM PDT


Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan prestasi penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam pilihan raya umum jauh lebih baik daripada Datuk Seri Najib Razak walaupun seringkali tidur.

Bekas perdana menteri paling berkhidmat itu berkata, Abdullah mendapat 140 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada tahun 2008 berbanding Najib yang hanya berjaya mendapat 133 kerusi dalam PRU13.

"Pak Lah tidur pun dapat 143, dia (Najib) dapat 130 berapa," soal Dr Mahathir merujuk kepada 140 kerusi dimenangi Barisan Nasional (BN) di zaman Abdullah dalam satu wawancara eksklusif bersama portal Perak Today.

Dr Mahathir berkata, beliau tidak bersetuju dengan tindakan pentadbiran Najib memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kerana ianya seperti "merasuah rakyat" menjelang pilihan raya.

"Kita tidak pernah bagi duit kepada orang, kita wujudkan pekerjaan untuk rakyat," kata bekas presiden Umno itu merujuk kepada zaman pentadbirannya.

"Saya cuba beritahu dia (Najib) untuk hentikan BR1M. You nak tolong orang miskin, tolong. Banyak orang miskin yang betul-betul miskin, tolong dia orang."

Dr Mahathir berkata, terdapat masyarakat Cina memberitahunya tindakan memberikan BR1M seperti rasuah kerana ianya diberikan menjelang pilihan raya.

"Dan mereka tidak akan mengundi. Lihatlah apa yang berlaku. Najib dapat sokongan yang kurang daripada Pak Lah," katanya merujuk kepada nama gelaran Abdullah.

Menurut Dr Mahathir, kritikannya kepada Najib bukanlah sesuatu yang peribadi, tetapi kerana apa dilakukan perdana menteri.

"Sukar bagi saya untuk mengatakan sesuatu yang menentang dia (Najib). Ini kerana saya terlibat dalam menjadikannya perdana menteri.

"Dan dia adalah anak kepada Tun Razak. Dan Tun Razak adalah mentor saya," katanya merujuk kepada ayah Najib yang juga perdana menteri kedua Malaysia Tun Abdul Razak Hussein.

Katanya Razak merupakan idolanya dan orang yang bertanggungjawab membantu karier politiknya sehingga menjadi perdana menteri.

"Kalau tidak sabit dia saya tidak jadi perdana menteri.

"Sebab saya terhutang budi terlalu banyak dengan Razak saya bantu Najib sejak awal lagi," kata Dr Mahathir merujuk kepada tindakannya melantik Najib sebagai menteri besar Pahang pada usia 28 tahun lapor The Malaysian Insider


-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...