Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


AS$1 bilion lagi dari 1MDB hilang dakwa Abu Dhabi lapor WSJ

Posted: 18 Sep 2015 02:40 AM PDT


Sepuluh hari selepas muncul tuduhan kehilangan bayaran AS$1.4 bilion (RM6.02 bilion) daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada anak syarikat pelaburan Abu Dhabi pada November 2014, Wall Street Journal (WSJ) hari ini melaporkan AS$1 bilion lagi masih belum ditemui.

Pegawai di sana cuba menjejak AS$993 juta yang dilaporkan dibayar 1MDB kepada International Petroleum Investment Co (IPIC), kata WSJ.

Akhbar harian perniagaan itu pada 9 September melaporkan IPIC, syarikat pelaburan negeri Emiriah Arab Bersatu menjamin AS$3.5 juta bon yang dikeluarkan 1MDB untuk membiayai pembelian loji jana kuasa pada 2012.

Sebagai balasan, IPIC ada opsyen untuk membeli 49% pegangan dalam loji jana kuasa itu dan juga sebagai cagaran bagi bon berkenaan.

1MDB melaporkan ia membayar semula IPIC AS$1 bilion, manakala pihak IPIC berkata tidak menerima bayaran kedua. Dana pelaburan negara itu berkata, akaun kewangannya yang diaudit dan ditandatangani oleh Deloitte, termasuk dengan AS$1.4 bilion yang didakwa hilang itu.

Pada Isnin, pendakwa persekutuan Switzerland berkata Malaysia bersetuju untuk mengaturkan penyiasat Switzerland menemubual saksi dalam siasatan mereka berhubung tuduhan rasuah dan penggubahan wang haram berkait dengan 1MDB.

Tuduhan hari ini menambah kepada masalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, memandangkan 1MDB adalah ilhamnya dan mengumpul hutang lebih RM42 bilion dalam tempoh 6 tahun beroperasi.

Rakyat Malaysia memilih untuk berdemonstrasi di jalanan pada 29 dan 30 Ogos lalu dalam perhimpunan Bersih 4 mendesak peletakan jawatan Najib susulan skandal 1MDB dan isu RM2.6 bilion diterima daripada penderma Timur Tengah terus ke akaun peribadinya menjelang pilihan raya umum pada 2013.

Pada Rabu, perhimpunan 'baju merah' diadakan sebagai tindakan balas terhadap Bersih 4 dan untuk menunjukkan sokongan kepada Najib lapor The Malaysian Insider


Hukum perjuangan berasaskan Bangsa oleh Dr Asri

Posted: 17 Sep 2015 11:00 PM PDT


Allah ialah tuhan untuk semua manusia tanpa mengira bangsa. Islam adalah agama Allah yang diutuskan agar dianuti oleh setiap bangsa tanpa sebarang diskriminasi.

Dalam masa yang sama Islam akui kewujudan manusia berpuak dan berbangsa. Allah Tuhan Yang Maha Pencipta telah menciptakan manusia dalam keadaan demikian dengan hikmah yang begitu banyak. Di sini saya sebut beberapa perkara untuk memahami isu ini;

Tiada siapa yang mampu menentukan bangsanya sebelum dia lahir sama ada untuk dia menjadi Arab, atau Melayu, atau Inggeris atau India atau selain itu. Ia adalah ketentuan Allah, bukan atas usaha atau kejayaan seseorang. Maka hakikat ini mestilah difahami supaya kita tidak menyalahkan atau menghina seseorang atas sebab bangsa atau keturunannya kerana itu bukan pilihan atau kesalahannya. Sebaliknya kita menilai seseorang berdasarkan perbuatan dan akhlaknya. Inilah sikap yang adil. Dosa keturunan tidak ditanggung oleh anak cucu. Dosa seseorang tidak boleh dibebankan atas orang lain yang sebangsa dengannya yang tidak terlibat dengan kesalahan itu. Allah menjelaskan prinsip ini dalam al-Quran (maksudnya):

"Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain. dan tiadalah Kami (Allah) mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah). (Surah al-Isra, ayat 15).

Maka, perjuangan apapun yang mahu ditegakkan, hendaklah menilai setiap insan berdasarkan kepada akhlaknya, bukan titih keturunannya. Keadilan dalam Islam buta warna bangsa dan agama sekalipun. Keadilan untuk semua. Sabda Nabi SAW:

"Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang Arab ke atas 'ajam (yang bukan arab), atau 'ajam ke atas Arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan" (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).


Jika hal ini tidak diteliti, perkauman akan berlaku. Akan ada pihak yang teraniaya hanya kerana keturunannya walaupun mungkin dia tidak bersalah. Diskriminasi seperti ini pernah berlaku di Amerika, sehingga Martin Luther King. Dalam pidatonya yang terkenal 'I have a dream' beliau menyebut:

"I have a dream that my four little children one day live in a nation where they will not be judged by the colour of their skin but by the content of their character".

Tujuan Allah menciptakan berpuak dan berbangsa agar saling kenal mengenali antara satu sama lain. Firman Allah (maksudnya):

"Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya. (Surah al-Hujurat: 13).

