Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Setelah dibebaskan dari tahanan, Jamal dakwa kenyataannya telah diputar belit..

Posted: 26 Sep 2015 09:30 AM PDT


Pengerusi Gabungan NGO Melayu, Datuk Jamal Md Yunos yang ditahan polis semalam berhubung kenyataannya tentang rusuhan di Jalan Petaling telah dibebaskan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di sini, malam tadi.

Jamal yang memakai kemeja-T serta topi berwarna hitam dibebaskan pada kira-kira jam 8.30 malam, disambut oleh penyokong-penyokongnya yang sudah mula berkumpul di luar balai polis itu pada awal petang Sabtu.

Sejurus keluar dari balai polis, Jamal mula dikerumuni oleh penyokongnya dan mereka berdoa beramai-ramai.

Jamal berkata walaupun bersyukur beliau dibebaskan, penahanannya sangat mendukacitakan dan bersifat tidak wajar.

Katanya, ini kerana penahanannya adalah berasaskan kepada laporan media yang kurang tepat dari kenyataannya berhubung rusuhan di Jalan Petaling yang dibuat pada 23 September.

"Hanya sebahagian daripada kenyataan saya diambil dan dihebahkan ... dan ini telah menyebabkan keadaan menjadi tidak selesa dan kelam kabut.

"Perkara ini bukan sahaja menyusahkan diri saya ... pada raya (Hari Raya Aidiladha) kedua saya ditahan. Juga menyusahkan pegawai-pegawai polis yang sepatutnya bercuti bersama keluarga dan terpaksa dikerah untuk menjaga (kawasan) Jalan Petaling, Bukit Bintang dan sebagainya.

"Saya daripada awal lagi mengatakan bahawa sayalah orangnya yang membantu polis untuk menyuraikan perhimpunan dan juga mereka yang merusuh pada 16 September di Jalan Petaling.

"Itu sebenarnya yang ingin saya sampaikan sebenarnya pada September 23 ketika saya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya berkenaan fitnah-fitnah yang dibuat terhadap saya di laman media sosial.

"Tetapi, laporan sesetengah media, media pro-pembangkang, telah pun mensensasikankan apa yang saya kata. Saya ingin memberi amaran kepada rakan-rakan media yang membuat laporan tidak tepat, akan berhadapan dengan tindakan undang-undang yang tegas dari saya.

"Dalam sehari dua ini saya akan membuat laporan berkenaan dengan laporan media tersebut," katanya di dalam satu sidang media di hadapan IPD Dang Wangi, sejurus selepas dia dibebaskan.

Jamal berkata dia hanya ingin membersihkan namanya kerana tidak terlibat dan bukan penganjur kepada dakwaan tentang penganjuran satu rusuhan hari ini.

"Saya berharap diwaktu-waktu yang akan datang pihak media ini akan lebih bertanggungjawab untuk mengeluarkan kenyataan bukan untuk memsensaikan apa yang dikatakan.

"Pihak peguam yang saya lantik sedang meneliti kenyataan asal saya dan apa yang mereka siarkan," katanya.

Jamal juga berkata beliau diberikan layanan yang baik semasa di dalam tahanan polis dan beliau faham bahawa itu adalah prosedur yang harus dijalankan.

Semalam, Jamal ditahan pada jam 9 malam tadi di IPD Ampang Jaya di bawah Seksyen 105 Kanun Keseksaan berkaitan perhimpunan di Jalan Petaling itu.

Seksyen 105 Kanun Acara Jenayah memberi kuasa penuh kepada polis untuk menangkap dan menahan sesiapa sahaja yang terlibat bagi mencegah jenayah daripada berlaku lapor AstroAwani


Himpunan baju merah disokong oleh Najib, Dr Mahathir kata..

Posted: 26 Sep 2015 07:38 AM PDT


Nada perkauman perhimpunan baju merah disokong Datuk Seri Najib Razak, kata Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini, dalam satu lagi serangan ke atas perdana menteri yang dilanda masalah itu.

