Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Najib dikelilingi penasihat yang pentingkan perut sendiri dakwa MP Barisan Nasional..

Posted: 22 Apr 2015 07:30 AM PDT


Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata musuh utama UMNO kini bukan lagi Pakatan Rakyat sebaliknya unsur dalaman parti itu sendiri yang akan menyebabkan kekalahan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Nur Jazlan berkata, ahli-ahli UMNO kini berdepan dilema sama ada menyatakan kesetiaan kepada pemimpinnya atau parti.

"Pemimpin atau parti, yang mana perlu dipertahankan? Dan ketika ini, kedua-duanya tidak boleh datang bersama-sama dan pilihan perlu dibuat dengan segera memandangkan rakyat Malaysia terus memerhati dengan teliti," kata Nur Jazlan di blog peribadinya, nurjazlan.net.

Jelas beliau, kedudukan Najib sebagai Presiden UMNO pada zahirnya dilihat masih lagi kukuh, namun kehilangan Tan Sri Jamaluddin Jarjis berkemungkinan menyebabkan beliau sendiri kehilangan arah.

Katanya, Najib kini berhadapan dengan satu situasi yang begitu meruncing akibat terpalit berbagai isu melibatkan soal pentadbiran dan pengurusan kewangan negara serta isu berkaitan keluarganya.

"Apa tidaknya, kritikan terbuka Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempunyai rekod sejarah cukup baik menjatuhkan Perdana Menteri Malaysia bermula dengan Almarhum Tunku Abdul Rahman kemudian Pak Lah, Najib sewajibnya sedar dan perlu membuka mata serta hati bahawa kenyataan terbuka diterimanya kini, mungkin hanya bersifat retorik semata-mata," tulis beliau lagi.

Katanya, apa yang berlaku kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008 adalah bukti bahawa sokongan solidariti tidak mampu menjamin kedudukan seorang presiden parti.

"Sifat bermuka-muka dalam UMNO bukan satu perkara baru dan seorang 'gentleman' seperti Pak Lah pun boleh dimainkan apabila di depan menyatakan beliau mempunyai masa selama 18 bulan untuk berundur tetapi di belakang usaha gigih dilakukan untuk menyegerakan Pak Lah meletakkan jawatan," tulis beliau.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) itu menegaskan jika UMNO terus dilanda masalah, bagaimana parti itu mahu memimpin parti komponen BN seperti MCA, MIC dan Gerakan berdepan PRU akan datang.

"Kelemahan parti-parti komponen ini bukan satu rahsia lagi dan mereka sememangnya bergantung kepada keperkasaan dan kekuatan UMNO dalam memastikan kemenangan dalam PRU 14," katanya lagi.

Dalam tulisannya, Nur Jazlan juga berkata dua projek utama Najib, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Felda Global Venture (FGV) Bhd kini seakan menjadi api dalam sekam kepada pentadbiran beliau.

Katanya, dua projek yang sebelum ini dicanangkan akan membawa Malaysia ke tahap ekonomi yang lebih baik, pasti akan bertukar menjadi isu politik kepada UMNO.

"Ramai pihak sudah mula mempertikaikan kewibawaan dua projek ini terutama sekali 1MDB dan jika selama ini, pucuk pimpinan kerajaan dan parti menyatakan serangan itu bermotif politik daripada pembangkang tetapi kini ia datang daripada Tun Dr Mahathir sendiri selain Tun Daim Zainuddin.

"Kedua-dua tokoh ini walaupun sudah bersara daripada kerajaan dan politik hampir 15 tahun lalu, tetapi masih berpengaruh besar memandangkan mereka mempunyai rekod sejarah yang dibanggakan rakyat Malaysia sehingga kini," ujar beliau.

Najib sebagai presiden UMNO dan Perdana Menteri, jelas Nur Jazlan tidak mempunyai barisan menteri Kabinet yang berpengaruh terhadap rakyat.

