Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Yayasan Patriot bukan kroni UMNO, Malaysiakini didakwa putar belit fakta

Posted: 03 Jul 2015 03:00 AM PDT


Kekeliruan dan kontroversi plat PATRIOT berpunca selepas manipulasi fakta oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan ia menjadi lebih parah apabila dipolitikkan oleh Ahli Parlimen Kluang, YB Liew Chin Tong dan Ahli Parlimen Taiping, YB Nga Kor Ming.

Namun kenyataan mereka yang disiarkan melalui laman Malaysiakini mengandungi fakta tidak tepat dan telah di putar belit sekaligus mewujudkan persepsi negatif ke atas Yayasan Patriot Negara Malaysia (YPNM).

Plat PATRIOT merupakan inisiatif YPNM bertujuan untuk mempromosi semangat patriotisme di kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan fahaman politik.


Hasil penjualan plat tersebut akan dimanfaat untuk melaksanakan program dan aktiviti patriotisme secara menyeluruh membabitkan pelbagai agensi di seluruh Negara.

Berikut adalah penjelasan bagi setiap dakwaan yang telah ditimbulkan.

Dakwaan 1:
Projek RM10 juta, JPJ hanya diberi RM1 juta.

Fakta:
Kenyataan ini tidak tepat. Nilai RM10 juta adalah SASARAN jualan plat PATRIOT bukannya KEUNTUNGAN atau nilai projek yang dianugerahkan secara terus kepada YPNM.

Pembayaran RM1 juta kepada JPJ adalah syarat asas selepas kelulusan plat siri khas tanpa mengira keuntungan atau kerugian yang dihadapi oleh YPNM. Justeru, sebarang risiko ditanggung sepenuhnya YPNM tanpa melibatkan pihak kerajaan.

Dakwaan 2:
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menganugerahkan kelulusan plat PATRIOT kepada YPNM melalui rundingan langsung.

Fakta: 
Dakwaan bahawa YPNM mendapat kelulusan dari rundingan langsung dengan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang merupakan pemangku Menteri Pengangkutan (ketika itu) adalah tidak benar.

YPNM membuat permohonan kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia pada tahun 2013 dan mendapat kelulusan selepas 2 tahun permohonan dibuat iaitu pada awal tahun 2015. Selain plat PATRIOT, terdapat lebih 25 plat siri khas yang telah diluluskan sebelum ini.

Dakwaan 3:
Pendapatan JPJ adalah wang rakyat, hasil penjualan plat PATRIOT juga adalah wang rakyat. Ini adalah kerugian kepada Negara.

Fakta: 
Plat PATRIOT merupakan inisiatif Yayasan Patriot Negara Malaysia sepenuhnya, JPJ tidak pernah ada perancangan untuk mengeluarkan plat khas siri PATRIOT. YPNM tidak menggunakan sebarang peruntukan dari mana-mana agensi kerajaan atau wang rakyat.

Justeru, tuduhan pihak JPJ mengalami kerugian adalah tidak benar kerana agensi berkenaan tetap menerima bayaran RM1 juta sama ada YPNM berjaya atau gagal menjual plat tersebut. Bermakna JPJ, rakyat dan negara tidak mengalami sebarang kerugian seperti yang didakwa.

Dakwaan 4:
YPNM berkait dengan kroni UMNO.

Fakta: 
Brigadier Jeneral Dato' Husainay Bin Hashim (B) memegang jawatan Pengerusi YPNM berdasarkan latar belakang beliau yang berkhidmat selama 33 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Idea penubuhan YPNM tercetus selepas insiden Lahad Datu dimana beliau bimbang dengan perpecahan dikalangan rakyat Malaysia kerana perbezaan ideologi politik.

Beliau bukanlah kroni UMNO, perlantikan sebagai Setiausaha Kerja UMNO dari tahun 2004 hingga 2008 atas pelawaan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi. YPNM ditubuhkan bermatlamat untuk memberi kesedaran dan memupuk semangat patriotisme di kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

Ahli Jawatan Kuasa dan sukarelawan YPNM terdiri daripada pelbagai latar belakang politik dan kaum.

Dakwaan 5:
YPNM mewakili JPJ untuk melelong plat PATRIOT.

Fakta: 
Dakwaan YPNM mewakili JPJ untuk "melelong" plat PATRIOT adalah tidak benar. Sebaliknya YPNM diberi kelulusan menjual plat PATRIOT 1 sehingga PATRIOT 9999 di mana terpulang kepada YPNM untuk melaksanakan kaedah penjualan yang dirasakan sesuai.

Soalan:
Siapakah yang menguruskan hasil penjualan plat PATRIOT dan bagaimana ia dibelanjakan?

