Kedah Ke KL

Kedah Ke KL


Ucapan DS Mukhriz Pelancaran Bulan Pelancongan Lagenda Kedah

Posted: 08 Jun 2015 06:12 PM PDT



Assalamualaikum w.b.t.

Salam Sejahtera
Salam Kedah Aman Makmur
Salam Kedah Serata-rata

Yang Berhormat Dato' Dr Leong Yong Kong, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah / Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Perpaduan dan Hal Ehwal Masyarakat Cina dan India Negeri Kedah

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman

Yang Berhormat Ahli-Ahli Parlimen dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri

Yang Berbahagia Ketua-Ketua Jabatan
Yang Berusaha Pegawai-Pegawai Tadbir Negeri,

Dif-Dif Jemputan, Dato'-Dato', Datin-Datin, Wakil-Wakil Media dan seterusnya para hadirin yang saya hormati sekalian.

Alhamdulillah, saya memanjatkan setinggi-tinggi puji-pujian ke hadrat Allah S.W.T., pada malam ini kita sekali lagi dapat bersama-sama di Tanjung Chali yang bersejarah di Bandaraya Alor Setar, kali ini untuk meraikan satu lagi usaha menobatkan Kedah Darul Aman sebagai tarikan pelancongan yang hebat.

Program Bulan Pelancongan Lagenda Kedah Tahun 2015 Peringkat Negeri ini merupakan satu usaha transformasi komuniti oleh Kerajaan Negeri. Kedah Darul Aman merupakan antara negeri yang tertua dalam Kepulauan Melayu yang mengandungi sejarah menarik yang boleh dijadikan sebagai satu produk pelancongan.

Di antaranya, Pekan Cina dan Pekan Melayu yang hanya dibahagikan dengan satu jalan utama di mana masyarakat majmuk di sini sudah sekian lama hidup dalam suasana aman dan damai. Usaha-usaha pemahaman dan toleransi antara kaum merupakan satu identiti dan budaya yang dapat ditonjolkan kepada komuniti lain.

Selain itu, kawasan ini suatu ketika dahulu merupakan pelabuhan utama, pusat aktiviti perdagangan di Kedah yang menjadi sumber ekonomi kepada masyarakat setempat. Program Transformasi Komuniti bertujuan untuk menjadikan Pekan Cina dan Pekan Melayu sebagai tumpuan pelancongan sejarah dan sekali gus menjadikan Bandaraya Alor Setar sebagai Bandar Seni dan Kreatif yang pertama di negeri Kedah.


Program Transformasi Komuniti setempat ini telah mendapat sambutan baik dari golongan belia dan penggiat seni dalam pengenalan bazar seni dan kreatif serta berjaya menarik perhatian orang ramai. Ia telah memberikan kesan yang positif terhadap pembangunan komuniti.

Buat pertama kalinya program transformasi komuniti ini diperkenalkan kepada masyarakat setempat sebagai salah satu usaha Kerajaan Negeri Kedah menerima idea dan konsep berlainan daripada belia dalam pembangunan sesuatu komuniti. Kami amat yakin idea baru seperti ini dapat menarik lebih ramai pelancong ke negeri kita.

Program ini merupakan langkah kerajaan untuk berganding bahu dengan belia dan sukarelawan demi pembangunan sektor pelancongan negeri Kedah. Transformasi dalam sektor pelancongan amat memerlukan kerjasama komuniti setempat kerana gabungan fikiran yang berbeza dari pelbagai lapisan dapat mencetuskan idea yang luar biasa untuk pembangunan dan kemajuan industri pelancongan.

Tambahan lagi, industri pelancongan pada abad ini bukan sahaja tertumpu kepada tempat-tempat pelancongan sahaja malah ia juga merupakan akiviti yang boleh menyatupadukan masyarakat majmuk dan meningkat perpaduan antara kaum.

Saya juga difahamkan Program Bulan Pelancongan Lagenda Kedah ini juga mendapat sambutan daripada pelbagai lapisan masyarakat yang sama-sama mengindahkan dan menceriakan kawasan pesekitaran Tanjung Chali.

Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan kerjasama dan sokongan padu semua demi pembangunan dan peningkatan ekonomi negeri Kedah. Selain itu, tahun 2016 merupakan Tahun Melawat Kedah, tepat lagi Discover Kedah. Saya menyeru kepada semua masyarakat untuk sama-sama berusaha menarik pelancong dari dalam dan luar negeri untuk datang ke Kedah.

Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha untuk menggalakkan masyarakat menganjurkan aktiviti yang kreatif dan inovatif,nyang dapat menarik ramai pelancong. Kerajaan juga bersedia untuk menerima sebarang idea dan pandangan daripada masyarakat yang ingin bersama-sama untuk memajukan ekonomi negeri Kedah.

Inilah merupakan semangat "Anak Kedah", dan saya berharap semua anak kedah sama-sama memberikan sokongan kepada kerajaan pada masa datang serta sokongan padu yang akan dapat membawa kepada keharmonian masyarakat khususnya di negeri Kedah.

Akhir kata, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memberi komitmen demi menjayakan program seperti ini.

Saya berharap semua yang hadir pada malam ini dapat menikmati persembahan dan aktiviti-aktiviti yang diaturkan sempena Bulan Pelancongan Lagenda Kedah 2015. THINK TOURISM, TALK TOURISM and ACT TOURISM.

Saya dengan sukacitanya merasmikan Bulan Pelancongan Lagenda Kedah 2015 Peringkat Negeri Kedah Darul Aman.

Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Ta'aala Wabarakatuh.
-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...