Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Bekas PM Korea Selatan dipenjara kerana dana politik haram

Posted: 20 Aug 2015 09:30 AM PDT


Bekas Perdana Menteri Korea Selatan, Han Myeong-Sook dihukum penjara dua tahun kerana disabitkan kesalahan menerima dana politik secara tidak sah.

Myeong-Sook, 71 tahun merupakan perdana menteri wanita pertama negara itu yang berkhidmat selama setahun bermula pada April 2006.

Pada 2010, beliau dibicarakan atas tuduhan menerima dana secara tidak sah berjumlah 880 juta Won (RM3.1juta) daripada seorangan ahli perniagaan untuk kempen pemilihan presiden pada 2007.

Beliau bagaimanapun kalah dalam pemilihan berkenaan. Myeong-Sook gagal disabitkan kesalahan selepas mahkamah daerah mendapati keterangan ahli perniagaan tersebut sebagai tidak boleh dipercayai.

Kes berkenaan kemudiannya dibicarakan di mahkamah tinggi. Pada 2013, hakim mahkamah tinggi memutuskan Myeong-Sook bersalah dan dihukum penjara dua tahun.

Namun bekas perdana menteri itu kemudiannya mengemukakan rayuan di Mahkamah Agung. Mahkamah Agung antara lain mengekalkan keputusan mahkamah tinggi dan menolak rayuan Myeong-Sook.

"Saya tidak dapat menerima keputusan mahkamah dan tetap dengan pendirian sebagai tidak bersalah," kata Myeong-Sook dalam satu kenyataan susulan keputusan Mahkamah Agung lapor AstroAwani


Hilang Kepercayaan Terhadap Pihak Berkuasa Malaysia, Ahli UMNO Serah Bukti Penyelewangan 1MDB Kepada Switzerland

Posted: 20 Aug 2015 07:30 AM PDT


Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan nekad ke Switzerland bagi menyerahkan bukti berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tindakan itu dibuat selepas mendakwa pihak berkuasa Malaysia tidak bertindak dengan tegas dan segera terhadap laporannya sebelum ini.

Beliau telah mengemukakan semua bukti dakwaannya di Pejabat Peguam Negara Switzerland di Bern.

"Saya akan serahkan kepada pihak penguatkuasa undang-undang dan 'swiss financial regulator finma' untuk buat siasatan secara komprehensif terhadap semua salahlaku penyelewengan kes skandal 1MDB yang membabitkan Swiss Bank serta beberapa bank antarabangsa," katanya dalam status yang dimuat naik di laman Facebooknya.

Bagi tujuan berkenaan Khairuddin ditemani peguamnya, Matthias Chang. Dalam status yang sama beliau mempersoalkan tindakan terhadap laporan yang dibuatnya berhubung Skandal 1MDB.

Beliau juga menuduh pihak berkuasa tidak menyiasatnya secara professional. "Sebagai contohnya pihak PDRM asyik sibuk nak siasat Justo dan Clare Brown (Editor Sarawak Report) tetapi penyangak Jho Low tidak pernah disiasat pun dan masih bebas sehingga kini!!

"Beberapa laporan polis telah dibuat keatas penyangak jho low tetapi sehingga kini masih tiada kelihatan sebarang daya-usaha untuk memanggil seterusnya menyiasat pembabitannya dengan urus niaga 1MDB!! Mengapa??!!

"Secara rasminya saya turut membuat laporan kepada SPRM, BNM serta Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur mengenai penyangak jho low ini!! Apa istimewanya dengan penyangak jho low ini yang masih tidak disentuh oleh pihak penguatkuasa undang-undang di negara kita??!! Soalnya.

Berikutan ketiadaan tindakan yang diambil, beliau menegaskan telah hilang kepercayaan terhadap penguat kuasaan undang-undang di Malaysia lapor Free Malaysia Today


Isu Derma RM2.6 Billion Sebabkan Rakyat Pandang Serong UMNO Kata Mukhriz (Video Inside)

Posted: 20 Aug 2015 05:20 AM PDT


Datuk Seri Mukhir Mahathir berkata, integriti seluruh pemimpin dan ahli UMNO dipersoalkan ekoran sumbangan dana politik RM2.6 bilion yang dimasukkan dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

Menteri Besar Kedah itu berkata, isu derma itu membuatkan rakyat memandang serong terhadap pemimpin UMNO lain termasuk dirinya.

"Saya sangat tidak selesa dengan isu RM2.6 bilion. Saya rasa tak sedap hati. Sekarang, bila rakyat pandang saya sebagai Menteri Besar, ada persepsi bahawa saya juga samalah agaknya di peringkat negeri," katanya dalam ucapan perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Kampar pada 16 Ogos lalu.


Rakaman ucapan Mukhriz itu mula disebarkan dan dikongsi di laman sosial Facebook dan blog.

Mukhriz berkata, isu RM2.6 bilion itu menjadikan dirinya serba-salah apabila rakyat beranggapan beliau pun bersikap seperti itu (menerima derma politik) sedangkan hakikatnya untuk mengadakan program negeri pun tiada sumber kewangan.

"Kat mana kita nak letak muka? Awalnya kita menidakkan… lepas keluar laporan SPRM kita mengiyakan pula…

"Saya tak tahu macam mana nak jawab dan jumlahnya begitu banyak…

"Jadi saya rasa eloklah diselesaikan secepat mungkin. Tadi saya sentuh soal intergriti, rakyat menyoal integriti UMNO," katanya.

Tambah Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu lagi, pemimpin UMNO banyak bercakap soal agama, bangsa dan tanah air yang merupakan asas perjuangan parti tetapi dalam masa yang sama, rakyat pula pertikai intergriti parti.

