Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


PAS Perak sebulat suara desak Nizar, Mujahid letak jawatan

Posted: 11 Oct 2015 08:00 AM PDT


Mesyuarat Badan Perhubungan PAS Perak hari ini sebulat suara mendesak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Datuk Mujahid Yusof Rawa yang kini berjuang atas tiket Parti Amanah Negara (Amanah) meletak jawatan mereka dalam PAS.

Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria berkata Mujahid yang merupakan ahli Parlimen Parit Buntar diisytihar sebagai naib pengerusi Amanah manakala Nizar iaitu ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Changkat Jering sebagai ahli jawatankuasa Amanah pusat dan timbalan pengerusi Amanah Perak.

Beliau berkata mengikut perlembagaan PAS, keahlian seseorang ahli parti akan terhenti dan perlu mengosongkan atau meletak jawatan sebagai Adun atau ahli Parlimen yang dimenangi sekiranya mereka menyertai parti lain, isytihar keluar parti dan hilang keahlian kerana dipecat.

"Mereka ini (Mujahid dan Nizar) bertanding pada pilihan raya umum ke-13 atas tiket PAS dan menandatangani perjanjian dengan Badan Perhubungan PAS Perak dan pusat. Sekiranya mereka melompat parti atau keluar daripada parti, mereka hendaklah mengosongkan atau meletak jawatan sebagai Adun atau ahli Parlimen," katanya dalam sidang media di Ipoh hari ini.

Dalam kontrak perjanjian atau baiah mereka bersumpah dengan nama Allah akan meletak jawatan sekiranya menyertai parti lain. Di Kelantan pula ada tambahan iaitu sekiranya mereka berbuat demikian, sumpah baiah talak 3 ke atas isteri mereka terpakai secara automatik, katanya.

Razman menyifatkan tindakan Mujahid dan Nizar adalah tidak amanah dan tidak berintegriti apabila memegang sesuatu jawatan yang diamanahkan.

"Pendirian parti (PAS) kini ialah mengarahkan seluruh ahli tidak terlibat dengan sebarang aktiviti yang dianjurkan parti Amanah," katanya.

Ditanya sama ada PAS Perak memanggil kedua-dua mereka untuk memberi keterangan, Razman berkata perkara itu tidak perlu kerana secara terang mereka menyerang parti secara terbuka.

Mengenai kedudukan Nizar sebagai ketua pembangkang Perak, Razman berkata beliau masih lagi diiktiraf memegang jawatan itu kerana ia di luar bidang kuasa PAS dan bergantung kepada majoriti sokongan Adun.

"Selagi tiada cadangan dari mana-mana parti untuk gugurkan dia sebagai ketua pembangkang, maka dia masih diiktiraf memegang jawatan itu. Buat masa ini PAS Perak belum bangkitkan sama ada menyokong Nizar sebagai ketua pembangkang atau sebaliknya," katanya.

Pada 31 Ogos lepas, Pengerusi Gerakan Harapan Baru Mohamad Sabu mengumumkan parti Amanah digunakan sebagai nama rasmi wadah politiknya.

Mat Sabu turut mengumumkan jawatankuasa Amanah, yang diketuai beliau sebagai pengerusinya, Ahmad Awang sebagai penasihat umum, bekas naib presiden PAS Salahudin Ayub sebagai timbalan pengerusi, Mujahid sebagai naib pengerusi, Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud sebagai ketua wanita, dan Mohd Sany Hamzan sebagai ketua pemuda lapor Bernama

'Hantu dan 'jin' DAP mungkin telah menumpang dalam badan Pemuda MCA - Jamal

Posted: 11 Oct 2015 05:40 AM PDT


Kenyataan-kenyataan daripada Pemuda MCA kini seolah-olah mereka 'dirasuk' dengan jin DAP.

Itu disifatkan oleh Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md. Yunos merujuk kepada komen sayap pemuda parti komponen Barisan Nasional itu berhubung isu 1MDB.

"Mereka telah mempertikaikan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri. Kenyataan mereka ini seolah-olah mereka langsung tidak membaca atau meneliti kenyataan-kenyataan daripada pihak kerajaan yang telah banyak kali menjelaskan dan menerangkan tentang isu 1MDB ini," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Jamal yang juga Pengerusi NGO Selangor memberitahu, pimpinan Pemuda MCA nampaknya lebih terpengaruh dengan dakyah pihak pembangkang yang memutarbelit isu berkenaan.

"Saya tidak tahu mengapa perkara sebegini boleh terjadi. Adakah pihak kepimpinan MCA yang ada dalam kalangan mereka merupakan menteri dan timbalan menteri tidak menerangkan mengenai status dan keadaan sebenar atau mereka enggan bercerita perkara yang sebenar diperingkat akar umbi," ujarnya lagi.

Sebagai parti komponen dalam BN, Jamal berkata, mereka seharusnya selari dan sepakat bukan menjadi "gunting dalam lipatan".

