Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Saksi paling awal tiba ditempat kejadian menceritakan keadaan nahas Helikopter

Posted: 05 Apr 2015 03:30 AM PDT


Seorang penduduk Kampung Sungai Pening-Pening di sini yang merupakan penduduk tempatan pertama tiba di lokasi nahas helikopter melibatkan enam penumpang semalam memberitahu, kejadian yang berlaku itu dianggap sebagai satu insiden paling tragis yang dilihat sepanjang hidupnya.

Abdul Rahim Alin, 42, merupakan antara dua orang penduduk yang paling awal tiba di lokasi nahas beberapa minit selepas helikopter jenis S365 milik IGB Corporation terhempas.

Menceritakan mengenai pengalamannya itu, Rahim memberitahu dia mengetahui tentang insiden tersebut selepas terdengar bunyi siren dari sebuah jentera bomba yang lalu di hadapan rumahnya.

Katanya, dia yang curiga dengan kehadiran jentera bomba itu kemudian bergegas keluar dari rumah dan mengejar jentera tersebut dengan menggunakan motosikal bersama dengan rakan yang kebetulan berada di rumahnya.

"Saya memang ada terdengar bunyi letupan tetapi, bunyinya agak jauh dari rumah saya.

"Saya menjangkakan ada rumah jiran terbakar tetapi saya hairan mengapa jentera bomba tidak berhenti dan terus menuju ke kawasan kebun kelapa sawit milik seorang penduduk di sini.

"Saya ingat anggota bomba itu telah tersesat. Tiba-tiba saya nampak asap hitam berkepul-kepul di udara yang datangnya dari dalam kawasan kebun kelapa sawit itu," katanya kepada The Rakyat Post malam tadi.

Tambah Rahim lagi, dia dan rakannya itu kemudian meninggalkan motosikal yang dinaiki dan meluru masuk ke dalam kebun tersebut untuk mengetahui apa yang berlaku.

Katanya, sampai saja di lokasi nahas yang jaraknya lebih kurang 50 meter dari tempat dia meletakkan motosikalnya, dia dan rakannya mendapati sebuah helikopter sedang terbakar dan beberapa cebisan bangkai pesawat itu bertaburan di merata tempat.

Jelasnya, apa yang paling tidak sanggup untuk dilihat apabila dia terpandang satu mayat yang terbakar dan masih berasap di atas tanah bersebelahan bangkai helikopter yang sedang terbakar itu.

Katanya lagi, pada peringkat awal dia ada membantu anggota bomba yang mahu memadamkan api pada bangkai helikopter tersebut namun dia kemudian diarahkan supaya beredar dari kawasan itu.

"Saya terbau mayat manusia terbakar dan apa yang saya lihat itu mungkin tidak akan dapat dilupakan.

"Ini adalah kejadian pertama seumpama itu berlaku di kampung ini sejak saya tinggal di sini lebih 42 tahun lalu," ujarnya.

Semalam, helikopter jenis S365 milik IGB Corporation, yang membawa enam orang termasuk juruterbangnya, dan Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), Tan Sri Jamaluddin Jarjis serta Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alias, terhempas di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru, Semenyih dekat sini pada 4.55 petang ~ The Rakyat Post



Jenazah bapa Anwar Ibrahim selamat dikebumi..

Posted: 05 Apr 2015 12:52 AM PDT


Jenazah bapa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Ramal, Kajang, pada 2.35 petang hari ini.

Jenazah Datuk Ibrahim Abd Rahman dikebumikan selepas solat Zohor.

Anwar dilihat menaiki kereta berpacuan 4 roda bersama beberapa orang pegawai penjara yang mengekori van jenazah ke tanah perkuburan.

Menurut menantunya, Jamil Abdullah, Ibrahim terlantar sakit lebih daripada 5 tahun lalu dan dibawa ke Hospital Serdang pada Sabtu kerana mengalami sesak nafas.

Laporan sebelumnya..


Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghadiri pengebumian bapanya di Country Heights, Kajang, selepas diberi kebenaran oleh Jabatan Penjara.

Beliau disambut anak perempuannya, Nurul Nuha setibanya di rumah pada 10.40 pagi bersama pegawai Penjara Sungai Buloh.

Isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata jabatan penjara memberi izin untuk menziarahi jenazah Datuk Ibrahim Abdul Rahman yang meninggal dunia pada pukul 1.45 pagi hari ini.

"Anwar InsyaAllah akan diberi keizinan oleh penjara jam 11 pagi ini untuk ziarah Allahyarham ayahanda DSAI di Kajang," tulis Dr Wan Azizah yang juga presiden PKR di akaun Facebooknya.

Menurut salah seorang ahli keluarganya, Ibrahim meninggal dunia disebabkan sakit tua. Beliau berusia 96 tahun.

Antara yang turut hadir menziarahi jenazah Ibrahim hari ini ialah bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, peguam Latheefa Koya serta bekas Naib Presiden PKR N Surendran.

Ibrahim merupakan ahli Parlimen Seberang Perai Tengah dari 1959 hingga 1969. Beliau juga pernah menjawat jawatan setiausaha Parlimen.

Jenazah tiba di tanah perkuburan pada 2.30 petang dan dikebumikan pada 2.35 petang.

Anwar kini sedang menjalani hukuman penjara 5 tahun di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lepas menolak rayuan akhir beliau terhadap kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008 ~ The Malaysian Insider


.... Al Fatihah buat Allahyarham..
-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...