Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


BMW nafi kerajaan beli 7 Series..

Posted: 08 Apr 2015 07:30 AM PDT


BMW Group Malaysia hari ini menafikan dakwaan ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, bahawa kerajaan Malaysia telah membeli enam unit kereta BMW 7 Series.

Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Alan Harris berkata kenderaan itu adalah tanda komitmen BMW Group Malaysia sebagai rakan penaja bagi Persidangan Kemuncak ASEAN ke-26 bertempat di Kuala Lumpur dan Langkawi bermula 24 hingga 28 April 2015.

Katanya, BMW Group Malaysia katanya akan menyediakan kenderaan BMW 7 Series dan BMW 5 Series yang akan digunakan sebagai kenderaan rasmi kepada tetamu kehormat, pegawai dan VIP pada persidangan terbesar Asia Tenggara hujung bulan ini.


Sebelum ini di Parlimen, Rafizi berkata kerajaan Persekutuan patut memberikan penjelasan dakwaan pembelian kereta mewah BMW 7-Series sedangkan rakyat menanggung Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Ekoran penafian itu, Rafizi, di laman Facebooknya meluahkan rasa syukur bukan duit GST yang digunakan untuk pembelian kereta-kereta tersebut lapor AstroAwani


Sekali lagi Khairy desak Najib jawab kritikan Mahathir..

Posted: 08 Apr 2015 03:31 AM PDT


Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin sekali lagi menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjawab isu dibangkitkan terhadapnya, terutama oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ditanya kenapa Najib lama berdiam, Khairy berkata beliau percaya isu itu harus disentuh.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa sidang media di Institut Sukan Negara di Kuala Lumpur hari ini.

"Setiap pentadbiran berdepan sesuatu isu dari masa ke semasa. Menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan kita menangani isu ini.

"Saya fikir perkara itu akan berlaku," katanya.

Minggu lalu, Khairy berkata Najib sendiri harus menjawab persoalan dibangkitkan Mahathir, walaupun perkara itu mungkin telah dijawab sebelum ini.

Mahathir mulai minggu lalu mula menyerang keras Najib dalam pelbagai isu, termasuk kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, kontroversi 1Malaysia Developement Bhd dan kemerosotan sokongan kepada BN.

Kritikan itu dilihat antara paling keras terhadap Najib, yang menariknya dibuat sehari sebelum ulang tahun keenam pentadbiran Najib sebagai perdana menteri pada 3 April lapor Malaysiakini


Aidana Baizieva kawan Pilot rupanya...

Posted: 07 Apr 2015 11:30 PM PDT


Misteri wanita warga Krygyztan yang turut terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, di sini Sabtu lalu terungkai apabila polis hari ini mengesahkan bahawa dia merupakan kenalan kepada mendiang Kapten Clifford William Fournier.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, wanita itu dikenal pasti sebagai Aidana Baizieva berusia 25 tahun.

Sehubungan itu, beliau me­negaskan, Aidana tidak mempu­nyai kaitan dengan mangsa-mang­sa lain yang terkorban.

"Jangan kaitkan Aidana Baizieva dengan mangsa lain. Hubu­ngan dia hanya dengan Kapten Fourneir sahaja," katanya.

Abdul Samah berkata, hasil siasatan yang dilakukan pihak polis menunjukkan tiada bukti bahawa satu-satunya mangsa wanita dalam nahas itu mempunyai hubungan dengan empat mangsa lain.

"Siasatan kita menunjukkan Aidana dan Fournier saling kenal mengenali antara satu sama lain dan juruterbang itu didapati pernah beberapa kali membawa mangsa.

"Kapten Fourneir juga didapati melakukan penerbangan bersama wanita itu ke Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2015 berdasarkan tiket penerbangan yang ditemukan di rumah mangsa di sebuah apartmen di Pantai Dalam.

"Selain itu kapten itu turut disahkan oleh pengurusan kediaman berkenaan mempunyai akses masuk ke rumah Aidana," katanya berhampiran lokasi nahas, di sini hari ini.

Identiti Aidana menjadi polemik ramai apabila wanita itu sebelum ini tidak dapat dikenal pasti identiti dan cuba dikaitkan dengan mangsa-mangsa dalam nahas itu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.55 petang Sabtu lalu, enam individu termasuk Ahli Parlimen Rompin, Tan Sri Dr. Jamaludin Jarjis dan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Azlin Alias terbunuh apabila helikopter AS365N2 Dauphin yang dinaiki terhempas dan terbakar.

Mengulas lanjut, Abdul Samah berkata, identiti wanita terbabit diketahui berdasarkan kenalan kedua-dua mangsa warga asing itu.

"Wanita ini belajar di Universiti Sunway, Universiti Lim Kok Wing dan Kolej Segi pada tahun 2010 hingga tamat belajar pada Oktober 2014 dalam jurusan Diploma Pelancongan.

"Mangsa juga difahamkan seorang yang amat meminati dunia penerbangan," jelasnya yang me­ngatakan hubungan sebenar Aidena-Fournier masih dalam siasatan lanjut.

Tambah Abdul Samah, walaupun telah berpuas hati dengan siasatan identiti Aidana namun ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mang­sa masih belum selesai meskipun kakak tirinya hadir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam.

