Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Yuran Universiti Dijangka Naik, Ekoran Najib Potong RM 1,4 Billion Dari Bajet..

Posted: 24 Oct 2015 08:45 AM PDT


Kadar yuran kemasukan ke universiti awam (UA) dijangka naik mulai tahun depan susulan tindakan kerajaan memotong peruntukan kepada UA seperti yang diumumkan dalam Bajet 2016.

Peratusan kenaikan yuran dijangkakan dalam lingkungan 20% untuk menampung defisit yang dialami oleh UA yang akan melibatkan 534,569 mahasiswa.

Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sim Tze Tzin berkata, pihak universiti juga mungkin menaikan yuran-yuran bukan akademik seperti yuran asrama, yuran pendaftaran, fi perkhidmatan dan sebagainya.

"Dalam keadaan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) dipotong, kenaikan yuran universiti akan menjadi sangat tidak popular di kalangan mahasiswa," katanya dalam kenyataan media.

Ahli Parlimen Bayan Baru itu berkata, dengan pemotongan teruk ke atas UA, UMNO/BN mungkin kehilangan sokongan mahasiswa.

Katanya, dalam Pilihan Raya Umum (PRU13), UMNO/BN hanya mendapat 46% sokongan orang muda dalam kategori umur 21-25.

Katanya, PKR membantah pemotongan bajet itu kerana ia merupakan satu tanggungjawab negara dan juga pelaburan yang bijak.

"Mengikut kajian OECD, pelaburan ke dalam pendidikan tinggi akan membawa pulangan yang tinggi kepada kerajaan. Secara purata, setiap Ringgit kerajaan melabur dalam pelajaran tinggi, kerajaan akan mendapat RM6 dalam bentuk cukai. Pelaburan dalam pendidikan tinggi akan mendapat Mutiplier effect yang tinggi. Ia juga mengurangkan masalah penggangguran kepada kerajaan," katanya.

Dalam Bajet 2016, sebanyak RM2.4 billion atau 15% telah dipotong daripada Kementerian Pengajian Tinggi.

Keseluruhannya, UA mengalami potongan bajet sebanyak RM 1,442,226,800 atau bersamaan dengan -16.5% berbanding Bajet 2015.

Sebanyak 19 daripada 20 UA mengalami potongan bajet dan Universiti Malaya (UM) mengalami potongan paling teruk sebanyak 27.3% - Free Malaysia Today



Muhyiddin dedahkan lepas pinjam RM2 Bilion dari Ananda, 1MDB nak pinjam lagi RM3 bilion..

Posted: 24 Oct 2015 07:29 AM PDT


Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan Putrajaya pernah cuba meluluskan suntikan dana sebanyak RM3 bilion untuk syarikat pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata, tindakan itu bagaimanapun gagal apabila Jemaah Menteri menolak cadangan berkenaan.

"Selepas pinjam (dari) T Anandha Krishnan RM2 bilion, nak pinjam lagi RM3 bilion. Berapa bilion kita nak pinjam ni?" soal Muhyiddin merujuk kepada RM2 bilion yang dipinjamkan hartawan itu bagi membantu 1MDB menyelesaikan hutang banknya.

"Berniaga apa macam ini, pinjam atas pinjam," katanya ketika berucap pada program Bicara Minda dan Sesi Dialog bertajuk 'Berani kerana benar' anjuran akhbar Sinar Harian di Johor Baru hari ini.

Julung-julung kali bercakap di hadapan umum selepas pemecatannya pada Julai selain platform parti, Muhyiddin yang juga timbalan presiden Umno berkata, syarikat itu kemudiannya hanya diberikan kredit tersedia sebanyak RM950 juta.

"Bila timbul hal begini, bila dibangkitkan kepada jemaah menteri, mulalah saya bangkitkan, saya nyatakan pandangan dan kebimbangan saya.

"Saya sebutkan berkali-kali, saya tidak ada niat jahat. Kerana nak membantu, supaya perdana menteri mencari jalan nak selesaikan keadaan itu. Kalau tidak, jadi beban kepada kita," katanya.

"Saya tidak pernah mendoakan 1MDB jatuh. Kalau mereka jatuh, kita akan jatuh... Pandangan saya ikhlas."

Beliau berkata, setiap pinjaman yang dipinjam dari bank oleh 1MDB akan menjadi beban kepada kerajaan dan menjadi tanggungan kepada generasi akan datang.

