Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Dr. Maza mengulas larangan guna pembesar suara selain azan di Masjid Pulau Pinang

Posted: 02 Oct 2015 05:30 AM PDT


Soalan: Dato' Dr MAZA, telah timbul bantahan sesetengah pihak terhadap bacaan kuat selain azan yang dilaungkan di masjid. Ia dikatakan mengganggu mereka yang berdekatan. Isu ini membawa kemarahan sesetengah umat Islam atas nama mempertahankan masjid. Apakah pandangan Dr MAZA tentang hal ini? – Nasir, Penang.

Jawapan: Saya sememangnya ingin mengulas sedikit tentang isu bacaan-bacaan –selain azan- yang menggunakan pembesar suara sehingga mengganggu orang ramai ini. Bacaan ini telah mengelirukan orang bukan muslim sehingga mereka menyangka ia azan. Sesetengah pihak cuba mempertahankan amalan tersebut atas alasan ia bacaan al-Quran atau zikir yang patut diagungkan. Mereka menyangka sikap keras mereka dalam hal ini adalah 'perjuangan mempertahankan Islam'. Saya ingin mengulas hal ini seperti berikut;

1. Apa yang Islam syariatkan untuk diangkat suara, hanyalah azan. Adapun selain dari itu, tiada nas yang menyuruh kita menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain. Bahkan perbuatan itu dilarang oleh Nabi s.a.w. Apatah lagi dalam Islam ketenteraman orang lain dipelihara melainkan jika ada pengecualian tertentu yang diizinkan oleh syarak.

2. Walaupun bacaan al-Quran dan zikir amatlah baik. Namun kita tidak boleh dipaksa orang lain mendengar bacaan kita. Mungkin orang lain ingin membacanya sendiri, atau ingin membacanya pada waktu lain, atau mereka sedang sakit atau ada anak kecil yang tidur, atau mereka tidak difardukan solat seperti wanita yang haid atau bukan muslim dan lain-lain.

3. Ramai orang bukan muslim keliru antara azan dan bacaan-bacaan selain azan yang dilaungkan menerusi corong pembesar suara. Mereka menyangka bacaan-bacaan itu adalah azan yang disuruh oleh Islam, lalu mereka bersangka buruk dengan Islam yang harmoni ini. Apatah lagi bacaan itu mengambil masa yang lama, sedangkan azan yang sebenar tidak lebih dari lima minit.

4. Sebenarnya, Nabi s.a.w sendiri telah melarang orang menguatkan bacaan al-Quran dalam masjid sehingga mengganggu jamaah lain. Dalam hadis Nabi s.a.w, kata Abu Sa'id al-Khudri:

اعْتَكَفَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْمَسْجِدِ، فَسَمِعَهُمْ يَجْهَرُونَ بِالْقِرَاءَةِ، فَكَشَفَ السِّتْرَ، وَقَالَ: «أَلَا إِنَّ كُلَّكُمْ مُنَاجٍ رَبَّهُ، فَلَا يُؤْذِيَنَّ بَعْضُكُمْ بَعْضًا، وَلَا يَرْفَعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَعْضٍ فِي الْقِرَاءَةِ

"Ketika Nabi s.a.w beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi s.a.w berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda: "Ketahui setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat" (Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih).

Dalam hadis ini Nabi s.a.w melarang mengangkat suara bacaan di masjid sehingga menganggu mereka yang lain yang sedang beribadah, atau menyakitkan orang lain. Jika mereka yang berada dalam masjid yang memang bersedia untuk beribadah pun, tidak dibenarkan untuk diangkat suara bacaan sehingga mengganggu konsentrasi mereka, mana mungkin untuk dikuatkan suara bacaan melalui pembesar suara sehingga menggangu mereka yang di luar masjid. Mungkin mereka itu mempunyai anak kecil, orang sakit dan seumpamanya.

