Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Memudaratkan Ketenteraman Awam Atau Ketenteraman Najib Baju Kuning Ni Zahid?

Posted: 28 Aug 2015 08:05 AM PDT


Kononnya pakaian berwarna kuning dan yang mengandungi perkataan 'Bersih 4' dan 'Apa-apa bahan bercetak lain dan risalah yang mendorong kepada perhimpunan Bersih 4'." "mungkin memudaratkan ketenteraman awam", keselamatan dan kepentingan negara jadi ianya diharamkan KDN..

MUNGKIN memudaratkan.. baru mungkin tapi dah diharamkan.. tak faham betul aku.. macam manalah benda-benda macam tu boleh memudaratkan negara, bukan senjata api atau virus pun..

Sebenarnya memudaratkan ketenteraman awam atau ketenteraman Najib ni?

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengharamkan penggunaan warna kuning dalam sebarang bentuk, dengan disertai perkataan Bersih 4, menjelang perhimpunan tersebut di tiga bandaraya di negara ini esok.

Satu warta kerajaan yang ditandatangani beliau semalam dan berkuatkuasa hari ini menyatakan, perintah itu dibuat di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No. 22) 2015 menyenaraikan sebagai "dilarang sama sekali di seluruh Malaysia" item berikut:

"Apa-apa pakaian berwarna kuning dan yang mengandungi perkataan 'Bersih 4' dan 'Apa-apa bahan bercetak lain dan risalah yang mendorong kepada perhimpunan Bersih 4'."

Satu salinan perintah itu dalam Warta Kerajaan Persekutuan boleh didapati dalam talian. Ia bertarikh 27 Ogos dan mula berkuat kuasa hari ini.

Perintah itu menyatakan "percetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengedaran atau pemilikan" barang-barang ini "mungkin memudaratkan ketenteraman awam", keselamatan dan kepentingan negara.

Berita mengenai perintah itu mula tersebar lewat petang ini sebelum perhimpunan masyarakat sivil itu bermula di ibu kota jam 2 petang esok.

Dalam reaksi segeranya, ahli jawatankuasa pemandu Bersih 2.0 New Sin Yew berkata, kesan daripada perintah itu ialah jutaan rakyat Malaysia kini berstatus penjenayah.

Katanya, ia dibuat dengan niat jahat dan harus dicabar di mahkamah.

"Jelas yang ia bertujuan mengganggu dan menghalang rakyat daripada menjalankan kebebasan bersuara mereka," katanya kepada The Malaysian Insider.

New, seorang peguam, berkata perintah itu tidak munasabah dan tidak masuk akal.

"Ada satu perkataan untuk ini, 'xanthophobia', takut dengan warna kuning. Zahid kini jadi seorang yang 'xanthophobic'," katanya.

New menggesa rakyat agar datang ke perhimpunan itu tanpa rasa takut kerana perintah yang dikeluarkan itu tidak munasabah.

Penganjur perhimpunan, Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) minggu ini menjual sekurang-kurangnya 35,000 t-shirt perhimpunan dan menerima RM2 juta sumbangan orang ramai - satu respon yang disifatkannya amat menggalakkan dan belum pernah berlaku.

Tuntutan perhimpunan kali ini adalah bagi mendesak pembaharuan institusi kerajaan, hak untuk membantah, sebuah kerajaan dan sistem politik yang bebas rasuah dan bersih, serta langkah menyelamatkan ekonomi.

Ini merupakan perhimpunan Bersih yang keempat sejak pertama kali diadakan pada 2007, dan ia dianjurkan ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerima tekanan berhubung skandal kewangan yang didakwa melibatkan syarikat milik Kementerian Kewangan, 1Malaysia Development Bhd (1MDB) serta sumbangan derma politik berjumlah RM2.6 bilion yang disalurkan ke dalam akaun peribadinya.

Peserta perhimpunan di Kuala Lumpur merancang berkumpul di 5 lokasi di seluruh ibu kota sebelum berarak ke jalanan sekitar Dataran Merdeka, di mana mereka merancang untuk berkhemah semalaman.

Polis mengisytiharkan perhimpunan itu sebagai haram, tetapi peguam berkata tiada undang-undang menghalang orang ramai daripada berhimpun secara aman.

Tak sia-sia Najib lantik si Zahid ni jadi TPM.. pandai dia jaga ketenteraman Najib..


UMNO Saman Najib USD650 Juta..