Nur Jazlan berkata, berbeza dengan Dr Mahathir, bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri itu mempunyai menteri yang disenangi rakyat seperti Daim.

"Najib dikelilingi penasihat 'pandai memandai' yang sebenarnya lebih banyak mementingkan perut masing-masing untuk mendapatkan projek daripada bermatian mempertahankan beliau dengan apa cara sekalipun daripada serangan-serangan ini.

"Lebih menyeksakan Najib lagi, pemimpin yang lantang bersuara mempertahankan beliau tidak mempunyai kredibiliti dan pengalaman sehingga segala hujah mudah dipatahkan bukan sahaja di kalangan pemimpin pembangkang malahan di kalangan rakyat biasa sahaja," katanya lapor AstroAwani


Analisa ringkas mengenai PRK Permatang Pauh.. yang menyakitkan hati..

Posted: 22 Apr 2015 05:30 AM PDT


PAS bakal menerima padah jangka masa panjang sekiranya parti Islam tersebut berhasrat mensabotaj dan tidak menyokong calon Pakatan Rakyat (PR) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh, ramal penganalisis.

Di peringkat akar umbi, PAS Permatang Pauh secara terbuka menolak Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon, malah Dewan Pemuda PAS negeri juga dilihat enggan bekerjasama dalam kempen PRK kali ini.

Bagaimanapun, penyelidik Dr Bridget Welsh melihat sikap yang disifatkannya keras kepala tersebut akan mengundang padah kepada PAS dan berkata, parti itu bakal kehilangan banyak tempat lagi jika berterusan dengan pendirian provokasi sedemikian.

"Jika PAS gagal memberi sokongan dan terlibat dalam sabotaj, perkara ini tidak akan dilupakan," kata penyelidik bersekutu kanan di Center for East Asia Democratic Studies, Universiti Kebangsaan Taiwan itu kepada The Malaysian Insider.

"Mereka boleh ucapkan selamat tinggal dengan harapan menang kerusi di Pulau Pinang dan kerusi lain. Ini akan menjadikan PAS sebagai 'loser' (pihak yang tewas) untuk jangka masa panjang, hilang sokongan golongan muda Melayu dan menghakis kredibiliti mereka," katanya.

Katanya, lebih buruk lagi, PAS akan dilihat seolah-olah bersekongkol dengan Barisan Nasional (BN) yang bertanggungjawab menyumbat ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ke dalam penjara.

"Ia secara jelas menunjukkan mereka menyokong tindakan kerajaan BN ke atas Anwar dengan tidak membantu dalam pertandingan ini," katanya.

Perpecahan dalam PR disebabkan perbezaan pendapat dalam isu hudud, kata Welsh, tetapi jika PAS membuat keputusan berkecuali di Permatang Pauh, maka ia sepatutnya dipersalahkan dalam kemelut melanda gabungan pembangkang tersebut.

"Pembangkang secara keseluruhannya tewas kerana tumpuannya kepada isu hudud.

"Tetapi PAS Pulang Pinang ialah 'main loser' (pihak utama yang tewas) kerana isu hudud ialah simbolik kepada amalan tidak Islamik parti tersebut yang dilihat tamak, menipu dan pentingkan diri dengan memilih jalan kemusnahan ke arah memecahbelahkan negara, menghancurkan Perlembagaan Persekutuan dan banyak lagi," katanya.

Penyelidik itu berkata, PAS akan cuba menunjukkan kekurangan sokongan yang dijangkakan itu disebabkan pihak lain, tetapi ia sebenarnya merupakan tanggungjawab bersama, termasuk DAP dan PKR.

"Jika PAS pilih berkecuali di Permatang Pauh, maka mereka yang akan dipersalahkan," kata Welsh, yang juga penyunting buku 'Bangkit - Tempoh Pentadbiran Abdullah Badawi di Malaysia'.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis, Dr James Chin, tidak menolak PKR mungkin tewas di Permatang Pauh, walaupun kerusi Parlimen tersebut dianggap kubu kuat, jika wujud sabotaj daripada parti Islam tersebut.