"Bolehkah kita menyakinkan rakyat, UMNO adalah satu-satunya parti yang akan menegakkan secara Islam, yang akan memartabatkan bangsa Melayu dan mememajukan tanah air, tetapi pada waku yang sama kewibawaan kita sendiri di pertikaikan," tegasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam tidak menolak kemungkinan jawatannya dalam UMNO digugurkan kerana kritikannya itu.

Beliau berkali-kali mengingatkan pemimpin dan ahli UMNO berkorban untuk rakyat bukan mengutamakan kemewahan diri dan keluarga.

PAS Dedah Ku Li Sedia Keluar UMNO

Posted: 20 Aug 2015 12:02 AM PDT


Pemimpin Pas membuat pendedahan mengejutkan dengan mendakwa Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah pernah bersetuju keluar Umno dan menerima cadangan untuk dilantik sebagai perdana menteri sekiranya PR menang dalam PRU13 lepas.

Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, perkara itu dipersetujui Tengku Razaleigh melalui satu pertemuan bersama dengan beberapa pemimpin Pas dan PKR termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa bulan sebelum pilihan raya.

Bagaimanapun, perkara itu tidak berlaku apabila PKR membuat keputusan selepas pertemuan itu untuk mengekalkan keputusan biro politik partinya untuk melantik Anwar sebagai perdana menteri, sementara DAP berpendirian bersetuju dengan keputusan Anwar dan PKR.

"Apabila tiba malam pilihan raya, kita berhimpun di satu hotel, pemimpin Pas termasuk saya pun ada di situ tunggu keputusan dan saya maklum pada Tuan Guru Haji Hadi saya berada di situ dan kalau ditakdirkan kita menang dalam pilihan raya pada malam itu, Anwar lah perdana menteri.

"Tengku Razaleigh bukan sebahagian daripada PR kerana tidak berlaku strategi yang kita rancangkan itu. Jadi, tidak berbangkit Hadi tolak Anwar sebagai perdana menteri," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, sebagai menyelar kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang terus menerus menuduh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai tidak bersetuju dengan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, jika PR menang dalam PRU13.

Mustafa mendedahkan bahawa perkara itu tidak timbul kerana semua pihak bersetuju Anwar sebagai calon perdana menteri walaupun Pas turut mencadangkan Tengku Razaleigh sebagai calon perdana menteri.

Jelasnya, DAP juga tiada masalah sama ada Tengku Razaleigh menjadi perdana menteri asalkan perkara itu dipersetujui Anwar.

"Berhentilah cakap bohong sebab Pas tidak pernah menolak Anwar sebagai perdana menteri dan apa yang disebut Kit Siang itu saya tidak tahu apa tujuan dia," katanya.

Bagaimanapun beliau tidak menolak idea untuk Pas meletakkan Tengku Razaleigh sebagai perdana menteri adalah di pihak Pas tetapi dibuat selepas ketiga-tiga parti bersetuju veteran Umno itu mempunyai pengaruh tersendiri dalam menarik sokongan tiga hingga lima peratus undi orang Melayu kepada PR.

"Saya tidak tahu dia (Tengku Razaleigh) setuju atau tidak setuju saya terang ini, kena tanya dialah tapi saya terpaksa kena cerita untuk beritahu pembohongan Kit Siang," katanya.

Mengulas pertemuan dengan Tengku Razaleigh, beliau memberitahu Tengku Razaleigh bersetuju dengan cadangan tersebut dalam pertemuan di sebuah hotel melibatkan Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat, Datuk Dr Harun Din, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Mohamad Sabu, Mustafa dan Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, manakala pemimpin PKR disertai Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamed Azmin Ali, Datuk Saifuddin Nasution, Datuk Johari Abdul dan Abdul Rahim Gaus.

Beliau berkata, perbincangan itu turut menyebut bahawa Tengku Razaleigh menjadi perdana menteri untuk tempoh tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun, sebelum jawatan itu diberi kepada Anwar.

"Saya boleh sebut dia sedia tinggalkan Umno (ketika pertemuan itu)," katanya lapor Sinar Harian


Timbalan Pengarah Cawangan Khas pula dipindahkan ke JPM

Posted: 19 Aug 2015 07:56 PM PDT


Selepas beberapa minggu khabar angin bertiup kencang, Timbalan Pengarah Cawangan Khas Datuk Abdul Hamid Bador akhirnya menerima surat pertukaran, mengarahkan beliau mengetuai sebuah bahagian keselamatan baharu di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Difahamkan arahan pemindahan itu dikeluarkan semalam, semasa Hamid masih bercuti panjang. Beliau dijangka melaporkan diri di JPM selepas cutinya berakhir pada 28 Ogos.

Hamid hari ini menghadiri satu majlis ringkas yang diadakan secara tertutup untuk menyerahkan tugas kepada penggantinya,

Datuk Mohd Haniff Hanudin. Katanya kepada portal berita Malaysiakini, beliau tidak tahu kenapa secara tiba-tiba beliau diarahkan bertukar.

"Saya tidak tahu mengapa saya ditukarkan. Mungkin mereka tidak mahu saya berada di sana," Hamid memberitahu Malaysiakini hari ini.

Beliau berkata, sebarang pertanyaan lanjut mengenai pertukaran itu harus ditujukan kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Hamid merupakan kakitangan awam terkini yang secara mendadak dipindahkan daripada pejabatnya.
Pada 7 Ogos, 2 pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipindahkan ke JPM berkuat kuasa serta merta.

Arahan itu dibatalkan pada 10 Ogos selepas Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Bahri Mohd Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM Datuk Rohaizad Yaakob bertemu Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Kedua-duanya kemudiannya kembali semula ke jawatan asal mereka dalam badan anti-rasuah itu lapor The Malaysian Insider


-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...