Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Kenyataan bekas Ketua Menteri Melaka berbaur hasutan, kata Dewan Diraja Selangor

Posted: 30 Sep 2015 07:34 AM PDT


Posting di laman Facebook bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik yang mendakwa Raja Muda Selangor memeluk agama Kristian adalah bersifat menghasut, kata Dewan Diraja Selangor hari ini.

Walaupun Rahim berulang kali memohon maaf kepada istana kerana perbuatannya yang melanggar tatasusila itu, Setiausaha Dewan Hanafisah Jais berkata, dakwaan tidak bertanggungjawab itu mengandungi unsur fitnah.

"Setelah membaca kandungan kenyataan yang dikeluarkan Rahim, Dewan Diraja Selangor berpendapat dan merumuskan kenyataan tersebut berbaur hasutan dan mempunyai unsur­unsur fitnah yang boleh membangkitkan perasaan benci umat Islam kepada Raja Muda dan Sultan Selangor," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rahim menerusi akaun Twitter dan Facebook beliau pada 25 September lalu mendakwa Sultan Selangor bakal bertemu ketua agama Katolik dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah bakal menukar agama kepada Katolik.

Beliau bagaimanapun menarik balik kenyataan itu yang menurutnya datang daripada laman web yang tidak disahkan kesahihannya.

Beliau juga memohon maaf sebanyak 3 kali sejak menarik balik kenyataan itu dengan permohonan maaf terkini dibuat semalam.

"Kenyataan beliau yang menyatakan Sultan Selangor akan bertemu Pope di Vatican City jelas merupakan pembohongan dan fitnah dan tidak seharusnya dikeluarkan beliau yang merupakan bekas ketua menteri dan timbalan menteri.

"Kenyataan beliau ini juga perlu dibanteras bagi mengelakkan umat Islam daripada terus mempercayai dan menyebarkan pembohongan dan fitnah ini yang boleh mengakibatkan mereka tergelincir menjadi golongan fasik," kata Hanafisah dalam kenyataan itu.

Rahim dalam kenyataannya memetik World Daily News Report, sebuah laman web satira, yang mendakwa Tengku Amir memeluk agama Katolik.

Beliau kemudian merakamkan kesedihannya berkenaan perkara itu yang menurutnya berlaku serentak ketika umat Islam yang menunaikan sedang haji terlibat dalam tragedi kematian di Mekah dan Arafah.

Menurut Hanafisah, ketua polis negara sendiri sudah mengesahkan berita itu palsu sejak ia mula viral tahun lepas lagi.

"Dewan Diraja melahirkan kekesalan kerana Rahim tiada langsung mengambil sebarang langkah menyemak terlebih dahulu kesahihan sebarang posting yang dibuat portal-­portal luar sebelum memberi pendapat dan komen beliau.

"Adalah amat mudah bagi beliau untuk membuat semakan bagi menentukan kebenaran berita berkenaan sekiranya beliau mempunyai sifat tanggungjawab," kata Hanafisah lagi.

Jelasnya lagi, Raja Muda Selangor kini menjalani latihan ketenteraan di United Kingdom dan akan menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila pulang ke tanah air.

"Dewan Diraja Selangor ingin memaklumkan Raja Muda ketika ini menjalani latihan pegawai kadet di Akademi Tentera di-­Raja Sandhurst, United Kingdom.

"Sekembalinya baginda ke negara, baginda akan ditauliahkan dalam perkhidmatan ATM," katanya.

"Dewan Diraja Selangor menyeru agar Rahim memberhentikan dengan serta-­merta segala tindak ­tanduknya menyebarkan berita palsu dan pembohongan ini," kenyataan Hanafisah dipetik.

Terdahulu, Hanafisah dan Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamed Munir Bani dilaporkan membuat laporan polis berhubung kenyataan Rahim itu lapor The Malaysian Insider


Gesa Salleh Man letak jawatan bukan pendirian PKR..

Posted: 30 Sep 2015 01:09 AM PDT


Dalam satu kenyataan media semalam yang telah diadakan di Pejabat Keadilan di Seberang Jaya oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang dan Wanita Keadilan Pulau Pinang yang kini mempunyai jawatan dalam kerajaan negeri supaya melepaskan jawatan sebelum hujung tahun ini. 

