Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Berita gembira buat pengguna Pra-Bayar dari Ahmad Shabery Cheek..

Posted: 20 May 2015 03:00 AM PDT


Kerajaan hari ini mengumumkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ke atas penggunaan kad tambah nilai prabayar akan dikekalkan.


Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pengguna tidak akan dikenakan GST semasa membeli kad tambah nilai, sebaliknya hanya akan membayar cukai tersebut apabila menggunakan nilai yang dikreditkan ke nombor telefon bimbit masing-masing. 

"Kerajaan berusaha mencontohi negara-negara lain yang turut mengenakan cukai ini ke atas penggunanya. Pengguna tidak akan dibebankan dengan GST ketika membeli kad tambah nilai terbabit, sebaliknya hanya dikenakan GST ketika membuat panggilan, menghantar SMS dan sebagainya.

"Ia sama seperti penggunaan kad 'Touch n Go' dan bayaran tempat parkir kereta yang dikenakan cukai ini. Mereka hanya dicukaikan semasa penggunaan khidmat-khidmat ini," katanya ketika menjawab soalan (BN-Tanah Merah), Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Ikmal Hisham sebelum itu meminta beliau menyatakan usaha kerajaan bagi memastikan syarikat telekomunikasi mengkaji semula GST yang dikenakan ke atas kad prabayar.

Jelas Ahmad Shabery, bagi mengimbangi kesan GST, pihak kerajaan akan meminta pihak syarikat telekomunikasi menurunkan tarif perkhidmatan bagi penggunaan panggilan dan mesej.

"Kami (kerajaan) sedang berusaha mencari jalan supaya pelaksanaannya boleh diterima dan dipakai dengan baik pada masa hadapan.

"Kami juga menggesa syarikat-syarikat ini menawarkan pakej mampu milik kepada golongan sasar seperti pelajar," katanya lagi lapor Sinar Harian


1Malaysia dah kena tipu.. Najib akhirnya akui tiada wang 1MDB disimpan di Singapura..

Posted: 20 May 2015 01:00 AM PDT


Pada 10 Mac lalu, Najib dalam jawapan bertulis mengatakan sejumlah wang AS$1.103 bilion yang dibawa pulang dari Pulau Cayman sudah ditebus dalam bentuk wang tunai dan disimpan dalam mata wang US Dollar di BSI.

Najib juga mengatakan tujuan ia disimpan di Singapura adalah untuk memudahkan urusan pengeluaran wang memandangkan peraturan yang ketat BNM.

Tapi hari ini pula.. Najib mengaku bahawa, pelaburan yang ditebus itu bukannya tunai, tetapi berbentuk "aset" yang tidak diketahui nilainya..

Maka tak hairanlah jika 1MDB tak mampu membayar hutang dan faedah pinjaman dan Najib terpaksa menggunakan segala dana dan tabung yang ada untuk menyelamatkan 1MDB..

Datuk Seri Najib Razak akhirnya mengaku wang syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dibawa pulang daripada Pulau Cayman tidak disimpan di bank di Singapura. 
Dalam jawapan di Dewan Rakyat hari ini, menteri kewangan itu sebaliknya menjelaskan hanya baki pelaburan ditebus dalam bentuk aset di bank Singapura yang tidak dinamakan. 
"1MDB sudah menjelaskan baki pelaburan yang telah ditebus oleh 1MDB adalah dalam bentuk aset di dalam mata wang dolar AS di sebuah bank di Singapura bertujuan untuk mengimbangi liabiliti US Dollar. 
"Bank ini merupakan penjaga bagi pihak 1MDB untuk aset ini," kata perdana menteri dalam jawapan bertulis hari ini kepada soalan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua. 
Pua berkata, pendedahan ini mengejutkan dan mengesahkan tiada wang tunai yang dibawa balik oleh 1MDB daripada Pulau Cayman. 
"Maksudnya tiada wang tunai yang disimpan di Singapura, tapi hanya adalah aset. Aset ini pula hanya 'paper asset'," kata Pua pada sidang media di lobi Parlimen hari ini. 
Pua juga menyifatkan pelaburan yang diwar-warkan Putrajaya sebelum ini dibuat di Pulau Cayman adalah mengarut, malah nilai aset tersebut juga tidak diketahui. 
"Ini semata-mata aset atas kertas, apa nilai sebenar kita tidak tahu. Bermakna mereka 1MDB hanya membuat pemindahan kertas daripada Pulau Cayman ke Singapura," katanya.