Posted: 27 Aug 2015 11:00 PM PDT


Suatu kes writ saman nampaknya telah diambil terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak oleh salah seorang ahli parti Umno atas nama parti tersebut yang mendakwa bahawa beliau telah melakukan penipuan ke atas ahli-ahli parti politik tersebut berkenaan dengan penerimaan derma sebanyak RM2.6 bilion di dalam akaun peribadi beliau pada Mac 2013 serta penggunaan dana itu tanpa pengetahuan parti.

Saman tersebut mendakwa bahawa Najib Razak telah melanggar Perlembagaan Umno, peruntukan-peruntukan Akta Pertubuhan 1966 dan tanggungjawabnya sebagai seorang pemegang amanah berdasarkan Common Law, dan menuntut pembayaran balik sejumlah USD650 juta yang didakwa telah dikirim keluar oleh beliau ke satu akaun di bank Singapura yang bukan milik Umno pada 30 Ogos 2013.

Najib Razak juga dikehendaki membutirkan semua dana yang diterima beliau dalam bentuk derma dan juga penggunaan semua dana yang telah atau pada bila-bila masa tersimpan di dalam akaun AmBank Private Banking milik beliau di mana dana RM2.6 bilion itu diterima. Saman juga menuntut ganti rugi untuk ditaksir, kos dan relif-relif lanjut atau relif-relif lain yang akan ditetapkan oleh mahkamah.


Saman yang difailkan bagi pihak Umno turut mendakwa bahawa kedudukan Najib Razak sebagai 'pesalah memegang kuasa' dan kawalan beliau ke atas Umno telah mengakibatkan Umno tidak mampu mempertahankan atau membuat tuntutan bagi kepentingan parti terhadap Najib Razak.

"Plaintif menyatakan bahawa Majlis Tertinggi Umno tidak berupaya dan/atau tidak berdaya untuk bertindak terhadap Najib Razak kerana kuasa dan pengaruh yang dimilikinya terhadap Majlis Tertinggi Umno, Badan Perhubungan Negeri, Bahagian dan Cawangan yang merosakkan kepentingan ahli Umno," begitu bunyi Pernyataan Tuntutan itu.

Plaintif juga memohon untuk mendapatkan relif injunksi untuk menghalang Ab Rauf Yusof, yang turut disaman di dalam kapasitinya sebagai pegawai am Umno, sama ada secara sendirinya dan/atau melalui Jawatankuasa Disiplin Umno, Majlis Tertinggi Umno, Badan Perhubungan Negeri, Bahagian dan Cawangan daripada mengambil sebarang tindakan untuk membuang beliau sebagai ahli Umno sementara kes ini diadili, semata-mata demi mengelakkan liabiliti ke atas kes ini.

Sememangnya Pernyataan Tuntutan kes ini bersandarkan perkara-perkara yang sudahpun diketahui umum kerana telah menjadi berita sensasi sejak Wall Street Journal mendedahkannya pada 2 Julai 2015 lalu.

Wall Street Journal telah mendakwa bahawa dana USD681 juta telah dikirim ke akaun peribadi Najib Razak di AmBank Private Banking pada 21 dan 25 Mac 2013 dari Falcon Private Bank di Singapura.

Pernyataan Tuntutan itu turut mengatakan bahawa Najib Razak telah membuat pengakuan secara terbuka bahawa beliau telah menerima RM2.6 bilion di dalam akaun peribadinya dan juga bahawa beliau bukan merupakan benefisiari peribadi kepada wang tersebut. Najib Razak juga dikatakan telah mengakui secara terbuka bahawa dana itu merupakan suatu derma daripada seorang dermawan Timur Tengah yang tidak dinamakan.

Pernyataan Tuntutan itu juga mendakwa bahawa ahli-ahli Majlis Tertinggi Umno menyatakan Najib Razak telah dilantik sebagai pemegang amanah Umno, bahawa wang tersebut adalah dana politik dan bahawa mereka telah menerima wang dari akaun peribadi beliau untuk membiayai operasi politik mereka.

"Oleh itu, Plaintif menyatakan bahawa Najib Razak adalah memegang dan/atau telah memegang RM2.6 bilion tersebut sebagai amanah bagi kepentingan dan kegunaan Umno. Selanjutnya dan/atau sebagai alternative Plaintif menyatakan bahawa Najib Razak adalah memegang dan/atau telah memegang RM2.6 bilion tersebut sebagai amanah konstruktif bagi kepentingan dan kegunaan Umno," Pernyataan Tuntutan tersebut menyimpulkan.

