Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Ahli UMNO Sertai Bersih 4 Kerana Ketirisan BN

Posted: 29 Aug 2015 08:00 AM PDT


Bekas calon Ketua Umno Bahagian Kota Belud, Sabah pada 2013, Amsor Tuah sanggup terbang ke ibu negara pada malam Jumaat untuk menyertai Perhimpunan Bersih 4.0 yang berlangsung kira-kira 2 petang Sabtu.

Amsor tiba di Kuala Lumpur dari Kota Kinabalu pada pukul 11 malam Jumaat.

Ahli Umno berusia 46 tahun itu berkata, beliau menyertai perhimpunan berkenaan kerana tidak berpuas hati dengan sikap kepimpinanan tertinggi Barisan Nasional (BN) negeri itu.

"Saya bukan datang untuk mendesak perdana menteri untuk letak jawatan. Saya datang mewakili suara rakyat Sabah yang sehingga hari ini masih terpinggir dengan arus permodenan.

"Perdana menteri kata berbilion dana disalurkan untuk memberi manfaat kepada rakyat tapi penduduk di kampung tak dapat apa-apa. Masih ada lagi kampung yang tiada bekalan air bersih. Jadi ke mana dana berbilion ringgit itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Leboh Pasar di sini.

Amsor tewas kepada penyandang Ketua Umno Bahagian Kota Belud, Datuk Dr Salleh Tun Said Keruak yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia pada pemilihan Umno bahagian dua tahun lalu.

Beliau yang juga tenaga pengajar di Akademi Bina Malaysia (Wilayah Sabah) CIDB Inanam menegaskan, tidak takut sekiranya keahliannya dilucutkan kerana menyertai perhimpunan tersebut.

"Saya tak takut (kena pecat), saya mewakili suara rakyat. Biar mereka tengok kad keahlian saya. Saya tak tipu, saya ahli Umno yang sah," kata Amsor sambil menunjukkan kad keahlian Umno miliknya lapor mStar


Tun Mahathir Dan Isteri Hadiri #Bersih 4, Teruskan, Teruskan Katanya

Posted: 29 Aug 2015 06:33 AM PDT


Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur kira-kira jam 7.30 malam tadi bersama isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali untuk menyertai peserta perhimpunan Bersih 4 yang berkumpul sejak siang hari ini.

Kehadirannya di situ menimbulkan kekecohan dan orang ramai mula mengelilinginya sebaik saja beliau turun daripada kenderaannya.

Bekas perdana menteri itu pada awal hari ini ketika ditemui di Johor Baru berkata beliau masih mempertimbangkan sama ada akan menyertai Bersih 4 yang menuntut perubahan dalam institusi negara itu atau tidak. Dr Mahathir berkata beliau datang ke Dataran Merdeka untuk "melihat" situasi di situ.

"Teruskan, teruskan," katanya dan meninggalkan perhimpunan itu tidak lama kemudian.

Dr Siti Hasmah juga memberitahu wartawan: "Ini kuasa rakyat."

Anaknya, Datin Paduka Marina Mahathir serta-merta menulis di akaun Twitternya: "love ya, dad!!" (sayang ayah!!).

Kira-kira setengah jam kemudian, Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menulis di laman Facebook dan Twitter beliau:

"Saya tidak tahu Tun M hadir, jika tidak sudah pasti saya ingin menemani Tun M. Beliau negarawan!!!" lapor The Malaysian Insider


Tak Salah Pakai Baju Bersih 4, Kata Bekas Hakim

Posted: 28 Aug 2015 11:00 PM PDT


T-shirt kuning tertera logo Bersih 4 tidak termasuk dalam kategori penerbitan seperti yang digariskan dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, dan peserta perhimpunan tidak melanggar undang-undang dengan memakainya, kata seorang bekas hakim Mahkamah Persekutuan.

Datuk Seri Gopal Sri Ram bagaimanapun berkata, peserta perhimpunan boleh melanggar undang-undang sekiranya membawa bahan-bahan seperti kain rentang atau risalah dengan Bersih 4 tercetak di atasnya.

"Penerbitan perlulah dalam bentuk media cetak atau elektronik dalam bentuk kekal atau sementara," katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata demikian sebagai jawapan balas kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengharamkan penggunaan T-shirt kuning dengan perkataan Bersih 4 di atasnya, dalam apa sahaja bentuk, sebelum perhimpunan bermula di tiga bandar utama Malaysia hari ini.

Sebuah gazet yang ditandatangani menteri semalam dan berkuatkuasa hari in menyatakan yang arahan tersebut dibuat berdasarkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Kawalan Penerbitan tidak Diingini) (No.22) Order 2015 menyenaraikannya sebagai "dilarang sama sekali di seluruh Malaysia" bahan-bahan berikut:

"Sebarang pakaian kuning yang mengandungi perkataan 'Bersih 4' dan "Mana-mana bahan cetak dan risalah yang menggalakkan perhimpunan Bersih 4".

Salinan arahan tersebut di Gazet Kerajaan Persekutuan boleh dilihat atas talian. Ia bertarikh 27 Ogos dan berkuatkuasa hari ini (28 Ogos).

Arahan tersebut menyatakan "percetakan, import, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengedaran, pengedaran atau pemilikan barang-barang ini mungkin "memudaratkan ketenteraman awam", "dan juga kepada keselamatan dan kepentingan negara" lapor The Malaysian Insider


Interpol Tolak Permohonan 'Red Notice' Polis Malaysia

Posted: 28 Aug 2015 08:13 PM PDT


Polis Antarabangsa Interpol menolak permohonan polis Malaysia supaya mengeluarkan notis merah terhadap Editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown.

Notis merah sama seperti dengan waran tangkap antarabangsa di mana negara-negara ahli dimaklumkan mengenai individu yang mahu untuk ekstradisi.

Dalam surat kepada NGO Fair Trial International, Setiausaha Agung Interpol Jurgen Stock mengesahkan menolak permohonan pihak berkuasa Malaysia.

Dalam surat itu, Stock berkata kebiasaannya Interpol tidak mengulas mengenai kes tertentu atau melibatkan individu.

Bagaimanapun, berdasarkan signifikan laporan akhbar mengenai kes itu, beliau mengesahkan bahawa pihaknya ada menerima permohonan notis merah untuk Clare Rewcastle Brown daripada pihak berkuasa Malaysia.

"Sejajar dengan prosedur operasi standard kami, satu kajian semula telah dijalankan dan, pada 9 Ogos permintaan untuk notis merah itu telah ditolak," kata Stock.

Menurutnya lagi, semua 190 negara anggota dimaklumkan keputusan itu dan dinasihatkan supaya tidak menggunakan saluran Interpol berhubung kes itu dan juga memohon untuk mengeluarkan sebarang data daripada database negara mereka.

Surat tersebut bertarikh 27 Ogos kepada Ketua Eksekutif Fair Trials International Jago Russell, sebagai maklumbalas kepada pertanyaannya pada 25 Ogos.

Clare, seorang wartawan penyiasatan yang berpangkalan di UK, telah membuat liputan berhubung dakwaan salahguna 1MDB milik negara Malaysia dan deposit berbilion ringgit kepada Perdana Menteri Datuk Najib Abdul Razak.

Pada 4 Ogos lalu, polis Malaysia telah memperolehi waran tangkap terhadap Clare yang dikehendaki untuk siasatan atas dakwaan menjalankan kegiatan yang memudaratkan demokrasi berparlimen lapor Malaysiakini


-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...