Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Culik lagi di Sabah.. Dua individu pula menjadi mangsa..

Posted: 14 May 2015 09:24 AM PDT


Kejadian hari ini yang terbaharu dalam siri penculikan orang awam oleh kumpulan bersenjata di persisiran Sabah, dipercayai berpangkalan di wilayah bergolak selatan Filipina.

Ia belaku dua bulan selepas Lans Koperal Zakiah Aleip, yang diculik kumpulan bersenjata di Pulau Mabul, Semporna pada Julai tahun lepas, dibebaskan.

Sebelum itu, pengusaha ikan dalam sangkar, Chan Sai Chiun dan seorang pekerja dikenali sebagai Mazlan diculik di Kampung Sapang Air, Kunak, Sabah, sebelum dibebaskan Disember lalu.

Berikut adalah laporan berkaitan..

KOTA KINABALU: Kumpulan lelaki bersenjata yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Abu Sayyaf menyerbu sebuah restoran popular di tepi pantai berhampiran Sandakan dan menculik pengurus serta seorang pelanggan pada Khamis malam.

Pemilik Restoran Ocean King, Chung Yung Tim berkata, pengurus restoran tersebut ialah adik iparnya, Thien Nyuk Fun, 50 dan pelanggan restoran, Bernard Ghen Ted Fen berusia 36 tahun.

Dalam kejadian pukul 8 malam itu, katanya, empat lelaki berpakaian celoreng dengan dua daripada mereka bersenjata api tiba-tiba masuk ke restoran dengan menaiki tangga di tepi restoran itu.

Melihat kehadiran kumpulan itu, beliau bersama-sama pekerja dan beberapa pelanggan berjaya melarikan diri, katanya ketika ditemui di luar restoran itu.

Chung berkata selepas kumpulan lelaki itu beredar, beliau mendapati adik iparnya dan seorang pelanggan yang berada bersamanya sebelum itu dilarikan oleh kumpulan itu.

Restoran itu antara yang terkenal dengan makanan laut di bandar Sandakan dan terletak di Pasir Putih di Jalan Bokara.

Bangunan restoran terletak di atas air dan hanya terletak kira-kira tiga kilometer dari bandar Sandakan.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Abdul Rashid Harun berkata, operasi besar-besaran sedang dijalankan bagi memburu kumpulan itu.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman ketika dihubungi melalui Whatsapp berkata pihaknya masih menunggu laporan berkenaan kejadian itu lapor mStar



Bekas MB dedahkan, Putrajaya belanja hingga RM1Billion untuk Monsoon Cup yang merugikan..

Posted: 14 May 2015 03:00 AM PDT


Dalam pendedahan terbarunya, Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mendedahkan wang rakyat telah digunakan bagi menjayakan Monsoon Cup.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal menyifatkan perbuatan itu sebagai mengkhianati rakyat Terengganu.

Katanya, projek Monsoon Cup yang diperkenalkan ketika Datuk Seri Idris Jusoh menjadi Menteri Besar telah menelan belanja sehingga RM1 bilion bagi memenuhi piawaian pertandingan dengan menyediakan prasarana yang dikehendaki.

Katanya, perbelanjaan itu tidak membawa sebarang keuntungan sebaliknya kerajaan negeri terpaksa menanggung kerugian dengan penganjuran Monsoon Cup walaupun ia diuar-uarkan sebagai sebuah acara yang berprestij.

"Hampir RM1 bilion digunakan untuk membina segala kemudahan untuk persiapan Monsoon Cup. Termasuk menggali kuala Sungai Terengganu yang menelan belanja lebih daripada RM500 juta.

"Membina hotel-hotel, Riyaz yang tidak sempurna yang hari ini kita tanggung pembaikiannya begitu besar. Hampir RM 1 bilion keseluruhannya (projek Monsoon Cup). Tapi akhirnya projek ini dialihkan ke Johor," katanya.

Ahmad berkata, beliau terpaksa menghadapi risiko apabila menentang perkara itu kerana merasakan seolah-olah Terengganu sentiasa dianaktirikan.

Ahmad mendedahkan perkara itu dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu ketika membahaskan Titah Ucapan Perasmian Tuanku Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.

Pendedahan Ahmad dilaporkan dalam blog ADUN Pas Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah.

