Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


1MDB: Ku Li mahu seluruh anggota Kabinet Najib bertanggungjawab..

Posted: 25 May 2015 01:39 AM PDT


Keseluruhan Kabinet patut dipertanggungjawabkan atas masalah yang dihadapi syarikat 1Malaysia Development Berhad, kata veteran Umno Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, hari ini, dan menambah beban itu bukan di bahu perdana menteri seorang saja.

Tengku Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata jika ahli Kabinet tidak sedar mengenai isu 1MDB, mereka sepatutnya membuat siasatan, bukannya menuding jari ke arah orang lain.

"Semua di sana (dalam Kabinet) perlu bertanggungjawab secara kolektif terhadap masalah itu. Anda tidak boleh kata ia bukan masalah anda, bukan masalah saya," kata bekas menteri kewangan itu kepada wartawan ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

"Selagi anda anggota Kabinet, sama ada anda tahu atau tidak tahu apa yang sedang berlaku dalam kerajaan, anda sama dan turut bertanggungjawab," katanya.

Tengku Razaleigh hari ini berkata tidak sewajarnya ahli Kabinet dakwa tidak tahu mengenai skandal itu, memandangkan sudah ramai yang bercakap mengenai 1MDB.

"Orang lain tahu, bagaimana ahli Kabinet tidak tahu? Sibuk dengan perkara lain?," katanya yang juga ahli Parlimen Gua Musang.

Bagaimanapun, beliau enggan berkongsi pandangannya berhubung syarikat yang sedang sarat menanggung hutang itu, berkata beliau harap untuk mendapatkan "gambaran keseluruhan" terlebih dulu.

Katanya, 1MDB menjadi "buah mulut kerana ada sesuatu yang di luar kebiasaan dan di ambang penipuan", tetapi menambah beliau akan menunggu sehingga laporan rasmi dikeluarkan.

"Kita hanya bergantung pada maklumat yang keluar cebisan demi cebisan daripada pelbagai sumber.

"Jadi mari kita lihat keseluruhan gambar. Pada masa ini, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) juga sedang menyusun untuk bagaimana melihat masalah ini," katanya.

Jawatankuasa dwi parti itu memulakan prosidingnya mengenai perkara itu pada Selasa lalu, selepas memutuskan untuk tidak menunggu siasatan ketua audit negara disiapkan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan ketua audit negara menjalankan siasatan dan menyerahkan hasilnya kepada PAC untuk ketelusan. Tetapi, kritikan yang semakin banyak dan pendedahan dalam laman web Sarawak Report mendorong PAC memulakan pendengarannya lebih awal.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin secara terbuka mengkritik cara kerajaan mengendalikan isu itu, dan berkata beliau sendiri tidak tahu bagaimana hendak memberi penjelasan kepada rakyat mengenai masalah 1MDB, yang menanggung RM42 bilion hutang dalam hanya 6 tahun beroperasi ~ The Malaysian Insider

Pemimpin UMNO tolak penstrukturan 1MDB, gesa pecat individu dalam 1MDB.. termasuk Njib ke?

Posted: 24 May 2015 11:00 PM PDT


Ada benarnya pepatah Cina yang berbunyi 'Ikan busuk deri kepalanya'.. kalau dah kepalanya busuk maka seluruh badan pun busuk..

Dalam hal 1MDB ni kalau nak dipecat seluruh Ahli Lembaga Pengarah yang terlibat, tak ada maknanya kalau yang jadi Penasihat masih orang yang sama..

Presiden UMNO Najib Razak, ketika ini adalah Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, jadi kalau dikekalkan Najib tapi diganti semua Ahli Lembaga Pengarahnya.. memang tak ada makna langsung..

Sebab ikan tak mungkim mula membusuk dari ekornya..

Tapi persoalannya ialah beranikah Pemimpin-pemimpin UMNO yang sedia ada usulkan agar Najib dipecat dari menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB?

Jangan mimpilah...

Laporan berkaitan...

Walaupun komitmen diberi untuk memulihkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menerusi cadangan penstrukturan, pemimpin Umno sebaliknya mahu tindakan drastik dan tegas diambil ke atas individu dalam syarikat yang menanggung beban hutang tersebut.