Jawapan: 
Semua pendapatan yang bakal diperolehi hasil penjualan plat PATRIOT disalurkan ke akaun amanah milik YPNM bagi membiayai setiap aktiviti dan program bagi menyemarakkan semangat patriotisme di kalangan rakyat Malaysia melibatkan semua lapisan masyarakat di seluruh negara. Bagi maklumat lanjut program yang dirancang oleh YPNM boleh dirujuk di laman website rasmi Patriot.

Sebagai sebuah yayasan, YPNM bersikap terbuka di mana kami mengalu-alukan sebarang cadangan, kritikan, dan teguran namun ianya harus berasas.

Sebarang pertanyaan sila hubungi Sekretariat YPNM di talian: 019-4475555


Diterima melalui e-mail dari Nazim Johor dengan tajuk KENYATAAN BALAS ISU PLAT PATRIOT


Najib digesa jawab dakwaan WSJ, saman atau letak jawatan..

Posted: 03 Jul 2015 12:46 AM PDT


Lim Guan Eng meminta Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan sekiranya beliau gagal menjawab dakwaan dibuat Wall Street Journal (WSJ) yang berbilion ringgit disalurkan ke akaun bank peribadi perdana menteri itu.

Setiausaha agung DAP itu berkata, buat pertama kalinya, beliau terpaksa meminta Najib berundur susulan pendedahan serius yang dibuat akhbar perniagaan itu.

"Saya tak pernah minta beliau meletak jawatan. Kami harap beliau boleh memberi respons kepada tuduhan yang serius itu.

"Najib sepatutnya failkan saman di Amerika Syarikat terhadap penerbitan itu bagi membersihkan namanya. Tetapi, terlebih dahulu, beliau mesti jelaskan isu itu. Jika tidak, beliau terpaksa letak jawatan.

"Ini satu tuduhan yang tidak pernah terjadi seumpamanya dan amat mengejutkan... Sebelum ini, tidak pernah terdapat tuduhan sebegini terhadap seorang perdana menteri," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan di Juru hari ini.

Hari ini, WSJ dan Sarawak Report menyatakan artikel yang diterbitkan mereka itu berdasarkan dokumen daripada siasatan kerajaan terhadap 1MDB.

Dokumen itu, katanya, merupakan yang pertama melibatkan Najib secara langsung dengan siasatan terhadap syarikat pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Najib mengetuai lembaga penasihat 1MDB dan kini menghadapi tekanan politik yang semakin meningkat berhubung dana itu yang setakat ini mengumpul sejumlah RM42 bilion hutang.

Siasatan kerajaan itu, menurut WSJ, menunjukkan apa yang dipercayai penyiasat sebagai pergerakan tunai di kalangan agensi kerajaan, bank dan syarikat yang dikaitkan dengan 1MDB, sebelum ia berakhir di akaun peribadi Najib.

WSJ berkata ia mengkaji borang pemindahan wang bank dan aliran carta yang diperolehi penyiasat kerajaan, mencerminkan pemahaman mereka tentang aliran tunai itu.

Ia masih tidak jelas dari mana wang itu datang dari dan apa yang berlaku kepada wang yang disalurkan ke dalam akaun Najib.

PAS pula menggesa Najib untuk mengambil langkah strategik dengan melakukan pengisytiharan harta, hutang, pendapatan dan perbelanjaan beliau bersama isterinya bagi segera membersihkan namanya.

"Bank-bank yang dinamakan perlu dijadikan saksi dalam pengisytiharan harta ini supaya ia nampak telus dan berwibawa.

"Langkah mengisytiharkan harta ini dilihat jauh lebih efektif untuk menangkis tuduhan terhadap Najib pada kali ini," kata Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan.

Sementara itu, PKR berkata ia bimbang dengan laporan itu dan menggesa perdana menteri menyaman WSJ bagi membersihkan namanya.

Naib Presidennya Tian Chua berkata, Najib seharusnya tidak ada masalah berbuat demikian kerana beliau pernah menyaman pihak lain yang dikatakan membuat laporan tidak tepat, seperti Malaysiakini, Media Rakyat dan Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli.

"Kalau perdana menteri benar-benar yakin, beliau patutnya saman WSJ kerana membuat laporan tidak tepat untuk membersihkan namanya," katanya pada satu sidang media di Petaling Jaya hari ini lapor The Malaysian Insider


The Wall Street Journal dakwa temui kaitan antara 1MDB dan akaun bank Najib

Posted: 02 Jul 2015 11:00 PM PDT


Dalam satu lagi pendedahan sensasi, Wall Street Journal (WSJ) hari ini melaporkan para penyiasat Malaysia didakwa telah mengesan hampir AS$700 juta deposit ke dalam apa yang mereka percaya adalah akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

WSJ memetik dokumen-dokumen dari satu siasatan kerajaan, yang telah diperolehi oleh akhbar kewangan antarabangsa itu dan laman web pemberi maklumat Sarawak Report.