Berikut adalah laporan tersebut...

Projek Monsoon Cup ialah hasil cetusan idea bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan kerjasama Menteri Pendidikan 2 Dato' Sri Idris Jusoh ketika itu menjadi Menteri besar Terengganu selepas Pilihanraya Umum (PRU) ke 11. 
Akan tetapi malang bagi rakyat Terengganu kerana terpaksa mengorbankan wang mereka tanpa sedar akan kerugian yang ditanggung kerana penganjuran itu, walaupun diwar-warkan akan betapa gahnya pertandingan itu. 
Hal ini telah dimaklumkan kepada Dewan Undangan Negeri Terengganu oleh wakil Kijal ketika membahaskan Titah Ucapan Perasmian Tuanku Sultan Terengganu semalam. 
Dato' Sri Ahmad Said yang mendedahkan perkara itu berkata, kerajaan negeri telah membelanjakan sehingga satu billion ringgit bagi memenuhi piawaian pertandingan dengan menyediakan prasarana-prasarana yang dikehendaki. 
Beliau tanpa ragu-ragu menyatakan pendapatnya bahawa kerajaan pusat telah mengkhianati rakyat Terengganu dengan projek Monsoon Cup ini yang telah menelan wang rakyat dengan banyaknya. 
"Mengenai Monsoon Cup, ini soal integriti. Sebab itu bagi saya, seolah-olah kerajaan pusat mengkhianati rakyat negeri Terengganu. 
Kerana hampir satu billion ringgit digunakan oleh kerajaan pusat untuk membina segala kemudahan untuk persiapan Monsoon Cup. Termasuk menggali kuala Sungai Terengganu lebih daripada RM500 juta. 
Membina hotel-hotel, Riyaz yang tidak sempurna yang hari ini kita tanggung pembaikiannya begitu besar. Hampir satu billion keseluruhannya (projek Monsoon Cup). Tapi akhirnya projek ini dialihkan ke Johor," dedah beliau. 
Tambah beliau lagi, walaupun mengetahui Monsoon Cup itu sendiri tidak menguntungkan, tetapi sekurang-kurangnya ada juga acara besar yang dilangsungkan di negeri Terengganu. 
Sambil mendakwa seolah-olah Terengganu sentiasa dianaktirikan, beliau meluahkan perasaan kecewanya kerana apabila beliau menentang, beliau terpaksa menghadapi risiko. 
Projek Monsoon Cup itu juga pernah dikaitkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan orang yang rapat dengan Tun Abdullah iaitu Patrick Lim atau Patrick Badawi. 
Mengulas tentang pendedahan ini, wakil Bukit Payong, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, apa yang dibimbangi oleh PAS, hari ini menunjukkan kebenarannya, tetapi sayang, wang itu sudah tenggelam ditelan golongan yang tidak bertanggungjawab. 
"PAS sudah banyak kali mengutarakan penentangan terhadap projek yang jelas membazir ini, tetapi suara kita tidak kuat dan kuasa di tangan mereka untuk membuat keputusan. 
Saya menyeru kepada rakyat sekelian terutama orang Umno supaya memandang pendedahan bekas orang nombor satu Umno di Terengganu ini sebagai petanda Umno tidak boleh diharap memegang kuasa. 
Oleh itu satu sikap yang tegas perlu diambil oleh ahli-ahli Umno bagi menolak kepimpinan seperti ini pada PRU 14 nanti," jelas beliau. 
Sidang DUN Terengganu bagi Penggal Ketiga dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula Selasa 12 Mei sehingga Khamis 14 Mei ini.



Najib muncul menyelamatkan ADUN Lenggeng dari diisytihar muflis..

Posted: 14 May 2015 01:00 AM PDT


Kalau kita lihat jumlah undi dan majoriti yang ADUN Lenggeng ni menang semasa PRU13 yang lalu, masih boleh dianggap sebagai kawasan selamat mana-mana calon dari BN yang menggantikannya jika berlaku PRK..

PRU13 yang lalu Datuk Ishak Ismail telah memperolehi 7,170 undi mengalahkan Calon PAS/PR dengan majoriti 2,058 undi..

Majoriti 2,058 dari 13,347 pengundi yang keluar mengundi pada hari itu.. lebih kurang 15%.. banyak tu..

