Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


PAS Permatang Pauh bagi kata dua pada PKR

Posted: 19 Apr 2015 07:00 AM PDT


Pas Permatang Pauh meluluskan usul menggesa kepimpinan PKR membuat permohonan maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataan mereka yang tidak menyokong pelaksanaan Rang Undang-undang Persendirian berkaitan hudud.

Usul itu dicadangkan Pemuda Pas kawasan berkenaan pada Mesyuarat Agung Tahunan cawangan itu yang ke 38 di Dewan Haji Yussof Rawa di sini hari ini.

Yang Dipertuanya, Omar Hassan berkata, PKR diberi tempoh sebelum hari penamaan calon untuk membuat permohonan maaf dan menarik semula kenyataan tidak menyokong hudud.

Menurutnya, jika PKR bersetuju dan meminta maaf secara terbuka pihaknya akan meneruskan kerjasama dengan parti itu dalam PRK Permatang Pauh kelak.

"Pendirian ini dibuat dan disepakati oleh akar umbi pada mesyuarat agung kami.

"Ahli Pas di Permatang Pauh mampu beri kemenangan kepada calon yang akan bertanding pada PRK nanti," katanya ketika ditemui media di sini semalam.

Ditanya sama ada Pas Permatang Pauh akan memberi sokongan jika Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dipilih menjadi calon, Omar enggan mengulas.

Dalam persidangan yang berlangsung hampir lima jam itu, keadaan dewan menjadi gamat apabila usul itu dibentangkan oleh wakil Pemuda Pas.

Ada perwakilan yang menggesa agar kepimpinan PKR dan DAP tampil untuk berjumpa dengan kepimpinan Pas bagi memohon maaf atas keceluparan kenyataan mengenai isu hudud yang mengguris hati ahli Pas.

Bekas Ketua Penerangan Pas Permatang Pauh, Jamsari Samad ketika membahaskan usul itu berkata, tindakan rakan sekutu mereka yang menolak pelaksanaan hudud menyukarkan jentera Pas untuk turun padang bagi menjelaskan pendirian mereka terhadap PR.

"Macam mana kita nak jelaskan dan minta pengundi menyokong kita sedangkan calon yang kita tampilkan nanti tidak menyokong pelaksanaan hudud.

"Malah ada kenyataan pemimpin PKR dan DAP yang dilihat terlalu biadap dan kurang ajar sehingga mahu memutuskan hubungan dengan presiden. Apa maknanya kita bekerjasama dengan mereka jika mahu memutuskan hubungan dengan presiden kami," katanya.

Sementara itu,Omar berkata, pihaknya tidak berhasrat untuk membelakangi pendirian Pas Pusat sebaliknya hanya mahu perkara itu diberi perhatian kerana disuarakan oleh akar umbi.

"Keputusan ini bukan dibuat oleh saya sendiri tetapi memang boleh dilihat sendiri apa yang akar umbi mahu pada mesyuarat agung hari ini ," katanya.


Terdahulu ketika ucapannya,Omar berkata, Pas Permatang Pauh akan membuat sedikit kejutan pada PRK Permatang Pauh jika rakan sekutu mereka menyinggung dasar perjuangan Pas.

Beliau berkata, Pas Permatang Pauh juga sudah bersiap sedia untuk membantu kempen pada PRK Permatang Pauh dan memastikan PR terus menerajui kerusi Parlimen Permatang Pauh jika syarat itu dipenuhi lapor Sinar Harian

BN boleh menang mudah di Rompin tapi sukar untuk menang di Permatang Pauh.. Mahathir kata..

Posted: 19 Apr 2015 05:00 AM PDT


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad optimis BN tidak menghadapi masalah untuk terus mempertahan kerusi Parlimen Rompin pada PRK itu 5 Mei depan.

Beliau berkata, ini kerana BN mempunyai sokongan kuat pengundi kawasan itu terhadap kepimpinan bekas Ahli Parlimen Rompin Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis sejak 1990.

"Di Rompin, sokongan BN masih ada...pasti menarik untuk tahu marginnya kali ini," katanya kepada pemberita pada forum antarabangsa 'Mendampingi Golongan Muda Untuk Menjenayahkan Perang dan Mentenagakan Keamanan' di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini hari ini.

PRK Parlimen Rompin diadakan berikutan kematian Jamaluddin dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.

Semalam, BN menamakan pemangku Ketua Umno Bahagian Rompin, Datuk Hasan Arifin, 62, yang juga bekas timbalan menteri besar Pahang sebagai calonnya bagi PRK Rompin.

Mengenai PRK Parlimen Permatang Pauh pada 7 Mei ini, Dr Mahathir berkata, BN bakal berdepan laluan sukar untuk merampas kerusi itu kerana penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai sokongan kuat di kawasan berkenaan.

"...ia pasti sukar, ada penyokong fanatik di situ. Orang yang tidak hiraukan realiti, tentang kebenaran, mereka sokong secara membabi buta," katanya.

Anwar merupakan Anggota Parlimen Permatang Pauh bagi BN dari 1982 hingga 1999 sebelum dijatuhi hukuman penjara pada 14 April 1999.

Kerusi itu kemudian dimenangi isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada pilihan raya umum ke-10 pada November 1999.

Dr Wan Azizah mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya seterusnya sebelum meletak jawatan pada 31 Julai 2008 untuk memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding dalam PRK Permatang Pauh pada Ogos, 2008.

Anwar memenangi semula kerusi itu dengan mengalahkan calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah dengan majoriti 15,671 undi pada PRU13. PRK Parlimen Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja terhadap Anwar, yang dipohon melalui anggota keluarganya.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun selepas disabit meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan lapor Sinar Harian


-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...