Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Microphone Rafizi dirampas ketika berucap dalam Forum GST di UIA (Video Inside)

Posted: 13 May 2015 10:16 AM PDT


Pergelutan kecil berlaku di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) selepas pihak keselamatan kampus merampas pembesar suara daripada Naib Presiden PKR Rafizi Ramli ketika beliau sedang berucap.

Kejadian berlaku semasa forum berkaitan cukai barangan dan perkhidmatan (GST). Rafizi diundang berucap dalam majlis itu.

Selepas tindakan itu, mahasiswa mengebu pihak keselamatan dan cuba berhujah dengan mereka sebelum berlaku tolak menolak.

Selepas beberapa kali ditenteramkan, presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa UIA Hanif Mahpa membatalkan acara itu.

"Jika kami teruskan forum, kami akan hadapi tekanan daripada pihak keselamatan, yang kami rasa tidak perlu," katanya.

Seramai 300 orang menghadiri acara itu lapor Malaysiakini




ADUN UMNO Lenggeng diisytihar muflis

Posted: 13 May 2015 12:55 AM PDT


ADUN Umno Lenggeng, Datuk Ishak Ismail telah diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Tinggi. 

Bagaimanapun, difahamkan pemimpin veteran Umno Negeri Sembilan itu merayu terhadap status tersebut.

Difahamkan Menteri Besar Negri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan status Ishak itu hari ini.

Perintah mengisytiharkan Ishak muflis telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi Seremban pada 18 Mac dan Ishak dikatakan menerima perintah itu bulan lepas.

Seseorang wakil rakyat hilang kerusinya selepas diisytiharkan muflis lapor Malaysiakini

The Star Online juga melaporkan perkara yang sama..

SEREMBAN: Lenggeng assemblyman Datuk Ishak Ismail has been declared a bankrupt by the High Court here.  
The 64-year-old Barisan Nasional wakil rakyat was declared broke by the court's senior assistant registrar on March 18 after he failed to service a loan from businessman Datuk Misran Sukadi.  
When contacted, the third term assemblyman confirmed this.  
However, Ishak said he was only served the court order on April 27.  
"My lawyer has submitted an application to set this aside and the matter will be heard at the High Court tomorrow," he said adding that he was declared a bankrupt as he had stood guarantor for a contractor who took a loan from Misran.  
Mentri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, who is also State Umno chief said that Ishak's status as an assemblyman remains until his appeal is heard.



Business Times Singapura lapor 6 Bank mahu 1MDB bayar segera RM3.5 bilion selepas langgar syarat..

Posted: 12 May 2015 11:00 PM PDT


Masalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berterusan lagi, yang terkini apabila ia perlu menjelaskan hutang AS$975 juta (RM3.52 bilion) empat bulan sebelum tarikh akhir penyelesaiannya, lapor harian perniagaan Singapura, Business Times.

Enam bank diketuai Deutsche Bank kini dalam usaha memaksa syarikat itu menyelesaikan hutangnya kerana pinjaman itu dicagarkan menerusi AS$1.103 bilion milik anak syarikat 1MDB, Brazen Sky, wang yang kini disimpan di sebuah bank swasta Switzerland di Singapura, BSI Singapore Bank.

Business Times melaporkan enam bank tersebut mula risau ekoran dokumen cagaran Brazen Sky didakwa "tidak lengkap" kerana tidak memenuhi syaratnya, dan ini membolehkan konsortium bank tersebut menuntut hutang lebih awal sebelum akhir Ogos.

"Susulan kontroversi ini, apa yang pada awalnya dianggap sebuah pinjaman yang bersandarkan cagaran yang amat ketat kini membimbangkan bank," kata akhbar itu memetik sumber.

Dalam situasi terburuk, sekiranya jumlah itu gagal dibayar, 1MDB juga berdepan kegagalan melangsaikan hutang sebanyak AS$15.5 bilion (RM42 bilion).

"Kemungkinan ini sudah lama disebut-sebut pengkritik," laporan itu dipetik.

Pihak terlibat kini sedang berbincang mengelakkan krisis berkenaan pinjaman tersebut.

Deutsche Bank Singapura yang dihubungi Business Times tidak dapat memberi komen, sementara 1MDB sebelum ini berkata ia tidak akan mengulas sebarang spekulasi atau khabar angin pasaran.

Pada 22 April, laman Sarawak Report berkata akaun 1MDB di BSI Singapore mengandungi "aset atas kertas semata-mata" dan "nilai sebenarnya tidak dapat ditentukan".

Semalam, Ahli Parlimen PKR Rafizi Ramli menyatakan kerisauan sama ada 1MDB boleh membayar hutangnya yang bakal matang.