Tapi mungkin kerana Najib menyedari ada yang tak kena dengan UMNO dan sokongan rakyat kepadanya dalam PRK Rompin dan PRK Permatang Pauh.. Najib terpaksa menyelamatkan ADUN UMNO yang akan diistiharkan muflis jika rayuannya ditolak ini..

Laporan berkaitan..

PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, meminta supaya kes muflis membabitkan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Lenggeng, Datuk Ishak Ismail diselesaikan diluar mahkamah. 
Arahan itu disampaikan dalam surat yang ditanda tangan Pengarah Bahagian Perancangan dan Strategik, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Sahlan Ismail. 
"Adalah dimaklumkan bahawa kes ini telah dibawa kepada pengetahuan Y.A.B Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia. 
"Oleh yang demikian, saya telah diarahkan Y.A.B Perdana Menteri supaya Y.B Datuk dapat menyelesaikan segera perkara ini secara aman di luar mahkamah dengan kadar segera", katanya dalam surat yang bertarikh 13 Mei 2015. 
Ishak, 64, yang mewakili Barisan Nasional (BN) sebelum ini telah diisytihar muflis oleh Mahkamah Tinggi Seremban, Mac lalu. 
Mengulas mengenai pengisytiharan itu, beliau memaklumkan akan mengemukakan rayuan di mahkamah yang sama pada Khamis lapor Free Malaysia Today




Ahmad Shabery Cheek cuba nak perbodohkan rakyat ke ni?

Posted: 13 May 2015 11:00 PM PDT


Tak habis-habis nak perbodoh rakyat pemimpin-pemimpin UMNO ni.. kuasa ada ditangan kerajaan tapi masih tunduk dengan kemahuan syarikat telekomunikasi..

Nak jaga kepentingan kroni dalam Syarikat Telekomunikasi tu.. rakyat dijadikan mangsa sambil diperbodohkan pula..

Kononnya GST untuk pre paid dimansuhkan.. tapi GST akan dikenakan bila pengguna mengaktifkan kad pre-paid mereka.

Maknanya bayar RM10.00 tapi bila diaktifkan kena GST maka tinggallah RM9.40 sen.. jadi apa bezanya dengan membayar RM10.60?

Semua yang membeli kad pre-paid tu untuk digunakan bukannya disimpan sebagai koleksi.. kalau macai tu lainlah, sebab macai beli kad pre-paid untuk disimpan buat koleksi.. pasal tu tak kena GST..

Laporan berkaitan...

Putrajaya menipu rakyat apabila mengumumkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak 6% ke atas perkhidmatan telefon prabayar akan dikenakan berdasarkan penggunaan, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua. 
Pua berkata pengumuman Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semalam tidak berbeza dengan pengumuman sebelum ini iaitu pengguna tetap akan membayar cukai atas pembelian isian semula prabayar. 
"Pengumuman tersebut sangat menipu kerana pengguna tidak lagi menerima masa bercakap selama RM10 untuk setiap pembelian sebanyak RM10. 
"Sebaliknya, mereka hanya menerima RM9.43 sen nilai perkhidmatan untuk setiap RM10 yang dibayar. 
"Ia tiada bezanya dengan kenaikan harga kontroversi prabayar mudah alih oleh syarikat telekomunikasi pada 1 April apabila pengguna terpaksa membayar RM10.60 untuk masa bercakap sebanyak RM10," kata Pua dalam satu kenyataan. 
Menurut Pua, syarikat telekomunikasi (telco) sebelum ini menyediakan masa berbual sebanyak RM10 dengan setiap pembelian isian semula sebanyak RM10, dengan menyerap cukai jualan dan perkhidmatan (SST). 
Namun kini, tindakan mengenakan GST ke atas penggunaan bererti telco ini sebenarnya menaikkan harga isian semula dengan memberikan masa berbual sebanyak RM9.43 sahaja bagi setiap isian semula sebanyak RM10. 
"Dengan menggunakan peralihan daripada cukai perkhidmatan 6% kepada GST 6% sebagai silap mata, menteri sebenarnya bersubahat dengan syarikat telekomunikasi dalam kenaikan seragam sebanyak 6%," kata Pua lagi. 
Perkara ini, kata Pua, menyalahi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, apabila telco sebenarnya mengambil kesempatan menaikkan harga mereka sempena GST. 
Menurutnya, dengan kenaikan harga ini, telco yang mengaut pulangan lebih RM12.8 bilion tahun lepas dijangka akan menambah pulangan mereka lagi. 
"Kenapa kerajaan BN membantu syarikat yang untung besar ini untuk mengaut untung tambahan sebanyak RM770 juta?" tanya Pua lagi. 
Di samping itu, ia juga menyalahi Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana kenaikan itu dibuat serentak dan bersifat anti-persaingan, kata Pua. 
Kabinet semalam bersetuju kadar GST ke atas perkhidmatan prabayar telefon dikenakan berdasarkan penggunaan. 
Shabery juga mengumumkan kadar nilai kad prabayar telefon ditetapkan pada harga RM10 dengan pengguna masih mendapat nilai yang sama. 
Katanya, pelaksanaan GST berdasarkan penggunaan akan berkuat kuasa sepenuhnya dalam tempoh 6 bulan lagi, dan buat masa ini penggunaan akan dikenakan caj seperti biasa lapor The Malaysian Insider