Menurut ketua AMK Pulau Pinang, Asrol Sani Abd Razak, ini adalah ekoran dari kenyataan Ketua Menteri telah mengisytiharkan Pulau Pinang sebagai kerajaan Pakatan Harapan.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang dan Wanita Keadilan Pulau Pinang menyokong penuh keputusan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang mengisytiharkan Pulau Pinang sebagai sebuah kerajaan Pakatan Harapan dokongan DAP, PKR dan Amanah.

"Saya mahu mereka (pemimpin Pas) melepaskan jawatan mereka, termasuk Salleh Man yang merupakan pemimpin Pas. Mereka diberi tempoh sehingga hujung tahun ini," kata Asrol.

Asrol turut menyentuh mengenai kedudukan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) yang kini disandang oleh pemimpin Pas akan digantikan dengan pemimpin dari PKR yang kini sedang memegang jawatan sebagai timbalan tersebut apabila tempoh jawatan berkenaan akan tamat hujung tahun ini.

Asrol yang ditanya pemberita adakah perkara ini telah dibawa ke pihak atasan memaklumkan, pihaknya telah membuat surat mengenai jawatan tersebut dan akan mengadakan satu mensyuarat bagi membincangkan mengenai perkara tersebut.

Itu adalah apa yang telah dilaporkan oleh sebuah portal berita semalam..

Berikut adalah kenyataan media pihak AMK dan Wanita KeAdilan Pulau Pinang sebagai pengesahan portal yang melaporkannya tidak memutar belit ayat..

Cuma perenggan terakhir tidak ditekankan... baca dan fahamkan apa yang ditekankan pada perenggan terakhir itu..


Berikut adalah jawapan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bila ditanya mengenai perkara ini..

"Itu adalah pandangan peribadi mereka bukan pendirian parti,"  
"Mereka (PKR Pulau Pinang) ini 'isolated' jadi, ia hanya kenyataan mereka. Tapi ia tidak menjejaskan (hubungan PKR dengan Pas) kerana kita masih lagi meletakkan Datuk Salleh Man di tempatnya...tidak menjejaskan apa-apa.  
"(Kenyataan seperti itu memburukkan keadaan?) Kitakan parti terbuka, bolehlah jika nak cakap luahkan isi hati," katanya

Memandai-mandai rupa-rupanya AMK dan Wanita Penang ni..


MCA dan GERAKAN minta DAP bertaubat

Posted: 29 Sep 2015 11:55 PM PDT


Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan MCA mahu parti DAP bertaubat dan meminta maaf kerana menjadi dalang mencetuskan api perkauman semasa perhimpunan BERSIH 4.0.

Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng berkata, perhimpunan itu jelas dirampas sepenuhnya oleh DAP dengan niat buruk mencapai agenda politik mereka melalui kuasa demonstrasi jalanan.

"Demonstrasi BERSIH 1, 2 dan 3 sebelum ini tidak menerima apa-apa tindak balas politik kerana sentimen perkauman dan keagamaan tidak diusik. Dalam BERSIH 4.0 yang didalangi DAP para penyokongnya memijak gambar pemimpin Melayu (Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang).

"Selain itu, mereka (penyokong DAP) buat istiadat pengebumian, memukul gambar guna penyapu dan ia menyinggung emosi orang Melayu," ujarnya pada sidang media bersama Ketua Biro Agama MCA, Datuk Ti Lian Ker di sini hari ini.

Menurut Teck Meng yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, tindakan itu mencetuskan tindak balas berbau perkauman iaitu perhimpunan baju merah pada 16 September lalu.

Malah ada peserta dalam Himpunan Melayu Bersatu itu memegang sepanduk supaya menghapuskan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang padanya juga akan mencetuskan rasa kurang senang kaum Cina.

"Kami juga ingin menegur pelampau demonstrasi baju merah kerana ada dalam kalangan mereka juga membuat perkara yang berbau perkauman seperti kes Petaling Street," jelasnya.

Dalam pada itu, Lian Ker memuji tindakan Polis Diraja Malaysia kerana bertindak tegas ke atas dalang kedua-dua perhimpunan sama ada BERSIH 4.0 dan baju merah.

"Kami ingin mengingatkan penyokong DAP dan baju merah supaya menghentikan tindakan negatif mereka dengan segera dan pihak berkuasa perlu ambil tindakan tegas," katanya.--MalaysiaGazette


-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...