"PKR pasti menang, melainkan PAS sabotaj. Majoriti mungkin kurang, bergantung kepada jumlah pengundi yang keluar," kata pengarah Institut Asia Universiti Tasmania itu kepada The Malaysian Insider.

Chin melihat kerjasama antara PKR dan DAP masih memadai untuk membawa kemenangan kepada PR, tetapi perkiraan tersebut mungkin bertukar jika PAS aktif meneruskan kempen sabotajnya.

Perpecahan dalam gabungan tersebut dilihat jelas semasa majlis pelancaran jentera PKR bagi PRK itu pada 14 April yang tidak dihadiri pemimpin tertinggi PAS Pusat.

PAS hanya diwakili Ketua Muslimat PAS Pusat Siti Zailah Mohd Yusoff, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Datuk Dr Mujahid Yusof dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir Datuk Mohd Salleh Man walaupun parti sekutu lain diwakili pemimpin atasan mereka.

Walaupun Permatang Pauh dilihat kubu kuat PKR, Dr Azizuddin Mohd Sani berkata PAS masih mempunyai pengaruh kuat dalam menentukan keputusan pilihan raya, terutamanya di kawasan yang mempunyai ramai penyokong parti itu.

"Kubang Semang diketahui sebagai kubu PAS dan pengurangan undi mungkin akan berlaku di kerusi tersebut," kata penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia itu.

Sementara itu, Welsh berkata, beliau menganggap Dr Wan Azizah bukan sebagai 'jambatan' untuk PR tetapi sebaliknya 'gam' yang menyatukan PKR.

Dan, katanya PRK kali ini bukan pengakhiran kepada semua episod perbalahan di dalam PR, tetapi yang lebih memainkan peranan sebagai penentu ialah pemilihan PAS akan datang pada muktamar Jun ini.

"PRK ini ujian untuk semua, tapi bukan sesuatu yang muktamad untuk pembangkang secara keseluruhannya, kerana pemilihan PAS lebih penting," katanya.

Kerusi Permatang Pauh kosong selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan Anwar gagal dalam rayuan terakhirnya terhadap sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Keputusan itu sekali gus melucutkan kelayakan Anwar sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh yang disandangnya sejak 2008 berikutan Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyatakan seseorang anggota Parlimen boleh dilucutkan kelayakannya jika dijatuhi hukuman penjara lebih setahun atau didenda lebih RM2,000.


Ahmad Maslan dedahkan bukan kerana GST harga barang naik..

Posted: 22 Apr 2015 01:55 AM PDT


Datuk Ahmad Maslan mendakwa peniaga yang sengaja menaikkan harga barangan adalah peniaga yang menyokong pakatan pembangkang.

Timbalan Menteri Kewangan itu mendakwa, peniaga pro pembangkang sengaja berbuat demikian supaya rakyat marah kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Katanya, tindakan peniaga itu hanyalah bertujuan mahu mengagalkan hasrat baik kerajaan BN melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

"Peniaga-peniaga yang sokong pembangkang tidak akan jayakan inisiatif baik kerajaan BN. Mereka suka 'sabotaj' ekonomi negara ini," katanya di status Facebook.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata, pelaksanaan GST adalah telus kerana ia dimasukkan dalam resit tiap kali membeli berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang tidak telus kerana ia telah termasuk dalam harga barang harga yang rakyat Malaysia tidak perasan.

"Rakyat Malaysia tiba-tiba menjadi tambah celik kewangan bermula (1 April). Dulu tidak pernah simpan resit barang-barang yang dibeli, sekarang dibaca, disimpan dan di WhatsApp ke seluruh dunia," katanya.

Ahmad Maslan sekali lagi menegaskan, tidak semua barang dikenakan GST, apabila peniaga yang pendapatan kurang RM500,000 setahun tidak dikenakan GST, malah perkhidmatan asas seperti pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam, sewa rumah dan urusan kerajaan juga sifar GST.