Pernyataan Tuntutan itu selanjutnya mendakwa bahawa Najib Razak telah melanggar Perlembagaan Umno, peruntukan-peruntukan Akta Pertubuhan 1966 dan tanggungjawabnya sebagai pemegang amanah dengan cara:

1- Tidak memaklumkan atau mengisytiharkan bahawa beliau telah menerima sejumlah RM2.6 bilion tersebut kepada Majlis Tertinggi Umno;

2- Menolak atau gagal memberi penjelasan kepada Umno tentang kegunaan RM2.6 bilion tersebut;

3- Tidak membenarkan Umno untuk memberi penjelasan tentang jumlah RM2.6 bilion bagi tahun kewangan 2013 dan 2014;

4- Gagal menyebabkan jumlah RM2.6 bilion tersebut dinyatakan dalam akaun Umno yang telah diaudit bagi tahun kewangan 2013 dan 2014;

5- Memindahkan wang berjumlah US$650 juta kepada sebuah akan bank di Singapura yang tidak dimiliki oleh Umno pada atau kira-kira 30 Mac 2013;

6- Telah membayar dan/atau memindah USD650 juta secara bertentangan dengan Perlembagaan Umno;

7- Telah menggunakan dan/atau menyimpan sebahagian dari jumlah RM2.6 bilion untuk kepentingan dirinya sendiri secara menjejaskan kepentingan Umno; dan

8- Pada setiap masa sebelum menerima jumlah RM2.6 bilion tersebut, Majlis Tertinggi Umno tidak pernah melantik beliau menjadi pemegang amanah bagi tujuan menerima wang tersebut.

Saman difailkan oleh firma guaman Haniff Khatri lapor Free Malaysia Today


Kerana Ekonomi Teruklah, Kami Adakan Bersih

Posted: 27 Aug 2015 09:00 PM PDT


"Kerana ekonomi negara sudah sedia ada teruklah, kami adakan Bersih 4.0!" demikian kata Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurutnya, kegagalan ekonomi Malaysia adalah disebabkan skandal badan pelaburan kerajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bukannya disebabkan oleh penganjuran himpunan Bersih 4.0 yang akan berlangsung pada 29 Ogos dan 30 Ogos ini.

"Kenapa Bersih (4.0) pula yang jadikan ekonomi negara sebagai mangsa, 1MDB lah punca sebenar negara mengalami krisis ekonomi.

"1MDB yang menyebabkan nilai ringgit susut dan ekonomi makin teruk. Bukannya Bersih. Itu tak betul," balas Wan Azizah ketika ditemui Sinar Online di sini, hari ini.

Datuk Rahman Dahlan pada semalam dilaporkan mengeluarkan kenyataan bahawa penganjuran himpunan tersebut bakal memangsakan ekonomi negara; menyebabkan ekonomi semakin teruk. 

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu menulis di ruangan Twitternya @mpkotabelud pada Rabu dengan mengatakan penganjur Bersih 4.0 tidak peduli mengenai keadaan semasa ekonomi.

"Dulu kita buat Bersih, jelas bahawa himpunan itu tidak jejaskan ekonomi negara," bidas Wan Azizah lagi.


Menjelang perhimpunan, laman web BERSIH disekat?

Posted: 27 Aug 2015 07:43 PM PDT


Laman web BERSIH dilaporkan telah disekat dari internet mulai lewat petang semalam. Pengguna penyedia perkhidmatan tertentu telah melaporkan tidak dapat mengakses laman web tersebut, dengan mendapat paparan halaman 404 yang menunjukkan laman web ini tidak boleh diakses.

Langkah itu ekoran amaran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) semalam bahawa semua laman web yang "menggalakkan" perhimpunan yang dirancang hujung minggu ini untuk mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak meletak jawatan, akan disekat dengan mendakwa "laman web itu boleh mengganggu-gugat kestabilan negara".

Bagaimanapun halaman error yang dihadapi oleh para pengguna sejak semalam itu, tidak membawa sebarang disclaimer SKMM untuk menunjukkan satu sekatan rasmi dan tidak semua alamat DNS terjejas.

Malaysiakini sedang berusaha untuk menghubungi SKMM bagi mengesahkan sama ada error itu adalah kerana sekatan rasmi.

Perhimpunan ini akan diadakan pada hari Sabtu ini di Kuala Lumpur dan juga di Kuching serta Kota Kinabalu.

Pengkritik telah membidas kerajaan atas tindakan tersebut. Seorang pemimpin Umno, bekas timbalan menteri Datuk Saifuddin Abdullah, turut mengkritik tindakan SKMM itu.

Ini adalah kali kedua dalam tempoh tiga bulan selepas SKMM menyekat sebuah laman web terkemuka apabila ia menghentikan akses tempatan ke laman web Sarawak Report dengan mendakwa laporannya tentang skandal 1MDB skandal tidak mempunyai bukti lapor Malaysiakini


-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...