5. Ulama besar di zaman ini, Al-Syeikh Muhammad Salih al-Uthaimin r.h mengulas hadis tadi dengan katanya: "Realiti hari ini menyaksikan apa yang disebut oleh hadis ini. Ini yang kita lihat mereka yang melakukan hal ini dengan menunaikan solat menggunakan pembesar suara (luar masjid). Mereka itu jika menyakiti sesiapa yang ada di sekeliling mereka, maka mereka berdosa..tiada syak lagi meninggal perbuatan ini lebih afdal yang pada hakikatnya tiada faedah pun, sebab insan tidak bersolat dengan mereka yang di luar masjid, sebaliknya dengan mereka yang berada dalam masjid..dengan itu kita berpesan kepada saudara-saudara kita, khususnya para imam masjid jangan lakukan ini..boleh jadi sesetengah orang telah solat dan perlu tidur dan berehat, boleh jadi dia sakit lalu terganggu dengan suara ini, boleh jadi juga masjid dekat dengan rumah, pada musim panas pula dan anak-anak kecil terganggu dengan bunyi pembesar suara. Kesimpulannya, masalah ini telah menimpa sesetengah orang sehingga mereka menyakiti jiran-jiran masjid atau rumah mereka dalam perkara yang tiada faedah baginya". (Ibn Uthaimin, Syarh Riyadh al-Salihin: http://www.ibnothaimeen.com/all/eBook-o.shtml). Bayangkan kenyataan ini dikeluarkan oleh ulama besar dan terbilang tersebut di negara Saudi Arabia yang penduduknya kesemuanya muslim. Bagaimanakah pula bagi negara yang seperti kita.

6. Ulama silam juga telah mengingatkan hal ini, bahawa bacaan-bacaan lain di menara-menara masjid adalah dilarang kerana boleh mengganggu orang ramai. Al-Imam al-Hafizd Ibn Jauzi (meninggal 597H) pernah berkata:"Antara tipu daya Iblis ialah mereka yang mencampur adukkan azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat. Mereka jadikan azan perantaranya lalu bercampur aduk. Para ulama membenci segala yang ditambah kepada azan. Banyak kita lihat orang yang bangun waktu malam lalu memberikan peringatan dan nasihat atas menara azan. Dalam kalangan mereka ada yang membaca al-Quran dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu bacaan orang yang bertahajjud. Kesemuanya itu adalah perkara-perkara munkar". ( Ibn Jauzi, Talbis Iblis, 159, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah).

Ini adalah larangan ulama pada zaman yang belum ada pembesar suara yang gangguannya tidaklah setakat mana, bagaimana jika mereka melihat keadaan pembesar suara pada zaman ini?

7. Maka, dengan itu umat Islam patut menghentikan bacaan-bacaan yang dibuat melalui pembesar suara yang boleh mengganggu orang luar dan dalam masjid. Mematuhi hal ini bukan kerana isu politik semata, tetapi itu arahan Nabi s.a.w. dan juga menjaga Islam yang harmoni. Suara-suara yang dikuatkan itu bukan menambahkan cinta mereka kepada Islam, sebaliknya menimbulkan salahfaham banyak pihak.

Setelah berpuluh kali Selasa.. Ini alasan terbaru Najib kenapa WSJ belum disaman..

Posted: 01 Oct 2015 11:00 PM PDT


Perdana Menteri Datuk Najib Abdul Razak ingin mengetahui sama ada akhbar Wall Street Journal (WSJ) akan memohon menggunakan Akta SPEECH sekiranya beliau memutuskan untuk menyaman syarikat penerbitan tersebut.

Akta SPEECH melindungi syarikat Amerika, khususnnya syarikat media, daripada berdepan penghakiman fitnah di luar negara itu, kata Peguam Najib, Datuk Mohd Hafarizam Harun.

Hafarizam berkata beliau telah menulis kepada Peguam Kanan Philip Jeyaretnam, yang mewakili WSJ, untuk bertanya sama ada akhbar yang berpejabat di Amerika Syarikat (AS) itu akan berbuat demikian.