Laporan penstrukturan bakal dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet minggu ini, namun pemimpin Umno bertegas dan memberi kata dua supaya individu bertanggungjawab dalam 1MDB, termasuk lembaga pengarahnya, dipecat.

Bagaimanapun, tidak jelas sama ada, ia termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang ketika ini mempengerusikan lembaga penasihat 1MDB, atau tidak.

"Saya melihat kepada isu semasa, saya percaya perlu satu tindakan drastik diambil, selepas itu baru distruktur semula dan diambil siasatan," kata Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin.

Ketua Umno bahagian dari Sabah itu berkata, jika tiada tindakan drastik diambil, isu itu tiada kesudahannya dan Putrajaya perlu terus menjawab kepada rakyat.

"Kalau tidak, ia akan lebih diperkatakan orang ramai, inilah langkah paling tepat," katanya kepada The Malaysian Insider.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah Khamis lalu berkata, beliau yakin 1MDB boleh distruktur semula.

"Penstrukturan semula 1MDB... saya percaya kita boleh lakukan. Saya sedang menyiapkan laporan dan kemudian akan bentang kepada Kabinet minggu depan.

"Mungkin selepas itu kita akan umum langkah seterusnya untuk menstrukturkan 1MDB," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Husni berkata, penstrukturan semula itu akan melibatkan aset tenaga dan hartanah, sambil menambah beliau akan menjelaskan lebih lanjut selepas membentangkannya di Kabinet.

Husni berkata, beliau tidak mahu 1MDB tidak mampu melangsaikan pinjamannya kerana ia akan mempunyai "kesan sistemik" ke atas negara ini.

Beliau juga menasihatkan orang ramai agar tidak bimbang kerana syarikat itu hanya menghadapi "masalah aliran tunai jangka pendek" dan kerajaan akan menyelesaikannya.

Tekanan ke atas syarikat bermasalah tersebut semakin hangat diperkatakan terutama selepas tersebar klip video di mana Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kelihatan mendesak supaya mereka yang berada dalam 1MDB dipecat.

Susulan pendedahan video tersebut, secara tidak langsung tekanan terhadap Najib yang juga penaung 1MDB semakin dirasai.

Pandangan Bung tersebut juga senada dengan Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Azalina Othman yang mahukan pengerusi 1MDB dan ahli lembaga dipecat.

"Tukar saja pengerusi 1MDB dan ahli lembaga. Selesai dengan orang dalam 1MDB yang betul-betul tidak membantu.

"Isu 1MDB adalah isu negara," katanya kepada The Malaysian Insider.

Sementara itu, Ketua Bahagian Kulim-Bandar Baharu Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir mempersoalkan cadangan penstrukturan ke atas 1MDB memandangkan Majlis Tertinggi Umno sudah menyatakan pandangan mereka tentang 1MDB.

"Saya betul-betul mengharapkan yang saya dimaklumkan. Kebanyakan Majlis Tertinggi meminta presiden mengambil tindakan yang tegas terhadap lembaga pengarah 1MDB.

"Jadi, katakan semua suara ini sudah meminta tetapi 4 bulan tidak ada satu tindakan, suara paling tertinggi dalam parti sudah mendesak presiden untuk menggantung, memecat lembaga pengarah ini.

"Saya harap presiden ambil tindakan," kata ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu kepada The Malaysian Insider.

Kedudukan Najib dalam parti selaku presiden Umno serta imejnya terjejas teruk akibat kemelut dalam 1MDB, sebuah syarikat yang diilhamkan beliau sendiri dan merupakan milik Kementerian Kewangan.

Bagaimanapun, di sebalik gesaan supaya tindakan tegas diambil terhadap 1MDB, Timbalan Ketua Bahagian Jerlun Datuk Othman Aziz mempersoalkan bagaimana mahu menyelesaikan dan mendapat jawapan daripada syarikat tersebut jika pemecatan dilakukan.

"Tindakan pecat tidak akan selesai masalah. Kalau sudah pecat, siapa yang menjawab dan menjelaskan tentang 1MDB?

