Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Tol naik: Artis pun merungut..

Posted: 16 Oct 2015 06:37 AM PDT


Beban akibat kenaikan kadar tol beberapa lebuh raya mulai semalam bukan saja merimaskan orang ramai dan ahli politik, tetapi nampaknya turut menaikkan kemarahan penyanyi Andy Flop Poppy. 

Dalam status dimuat naik Andy menerusi akaun Facebooknya, dia mengaitkan isu berkenaan dengan jemputan persembahan yang dianjur oleh kerajaan.

Menurut Andy, ada ketika tertentu apabila dijemput untuk membuat persembahan di jabatan kerajaan, dia sering kali tidak mendapat peruntukan yang memuaskan.

Alasan sering diberikan, katanya, ialah peruntukan yang ada tidak mencukupi. "Bila kerajaan panggil aku buat persembahan untuk majlis, memanjang beri alasan jabatan tidak ada bajet besar.

"Ini saja yang ada Encik Andy, boleh lah," tulisnya menceritakan pengalaman sendiri.

Dan atas dasar itu, Andy berkata, dia juga 'bercadang' mahu menggunakan alasan sama - iaitu dirinya "tidak ada bajet" - ketika perlu membayar kadar baru tol di lebuh raya.

"Boleh tak aku buat macam tu kat tol kau..." katanya lagi.

18 syarikat konsesi

Bagaikan tidak dapat membendung perasaan itu, Andy turut menyalahkan serta mempersoalkan tindakan yang dianggap menyusahkan rakyat itu.

"Bagaimana pihak yang berkenaan menggalas tanggungjawab mereka? "Ini mahu bunuh rakyat ke apa?" katanya.

Kadar baru tol bermula semalam dinaikkan syarikat konsesi lebuh raya selepas mendapat kebenaran daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia.

Sebanyak 18 syarikat konsesi lebuh raya utama di Lembah Klang mengumumkan kenaikan itu dibuat pada kadar antara 10 sen hingga RM6.


Laluan yang terlibat adalah Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak (KLK), Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Sistem Penyuraian Lebuhraya Kajang (Silk), Lebuhraya Duta - Ulu Kelang (Duke) dan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong (Smart).

Turut mengumumkan kenaikan tarif adalah Lebuhraya KL - Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), Lebuhraya Pantai Baru (NPE), Lebuhraya Kajang - Seremban (LEKAS), Lebuhraya Damansara - Puchong (LDP), Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint) dan Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga).

Suatu ketika dulu antara menteri yang paling kerat dikritik adalah Datuk Seri S Samy Vellu yang juga bekas Presiden MIC.

Andy kemudian sempat mengenang bagaimana Samy Vellu 'menguruskan' kenaikan tol ketika berkhidmat sebagai menteri kerja raya.

"Ini (kenaikan terbaru) naik bukan sikit-sikit. Samy Vellu dulu pun naik (tol) gak, tapi 10 sen 20 sen je. Ni sampai separuh," katanya.

Kancil bergegar dek motosikal

Sementara itu pelakon dan penyair Pyanhabib juga tidak mahu ketinggalan menyindir kerajaan kerana menaikkan kadar bayaran tol.

Menggunakan judul "Nota kepada menteri jaga tol" Pyanhabib menulis: Tahukah kamu, kamu tidak adil kepada pengguna yang melalui laluan bertol? Berapakah cc (nilai pacuan enjin) bagi sebuah kereta Kancil? Berapakah cc bagi sebuah motosikal berkuasa tinggi yang memotong Kancil sampai bergoyang di lebuh raya?

"Kancil yang ada masanya terhegeh-hegeh tumpang lalu di lebuh raya kamu kenakan tol tetapi motosikal berkuasa tinggi pelbagai jenama yang berdesup laju itu, kamu percumakan saja. Tidak berjihad langsung!

"Buat Zahid Hamidi: Adilkah apabila kamu mahu meminta Najib Razak kurangkan cukai motosikal berkuasa tinggi dalam Bajet 2016?" lapor Malaysiakini


“Perjanjian terlampau bodoh” punca tol naik dakwa DAP

Posted: 16 Oct 2015 01:00 AM PDT


DAP menyifatkan kenaikan harga tol hingga 200 peratus di 18 lebuh raya bermula semalam berpunca daripada "perjanjian terlampau bodoh" dengan syarikat konsesi.

Anggota parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata apa yang berlaku juga hasil perjanjian berat sebelah yang tidak memberi kelebihan kepada kerajaan.

"Kenaikan harga tol bukan kerana kerajaan persekutuan mengalihkan perbelanjaan pampasan tol kepada bidang lain, tetapi akibat perjanjian terlampai bodoh yang ditandatangani dengan syarikat konsesi," katanya.

Pua berkata, terdapat kontrak diberikan tanpa tender yang didakwa menguntungkan "kroni" parti memerintah.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan malangnya terus mengamalkan langkah sama dalam pemberian kontrak lebuh raya.