"Jika saya menyaman WSJ dan saya dapat penghakiman mahkamah, dan sekarang saya mahu pergi ke AS dan mahu ia didaftarkan, syarikat AS itu akan berkata 'tunjukkan kepada saya bahawa kebebasan bersuara di Malaysia dan mahkamah adalah sepertimana kebebasan bersuara dan mahkamah di AS.

"Jadi saya tanya WSJ, jika saya saman anda, dan saya mendapatkan penghakiman di Malaysia, adakah anda akan mohon gunakan akta tersebut untuk melindungi anda daripada (penghakiman itu) dilaksanakan di AS?" katanya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Beliau seterusnya menjelaskan bahawa akta itu melarang penguatkuasaan penghakiman, sehingga Najib boleh menunjukkan bahawa mahkamah di Malaysia adalah bebas sepertimana mahkamah di AS dan kebebasan bersuara dan media juga sama standardnya.

"Saya tidak mahu memfailkan kes di Malaysia, dapatkan penghakiman, dan ia menjadi penghakiman atas kertas di AS kerana WSJ akan mengatakan bahawa ia akan guna Akta SPEECH itu.

"Bukankah itu satu usaha yang sia-sia?" soal Hafarizam

Najib bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap WSJ selepas akhbar itu menyiarkan laporan yang mendakwa bahawa RM2.6 bilion telah didepositkan ke dalam akaun peribadinya.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa dana itu dalam akaun Najib, dan sumbernya dari negara Timur Tengah.

Najib mendakwa bahawa wang itu adalah sumbangan politik lapor Malaysiakini



Persoalannya ialah.. Bukankah lebih baik jika Najib berterus terang saja bahawa saman terhadap WSJ itu tidak akan diteruskan langsung memandangkan dakwaan mengenai wang RM2,600 juta itu sudah pun diakui kebenarannya?

Habis cerita....dan tak perlu bersusah payah mencari macam-macam alasan lagi.


Polis akan ambil tindakan terhadap pihak anjur himpunan merah di P Pinang

Posted: 01 Oct 2015 08:11 PM PDT


Polis akan mengambil tindakan terhadap pihak yang menganjurkan perhimpunan Himpunan Merah Pulau Pinang yang didakwa akan diadakan di perkarangan Komtar, di George Town.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata setakat ini pihaknya tidak dimaklumkan berhubung perhimpunan berkenaan.

"Tiada pihak yang memohon permit untuk mengadakan perhimpunan berkenaan dan saya beri amaran kepada orang ramai agar tidak menghadirinya. Pihak polis akan mengambil tindakan sewajarnya jika perhimpunan itu diteruskan," katanya ketika dihubungi di George Town semalam.

Poster mengenai Himpunan Merah Pulau Pinang itu tersebar di beberapa blog dan laman sosial Facebook hari ini dan mendakwa ia bertujuan mendesak kerajaan negeri menarik balik larangan penggunaan pembesar suara di luar masjid dan surau di seluruh Pulau Pinang.

Perhimpunan itu dirancang diadakan esok di Komtar selepas solat Jumaat, bagaimanapun tiada pihak yang mengaku menganjurkannya.

Keputusan larangan menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau kecuali untuk azan dan iqamah di Pulau Pinang akan diwartakan tidak lama lagi.

Perkara itu dinyatakan melalui surat Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang bertarikh 1 Sept lepas berhubung keputusan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang bertarikh 1 dan 2 Julai dan disahkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 23 dan 24 Ogos lepas. 

Surat yang memetik cabutan minit Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang itu menyebut bahawa mesyuarat bersetuju agar Irsyad hukum yang diputuskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri bertarikh 7 April 2011 mengenai larangan membaca Al-Quran sebelum Subuh dengan menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau perlu ditambah baik dengan memasukkan larangan menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau bagi semua program seperti qiamulail, tahajud, kuliah, mesyuarat dan seumpamanya lapor Malaysiakini


Siapa Ramesh Rao mahu bersikap kurang ajar kepada Tun Dr Mahathir ?