"Sebaiknya ia distruktur semula, kemudian siasat dan tunggu laporan daripada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC)," kata Othman kepada The Malaysian Insider.

Mengulas perkembangan semasa berhubung isu 1MDB, pemerhati politik yang juga bekas Ketua Pemuda Umno Wangsa Maju Shahbudin Husin melihat pembaharuan sokongan yang diperoleh Najib menerusi beberapa pertemuan dengan kepimpinan akar umbi Umno sebelum ini hanya bersifat sementara.

"Sokongan kepada Najib semasa mesyuarat lalu hanya sementara waktu saja.

"Serangan terhadap 1MDB dan Najib akan berterusan," katanya kepada The Malaysian Insider.

Mengenai terbocornya video terbaru melibatkan Muhyiddin, Shahbudin berkata ia isyarat pertembungan antara Najib dan timbalannya sudah memasuki fasa baharu.

"Ini isyarat yang Najib tidak selamat lagi, fasa baru perlawanan sudah bermula," katanya.

Pengkritik menjangkakan kemelut 1MDB akan menyebabkan krisis dalaman Umno sendiri akan menjadi lebih parah jika tidak diselesaikan segera.

Bekas perdana menteri paling lama berkhidmat, Tun Dr Mahathir Mohamad berulang kali membangkitkan tentang isu melibatkan 1MDB, yang merupakan senjata utama beliau dalam mengkritik dan membidas pentadbiran Najib.

Dr Mahathir membayangkan Umno dan Barisan Nasional akan hilang kuasa sekiranya Najib masih kekal menerajui parti pemerintah itu.

Pengarah Institut Asia Universiti Tasmania Dr James Chin berkata kekuatan Umno selama ini bergantung kepada kawalan mereka selaku kerajaan pusat sejak zaman kemerdekaan.

"Umno secara umumnya kuat kerana mereka menguasai kerajaan persekutuan, sebaik saja mereka kalah kerajaan pusat, mereka akan runtuh," katanya.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pemimpin-umno-tolak-penstrukturan-1mdb-gesa-pecat-individu-dalam-1mdb#sthash.qmcZ8P07.dpuf

8,000 Kakitangan MAS akan ditamatkan perkhidmatan?

Posted: 24 May 2015 08:21 PM PDT


Pada tahap ini kebimbangan 20,000 pekerja syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) berada pada tahap yang paling tinggi namun semangat mereka adalah yang terendah.

Dalam masa beberapa hari sahaja lagi, mereka akan menerima surat sama ada penamatan kerja atau surat tawaran semula untuk berada di syarikat berkenaan di bawah pengurusan baharu.

MAS sebagai salah satu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terbesar di negara ini akan menamatkan keseluruhan tenaga kerjanya bagi memulakan semula syarikat penerbangan itu dalam skala yang lebih kecil dengan memberi tumpuan kepada pasaran serantau dan bukannya antarabangsa.

Satu-satunya individu yang terselamat adalah Ketua Pegawai Eksekutif, Christoph Mueller, yang telah dilantik untuk menerajui syarikat penerbangan baharu itu dan menguruskan peralihannya.

Tiada GLC di Malaysia yang pernah memecat hampir keseluruhan pekerjanya dan ia juga mungkin menjadi sejarah di negara ini apabila bakal menyaksikan pemecatan dalam jumlah yang besar berlaku dalam masa sehari.

Namun langkah ini adalah sebahagian daripada usaha terakhir untuk menyelamatkan MAS yang dibebani hutang selama beberapa tahun termasuk sebelum tragedi berkembar MH370 dan MH17.

Hari ini (Isnin), pentadbir akan dilantik. Beliau adalah Datuk Mohammad Faiz Azmi iaitu Pengarah Eksekutif firma perundingan dan audit PricewaterhouseCoopers.

Beliau akan menandatangani semua surat-surat penamatan kerja yang akan diserahkan pada Rabu ini.

Salah seorang kakitangan MAS berkata: "Saya ingat GLC adalah tempat yang paling selamat untuk bekerja, tetapi sekarang saya tidak tahu jika saya akan mempunyai pekerjaan pada 1 Jun."