MB Terengganu kata tak tahu 1MDB pernah berhasrat cagar hasil minyak

Posted: 13 May 2015 09:11 PM PDT


Kerajaan Terengganu menegaskan Terengganu Investment Authority (TIA) tiada kaitan langsung dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, perkara itu seperti yang telah dijelaskan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said bahawa peringkat awal, memang kerajaan ada membuat pelaburan atas nama TIA.

"Isu ini tidak timbul apa-apapun, 1MDB tidak ada lagi pada masa itu, jadi TIA ditubuhkan semata-mata untuk kita nak buat pilihan lain kerana kita sedia maklum hasil petroleum kita sebanyak 90 peratus penyumbang pendapatan kerajaan tidak selamanya akan dapat dipertahankan.

"Tengok tahun ini saja, kita sudah kekurangan (hasil petroleum), jadi kerana itu pada masa itulah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah membuat keputusan untuk membuat satu pelaburan, maka ditubuhkan TIA," katanya.

Beliau menjelaskannya kepada media ketika ditanya isu sama ada TIA terlibat dengan 1MDB pada Sidang Dun ke-13 di Wisma Darul Iman, semalam.

Menurutnya, pada awalnya sebanyak RM1 juta dilaburkan kepada 1MDB sebagai pendahuluan tetapi setelah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berasa kerajaan tidak mampu untuk mengurus dan tidak mahu ada risiko, kerajaan menarik balik dan RM1 juta itu dikembalikan.

"Maka tidak ada apa-apa kaitan antara TIA dengan 1MDB kerana pada masa itu, TIA telah ditutup," katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Razif memberitahu, kenyataan Ahmad mengenai cagaran hasil minyak dan gas Terengganu adalah di luar pengetahuannya.

"Terengganu menggunakan konsep integriti dan saya mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk membuat laporan dan bertindak mengikut saluran yang betul," katanya.

Sebelum ini, Ahmad mendedahkan 1MDB cuba mencagarkan hasil minyak dan gas Terengganu menyebabkan TIA menarik diri lapor Sinar Harian


Azeez diminta letak jawatan Pengerusi Tabung Haji oleh UMNO Bahagian

Posted: 13 May 2015 05:30 PM PDT


KREDIBILITI Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim selaku Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) sudah tercalar dan sewajarnya beliau meletakkan jawatan.

Desakan tersebut disuarakan oleh Setiausaha UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Mehdhar Syed Abdullah berikutan kontroversi pembelian tanah di tapak Tun Razak Exchange (TRX) oleh TH daripada 1MDB dengan nilai RM188.5juta.

Beliau berkata, walaupun TH kemudiannya telah menjual semula tanah berkenaan berikutan kemarahan rakyat tetapi kedudukan Abdul Azeez selaku Pengerusi TH masih dipersoalkan.

"Dari segi kredibiliti, ianya sudah tercemar apabila pada mulanya beliau menafikan berhubung pembelian tanah tersebut oleh TH," katanya.