Lihat dalam ayat ini, Allah memanggil "Wahai manusia!". Panggilan yang sangat adil merangkumi setiap bangsa dan puak. Bukan panggil perkauman atau fanatik keturunan. Kata Sayyid Qutb dalam mentafsirkan ayat ini:

"Penciptaan manusia berbagai bangsa dan suku puak bukan untuk berperang dan bergaduh, tetapi untuk berkenalan dan bermuwafakat. Perbezaan bahasa, warna kulit, tabiat, perangai, kelebihan dan kemampuan adalah kepelbagaian yang bukan bertujuan untuk perbalahan dan perkelahian. Sebaliknya, untuk bantu membantu dalam menunai tanggungjawab dan keperluan. Tiada bagi warna kulit, jenis bangsa, bahasa, negara segalanya itu nilai dalam timbangan Allah. Sebaliknya, di sana hanya satu timbangan yang menentukan nilai dan kelebihan manusia, iaitu 'Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu'. (Fi Zilal al-Quran 6/3348. Kaherah: Dar al-Syuruq).

Di samping itu, kita hendaklah tahu bahawa setiap mukmin itu bersaudara tanpa mengira bangsa dan puak. Hak-hak persaudaraan Islam telah ditentukan oleh Allah dan rasul-Nya. Nilai persaudaraan ini hendaklah sentiasa kita pegang. Perbezaan keturunan dan bangsa tidak boleh menjejaskan hal ini. Inilah asas perpaduan yang terpenting. Inilah perpaduan yang menyelamatkan kita dunia dan akhirat. Firman Allah (maksudnya):

"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (Islam), dan janganlah kamu berpecah-belah; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu dahulunya bermusuh-musuhan, lalu Allah menyatukan di antara jantung hati kamu, maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu bersaudara (persaudaraan Islam). Dan kamu dahulunya berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu darinya (disebabkan nikmat Islam). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya. (Surah Ali 'Imran ayat 103).

Setelah kita faham dan beriman dengan asas-asas yang disebutkan di atas. Bertindak berteraskan asas ini, maka tidaklah menjadi kesalahan jika kita dalam masa yang sama berusaha memajukan bangsa atau keturunan kita dengan syarat kita tidak menzalimi dan menghina kaum yang lain.

Dalam Islam pun, harta pusaka juga diwarisi oleh kaum keluarga. Kita juga disuruh menghubungkan silaturrahim sesama keluarga dan al-Quran juga menyuruh kita membantu keluarga di sudut harta. Firman Allah (maksudnya):

"Maka (sebagai tanda syukur) berikanlah kepada kaum kerabatmu, miskin dan orang musafir akan haknya masing-masing; pemberian yang demikian adalah baik bagi orang-orang yang bertujuan memperoleh keredhaan Allah dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. (Surah al-Rum, ayat 37)

Nabi SAW juga memuji sikap tolong menolong dalam memajukan atau membantu kaum atau puak sendiri, dengan syarat tidak menzalimi puak yang lain. Sabda Nabi SAW:

"Sesungguhnya kaum al-`Asy`ariyin apabila habis bekalan mereka dalam peperangan, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ertinya, walaupun Islam menentang asabiyyah namun Islam tidak menentang usaha membantu dan memartabatkan kaum sendiri, jika ada keperluan ke arah itu dan tidak membawa kepada pemusuhan antara puak dan kaum.

Adapun asabiyyah sebenarnya adalah sikap berpuak yang membawa kepada membelakangkan kebenaran dan kezaliman kepada kepada pihak lain. Sikap fanati puak itu mungkin menjelma dalam bentuk bangsa, ataupun parti politik, atau mazhab, atau kumpulan atau apa sahaja yang fanatik dan menolak kebenaran orang lain. Sabda Nabi SAW:

"Sesiapa yang berperang di bawah rayah 'immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada 'asabiyyah atau marah kerana 'asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah". (Riwayat Muslim).

Rayah 'immiyyah (bendera kebutaan) adalah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil, namun membela atas dasar ketaksuban.

Ertinya, jika ada ciri demikian maka itu 'asabiyyah yang dilarang; sama ada perjuangan parti atau perjuangan kaum. Maka, bukan sahaja perjuangan politik bangsa boleh menjadi asabiyyah, perjuangan atas nama Islam jika fanatik dan menolak kebenaran hanya kerana keputusan parti juga boleh dinamakan asabiyyah.

Usaha memartabatkan kaum bukan prinsip perjuangan tetapi keperluan yang dilakukan apabila keadaan mendesak seperti yang berlaku kepada kabilah al-Asy'ariyyin dalam hadis di atas. Sebab itu al-Quran bukan sahaja menyebut membantu kaum kerabat yang susah, tetapi juga membantu golongan miskin, orang musafir yang kesusahan tanpa dikaitkan dengan kaum kerabat atau bangsa.