Kata kakitangan yang tidak mahu namanya disiarkan itu lagi: "Ia adalah masa yang sangat menyedihkan dalam hidup saya. Saya tidak pernah terfikir hari ini akan datang sejak saya mula-mula menyertai syarikat penerbangan ini lebih daripada dua dekad yang lalu.

"Saya tidak boleh berfikir tentang bagaimana saya akan membayar pinjaman perumahan dan kereta saya."

Pemberhentian beramai-ramai ini bertujuan mengurangkan penghijrahan kakitantan MAS sedia ada ke dalam sebuah syarikat baru iaitu MAS Bhd yang akan memulakan operasi pada 1 September depan.

Kira-kira dua pertiga daripada 20,000 kakitangan akan ditawarkan pekerjaan dengan perjanjian baharu.

Dilaporkan sebelum ini bahawa seramai 6,000 kakitangan akan dipecat tetapi maklumat terbaharu daripada sumber berkata bahawa pada hakikatnya angka berkenaan merujuk kepada peranan yang akan dikurangkan dan tidak mustahil ada diantara tugas sebelum ini dilakukan lebih daripada seorang kakitangan.

Jadi sumber berkata jumlah terakhir kakitangan yang akan diberhentikan mungkin mencecah lebih daripada 8,000 namun ia akan dilakukan secara berperingkat dalam tempoh setahun.

"Jumlah 6,000 itu akan ditamatkan pada masa yang sama. Bagaimanapun ada yang akan diberhentikan secara berperingkat untuk menguruskan proses peralihan.

"Sesetengah daripada mereka juga akan ditawarkan kontrak jangka pendek di MAS Bhd," kata sumber berkenaan.

Kakitangan mungkin akan menerima dua pucuk surat - pertamanya bertujuan menamatkan perkhidmatan mereka dengan MAS dan sama ada tawaran lain untuk menyertai MAS Bhd atau tawaran untuk melapor diri ke Pusat Pembangunan Korporat (CDC) yang ditubuhkan untuk melatih semula pekerja dipecat.

"Tiada pekerjaan adalah selamat, tetapi sesetengah orang memang jelas selamat," kata seorang kakitangan.

Beliau berharap pihak pengurusan sedia ada tidak akan ditawarkan menguruskan MAS Bhd, namun sumber berkata harapan itu mungkin tidak kesampaian.

Mueller memerlukan peralihan yang sempurna.

Berdasarkan temu bual dengan Cambridge University tahun lalu, Mueller berkata tahun pertama penstrukturan semula adalah seperti pergi ke perang dan ia adalah "sukar untuk mewujudkan satu pasukan yang menang dari pasukan pengurusan sedia ada dalam tempoh pemulihan".

Apa juga strategi, Mueller kini sibuk menguruskan rancangan perniagaan yang sukar untuk sebuah syarikat penerbangan yang baharu.

Bukan itu sahaja, sebanyak 3,779 kontrak pembekalan sedang dibuat semula di bawah syarat-syarat baru, termasuk katering kontroversi, Brahim Holding Bhd.

Sebilangan besar perlu meninggalkan MAS serta-merta tetapi mereka hanya akan menerima gaji dan faedah pada akhir Ogos depan.

CDC akan dibuka pada 1 Jun untuk menawarkan perkhidmatan penempatan dan latihan percuma untuk kakitangan.

Minggu ini CDC membuka sebuah kiosk di premis MAS terutamanya di kafeteria, namun menyaksikan sambutan yang tidak menggalakkan daripada kakitangan.

"Mereka tidak sensitif. Sebelum kami mendapat surat lagi, mereka sudah buat begini. Saya tidak dapat makan dengan sempurna sekarang," kata seorang kakitangan.

Mereka yang dipecat akan dibayar pampasan, tetapi jumlah yang mungkin diterima mungkin tidak sebanyak seperti di bawah perjanjian kolektif (CA).

Malah mereka yang ditawarkan semula bekerja dengan MAS Bhd juga akan mendapatkan sejumlah wang dalam bentuk bonus, tetapi formulanya masih tidak diketahui.

