Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Pedofilia: Najib main bedal saja rupanya..

Posted: 15 May 2015 05:30 AM PDT


DAP hari ini mempersoalkan kenyataan Datuk Seri Najib Razak yang menuduh fahaman liberalisme sebagai punca masalah pedofilia di Britain, susulan kes seorang pelajar Malaysia yang dihukum penjara kerana memiliki bahan lucah melibatkan kanak-kanak baru-baru ini.

"Terdapat garis halus antara keberanian dan kebodohan; dan semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan bahayanya melintasi garisan tersebut," kata pengarah pendidikan politik wanita DAP Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid.

"Beliau tidak segan memandang ringan terhadap kerumitan kes pedofilia dengan menyalahkan liberalisme dalam masalah ini dan memetik kes Nur Fitri Nordin Azmeer sebagai contoh untuk memperkuatkan kenyataannya.

"Pedofilia adalah sejenis gangguan mental dan bukannya orientasi seksual (sexual orientation) atau satu pilihan gaya hidup," katanya.

Najib, semasa melancarkan Institut Wasatiyyah Malaysia di Putrajaya semalam, berkata liberalisme mengancam identiti Islam dan menuduh liberalisme membuatkan prinsip-prinsip agama diambil ringan.

"Pelajar yang terlibat dalam sesuatu yang menjijikkan di UK baru-baru ini dan menggemparkan menunjukkan anasir begini wujud di kalangan orang Islam dan ia timbul dari fahaman ekstremisme dan liberalisme," katanya.

Syerleena sebaliknya berkata ancaman sebenar terhadap Islam adalah fahaman tidak logik dan tidak berasas.

Katanya, ramai, termasuk Najib sendiri, seolah-olah sudah lupa mereka juga merupakan produk sistem pendidikan sama yang kini mereka kutuk.

"Setelah menghadiri kedua-dua Kolej Malvern dan Universiti Nottingham, beliau menghabiskan masa yang panjang dalam hidupnya membesar dalam persekitaran yang dikelilingi liberalisme 'di bawah nama humanisme, sekularisme, liberalisme dan hak asasi manusia'. Adakah beliau mengutuk dirinya juga?" soal Syerleena.

Nur Fitri, 23, seorang pelajar tajaan Mara, dijatuhi hukuman 18 bulan penjara di UK kerana memiliki lebih 30,000 imej pornografi kanak-kanak ~ The Malaysian Insider


ADUN Lenggeng dedah sebab beliau diisytihar muflis

Posted: 15 May 2015 01:10 AM PDT


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lenggeng, Datuk Ishak Ismail, yang diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Tinggi mendedahkan langkah itu adalah sengaja dilakukan untuk mengaibkan dirinya. 

Wakil Barisan Nasional (BN) berusia 64 tahun itu berkata, ada musuh yang mahu menyingkirnya sebagai wakil rakyat.

"Saya tidak pernah mendapat apa-apa notis tuntutan dari pihak lain meminta saya untuk menjelaskan bayaran tertunggak.

"Jika mereka ikhlas, mereka boleh memanggil saya untuk membincangkan hal-hal berkaitan, " katanya kepada The Star pada Rabu.

Ishak tersingkir sebagai Ketua Umno Bahagian Seremban pada tahun 2013 selepas 25 tahun menerajui jawatan itu kerana diisytiharkan muflis oleh mahkamah pada 18 Mac lalu gara-gara gagal menjelaskan pinjaman kepada ahli perniagaan Datuk Misran Sukadi.

Bagaimanapun Ishak berkata beliau hanya menerima perintah mahkamah itu pada 27 April lalu. 

"Peguam saya menghantar permohonan untuk mengetepikan keputusan tersebut dan ia akan didengar di Mahkamah Tinggi pada Khamis," katanya.

Ishak berkata masalah itu bermula selepas kontraktor yang membuat pinjaman sebanyak RM2 juta daripada Misran pada tahun 2007 dan gagal membayar pembayaran.

"Oleh kerana saya sebagai penjamin, beban itu jatuh pada saya. Saya telah membayar RM1.2 juta secara berperingkat-peringkat sejak itu.

"Ishak berkata, beliau hairan mengapa peguam Misran itu tidak menghantar notis tuntutan melalui pos berdaftar sebelum diisytiharkan muflis.

"Semua orang di kawasan saya tahu bahawa saya akan berada di sini beberapa hari dalam seminggu. 

"Tidak ada masalah untuk mencari saya di kawasan sendiri," tambahnya.

Dalam pada itu, Ishak berkata beliau juga telah diisytiharkan bankrap pada tahun 2008 kerana perkara yang sama, tetapi berjaya diselesaikan.

Beliau enggan menamakan siapa yang mahu menyingkirnya sebagai Adun.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Pengerusi Perhubungan Umno negeri berkata status Ishak sebagai Adun kekal sehingga rayuannya didengar. - Mstar


Jangan cakap macam budak darjah tiga!! kata Khairuddin kepada Nazri

Posted: 14 May 2015 11:54 PM PDT


Ahli UMNO seharusnya menganggap kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz yang meminta bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menentang Datuk Seri Najib Tun Razak pada pilihan raya di Parlimen Pekan sebagai satu cabaran yang sangat angkuh.

Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, jika Nazri benar-benar mahu Perdana Menteri bertanding dengan Dr Mahathir, ia seharusnya diadakan di kawasan berkecuali

"Nazri seharusnya bermuhasabah diri dan cermin diri dahulu. Jangan cakap macam budak sekolah darjah tiga. Siapa Nazri hendak mencabar Dr Mahathir bertanding di Pekan?