Kesimpulannya; prinsip Islam mengatasi segalanya termasuk isu bangsa. Perjuangan bangsa jika bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam yang disebutkan tadi adalah diharamkan. Namun, usaha memartabatkan bangsa jika tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam seperti prinsip persaudaraan Islam, keadilan untuk semua dan tidak menghina bangsa lain, maka ia diizinkan, bahkan terpuji.

DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN


Akhirnya pemimpin UMNO akui himpunan ‘baju merah’ demi selamatkan Najib, bukan Melayu

Posted: 17 Sep 2015 08:23 PM PDT


Beberapa pemimpin akar umbi Umno melihat himpunan 'baju merah' yang berlangsung pada Rabu lebih kepada mempertahankan kuasa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan bukannya maruah kaum Melayu.

Bercakap kepada The Malaysian Insider semalam mereka berkata, perhimpunan itu dianjurkan penyokong setia Najib untuk menunjukkan presiden Umno berkenaan masih mendapat sokongan ahli parti.

"Pada masa sama himpunan itu juga mahu mencari kambing hitam untuk masalah yang timbul kebelakangan ini.

"Najib dan konco-konconya terdesak untuk mencari pesalah dan kambing hitam berkaitan isu yang timbul," kata ahli Umno Cawangan Keliang, Hulu Selangor Moohamad Faizal Abdul Raub merujuk kepada serangan terhadap DAP dan kaum Cina secara umumnya.

Najib berdepan krisis keyakinan dan kepercayaan disebabkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan terbaru berkaitan derma RM2.6 bilion mengakibatkan ramai ahli Umno sendiri berpaling daripadanya.

Najib juga dikritik badan anti rasuah asing pada forum Anti Rasuah Antarabangsa di Putrajaya yang dihadiri 1,000 peserta dari 30 negara.

Faizal berkata, isu dihadapi Umno pada ketika ini disebabkan kelemahan kepimpinan Najib dan skandal kewangan dihadapinya.

Penganjur himpunan mengatakan ia dianjurkan sebagai reaksi balas terhadap perhimpunan Bersih 4 yang diadakan di Dataran Merdeka selepas beberapa peserta dilihat memijak gambar Najib dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Aktivis Umno dari Pokok Sena, Ramli Yunos bersetuju dengan Faizal himpunan baju merah bertujuan mempertahankan Najib di mana pimpinan yang hadir diketahui adalah penyokongnya seperti Datuk Ahmad Maslan dan Tan Sri Annuar Musa.

"NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang hadiri juga dipimpin parti dan yang friendly Barisan Nasional.

"Malah mereka ini juga yang menyokong kepimpinan Najib walaupun himpunan tersebut disulami dengan isu bangsa dan kepentingan Melayu," kata Ramli.

Ramli berkata, tidak dinafikan lagi sememangnya himpunan itu dihadiri dari kalangan Umno sendiri dan ia boleh dilihat daripada ucapan pemimpin yang hadir semasa himpunan baju merah itu.

Ahli Umno Tenggara Asrul Esreen Mohd Salleh pula mengatakan himpunan yang berlangsung semalam seolah-olah mahu menunjukkan Najib yang berdepan krisis dalam partinya masih mempunyai sokongan kuat walhal hakikatnya akar umbi sudah tidak lagi mempercayainya.

Asrul turut mempertikaikan tujuan sebenar himpunan baju merah itu dengan menyifatkan mesej yang cuba disampaikan tidak jelas.

"Motifnya tidak jelas, adakah ia untuk orang Melayu atau untuk Najib? Atau adakah untuk Jamal (Datuk Jamal Mohd Yunus) yang merupakan penganjur himpunan tersebut?" katanya.

Beliau juga menganggap himpunan itu sebagai tidak berfaedah, sebaliknya berkata jika mahu menunjukkan kekuatan sebenar kaum Melayu lebih baik berkumpul di masjid sembahyang berjemaah.

Himpunan baju merah semalam dianjurkan kumpulan silat Melayu, Pesaka dan disokong beberapa pemimpin Umno dan NGO Melayu, adalah penegasan terhadap dominan kaum tersebut.

Walaupun ia berjalan dengan aman di Padang Merbok, terdapat unsur provokasi berbau perkauman dengan poster dan kain rentang semasa himpunan berlangsung.

Malah, peserta himpunan juga melalui kawasan yang dilarang pihak berkuasa iaitu di Plaza Low Yat dan kekecohan juga tercetus di Jalan Petaling apabila sekumpulan peserta bertempur dengan polis sehingga meriam air terpaksa digunakan.

Dalam himpunan tersebut, pemimpin NGO dan Umno menggesa supaya maruah kaum Melayu dipertahankan dan menyerang parti lawan, DAP kerana mencabar kesabaran orang Melayu.

Namun, Faizal menyifatkan hujah-hujah berbau perkauman tanpa fakta sudah tidak laku dan berupaya untuk mempengaruhi sentimen orang Melayu, sebaliknya penyokong Umno mahu semua persoalan dijawab dengan fakta dan angka.

"Gen Y sekarang nak cakap guna fact and figure. Mereka tidak mahu ada pusing-pusing," katanya lapor The Malaysian Insider


-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...