"Saya selaku ahli UMNO, rakyat biasa meminta Perdana Menteri melucutkan jawatan Abdul Azeez selaku Pengerusi TH kerana kenyataan dan tindak-tanduk beliau telah mencetuskan kegelisahan pendeposit TH.

Beliau mempersoalkan bagaimana seorang pengerusi di sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) boleh mengeluarkan kenyataan tidak tahu berhubung pembelian tanah berkenaan oleh TH daripada 1MDB.

"Ini bukan melibatkan urusniaga RM100 atau RM1,000. tetapi mencecah ratusan juta ringgit, agak mustahil Pengerusi TH tidak ambil tahu, apatah lagi pendedahannya tersebar luas menerusi media sosial," tegasnya,.

Lazimnya kata beliau, sebarang urusniaga jutaan ringgit atau apa juga keputusan melibatkan kepentingan umum sesebuah syarikat GLC ianya mesti berada dalam pengetahuan pengerusi.

"Tetapi amat menyedihkan, Pengerusi TH boleh menafikan soal pembelian tanah raturan juta ringgit oleh TH daripada 1MDB, ini satu jawapan yang boleh dianggap tidak masuk akal," tegasnya.

Pada 7 Mei lalu, Abdul Azeez melalui laman Twitternya, mengatakan 'tidak betul' berhubung dakwaan pembelian tanah milik 1MDB oleh TH.

Bagaimanapun pada 10hb. Mei, Pengerusi TH itu memberikan penjelasan panjang lebar berhubung pembelian tanah tersebut dan akan menjualnya semula kepada syarikat berminat setelah mencetuskan kemarahan rakyat.

"Dalam konteks ini, kita semua Ahli Lembaga Pengarah berbincang dan ada tiga tawaran. Kita beli dahulu RM188.5juta, sekarang ada tiga tawaran," Abdul Azeez dipetik sebagai berkata dalam penjelasan tersebut.

Abdul Azeez yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO turut menegaskan beliau tidak akan tunduk kepada desakan agar meletakkan jawatan Pengerusi TH yang disandangnya sejak 2013, kerana berpendapat ia bakal mengundang kerugian kepada TH.

Bagaimanapun Syed Mehdhar tetap mempersoalkan kenapa apabila kedaan menjadi meruncing dan banyak pihak menyelar tindakan TH, beliau kemudiannya membuat sidang media khusus untuk menjelaskan pembelian tersebut.

"Alasannya atas nasihat Perdana Menteri, begitu mudah keputusan dibuat sedangkan rakyat sudah berada dikemuncak kemarahan," tegasnya.

Menurut beliau, pendeposit TH adalah orang Melayu dan simpanan tersebut bagi membolehkan mereka menunaikan fardhu haji.

Menurut Syed Mehdhar lagi, beliau tidak mempesoalkan apa juga keputusan yang telah dibuat, bagaimana dan kenapa pembelian membabitkan TH itu berlaku tetapi kecewa dengan sikap Pengerusi TH yang mengambil jalan mudah dengan menafikan urusniaga tersebut setelah didedahkan oleh beberapa laman sosial.

"Saya selaku Setiausaha UMNO Bahagian dan ahli-ahli parti berhak tahu dan berhak bercakap soal tersebut, ini melibatkan simpanan umat Islam, mengapa begitu mudah menghakiskan keyakinan rakyat," soal beliau.

Katanya, kredibiliti Abdul Azeez yang sudah tercalar itu juga sedikit sebanyak akan terpalit kepada UMNO yang merupakan parti yang menjadi tonggak kerajaan yang memerintah.

"Apabila orang Melayu marahkan TH, marahkan pengerusinya, secara tidak langsung mereka juga marahkan UMNO, mereka lemparkan tuduhan bukan-bukan kepada parti, inilah penyakit yang kita terpaksa tanggung akibat sikap berdolak-dalik," tegasnya.

Katanya lagi, jika Abdul Azeez seorang pemimpin yang memikul amanah dan tanggungjawab rakyat sepatutnya beliau mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi TH.

"Kita tidak perlu bercerita bagaimana TH bayar dividen, bagaimana pengurusan haji dibuat oleh TH, tetapi kita bercerita soal prinsip dan kredibilti," tegasnya lagi ~ UMNO Bahagian Cheras


-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...