Kedah Ke KL

Kedah Ke KL


Jadikan raya ini untuk kita terus pupuk perpaduan kaum - MCA

Posted: 17 Jul 2015 04:17 AM PDT

Dalam kita berhari raya, jangan lupa bahawa kita hidup didalam masyarakat yang berbilang bangsa.

Kukuhkan perpaduan untuk kita terus membawa masyarakat Malaysia kesatu tahap yang lebih tinggi dan menjadi contoh kepada negara yang berbilang kaum.

Dua ucapan daripada Presiden dan Timbalan Presiden MCA



Liow: Aidilfitri kukuhkan hubungan, eratkan perpaduan

Saya ingin merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam di Malaysia. Semoga sambutan Aidilfitri bagi umat Islam di Malaysia dan juga di seluruh dunia dilengkapi dengan penuh keberkatan, kesyukuran serta kegembiraan.

Seperti juga musim-musim perayaan yang lain, musim lebaran ini merupakan kesempatan terbaik untuk mengukuhkan hubungan silaturrahim dan persefahaman antara kalangan rakyat Malaysia. Sebagai sebuah masyarakat majmuk, rakyat Malaysia amat memahami dan sama-sama menanti-nantikan kehadiran Hari Raya sambil merayakannya bersama lebih-lebih lagi dengan amalan kunjung-mengunjung antara satu sama lain tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

Rakyat Malaysia sesungguhnya amat bertuah kerana dapat hidup bersama dalam sebuah negara secara harmoni yang penuh dengan kepelbagaian kaum serta berpeluang menyambut dan meraikan pelbagai jenis perayaan dengan penuh riang-ria dan menghayati budaya yang berwarna-warni. Ini haruslah dihargai dan dipegang teguh oleh kita semua bukan sahaja untuk perayaan kali ini, tetapi lebih penting lagi, untuk generasi akan datang yang bakal menjadi pemacu kemajuan negara.

Akhir kata, diharapkan bahawa sambutan Syawal pada tahun ini akan terus menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Disamping itu, nikmatilah Hari Raya ini dengan berhati-hati semasa di jalan raya demi insan-insan yang tersayang.

Sekali lagi, saya ucapkan "Selamat Hari Raya Aidilfitri" dan "Maaf Zahir Batin" kepada semua.



Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua, tulus ikhlas daripada seluruh warga pejabat YB Datuk Dr. Wee Ka Siong

Perutusan Raya dari YAB MB Kedah

Posted: 17 Jul 2015 03:31 AM PDT



SIARAN MEDIA

UCAPAN SAMBUTAN AIDIL FITRI 1436 HIJRAH / 2015 MASEHI

YANG AMAT BERHORMAT MENTERI BESAR
NEGERI KEDAH DARUL AMAN

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera
Salam Kedah Aman Makmur
Salam Kedah Serata-rata

Alhamdulillah, saya memanjatkan setinggi-tinggi puji-pujian ke hadrat Allah S.W.T. yang membolehkan kita menunaikan kewajipan puasa dan mengerjakan ibadat dalam keadaan aman dan sentosa di bulan Ramadhan yang penuh rahmat dan barakah pada tahun ini.

Syukur ke hadrat Yang Maha Esa di atas nikmat kesihatan di sepanjang Ramadhan Al-Mubarak serta bibit-bibit keinsafan dan kesedaran betapa rezeki yang dianugerahkan-Nya kepada kita wajar dikongsi dengan insan lain yang kurang berada berbanding dengan kita. Begitulah hidup bermasyarakat; adat hidup tolong menolong, adat mati jenguk menjenguk. Dalam hidup harus bergaul dan bermasyarakat, saling bantu membantu di kala susah mahupun senang.

Kita, rakyat Negeri Kedah yang berpegang kepada pelbagai kepercayaan agama dan adat resam, mempunyai banyak sebab untuk bersyukur dan berterima kasih. Ini adalah kerana negeri kita telah dan sedang dirahmati nikmat keamanan juga kemakmuran yang tidak kunjung padam. Begitu juga Malaysia, kita dilindungi Allah S.W.T. dari bencana perang, huru hara dan sengketa kaum seperti yang berlaku di beberapa negara lain.