"Tolong jangan angkuh. Nazri lupa sejarah dan terlupa Najib hampir tumbang di Pekan satu masa dahulu. Saya hendak sarankan Nazri agar meminta Dr Mahathir dan Najib untuk bertanding di gelanggang berkecuali," katanya kepada Astro AWANI, di sini hari ini.

Khairuddin mengulas kenyataan Nazri di sebuah akhbar yang mencabar Dr Mahathir untuk bertanding menentang Najib di Pekan dan membuktikan kekuatannya.

"Dr Mahathir boleh menentang Najib di dalam pilihan raya daripada cuba menggulingkan perdana menteri.

"Saya tidak tahu berapa banyak sokongan yang Dr Mahathir ada, Najib sudah mempertahankan Pekan dalam 10 kali pilihan raya umum (PRU).

"Pemimpin UMNO lain yang menentang Najib juga boleh bertanding jawatan presiden parti dalam pemilihan tahun depan," kata Nazri di dalam akhbar berkenaan.

Dalam pada itu kata Khairuddin, Nazri juga dilihat banyak memberi masalah kepada UMNO Pulau Pinang selama ini selain menjadi liabiliti jika masih berada di dalam parti.

"Kita di Pulau Pinang berhempas pulas melawan pimpinan kerajaan negeri daripada DAP namun dia tidak memberi bantuan selain banyak berpeluk tubuh.

"Hari ini, dia mahu Dr Mahathir lawan Najib di Pekan. Dia lebih dilihat mahu menghancurkan UMNO dari bertindak menguatkan parti," ujarnya.

Terdahulu di dalam laman khairuddinhassan.blogspot.com, Khairuddin menyelar tindakan sebuah stesen televisyen yang menggunakan bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim sebagai medium untuk mengkritik Dr Mahathir di dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Tunku Aziz sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Suruhanjaya Pencagahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh lagi cakap politik. Dia kena bersikap neutral dan adil kepada semua pihak.

"Di dalam siaran itu, Tunku Aziz bercakap seolah-olah dia mempertahankan 1MDB. SPRM sendiri belum siasat kes 1MDB yang saya laporkan dan belum buat sebarang kesimpulan terhadap laporan siasatan kes itu.

"Tidak terfikirkah Tunku Aziz yang kenyataan menyokong 1MDB baik secara langsung atau tidak langsung itu bakal memberi persepsi negatif akan kredibiliti SPRM dalam menyiasat kes itu? Dikhuatiri nanti rakyat akan menolak dari awal lagi siasatan SPRM kerana Pengerusi Lembaga Penasihat SPRM sendiri sudah begitu teruja menyokong 1MDB," jelasnya.

Khairuddin sebelum ini dilaporkan menyelar 1MDB kerana penglibatan secara langsung Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mengambil alih projek loji kuasa arang batu 2,000 megawatt atau dikenali Projek 3B yang bernilai lebih RM11 bilion daripada 1MDB.

Tegasnya, is membuktikan syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu tidak stabil dan bermasalah selain 1MDB kini tidak boleh menutup kelemahan mereka lagi terutama dari aspek kewangan lapor AstroAwani


Nazir Razak bidas Pengurusan dan Lembaga Pengarah 1MDB, mahu mereka letak jawatan!

Posted: 14 May 2015 08:53 PM PDT


Pengerusi Kumpulan CIMB Datuk Seri Nazir Razak semalam menggesa pihak pengurusan dan lembaga pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) meletakkan jawatan kerana dilihat tidak bertanggungjawab menangani dakwaan salah urus kewangan syarikat sarat hutang itu.

Nazir berkata, mereka sepatutnya segera melantik juruaudit bebas, dan bukan hanya menunggu tindakan daripada ketua audit negara.

"Langkah segera yang dilakukan sebuah lembaga pengarah bertanggungjawab ialah melantik juruaudit bebas serta merta, sekiranya tidak, saya berpendapat lembaga pengarah dan pengurusan perlu letak jawatan," kata Nazir seperti dilaporkan akhbar The Star sebagai memberitahu media di sebuah majlis Asean Business Club (ABC) semalam.

"Ia adalah tanggungjawab asas. Terdapat ketidakyakinan yang besar terhadap kewangan anda. Anda perlu menanganinya dengan rasa tanggungjawab. Tetapi anda duduk di situ menunggu ketua audit negara.

"Bagi saya, ini tidak bertanggungjawab. Jika ini tindakannya, lebih baik letak jawatan dan biar orang lain ambil alih."

Kenyataan Nazir yang juga merupakan adik kepada Datuk Seri Najib Razak yang mempengerusikan lembaga penasihat 1MDB, dibuat ketika tahap kewangan syarikat yang dibebani hutang RM42 bilion itu terus dipersoalkan.

Terbaru, syarikat itu dikatakan berdepan dengan tindakan 6 bank luar negara yang mahunya segera melangsaikan hutang berjumlah AS$975 juta (RM3.6 bilion).

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy, bagaimanapun enggan mengulas dengan memberi alasan ia melibatkan butiran perbankan sulit.

Sebelum ini, berikutan kritikan meluas penjualan tanah oleh 1MDB kepada Lembaga Tabung Haji pada harga RM188.5 juta, pelbagai pihak menggesa dipercepatkan laporan audit bebas yang diarahkan Kabinet.

Selasa lalu, Jabatan Audit Negara berkata laporan awal pengauditan akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) selewat-lewatnya akhir Jun ini.

"Jabatan Audit Negara sememangnya memberi keutamaan terhadap tugasan ini," kata Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang lapor The Malaysian Insider


-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...