Tegas Ahmad Maslan, beliau tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak supaya beliau berhenti bercakap dan menghapuskan GST, kerana tindakan sedemikian akan memberikan kemenangan kepada pembangkang untuk terus merosakkan minda rakyat.

"Saya tidak akan berhenti menjelaskan yang GST lebih baik daripada SST. Anda boleh ikuti penjelasan GST saya dlm twitter @ahmadmaslan," katanya lapor FreeMalaysiaToday


Kah.. kah.. kah.. salah Pembangkang.. nasib baik Anwar Ibrahih dah duduk dalam.. kalau tak tentu Anwar Ibrahim yang dipersalahkan..

Tapi Ahmad Maslan... Jumat Idris ni MP dari Pembangkang ke?




Satu lawan satu di Rompin setelah Calon Bebas dihalang masuk..

Posted: 21 Apr 2015 08:51 PM PDT


Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin, P091, bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN dan PAS umum Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Fadzilla Salleh hari ini. 

Sebelum itu, pusat penamaan calon dibuka pukul 9 pagi tadi di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah dan ditutup sejam kemudian.

Dua calon, iaitu Datuk Hasan Arifin daripada Barisan Nasional (BN), dan Nazri Ahmaf daripada PAS, telah menyerahkan borang pencalonan masing-masing.

Calon PAS Nazri Ahmad dilihat tiba di pusat penamaan calon pada jam 8.45 pagi disusuli calon BN Datuk Hasan Arifin yang tiba di pusat penamaan calon pada pukul 9.04 pagi.

Nazri Ahmad telah menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.04 pagi dan Hasan Arifin pula pada pukul 9.07 pagi.

Sementara itu Bernama melaporkan, penulis blog Mohd Shukri Mohd Ramli yang pada Isnin lepas mengumumkan untuk bertanding sebagai calon bebas, tiba pada 9.50 pagi tetapi tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon kerana tidak membawa penyata kewangan serta seorang pencadang dan seorang penyokong bersamanya.

Sebelum itu, Hasan, pemangku Ketua UMNO Bahagian Rompin, diiringi Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah berarak dari Puteri Inn, kira-kira 30 meter dari pusat penamaan calon pada pukul 8.50 pagi.

Turut bersama mengiringi Hasan ialah Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang juga penyelaras BN bagi PRK Rompin, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam, Naib Presiden Gerakan Datuk A Kohilan Pillay berserta 5,000 anggota dan penyokong BN.

Sementara itu, Nazri pula diiringi Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, diarak dari stesen minyak Petronas kira-kira 200 meter dari pusat penamaan calon pada pukul 8.45 pagi.

Turut hadir Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, dua Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua berserta 1,000 penyokong.

Pengundian awal akan berlangsung pada 30 April ini manakala proses pengundian pula akan diadakan pada 5 Mei nanti.

Kawasan parlimen itu mempunyai 53,294 pemilih berdaftar. PRK Rompin diadakan berikutan penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.

Pada pilihan raya umum Ke-13, Jamaluddin mengekalkan kerusi yang disandangnya hampir enam penggal itu setelah mengalahkan bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

PRK Parlimen Rompin adalah pilihan raya kecil kesembilan selepas PRU13 yang berlangsung pada 5 Mei 2013.

Lapan PRK sebelum ini ialah PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Terengganu (24 Julai 2013); PRK DUN Sungai Limau, Kedah (4 Nov 2013); PRK DUN Kajang, Selangor (23 Mac 2014); PRK DUN Balingian, Sarawak (29 Mac 2014); PRK Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang (25 Mei 2014); PRK Parlimen Teluk Intan, Perak (31 Mei 2014); PRK DUN Pengkalan Kubor, Kelantan (25 Sept 2014) dan PRK DUN Chempaka, Kelantan (22 Mac 2015) lapor AstroAwani


-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...