Kedah Ke KL

Kedah Ke KL


PAS Keluar Pakatan Selepas Muktamar?

Posted: 26 May 2015 05:33 PM PDT



KUALA LUMPUR - Persoalan sama ada Pas akan terus bersama pakatan pembangkang atau sebaliknya yang dibayangkan oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bakal terjawab selepas Muktamar Tahunan yang bakal berlangsung pada 4 hingga 6 Jun ini.

Abdul Hadi berkata, beliau ketika ini mengambil pendekatan tunggu dan lihat dalam konflik hubungan antara DAP dengan parti itu.

Katanya, fokus utama beliau kini adalah terhadap pemilihan par­ti kerana apa juga keputusan akan ditentukan selepas tamat muktamar nanti.

Berhubung kedudukan Pas sekiranya parti itu meninggalkan pakatan tersebut, Abdul Hadi berkata, itu adalah perkara biasa kerana Pas pernah bergerak secara sendirian dan pernah juga bersama kerajaan.

"Saya tumpu kepada pemilihan Pas, saya seronok jika ada parti lain yang tolong kempen untuk saya. Saya tunggu keputusan muktamar nanti. Cara terbaik menyelesaikan kemelut terbabit tunggu dan lihat.

"Kita semuanya pernah, pernah bersendirian, pernah bersama kerajaan dan pernah duduk di luar kerajaan. Cuma biasanya perkara lama tidak akan berulang," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Krisis antara Pas dengan DAP timbul apabila wujud pertikai­an membabitkan keputusan Abdul Hadi untuk membawa Rang Undang-Undang Persendirian bagi membolehkan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Kelmarin di Parlimen, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terus mengkritik Presiden Pas itu apabila mendakwa hanya jasad Abdul Hadi bersama pakatan, sebaliknya hati bersama UMNO.

Guan Eng turut mengkritik Abdul Hadi bukan saja tidak turun berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh, malah turut tidak menyatakan so­kongan secara terbuka kepada Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Menjawab kritikan itu, Abdul Hadi menjelaskan, beliau masih lagi bersama pakatan pembangkang dan Guan Eng tidak mengetahui apa yang terbuku di hatinya serta tidak berhak untuk mengeluarkan kenya­taan sebegitu.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah pula berkata, Pas setakat ini masih mengambil pendekatan menegur atau memberi nasihat kepada DAP dengan lembut kerana mahu menjaga hubungan yang terjalin dengan parti-parti sekutu.

"Apabila nasihat tidak jadi, itu yang kita rasa dukacita. Sepatutnya dia (DAP) ambil kira (sebelum membuat kenyataan) sebab kita pun ada perasaan.

"Kalau kita mula menyerang apa akan jadi kepada Pakatan Rakyat? Kita pun pandai juga mengata pada orang ni dan kalau saya sendiri kata, mungkin lebih berat daripada kata-kata Lim Guan Eng lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat Badan Perhubungan Pas Kelantan di Pusat Tarbiah Islam Kelantan (Putik) di Pengkalan Chepa, di sini hari ini.


FGV Berbeza dengan syarikat Perladangan yang lain #FELDA

Posted: 26 May 2015 05:16 PM PDT


SEJAK Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) disenaraikan lebih dua tahun lalu di Bursa Malaysia, syarikat perla­dangan itu tidak pernah suram de­ngan pelbagai isu yang lebih cen­derung bersifat politik.

Pasaran sahamnya sentiasa diperhatikan oleh pihak pembangkang hingga hanya kesilapan yang kecil boleh dijadikan satu isu yang besar.

Mungkin juga ini berkait rapat dengan nama Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang juga pemegang saham terbesar FGV.

Bagaimanapun, ramai yang mungkin kurang menyedari bahawa apa yang menjadi tulang belakang FGV adalah berbeza dengan syarikat perladangan lain.

Untuk rekod, Felda memiliki ta­nah seluas 850,000 hektar di bawah Akta Tanah Berkelompok (GSA) yang mana seluas 479,765 hektar diusahakan oleh 112,635 keluarga peneroka sebagai tanah ladang dan penempatan.

Selebihnya, FGV menyewa tanah ladang Felda seluas 355,864 hektar di bawah Perjanjian Sewaan Tanah (LLA) bagi tempoh 99 tahun bermula 2012 hingga 2111.

Di bawah perjanjian tersebut, Felda akan menerima bayaran tetap sewa sebanyak RM248.5 juta setahun dengan klausa disemak setiap 20 tahun dan tambahan 15 peratus perkongsian keuntungan operasi bagi tanah terlibat dengan LLA setiap tahun.

Perkongsian keuntungan operasi bergantung kepada tiga perkara utama iaitu naik turun harga mi­nyak sawit mentah (MSM), kos dan jumlah pengeluaran buah tandan segar (BTS). Nilai ini yang akan menyebabkan jumlah bayaran LLA berubah setiap tahun.

Bermula pada 2012, FGV telah membayar LLA sebanyak RM388 juta pada purata harga minyak sawit mentah (MSM) sebanyak RM2,843 satu tan metrik. Pada 2013, apabila harga sebenar MSM turun kepada RM2,333 satu tan metrik, bayaran LLA adalah RM326 juta.

Bagaimanapun, pada 2014, harga purata MSM telah meningkat sedikit berbanding 2013 iaitu sebanyak RM2,410 satu tan metrik yang mana sekali gus bayaran tunai LLA turut meningkat sedikit kepada RM336 juta berbanding 2013.

Kekeliruan yang sering timbul disebabkan perkara ini, untuk tujuan perakaunan, jumlah wang tunai yang dibayar tidak diambil kira. Sebaliknya nilai saksama yang perlu diambil kira.

Nilai saksama ini pula akan berubah-ubah bergantung kepada tiga faktor iaitu harga MSM, kos dan jumlah pengeluaran BTS. Kesannya kepada nilai semasa pula mengambil kira aliran tunai masa hadapan.

Ini adalah faktor antara utama mengapa terdapat perubahan ke­tara kepada keputusan kewangan FGV berakhir 31 Disember 2014 selepas LLA disertakan sekali.

Hasilnya, keuntungan FGV menyusut kepada RM521.86 juta atau 52.9 peratus berbanding RM1.108 bilion yang dicapai dalam tempoh sama tahun 2013, berikutan kewujudan pendapatan luar biasa pada 2013 iaitu berjumlah RM824 juta pada 2013 manakala tiada pada 2014.

Nampak tidak adil untuk membandingkan FGV de­ngan syarikat perladangan lain kerana aspek keuntungan operasi tidak melibatkan liabiliti LLA.

Jika faktor ini ditekankan, prestasi kewangan FGV 2014 adalah lebih baik daripada 2013. Sekiranya diteliti, keuntungan operasi berjumlah RM1.03 bilion, me­ningkat 10 peratus berbanding 2013.

Sementara itu, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) 2014 (tidak termasuk LLA) pula mencecah RM1.5 bilion, meningkat 34.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Secara keseluruhan, FGV merekodkan perolehan kumpulan sebanyak RM16.434 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014, meningkat 30.8 peratus berbanding RM12.568 bilion yang dicapai dalam tempoh sama 2013.

FGV pada masa ini sedang melaksanakan program tanam semula melibatkan 15,000 hektar setahun dengan peruntukan kira-kira RM327 juta.

MIDF Research dalam nota kajiannya sebelum ini menyifatkan program tanam semula itu dapat membantu FGV bagi pertumbuhan jangka panjang, sekali gus meletakkannya dalam landasan tepat untuk muncul syarikat perladangan utama di rantau ini menjelang 2018.
-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...