Menurut WSJ, dokumen-dokumen siasatan itu didakwa menunjukkan buat kali pertamanya Najib telah dikaitkan secara langsung dengan siasatan terhadap dana pelaburan negara yang bermasalah itu.


WSJ mendakwa kerajaan menyiasat dokumen-dokumen yang apa pihak penyiasat percaya adalah pergerakan wang tunai di kalangan agensi-agensi kerajaan, bank-bank dan syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan 1MDB sebelum ia berakhir dalam akaun peribadi Najib.

Dakwanya, dokumen-dokumen yang disemak oleh The Wall Street Journal termasuk borang-borang pemindahan bank dan carta aliran yang diperolehi oleh penyiasat kerajaan yang mencerminkan pemahaman mereka tentang laluan wang tunai itu.

Sementara itu, Sarawak Report melaporkan secara berasingan bahawa sebanyak AS681,999,976 (RM2.6 bilion) didakwa dipindahkan oleh dana Abu Dhabi Aabar ke dalam akaun peribadi Najib di AmBank di Kuala Lumpur pada bulan Mac 2013, dua bulan sebelum pilihan raya umum pada 5 Mei 2013.

Ia mendakwa, pemindahan dari Falcon Bank milik penuh dana itu ke dalam akaun bank peribadi Najib berlaku hanya beberapa hari selepas satu perkongsian strategik ditandatangani antara Malaysia dan Abu Dhabi pada 12 Mac 2013.

Dakwanya lagi, ini membawa kepada penerbitan bon AS$3 bilion yang dijamin oleh kerajaan Malaysia sebagai sebahagian daripada 'usaha sama 50-50 antara 1MDB dan Aabar' untuk membangunkan projek Tun Razak Exchange."

Ia mendakwa "maklumat perbankan itu telah diterima baru-baru ini oleh beberapa penguat kuasa undang-undang utama Malaysia, termasuk peguam negara".

Sarawak Report juga mendakwa RM42 juta lagi telah dipindahkan dari SRC International Sdn Bhd, sebuah syarikat kontroversi yang dikaitkan dengan 1MDB, yang kini di bawah kementerian kewangan, ke dalam tiga akaun peribadi Najib di AmPrivate Banking di Kuala Lumpur sejak beberapa bulan yang lalu.

Menurutnya, dakwaan mengenai wang yang diambil dari SRC International itu adalah satu pendedahan yang mengejutkan, kerana ia didakwa adalah wang yang dipinjamkan oleh dana pencen Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

Ia mendakwa pada 10 Februari 2015, SRC International telah memindahkan RM10 juta ke dalam nombor akaun milik 'Dato' Seri Mohd Najib Bin Hj Abd Razak' di AmPrivate Bank.

Begitu juga, dakwanya lagi, pada 26 Disember 2014, dua transaksi awal menyaksikan pemindahan RM27 juta dan RM5 juta lagi dari SRC International Sdn Bhd ke dalam nombor akaun di AmPrivate Banking yang juga milik 'Dato' Sri Mohd Najib Bin Hj Abd Razak'.  lapor Malaysiakini


Tidak mustahil PAS dan UMNO bergabung kembali kata Bekas Menteri

Posted: 02 Jul 2015 07:37 PM PDT


Bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Sabbaruddin Chik percaya Pas dan Umno akan bergabung kembali mewujudkan kerjasama membentuk kerajaan.

Menurutnya, perkara itu tidak mustahil akan berlaku jika Pas sanggup bekerjasama dengan parti bukan Melayu yang berada dalam BN.

"Untuk melihat penggabungan ini berjaya perlu melihat kesudian Pas untuk bekerjasama dengan parti bukan Melayu seperti MCA dan MIC yang ada dalam BN.

"Penggabungan Pas dan Umno adalah idea yang baik melihatkan kepada senario politik kini," katanya, semalam.

Beliau berkata, Pas dan Umno perlu menghentikan persengketaan yang telah lama wujud antara kedua-dua parti tersebut.

"Sampai bila nak bergaduh? Ini bukan waktu untuk bergaduh lagi. Kalau boleh bergabung itu adalah yang terbaik," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua parti perlu memikirkan idea penggabungan ini secara serius demi kepentingan Melayu dan Islam.

"Saya percaya sudah ada cakap-cakap dalam kedua-dua parti (mengenai penggabungan ini). Jika tidak, mana mungkin perkara ini akan diperkatakan sekarang," katanya.

Terdahulu, sebuah portal menyiarkan kenyataan bekas pemimpin kanan BN yang tidak mahu dinamakan bahawa kedua parti ini akan berganding bahu dalam menghadapi PRU14 lapor Sinar Harian


-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...