"Kita turut ke rumah mangsa untuk mencari bukti DNA dan jika masih belum selesai, pilihan ter­akhir adalah mencari bapanya yang berusia 75 tahun di Krygyzstan," katanya.

Ujar Abdul Samah, pihaknya berharap orang ramai menghormati mangsa yang terkorban de­ngan tidak membuat spekulasi dan segala siasatan kini di tangan polis serta Biro Siasatan Kemala­ngan Udara lapor Utusan


..... Hmm.. helikopter sewa khas, bawa VVIP.. boleh pulak Pilot bawa kawan?


Tarikh Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh diumum SPR

Posted: 07 Apr 2015 10:18 PM PDT


Hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh (P.44) ditetapkan pada 7 Mei ini sementara hari penamaan calon pula pada 25 April ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Keputusan tersebut diumumkan oleh Abdul Aziz selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR di ibu pejabat suruhanjaya berkenaan di Putrajaya pada Rabu.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh diisytihar kosong apabila penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen pada 16 Mac selepas Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon melalui keluarganya pada 24 Februari.

Anwar, yang juga ketua pembangkang, kini menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.


POTA dilulus: Wahai MP PR.. Awak kat mana?

Posted: 07 Apr 2015 08:28 PM PDT


Pensyarah Universiti Malaya Dr Azmi Sharom semalam mempersendakan Pakatan Rakyat (PR) dengan mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana membenarkan undang-undang kontroversi Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota) diluluskan di Parlimen awal pagi semalam.

Azmi, yang didakwa mengikut Akta Hasutan 1948 tahun lepas, sebenarnya marah terhadap pakatan pembangkang itu, yang tewas dengan hanya 19 undi pada persidangan Dewan Rakyat di mana mereka menentang undang-undang baharu itu, yang membenarkan penahanan tanpa bicara.

"Mari kita berikan tepukan yang gemuruh untuk ahli Parlimen PR yang Tuhan saja tahu di mana mereka, ketika mereka sepatutnya mengundi menentang Pota. Terima kasih banyak.

"Anda di mana? Anda sepatutnya boleh menewaskan undang-undang itu sebab anda pun tahu di mana biasanya rakan BN anda pada jam 2 pagi. Anda sepatutnya berada di sana untuk menewaskan undang-undang itu.

"Saya marah sangat, menyebabkan saya sekarang menjadi sangat tidak sederhana," katanya, mengundang ketawa daripada kira-kira 150 hadirin pada forum yang membincangkan mengenai kesederhanaan bertajuk "What is a Moderate Malaysia for Malaysians?" di Kuala Lumpur, malam tadi.

Rang undang-undang Pota diluluskan tanpa pindaan di Dewan Rakyat pada kira-kira jam 2.25 pagi Selasa, selepas dibahaskan hampir 14 jam.

Terdahulu, undian belah bahagian yang terakhir memihak kepada kerajaan dengan kiraan 79 bersetuju meluluskan dan 60 tidak bersetuju.

PR memenangi 89 kerusi dalam pilihan raya umum lalu tetapi kini mempunyai 86 ahli Parlimen selepas pemecatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, DAP kalah dalam pilihan raya kecil Teluk Intan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim disabitkan kesalahan.

Azmi, mengecam keras kedua-dua pihak, ahli Parlimen PR dan Barisan Nasional (BN) dan berkata kepimpinan negara ini "sama sekali tidak berguna".

"Kepimpinan benar-benar, sama sekali tidak berguna. Dan bila saya kata kepimpinan, saya maksudkan semua mereka, BN dan PR," katanya.

Memberi amaran terhadap Pota, beliau berkata, undang-undang baharu itu sama seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dimansuhkan, pendirian yang dikongsi ahli Parlimen pembangkang yang bimbang ia mungkin digunakan ke atas mereka.

"Mereka katakan perkara sama waktu itu... yang ISA hanya untuk pemberontak dan pengganas... yang ia tidak akan digunakan terhadap ahli politik.

"Tetapi tidak lama selepas itu pembangkang dikenakan tindakan. Begitulah bagaimana teruknya ia. Kita mundur jauh ke belakang," katanya.

Enggan dilabel sebagai seorang yang "sederhana", Azmi berkata Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali, yang terkenal dengan pandangan melampau dan supremasi itu juga menganggap dirinya seorang sederhana.

"Ia memberi tanggapan yang kita orang yang waras... yang kita, bagaimanapun, boleh mengambil jalan tengah. Tetapi masa itu sudah berlalu pergi," katanya.

Pensyarah undang-undang itu berkata, daripada segi peningkatan ekstremisme di negara ini, ia bukan saja tentang mereka yang menyemai kebencian tetapi mereka yang dibekalkan dengan suasana untuk meningkatkan kebencian.

"Dan ini bukan perkara baru. Bukan semuanya salah Najib dan Rosmah," katanya merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

"Ia berlaku selama bertahun-tahun. Tun Dr Mahathir (Mohamad), perdana menteri paling sempurna di dunia, yang meletakkan kita dalam kedudukan di mana kita tidak lagi percaya kepada institusi kita. Institusi yang paling kita sudah tidak percaya ialah institusi kehakiman," katanya lapor The Malaysian Insider


-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...