Keamanan dan kemakmuran ini mengupayakan Kerajaan Negeri merancang dan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperkasakan rakyat dalam semua aspek, termasuklah pendidikan, sosial serta ekonomi. Kerajaan telah mengukuhkan asas bagi mencipta kekayaan baru, meransang pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan pekerjaan berganjaran tinggi selaras dengan kemahiran yang semakin meningkat.
Apa yang dihasrat adalah membina sebuah negeri yang makmur lagi sejahtera di mana setiap individu sanggup bekerja keras, meningkatkan kemahiran secara istiqomah dan beriltizam menggunakan segala peluang dengan bijak agar dapat mencorak sebuah kehidupan bahagia, berkelangsungan hingga cucu cicit kelak. Yang mahu dirobah adalah lanskap ekonomi dan sosial negeri sehinggalah suatu hari nanti, Kedah Darul Aman berada di puncak gemilang, duduk dan berdirinya nanti setara, jikapun tidak lebih, dengan negeri-negeri lain di dalam sebuah negara yang maju.

Setiap seorang daripada kita hendaklah mengetahui bahawa kerajaan sentiasa berpegang teguh pada ikrar untuk mendahulukan kebajikan seluruh rakyat. Sebagai kerajaan yang merasai denyut nadi rakyat, kerisauan serta resah gelisah warganya sentiasa didengari dan usaha dilakukan untuk melegakan kebimbangan yang diutarakan. Sebagai menggalas amanah, Kerajaan Negeri dengan dokongan dan sokongan Kerajaan Persekutuan, akan terus mengambil tindakan bagi memperbaiki dan memperelok keadaan secara berperingkat serta menyeluruh demi kepentingan rakyat.

Dalam syiar meriahnya perayaan Aidil Fitri, saya menyeru kepada semua agar tidak sekali-kali melupakan pengorbanan, darah, keringat dan air mata para pejuang serta anggota pasukan keselamatan negara dari dahulu hingga sekarang. Ingatlah, semuanya tidak terjelma dengan sewenang-wenangnya tanpa jasa dan pengorbanan mereka selama ini. Begitu juga kepada pemimpin-pemimpin terdahulu yang hasil wawasan dan kebijaksanaan mereka, telah membangunkan Kedah Darul Aman dan Malaysia seperti yang kita warisi hari ini.

Sempena hari baik, bulan yang baik, kita buanglah yang keruh dan ambil yang jernih. Ketepikan perbezaan fahaman, baik agama mahupun politik. Sebaliknya kita bersatu sebagai sebuah keluarga besar Negeri Kedah Darul Aman supaya dapat menjadi contoh kerukunan hidup kepada seluruh negara Malaysia. Kita terus menyemarakkan tradisi murni kunjung mengunjung dan mengadakan rumah terbuka. Seperti yang sering dinyatakan, bukalah pintu rumah dan pintu hati seluas-luasnya dengan menjemput rakan-rakan berlainan kaum, kepercayaan dan agama ke rumah masing-masing. Di sinilah berputiknya nanti masyarakat harmoni yang kita impikan.

Akhir kata, Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada seluruh rakyat di mana sahaja mereka berada. Kepada yang memandu untuk pulang ke kampung halaman, berhati-hati dalam perjalanan. Biar lambat asalkan sampai dengan selamat. Saya, isteri dan anak-anak turut memohon maaf atas apa jua kesalahan mahupun kekhilafan yang dilakukan. Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin.

Wabillahitaufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh.


DATO' SERI HAJI MUKHRIZ TUN MAHATHIR
Menteri Besar Kedah Darul Aman


NOTA: Orang ramai dijemput ke Rumah Terbuka Aidil Fitri Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir dan Tok Puan Norzieta Zakaria di Kediaman Rasmi Menteri Besar, Seri Mentaloon.

Tarikh : Hari Khamis, 23 Julai 2015
Waktu: 11.00 pagi hingga 3.00 petang

Dikeluarkan oleh:
Mohd Fisol Jaafar
Setiausaha Akhbar kepada YAB MB Kedah
012 6412656

Tarikh: Khamis, 16 Julai 2015
-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...