Dr Mahathir berkata beliau merasakan, selepas menonton ucapan yang dibuat Najib mengenai perhimpunan tersebut, ia kelihatan seolah-olah presiden Umno itu menggesa peserta perhimpunan menunjukkan yang "orang Melayu boleh buat apa saja yang orang lain boleh buat".

"Saya tidak lihat orang lain menjerit seperti kumpulan baju merah itu menjerit, mereka bersifat perkauman.

"Saya berada di perhimpunan baju kuning, mereka tidak melaungkan tentang satu-satu kaum, mereka berkata perdana menteri mesti berundur, itu sahaja, tetapi perdana menteri berkata, 'kita boleh bersifat perkauman sepertimana mereka'," kata Dr Mahathir, merujuk kepada perhimpunan Bersih 4 di Kuala Lumpur pada 29 dan 30 Ogos yang dihadirinya.

Beliau juga berkata, jelas sekali perhimpunan baju merah di ibu negara pada 16 September itu mendapat sokongan kerajaan, kerana penunjuk perasaan pergi ke sana menaiki dalam bas Felda dan diberi wang dan makanan.

"Nampaknya kerajaan berada di sebalik perhimpunan itu, ramai daripada mereka orang Umno dan Felda.

"Jadi, hanya orang dalam kerajaan saja yang boleh berbuat begitu," katanya kepada media selepas berucap pada forum keamanan di Holiday Inn Melaka, anjuran Majlis Peguam negeri itu.

Terdahulu, ketika menjawab soalan daripada peserta forum mengenai kaum dan ketegangan agama di negara ini, bekas perdana menteri itu berkata, walaupun rakyat berbilang kaum di Malaysia hidup bersama dalam harmoni, kerajaan yang memerintah menggalakkan sentimen perkauman.

"Sedikit sebanyak, kita menerima perbezaan antara satu kaum dengan kaum yang lain tetapi apa yang saya lihat berlaku hari ini adalah, kerajaan sebenarnya menggalakkan sentimen perkauman, ini sangat sangat tidak baik," katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, negara ini boleh dikatakan aman sejak enam dekad yang lalu, kecuali ketika rusuhan kaum pada 1969

"Memanglah kita tidak berpeluk cium dengan satu sama lain, tetapi di sesetengah negara, untuk berjalan di jalanan pun tidak selamat.

"Tidak ada pertengkaran antara kaum, kita merasa aman dan kita membangun lebih cepat daripada banyak negara lain," katanya.

Beliau juga mengingatkan hadirin yang, generasi terdahulu sedar rakyat negara ini banyak perbezaannya, tetapi mereka mahu berkongsi kekayaan dan kuasa dengan cara yang adil.

"Pada mulanya, orang Melayu sebagai orang asal mahukan semuanya untuk dirinya sendiri. Mereka kata ini negara mereka, orang lain semua datang dari negara lain.

"Tetapi orang lain pun ada tuntutan mereka. Dan kalau kita ikutkan tuntutan semua orang, kita akan bergaduh sesama kita dan memusnahkan semuanya dan akhirnya tidak mendapat apa-apa. "Kita perlu beri sesuatu untuk dapat sesuatu," katanya.

Katanya, hakikat yang kaum yang berbeza hari ini masih tidak berpuas hati, bermakna perkara yang betul sudah dilakukan.

"Kalau kita dapati ada satu kaum yang terlalu gembira, itu tandanya kaum ini menjadi kesayangan," katanya disambut ketawa para hadirin.

Negarawan bersara juga mengakui kegagalannya dalam membuatkan semua orang menerima satu bahasa yang boleh menyatukan semua rakyat bersama.

Beliau bagaimanapun berkata, walaupun gam yang melekat rakyat Malaysia tidak sebegitu kuat, perpaduan dalam negara ini jauh lebih baik daripada banyak negara lain yang hanya mempunyai satu etnik saja lapor The Malaysian Insider


-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...