Dakwanya, beliau mempunyai maklumat dana pelaburan negara itu menyenaraikan akaunnya di BSI Singapore "yang diragui" sebagai cagaran.

Jika benar, kata Rafizi, 1MDB mungkin menggunakan dana awam untuk memenuhi tarikh akhir pembayaran pada September ini, memandangkan akaunnya di Bank BSI sebenarnya tidak memiliki wang tunai.

Business Times dalam laporannya turut maklum isu hutang 1MDB ini melibatkan beberapa bank seperti BSI, RBS Coutts dan Deutsche Bank.

Menurutnya, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) membantu pihak berkuasa Malaysia menyiasat akaun firma itu yang bermasalah.

Ia berkata beberapa bank, termasuk BSI Singapore, akan mengambil tindakan undang-undang jika "kes ini menjadi semakin serius dan tuntutan dibuat terhadap mereka".

"Ia langkah berjaga-jaga yang biasa dilakukan," kata sumber itu.

Akhbar itu juga berkata seorang pegawai BSI Singapore yang mungkin berurusan dengan 1MDB diarahkan bercuti dan beliau juga dipercayai mengupah peguam.

Seorang peguam yang tidak dinamakan berkata: "MAS adalah penyelia yang berhati-hati dan cermat dan ada banyak kuasa untuk memperoleh maklumat daripada bank dengan cepat.

"Persoalannya kini adalah sama ada kemelut membabitkan bank Singapura ini adalah tentang kegagalan mematuhi amalan terbaik atau pencabulan yang terletak di bawah bidang kuasa badan penyelia lain seperti CAD (Jabatan Hal Ehwal Komersial) dan polis".

1MDB yang ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2009 dikritik hebat apabila mengumpul hutang sebanyak RM42 bilion.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah sebelum ini mendedahkan Putrajaya meluluskan kredit sedia ada kepada 1MDB sebanyak RM950 juta dan RM600 juta sudah digunakan lapor The Malaysian Insider


Tanah TRX milik siapa sebenarnya?

Posted: 12 May 2015 08:29 PM PDT


Ramai yang minta saya mengulas berkenaan isu pembelian satu plot tanah di Tun Razak Exchange (TRX) yang dikatakan milik 1MDB oleh Tabung Haji (TH).

Pada awalnya, saya tidak bercadang untuk mengulas lanjut mengenai isu tersebut memandangkan banyak pihak termasuk pemimpin kerajaan, pemimpin pembangkang, ahli politik, NGO dan tokoh-tokoh masyarakat telah memberikan pandangan dari pelbagai sudut, baik dari sudut politik, korporat, syariah, pelaburan mahupun dari sudut ekonomi dan sebagainya.

Cuma ada baiknya jika saya fokuskan ulasan saya ini dari segi perundangan dan amalan guaman biasa sesuatu urusniaga jual beli hartanah, khususnya melibatkan sesuatu hartanah yang bernilai tinggi.

Berdasarkan amalan guaman biasa sebelum sesuatu urusan jual beli hartanah itu dilakukan, pembeli hendaklah membuat semakan dan mengesahkan bahawa penjual adalah pemilik berdaftar terhadap tanah tersebut. Sekiranya penjual bukanlah pemilik berdaftar terhadap tanah tersebut, pembeli mungkin berhadapan dengan risiko kerugian dan berkemungkinan tanah tersebut tidak dapat dipindah milikkan kepada pembeli.

Dalam kes pembelian tanah oleh TH ini, tidak dapat dipastikan sama ada tanah yang dikatakan dibeli oleh TH tersebut adalah sebenarnya milik 1MDB. Dalam erti kata lain, adakah 1MDB adalah pemilik berdaftar terhadap tanah tersebut ? Adakah tanah tersebut telah mempunyai suratan hakmilik individu (geran tanah) yang berasingan yang merekodkan 1MDB adalah sebagai pemilik berdaftar di dalam suratan hakmilik individu (geran tanah) tersebut.

Apa yang kita bimbang, adakah berkemungkinan 1MDB hanyalah sekadar pemilik benifisiaries (atau dalam bahasa mudahnya, pemilik yang berkepentingan sahaja) terhadap tanah tersebut , sedangkan mereka bukanlah pemilik berdaftar yang sebenar terhadap tanah tersebut dan tanah tersebut masih kekal milik kerajaan?. Ataupun adakah berkemungkinan juga kerajaan masih memegang tanah tersebut bagi pihak 1MDB sebagai bare trustees semata-mata?

Jika sekiranya keadaan tersebut benar-benar berlaku, maka jelaslah 1MDB boleh dianggap sebagai mengambil keuntungan atas angin terhadap penjualan tanah yang masih belum rasmi menjadi milik mereka. Sedangkan tanah tersebut tidak boleh dipindahmilikkan kepada TH disebabkan oleh 1MDB bukanlah pemilik berdaftar terhadap tanah tersebut.