Posted: 01 Oct 2015 05:30 PM PDT


"Saya minta Tun Mahathir menjalani pemeriksaan mental dengan segera, saya rasa beliau sudah gila, dulu tak sokong demonstrasi sekarang sokong, dulu tak sokong media asing sekarang sokong, dulu tak sokong undi tidak percaya sekarang sokong, ini sudah membutikan dia sudah gila.

"Dia (Mahathir) perlukan rawatan segera, orang kata kalau umur sudah lebih 60 tahun kepala menjadi sasau.

"Minggu lepas dia kata bila Najib sampai keluar negara dia akan ditangkap, jadi ini kenyataan orang-orang gila, kepala tak betul, kenyataan pun dan tak waras," kata Ramesh Rao dalam sidang media pada Khamis.

Persoalannya sekarang siapa dia Ramesh Rao ini untuk mempersoalkan Tun Mahathir yang walaupun aku tak suka tapi aku akui banyak sumbangannya untuk negara.

Apa sumbangan si Ramesh Rao ni kepada negara?.. ada ke?..

Jadi tak salahlah kalau Ketua UMNO Bahagian Cheras ni kata si Ramesh Rao ni tidak beradap dan angkuh..

Baca ni..

Umno bahagian Cheras memberi amaran kepada Pengerusi Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) Ramesh Rao yang dilapor mendakwa bersikap "kurang ajar dan biadap" menghina bekas perdana menteri Tun Dr Mahahtir Mohamad.

Ketua Umno bahagian itu Datuk Seri Syed Ali Alhabshee turut menasihat Ramesh supaya menjalani pemeriksaan mental sebelum membuat tuduhan palsu kepada negarawan itu.

"Siapa Ramesh Rao mahu bersikap kurang ajar dan biadap kepada Tun Dr Mahathir Mohamad? Apa jasa Ramesh Rao kepada kepentingan rakyat dan negara memang tidak boleh dibandingkan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Begitukah sikap seorang Pengerusi PMSP dalam menyampaikan pandangan dengan cara tidak beradab dan angkuh," tegas bekas senator itu dalam blognya hari ini.

Pada masa yang sama, Syed Ali memberi amaran kepada mana-mana pemimpin yang tiada kena mengena dengan Umno supaya tidak mecampuri urusan dalaman parti itu termasuk mencerca pemimpin banyak berjasa kepada rakyat dan negara.

Syed Ali mengulas kenyataan Ramesh yang dilapor oleh portal berita Free Malaysia Today bahawa beliau mendakwa dengan menasihati Dr Mahathir menjalani pemeriksaan mental setiap enam bulan sekali.

Laporan portal itu menyebut Ramesh mendakwa negarawan itu sudah gila setelah merestui perkara yang beliau sendiri menentang ketika menjadi perdana menteri.

Menulis dalam blognya hari ini, Syed Ali turut menempelak bahawa Ramesh tiada hak "mengeji dan menghina" tokoh yang banyak berjasa.

Manakala kritikan Dr Mahathir terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah pandangan peribadi, kata Syed Ali lagi.

"Saya menyifatkan kenyataan Ramesh Rao jelas membabi buta dan langsung tidak mengenang jasa Tun Dr Mahathir yang selama ini memperjuangkan kepentingan rakyat semua bangsa di negara ini.

"Kenyataan Ramesh Rao bukan melambangkan pemimpin yang mampu menyatukan rakyat pelbagai kaum di negara ini sebaliknya boleh dianggap prejudis kepada Tun Dr Mahathir Mohamad," katanyalapor Free MAlaysia Today

Yang aku tahu si Ramesh Rao ni cuma nak bodek Najib dan Rosmah.. sumbangannya kepada negara entahlah.. 


-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...