Dalam jawapan bertulis itu juga, Najib bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada Bank Negara menerima kenyataan daripada pihak berkuasa Singapura tentang penyata palsu dihantar anak syarikat 1MDB kepada sebuah cawangan Bank BSI di Singapura seperti didedah oleh Sarawak Report baru-baru ini.
 
"Bagaimanapun, sebarang maklumat yang diterima adalah tertakluk kepada protokol kerahsiaan antarabangsa (Egmont principles of information exchange) dan kehendak kerahsiaan di bawah seksyen 10 AMLA. 
"Menurut seksyen 10 AMLA, maklumat yang diterima hanya boleh didedahkan kepada agensi penguatkuas berkaitan yang menyiasat kes tersebut di bawah undang-undang mereka selepas mendapat kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa asing," kata jawapan lisan itu. 
Susulan pengakuan terbaru ini, Pua membidas Putrajaya kerana menipu walaupun sebelum ini mengakui tentang wang dari Pulau Cayman yang dibawa pulang dan disimpan di Singapura. 
"1MDB perlu jelaskan perkara ini, kita selama ini diberitahu ada wang di Pulau Cayman, tapi terbaru pendedahan ini menunjukkan kita semua ditipu," kata Pua. 
Menurut Pua, pengakuan Najib ini juga menjelaskan mengapa 1MDB bermasalah serta gagal membayar hutang yang ditanggung mereka. 
"Ini salah satu sebab mengapa 1MDB tidak dapat membayar hutang mereka," kata Pua.
Sarawak Report dalam pendedahan membabitkan 1MDB mengatakan wujud bukti menunjukkan BSI menolak dokumen 1MDB ‎mengenai akaun Brazen Sky Limited di Singapura.
 
"Dokumen dibekalkan kepada pelbagai pihak berkuasa oleh presiden 1MDB Arul Kanda bagi menunjukkan penyata akaun Brazen Sky pada November 2014‎. 
"Namun bank swasta Switzerland memberitahu pihak berkuasa Singapura yang dokumen itu bukan berasal daripada mereka dan tidak menunjukkan dokumen sah ‎mengenai aset anak syarikat 1MDB," lapor Sarawak Report. 
Menurut portal itu, maklumat mengenai penyata bank kemudian dilaporkan semula ke Malaysia pada 13 Mac lalu, 2 hari selepas perdana menteri yang juga menteri kewangan mengemukakan jawapan bertulis mengesahkan baki AS$1.103 bilion sudah ditebus kembali daripada dana Brazen Sky ‎di Pulau Cayman dan kini "disimpan" di BSI di Singapura ~ The Malaysian Insider

Sampai bila nak belit ni?


Sirul Azhar keluar Malaysia dengan kebenaran Mahkamah

Posted: 19 May 2015 11:00 PM PDT


Bekas anggota elit polis, Koperal Sirul Azhar Umar keluar dari Malaysia dengan cara yang sah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan individu tersebut yang kini berada di Australia mendapat kebenaran mahkamah untuk keluar dari negara sebelum beliau dijatuhkan hukuman gantung sampai mati kerana disabitkan dengan kesalahan membunuh model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

"Koperal Sirul telah dibenarkan untuk meninggalkan negara atas kebenaran mahkamah tempoh hari.

"Sehubungan dengan itu, selaras dengan peruntukan di bawah Akta dan Peraturan Imigresen 1959/63, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak akan menghalang seseorang yang hendak keluar atau masuk negara jika nama seseorang itu tidak tersenarai dalam senarai syak Jabatan dan juga memenuhi syarat," katanya melalui jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen (DAP) Batu Kawan, Kasthuriraani Patoo.

Kasthuriraani meminta Zahid menjelaskan bagaimana Sirul dapat melarikan diri merentasi sekatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Imigresen Malaysia menaiki penerbangan dan selamat mendarat di Australia memandangkan hukuman gantung telah dijatuhkan ke atas beliau.

Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013 yang membebaskan tertuduh pertama, Cif Inspektor Azilah Hadri, 38, dan Sirul Azhar. Mahkamah Persekutuan mendapati Mahkamah Rayuan terkhilaf dalam keputusannya.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menjatuhkan hukuman mati ke atas dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu selepas didapati bersalah membunuh Altantuya sembilan tahun lalu lapor Rakyat News


DAP Selangor nafi dakwa pentadbiran Khalid lebih cekap dari Azmin

Posted: 19 May 2015 08:01 PM PDT


Laporan mengatakan DAP mengakui pentadbiran bekas menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim lebih cekap berbanding penggantinya Mohamed Azmin Ali tidak tepat, kata Lau Weng San. 

Setiausaha DAP Selangor itu berkata, kenyataannya semasa sidang media ialah pihaknya "pernah membangkitkan perkara yang hampir sama dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Mac 2012 dan jawapan yang saya terima pada masa itu adalah lebih lengkap".

"Namun begitu, perkataan 'lengkap' tidak boleh disama erti dengan maksud atau perkataan 'cekap'. Lebih-lebih lagi, saya tidak bermaksud bahawa pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim (TSKI) lebih cekap hanya kerana jawapannya lebih lengkap," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata sedemikian dalam responsnya terhadap laporan portal berita Free Malaysia Today semalam yang menyebut DAP mengaku pentadbiran Khalid lebih cekap.

Lau dalam pertanyaan bertulis kepada Azmin Mac lalu mahu kerajaan negeri menyenaraikan gaji, elaun dan bonus kakitangan atasan GLC seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Namun, jawapan bertulis yang diterimanya menggesa Lau mengemukakan permohonan bertulis kepada Azmin atau setiausaha dewan.

Jawapan bertulis itu turut mengingatkan Lau supaya bertanggungjawab ke atas maklumat tersebut yang tertakluk di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA).

Namun, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Tunku itu pada sidang media Isnin lalu mempertikaikan Seksyen 2 PDPA itu hanya terpakai kepada data peribadi berkenaan dengan transaksi komersial.

Katanya, Seksyen 3(1) akta itu juga menjelaskan ia tidak terpakai kepada kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

Lau dan Adun Kinrara, Ng Sze Han turut menggesa Azmin mendedahkan butiran itu segera bagi memelihara aspek ketelusan.

Lau berkata, ekoran teguran itu, pihaknya menerima respons daripada Azmin dan setiausaha politik Shuhaimi Shafiei pada 18 dan 19 Mei lalu, berkenaan jawapan yang diterimanya semasa sidang DUN tentang senarai nama, jawatan, gaji, bonus dan elaun yang dibayar kepada ahli Lembaga Pengarah dan kakitangan kanan peringkat pengurusan di beberapa GLC Selangor.

"Menteri besar memaklumkan bahawa beliau sudah mengarahkan pegawai kewangan negeri dan setiausaha kerajaan negeri Selangor untuk mempercepatkan pemprosesan maklumat berkenaan.

"Saya ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada menteri besar dan pejabatnya kerana prihatin dengan isu yang dibangktikan saya. Sememangnya, ketelusan dan keterbukaan dalam pentadbiran Pakatan Rakyat merupakan mercu tanda yang perlu dipertahankan pada setiap masa," katanya.

Katanya, dalam jawapan bertulis yang diterimanya, beliau diminta menulis kepada Pejabat Menteri Besar dan mengakui sudah berbuat seperti yang diminta.

"Saya sudah berbuat seperti apa yang diminta dan saya ingin menekankan sekali lagi bahawa memang Pejabat Menteri Besar Selangor ada menjawab surat saya di mana perkara itu diajukan kepada setiausaha kerajaan negeri Selangor untuk tindakan selanjutnya. Maka saya akan menunggu jawapan daripada pegawai yang berkenaan.

"Saya memohon maaf jika kesilapan ini menyebabkan perselisihan faham yang tidak diperlukan. Saya juga berasa kesal dengan kesilapan laporan ini dan memohon pihak yang berkenaan untuk memperbetulkan kesilapan ini secepat mungkin," katanya lapor The Malaysian Insider



-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...