Ini kerana dari segi amalan biasa sesuatu transaksi jual beli hartanah, proses sesuatu urusan jual beli tanah bermula daripada urusan menandatangani perjanjian jual beli sehinggalah tanah tersebut boleh dipindah milikkan kepada pembeli, biasanya mengambil masa paling cepat pun antara dua hingga tiga bulan.

Sedangkan, dalam kes transaksi jual beli tanah ini, dikatakan proses tersebut hanya mengambil masa tidak lebih daripada sebulan, dan kemudiannya TH membuat keputusan untuk menjual semula tanah tersebut kepada pihak ketiga.

Bagi seoarang peguam hartanah yang biasa mengendalikan urusan jual beli dan pindah milik sesuatu hartanah, adalah sesuatu yang agak menghairankan juga, jika sesuatu urusan jual beli itu dapat disempurnakan pindah miliknya dalam tempoh masa yang sesingkat itu. Adakah peguam TH terlalu efisyen menguruskan transaksi jual beli tanah tersebut?

Berdasarkan prinsip undang-undang tanah pula, selagi sesuatu pindah milik itu tidak dibuat kepada pembeli dan nama pembeli tidak didaftaraikan sebagai pemilik berdaftar di dalam sesuatu suratan hakmilik individu (geran tanah) tersebut, maka hak dan kepentingan pembeli tidak akan dilindungi sepenuhnya oleh undang-undang dan pemilikan terhadap tanah tersebut masih boleh disangkal oleh mana-mana pihak lain.

Jika keadaan itu benar-benar berlaku, pembelian tanah berkenaan oleh TH bukan sahaja akan mendedahkannya kepada risiko kerugian, bahkan juga akan mendedahkan risiko kerugian kepada pencarumnya.

Oleh itu saya fikir pihak 1MDB hendaklah tampil mengesahkan bahawa mereka sebenarnya adalah pemilik berdaftar terhadap tanah tersebut dan tanah tersebut telah secara rasminya dipindah milik kepada TH dimana TH atau penamanya telah direkodkan nama sebagai pemilik berdaftar di dalam suratan hakmilik individu (geran) tanah tersebut. Barulah ianya boleh dianggap sebagai transaksi yang betul dan telus mengikut perundangan dan amalan guaman hartanah yang sebenar.

Seterusnya, daripada maklumat yang diperolehi, TH mengesahkan bahawa Ahli Lembaga Pengarah mereka telah bersetuju untuk menjual semula tanah tersebut dengan anggaran lebih kurang RM5 juta setelah tidak sampai sebulan TH memiliki tanah tersebut.

Dari segi amalan guaman sesuatu urusniga hartanah, sesuatu hartanah yang dilupuskan (dijual) kurang daripada tempoh 5 tahun daripada tarikh pemerolehannya (pemilikannya), maka penjual hendaklah membayar Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) kepada LHDN, dimana sekiranya tempoh pemilikan tidak sampai 1 tahun, penjual hendaklah membayar sebanyak 30% CKHT daripada kadar keuntungan pelupusan hartanah tersebut kepada LHDN.

Dalam kes di atas, sekiranya TH ingin menjual semula tanah tersebut kepada pihak ketiga, dengan anggaran kadar keuntungan sebanyak RM5 juta, maka TH terpaksa membayar CKHT sebanyak RM1.5 juta kepada LHDN.

Selepas ditolak CKHT jumlah keuntungan yang diperolehi oleh TH hasil daripada penjualan semula tanah tersebut hanyalah sekitar RM3.5 juta sahaja. Adakah keuntungan tersebut berbaloi? Biarlah pencarum-pencarum TH yang mejawabnya.

Bukan soal untung rugi sahaja yang perlu dilihat di sini, TH juga harus melihat soal risiko perundangan yang bakal dihadapi sekiranya mereka memutuskan untuk menjual semula tanah tersebut kepada pihak ketiga sedangkan, jika benar, tanah tersebut masih belum dipindah milikkan kepada nama mereka secara rasmi dan nama TH belum direkodkan di dalam suratan hakmilik individu (geran) tanah tersebut.

Oleh yang demikian, saya menyarankan agar sebagai syarikat dan organisasi yang menggun apakai dana rakyat, 1MDB dan TH perlulah tampil secara terbuka mengesahkan kepada rakyat khususnya bahawa transaksi jual beli yang mereka masuki adalah benar-benar mengikut undang-undang dan amalan guaman hartanah yang sebenar, untuk mengelakkan risiko kerugian dan risiko perlanggaran terhadap peruntukan undang-undang yang berkenaan.

Oleh Salkukhairi Abd Sukor


-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...