"Pada pengamatan saya, mungkin juga Pemuda MCA ini telah dirasuk oleh hantu-hantu jin DAP yang telah menguasai mereka sehingga mereka tidak boleh menerima jawapan-jawapan dan penjelasan daripada Kerajaan.

"'Hantu dan 'jin' DAP ini mungkin juga telah menumpang dalam badan mereka sekian lama dan sering kali membisikkan keraguan kepada kerajaan," katanya.

Justeru, beliau menasihatkan pimpinan Pemuda MCA supaya 'berubat' pada kadar segera.

"Saya berharap, agar Pemuda MCA dan kepimpinan MCA mengambil berat perkara ini demi kebaikan parti," katanya.--MalaysiaGazette


Hilang MyKad denda RM1000 mulai 15 Oktober ini..

Posted: 11 Oct 2015 02:30 AM PDT


Orang ramai yang hilang kad pengenalan bermula 15 Oktober ini, kini perlu membayar lebih apabila kadar bayaran bagi penggantian kad pengenalan yang hilang akibat kecuaian akan dinaikkan, kata Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (Dasar Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Adenan Ab Rahman.

Beliau berkata bayaran bagi kehilangan kali pertama kekal pada kadar RM100, manakala kehilangan kali kedua dinaikkan daripada RM200 kepada RM300 dan bagi kehilangan kali ketiga dan seterusnya dinaikkan kepada RM1,000, berbanding RM300, sebelum ini.

"Pengecualian kadar bayaran diberikan kepada orang kurang upaya, fakir miskin, warga emas berumur 60 tahun ke atas, mangsa bencana, kes jenayah seperti kecurian, samun dan ragut serta remaja warganegara Malaysia berusia bawah 18 tahun," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, kenaikan bayaran itu adalah sebahagian daripada penambahbaikan prosedur penggantian MyKad berikutan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang menunjukkan kadar kehilangan MyKad akibat kecuaian dari 2010 hingga September 2015 adalah 1,356,135 kes.

"Kaedah pelaksanaan penambahbaikan prosedur ini tidak akan mengambil kira sejarah kehilangan kad pengenalan sebelum ini dan kadar bayaran baharu hanya akan bermula pada tarikh kuat kuasa prosedur ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Adenan berkata, selain kenaikan bayaran itu, prosedur penggantian MyKad turut diperketatkan dengan garis panduan baharu.

Katanya, bagi permohonan gantian hilang kad pengenalan kali pertama, pemohon boleh terus ke kaunter JPN, manakala bagi permohonan kali kedua dan seterusnya, pemohon hendaklah membuat laporan polis mengenai kehilangan tersebut sebelum memohon di kaunter JPN.

"Permohonan gantian hilang kad pengenalan kali ketiga dan seterusnya akan disiasat terlebih dahulu sebelum kad pengenalan gantian dikeluarkan," katanya.

Tambahnya, semua permohonan gantian hilang kad pengenalan akan dikeluarkan dengan Dokumen Pengenalan Sementara sebelum kad pengenalan gantian dikeluarkan.

Adenan berkata selaras dengan Peraturan 6, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, setiap orang yang dikeluarkan kad pengenalan adalah bertanggungjawab menjaga kad pengenalan tersebut dan hendaklah memastikan ia berada dalam keadaan baik lapor Astro AWANI


Keluarga kanak-kanak Orang Asli hilangi dilayan teruk dakwa Aktivis

Posted: 10 Oct 2015 10:00 PM PDT


Hakikatnya inilah lumrahnya hidup.. yang miskin selalunya dipandang hina yang kaya raya walaupun kekayaannya itu datang dari sumber yang belum tentu halal disanjung..

.. Kepentingan, layanan kebajikan dan belas kemanusiaan buat keluarga mangsa kanak-kanak Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi yang hilang sejak 23 Ogos lepas tidak dijaga dengan baik oleh pihak bertanggungjawab.

Perkara itu dinyatakan oleh aktivis hak asasi manusia dan peguam Siti Zabedah Kasim, melalui status akaun Facebooknya pada Sabtu.

Dalam menghargai usaha untuk mencari dan menyelamat kanak-kanak tersebut, menurutnya, dia menyaksikan banyak aspek nilai kemanusiaan lain yang perlu diberi perhatian memandangkan dia ada bersama keluarga mangsa sejak hari pertama.

"Sejak hari pertama, tiada sesiapa peduli pada kebajikan keluarga mangsa. Tiada makanan atau minuman disediakan kepada mereka," ujarnya yang pada kebanyakan masa berulang-alik antara hospital dan balai polis di Gua Musang.

Memandangkan berdepan kekangan akses internet, Siti terpanggil untuk meminta bantuan kumpulan sokongannya untuk menguar-uarkan panggilan derma dan sumbangan buat keluarga mangsa.

Midah yang bertarung dengan pelbagai perasaan dilihat terpaksa disorong dengan kerusi roda kerana keadaan persekitaran yang sesak
Siti turut mempertikaikan peranan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang menurutnya kurang proaktif untuk menawarkan bantuan yang sewajarnya buat keluarga mangsa.