Satu sumber berkata, memandangkan keadaan kewangan MAS yang tidak baik, ia tidak akan dapat menawarkan formula pembayaran seperti yang dinyatakan dalam pelbagai perjanjian kolektif iaitu satu bulan bagi setiap tahun genap perkhidmatan dan sebulan setengah untuk pekerja yang berkhidmat lebih 10 tahun.

Sumber itu berkata pemilihan kakitangan yang akan ditawarkan semua dibuat berdasarkan kepada prestasi.

"MAS akan mengetahui berapa ramai yang menerima tawaran menyertai MAS Bhd pada 12 Jun.

"Mereka harus mempunyai pelan luar jangka jika angka yang menerima tawaran tidak sepadan apa yang mereka harapkan.

"Juruterbang dan anak kapal menerima permintaan daripada beberapa syarikat penerbangan termasuk Korea Airlines dan Qatar Airways berikutan mereka sudah menjalankan pameran bergerak untuk menarik anak-anak kapal MAS," kata sumber itu lagi.

Urusan kejatuhan akan menjadi ujian terbesar MAS kerana akan ada kakitangan yang akan puas hati setelah mendapat surat mereka lapor mStar


Kenapa dalam RMK11 tak ada Arport Kulim Najib?

Posted: 24 May 2015 05:30 PM PDT


Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak baru saja melancarkan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) bagi tempoh lima tahun; mulai 2016 hingga 2020.

2. Apa yang mengejutkan dalam pembentangan yang menetapkan peruntukan pembangunan sebanyak RM260 billion itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim yang ghairah dicanangkan oleh YAB Menteri Besar Kedah, Dato' Paduka Mukhriz Mahathir tidak disenaraikan bersama.

3. Turut tidak tersenarai dalam RMK-11 ialah lima lagi projek mega yang diumumkan oleh Menteri Besar dalam ucapan Bajet 2015 tahun lalu iaitu; Bandaraya Aero Kedah, Lebuhraya Sungai Petani-Kedah Inner Expressway (SPIKE), Bandaraya Getah, Taman Sains dan Teknologi Kedah dan juga Bandaraya Sains Perubatan Kedah. Dalam ucapan bajet tersebut, Menteri Besar begitu optimis bahawa semua projek tersebut akan dimasukkan dalam RMK-11.

4. Penafian terhadap kesemua projek tersebut oleh Perdana Menteri dalam RMK-11 menimbulkan tandatanya. Pertama, kemungkinan rancangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim serta lain-lain projek tersebut tiada dalam pengetahuan Kerajaan Persekutuan. Kajian dan kertas cadangan yang dinyatakan oleh kerajaan negeri hanyalah sandiwara untuk mengaburi mata rakyat, sedangkan ianya tidak dikemukan secara serius dan komprehensif. Kedua, kemungkinan Perdana Menteri ingin 'bertindakbalas' terhadap anak Tun Dr Mahathir Mohamad (Datuk Paduka Mukhriz) yang akhir-akhir ini lantang mengkritiknya. Atau terdapat kemungkinan yang lain.

5. Oleh kerana projek berkenaan diperkatakan secara serius dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah dan melibatkan kepentingan rakyat, maka saya mendesak YAB Menteri Besar memberi penjelasan terhadap status serta impak terhadap penafian kerajaan Persekutuan dalam menyenaraikan projek tersebut.

6. Jika dalam tempoh lima tahun, tiada satu pun dari projek tersebut akan dilaksanakan, maka apa lagi projek pemangkin ekonomi negeri yang ada, sedangkan tempoh penggal YAB Menteri Besar akan berakhir tiga tahun sahaja lagi.

Semua persoalan ini harus dijawab dengan jujur oleh Datuk Paduka Mukhriz selaku pemimpin kerajaan negeri yang bertanggungjawab terhadap pembangunan sosio ekonomi negeri ini.

Sekian, terima kasih.

Dato' Haji Mahfuz Omar
Pesuruhjaya PAS Kedah
23 Mei 2015


-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...