"Oleh itu kita boleh jangkakan semua lebuh raya sedia ada dan pada masa akan datang akan terus mencekik pengguna kenderaan di Malaysia dengan kadar tol akan naik lebih drastik," katanya lagi.

Kerajaan berpendapat tidak harus terus menanggung pampasan sangat tinggi yang dibayar kepada syarikat konsesi lebuh raya dalam usaha mengekang kenaikan kadar tol.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata kerajaan terpaksa membayar pampasan RM510 juta (Januari-Oktober) tahun ini susulan keputusan menangguhkan kenaikan kadar tol yang sepatutnya dilaksanakan Januari lalu lapor Malaysiakini


Ucapan Maal Hijrah Najib umpama Ketam mengajar anaknya berjalan lurus..

Posted: 15 Oct 2015 11:00 PM PDT


Datuk Seri Najib Razak menasihati kita semua supaya mengenal apa itu Islam yang sebenar agar kita tidak terpedaya dengan segala gejala yang menentang Islam itu sendiri.

Saya amat tertarik dengan ucapan beliau semasa menyambut kedatangan tahun baru hijriah 1437 semalam. Saya sangat merasa bingung dengan apa yang diucapkan beliau kerana apa yang diucapkan beliau itu adalah benar belaka tetapi persoalannya adakah beliau sendiri melaksanakan tuntutan Islam itu sendiri.

Beliau menyeru supaya kita orang Islam tidak membenarkan tersebarnya pengaruh tempatan dan antarabangsa untuk memecahkan Islam dan beliau berjanji untuk memajukan negara berlandaskan islam sebagai nadi pentadbiran beliau.

Ucapan itu adalah ucapan yang disediakan tetapi beliau patut menyedarkan diri beliau sendiri yang beliaulah yang sangat perlu membuat 'soul searching' dan menilai diri sendiri samada segala elemen dalam pentadbiran beliau itu semuanya berlandaskan Islam. Adalah tidak mencukupi jika beliau hanya membaca teks yang tersedia tetapi segala isi kandungan teks ucapan beliau itu sesungguhnya diarah dan ditujukan kepada beliau sendiri.

Setahu saya yang tidak begitu mahir tentang agama ini ingin juga bertanya kepada Najib, adakah membazirkan wang rakyat dan tidak berusaha untuk memperbaiki keadaan pentadbiran negara itu adalah unsur agama kita yang suci? Adakah menyalahgunakan kedudukan dan mempermainkan rakyat dengan berbagai tipu helah sebagaimana yang dipersepsikan rakyat terhadap beliau itu merupakan satu unsur Islam?

Adakah menggunakan pengaruh sebagai perdana menteri dengan menjadi orang yang penting dalam syarikat kerajaan dengan mengambil keputusan dalam semua hal perniagaan dan kewangan 1MDB itu berunsurkan agama Islam suci kita?

Adakah dengan mengubah dan melakukan 'displacement' terhadap jawatankuasa penyiasat terhadap 1MDB itu satu dari tuntutan agama kita? Menggagalkan usaha penyiasatan kerana untuk menutupi kesalahan diri sendiri itu adalah sangat bertentangan dengan kehendak Islam itu sendiri.

Melakukan tindakan untuk mencari kebenaran dengan menukar serta menganjak dan mengalih pegawai penyiasat itu tidak perlu mendengar nasihat pakar agama kerana orang yang begitu tidak begitu mengerti dan memahami agama dengan mendalam ini pun tahu tindakan itu salah dan bertentangan dengan agama kita. Orang yang tidak mendalami ilmu agama pun tahu yang makan rasuah itu adalah kerja yang lebih hina dari memakan daging saudaranya sendiri.

Kita hendak menyebut ini kerana beliau adalah pemimpin. Jika orang percaya dengan kata-kata beliau ini maka orang ramai akan beranggapan yang Islam membenarkan dan bebas menyalahgunakan wang rakyat tanpa had. Kita khuatir orang ramai akan terpedaya dengan kata-kata beliau yang membuang pegawai kerajaan kerana takut rakyat mengetahui segala dosa dan noda kepimpinan itu dibenarkan Islam.

Kita tidak mahu Islam itu dianggap sebagai agama yang mempertahankan kesalahan dan menjunjung kegagalan. Kita juga tidak mahu Islam itu dianggap sebagai agama yang menekan sesiapa yang ingin mencari kebenaran dan menangkap dan membawa mereka di depan penghakiman dan berniat untuk menutupi kesalahan sendiri.

Perpecahan yang disentuh Najib itu juga merupakan perkara yang benar, tetapi Najib perlu tahu yang salah satu dari penyebab perpecahan itu berpunca dari ketidak yakinan rakyat terhadap kepimpinan beliau. Rakyat jelas mahu beliau berhenti sahaja dari memikul tanggungjawab negara tetapi beliau bertindak membelakangkan tekanan rakyat ini. Di sebaliknya beliau menggunakan pemimpin-pemimpin yang sudah tertutup hijab mereka untuk menyokong beliau walaupun itu bukannya sokongan rakyat.