"Di mana JAKOA? Mereka ada di lokasi tetapi tidak menawarkan keluarga dan orang kampung apa-apa. Saya dan kumpulan sokongan terpaksa memikirkan sendiri soal makanan, penginapan dan persalinan pakaian kerana keluarga mangsa tidak membuat persiapan untuk bermalam di Gua Musang.

"Sejak penemuan kedua jasad mangsa, mereka terpaksa tinggal lebih lama," kata Siti yang berpendapat pegawai khusus diperlukan untuk menjaga kebajikan keluarga mangsa seperti makanan, tempat tinggal sementara dan pengangkutan.

Siti mendakwa, aduan telah dibuat kepada pihak berkuasa di Ibu Pejabat Polis Gua Musang mengenai perkembangan maklumat yang tidak disampaikan kepada keluarga mangsa. Namun, dia kecewa apabila jawapan yang diberikan adalah 'keutamaan dalam insiden itu hanya untuk menyelamatkan kanak-kanak'.

"Ya, saya setuju tentang itu. Tapi, jika mereka ada masa untuk membuat sidang media, mengapa tidak ada waktu untuk menjelaskannya kepada keluarga mangsa.

"Ibu kepada Ika meratap hiba apabila hanya ditunjukkan pakaian dan bukan jasadnya, tapi dia tidak diberikan penerangan dan kata-kata sokongan. Dia juga murung dan tidak lalu makan," jelas Siti.

Dakwa Siti, dalam satu insiden lain, Midah Angah iaitu ibu kepada Norieen Yaakob, 10 salah seorang daripada dua kanak-kanak yang ditemukan selamat di dalam banir sebatang pokok di tebing Sungai Perias semalam, telah dihalang dan ditolak ke tepi ketika mahu mendekati anak yang dikeluarkan dari ambulans.

Mujur Midah sangat kuat dan telah menjerit menegakkan hak untuk bertemu anaknya.

"Itu adalah contoh pihak berkuasa yang gagal menunjukkan empati kepada keluarga. Ini berlaku sejak hari pertama. Keluarga mangsa tidak diberi pendekatan kaunseling, maklumat dan dibiarkan sendiri.

Midah (berbaju jingga) sedaya upaya cuba menjenguk anaknya yang tiba dengan ambulans tetapi dikatakan telah dihalang oleh petugas perubatan dan anggota keselamatan
Sewaktu dihubungi melalui khidmat pesanan ringkas, Siti baru sahaja hendak memasuki semula ke Pos Tohoi untuk memantau perkembangan terkini.

"Adakah mereka dilayan secara berbeza kerana mereka bukan golongan yang terbang dengan pesawat? Atau kerana mereka miskin atau golongan yang dilupakan?" tegas Siti lapor Astro AWANI


Bangkai Pesawat MH370 Di Dakwa Di Temui Di Pulau Selatan Filipina

Posted: 10 Oct 2015 08:30 PM PDT


Polis Sabah menerima laporan yang mendakwa sebuah bangkai pesawat yang mempunyai bahagian dicat bendera Malaysia ditemui di sebuah pulau di selatan Filipina.

Laporan itu dibuat oleh seorang lelaki yang mengatakan bahawa bangkai yang dikesan terdapat rangka manusia di bahagian dalamnya ditemui oleh anak saudara lelakinya dari kepulauan Tawi Tawi, di Pulau Ubian di selatan Filipina beberapa hari lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, lelaki berkenaan membuat laporan di balai polis Sandakan pada Sabtu.

"Perkara ini sedang disiasat," katanya menerusi satu pesanan teks kepada The Star.

Dalam laporan yang dibuat lelaki itu yang merupakan juruteknik audio visual berusia 40-an berkata, anak saudara lelakinya bersama beberapa yang lain sedang memburu burung apabila menemui bangkai pesawat di pulau itu.

Mereka mendekati bangkai pesawat berkenaan yang kemudiannya menemui tulang manusia. Mereka turut menjumpai rangka manusia di kerusi juruterbang dengan tali pinggang keledar yang masih dipasang.

Mereka kemudiannya mengambil sebuah bendera yang ditemui di dalam bangkai pesawat tersebut sebelum meninggalkan kawasan itu.

Lelaki tersebut mengatakan bahawa dia memaklumkan kepada polis mengenai bangkai pesawat itu mungkin milik pesawat yang hilang tahun lalu.

Pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang pada Mac tahun lalu dalam penerbangannya dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Insiden itu mencetuskan salah satu pencarian terbesar untuk sebuah pesawat yang menumpukan selatan Lautan Hindi.

Pada bulan lalu, pihak berkuasa Perancis mengesahkan satu serpihan sayap ditemui di pantai Pulau Reunion di Lautan Hindi yang telah dikenali pasti sebagai sebahagian daripada bangkai pesawat MH370 lapor mStar


-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...