Sempena kedatangan tahun baru hijriah ini elok kita ingatkan Najib dan penyokong beliau seperti Tan Sri Shahrir Samad dan lain-lain yang mereka perlu melakukan sesuatu untuk kebaikan diri mereka sendiri yang salah satu tuntutan ketuhanan ialah untuk kita berjaya membuka hijab kita agar kita akan mampu menentukan dan menilai yang mana yang hak dan mana yang batil. Jika kita berjaya membuka hijab kita maka kita tidak akan mendengar Shahrir mengalihkan isu dari berusaha menyelesaikan masalah kepada membuat tuduhan terhadap pengkritik Najib itu sebagai kumpulan yang mempunyai agenda peribadi.

Jika hijab mereka terbuka mereka akan memberikan tumpuan yang lebih bagi mencari penyelesaian dengan meneliti tentang isu 1MDB dan isu 'derma' yang berbillion yang masuk ke dalam akaun peribadi perdana menteri. Pengerusi Kelab Backbencher Parlimen Malaysia itu sepatutnya membuat penyelidikan kenapa wang 'derma' yang dipindahkan ke Singapura itu disitar pihak penguasa negara itu. Selidiklah isu ini dengan teliti sebagai seorang ahli legislatif yang bertanggungjawab, bukannya menurunkan darjat beliau setahap dengan Datuk Ahmad Maslan, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Najib perlu memberikan penjelasan kenapa beberapa orang individu yang terlibat dalam pemindahan wang secara haram seperti Nik Faizal dan Datuk Subuh sekarang sudah menjadi 'fugitive' negara. Sharir sepatutnya bantu rakyat untuk mencari mereka ini dan memberikan penjelasan kenapa mereka perlu melarikan diri jika tidak terlibat melakukan kesalahan seperti yang dituduh rakyat itu? Kenapa perlu lari keluar negara jika tidak bersalah?

Pendeknya apa yang disebut Najib dalam ucapan beliau itu semuanya benar, tetapi seluruh ucapan dan nasihat yang terkandung dalam ucapan beliau itu sesungguhnya adalah nasihat untuk beliau sendiri.

Sementara itu ramai yang memberikan pandangan yang ucapan beliau itu meloyakan. Setengah yang lain berpendapat ia seperti ketam menyuruh anak berjalan dengan betul. Terpulanglah, timbang-timbanglah sendiri. – aspanaliasnet.blogspot.my


Sakit hati Saifuddin keluar UMNO, Ku Nan anggapnya macam sampah?

Posted: 15 Oct 2015 05:30 PM PDT


Umno tidak akan terjejas dengan tindakan bekas ahli Majlis Tertingginya Datuk Saifuddin Abdullah yang menyertai PKR hari ini kerana beliau sebelum ini tewas pada Pilihan Raya Umum ke-13, kata Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Setiausaha agung Umno itu berkata, PKR dialu-alukan mengambil bekas timbalan menteri pengajian tinggi itu kerana beliau berpendapat Saifuddin tentunya seseorang yang "bermasalah".

"Saifuddin bersama kita sebelum ini dan dulunya ahli Parlimen Temerloh. Kami letak dia bertanding dalam pilihan raya dulu dan dia kalah. Pastinya beliau seorang yang bermasalah," kata menteri Wilayah Persekutuan itu.

"Malah, rakyat di Temerloh pun tak nak dia, jadi anda (PKR) boleh ambil dia. Kami tak nak dia. Kami tak nak semua sampah ini dalam Umno," katanya di Putrajaya.

"Umno tidak ada kesan bila dia (Saifuddin) pergi. Moga Allah merahmatinya dan moga Allah merahmati PKR," kata Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai Ku Nan, sinis.

Saifuddin hari ini mengumumkan meninggalkan Umno dan menyertai parti pembangkang PKR, memetik cara Putrajaya mengendalikan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi perdana menteri sebagai punca membuat keputusan itu.

Saifuddin juga meletakkan sebagai alasan, kurangnya kesungguhan parti Melayu pemerintah itu melaksanakan perubahan politik dan pembaharuan institusi – 2 perkara yang dekat di hatinya.

Katanya, walaupun ada parti lain yang turut mempunyai platform pelbagai kaum, Saifuddin berkata beliau tertarik hati dengan PKR.

Selain itu, katanya, pakatan pembangkang berkongsi matlamat dan cita-cita sama, iaitu memperjuangkan Malaysia yang lebih baik.

Dengan langkah terbaru ini, bekas ahli Parlimen Temerloh itu akan melepaskan jawatannya sebagai ketua pegawai eksekutif di Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) lapor The Malaysian Insider


-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...