"Ini serius. Setiap pinjaman dari bank akan jadi tanggungan beban kerajaan. Dan kita terbeban kepada rakyat, anak cucu kita, yang akan menanggungnya kalau tidak diselesaikan," kata ahli Parlimen Pagoh itu lagi.

Beliau turut mendedahkan, pihaknya turut membuat permohonan kepada Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy supaya memberikan penjelasan kepada Kabinet, namun penerangan yang diberikannya agak mengecewakan.

"Saya minta kepada jemaah menteri, panggil Arul Kanda, berikan penerangan. Tetapi, beliau datang tidak bawa apa-apa pun.

"Bercakap dalam 10 hingga 15 minit. Sehelai kertas pun tiada," kata Muhyiddin.

The Malaysian Insider pada Februari tahun ini mendedahkan Kabinet tidak meluluskan cadangan untuk memberikan suntikan tunai sebanyak RM3 bilion kepada 1MDB.

Sumber berkata, pilihan semakin sempit untuk Kementerian Kewangan kerana 1MDB tidak lagi mampu mengumpul dana sendiri dan ia memerlukan wang daripada satu-satunya pemegang saham, iaitu kerajaan.

Dalam program hari ini, Muhyiddin berkata, pihaknya juga pernah menasihati Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya memecat mana-mana pegawai 1MDB yang gagal melaksanakan tugas mereka sehingga menyusahkan kerajaan.

"Saya cakap dengan perdana menteri, kalau 1MDB ini beri masalah, buang mereka. Sampai hari ini mereka tidak dibuang, saya yang kena buang," katanya.

Muhyiddin juga mendakwa, turut menasihati Najib supaya tidak lagi menjadi penasihat kepada 1MDB kerana sekiranya salah laku dikesan dalam transaksi syarikat itu, beliau akan turut menerima kesannya.

"Saya rasa itu tidak betul. Saya kata jangan duduk situ. Kalau ada apa-apa salah laku, (Najib) akan terlibat.

"Tapi dia duduk situ, macam mana nak siasat?" soalnya merujuk kedudukan Najib sebagai pengerusi lembaga penasihat 1MDB - The Malaysian Insider

Gelaran 'Datuk Seri' Kepada Khir Toyo Ditarik Balik

Posted: 24 Oct 2015 01:17 AM PDT


Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan penarikan balik darjah kebesaran yang membawa gelaran 'Datuk Seri' yang dikurniakan kepada bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo, berkuat kuasa 30 Sept lepas.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata penarikan Keahlian Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) Kelas Pertama yang dikurniakan kepada Dr Mohamad Khir pada 2001 diputuskan oleh baginda selepas berunding dengan Dewan Diraja Selangor.

Beliau berkata penarikan darjah kebesaran ini adalah berasaskan kepada keputusan Mahkamah Persekutuan pada 29 Sept lepas, yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 bulan diputuskan Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap Dr Mohamad Khir atas tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh tanah dan sebuah banglo di Shah Alam, lapan tahun lepas.

"Memandangkan Dr Mohamad Khir Toyo didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman atas kesalahan yang dipertuduhkan, maka beliau adalah seorang yang tidak lagi layak dan sesuai untuk memegang darjah kebesaran ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, beliau berkata Dr Mohamad Khir dilarang menggunakan darjah kebesaran serta gelaran 'Datuk Seri' dan pihak lain turut ditegah daripada memanggil beliau dengan gelaran berkenaan memandangkan ia telah ditarik balik.

Mohammed Khusrin berkata Sultan Selangor memandang berat terhadap reputasi penerima Darjah Kebesaran Negeri Selangor terutama dalam kalangan pemimpin negara dan negeri yang terlibat dalam mana-mana salah laku jenayah serta perlakuan tidak berintegriti seperti kesalahan rasuah, pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa.

Beliau berkata para penerima Darjah Kebesaran Negeri Selangor hendaklah melindungi martabat darjah kebesaran yang dipakai selain memelihara status penerimanya.

"Sehubungan itu, Duli Yang Maha Mulia menasihatkan semua penjawat awam di semua peringkat dan semua lapisan pemimpin, golongan profesional dan pemimpin korporat secara amnya, supaya tidak mudah terpengaruh dengan amalan penyalahgunaan kuasa ataupun membiasakan diri dengan budaya rasuah dalam kehidupan seharian yang impaknya boleh membawa kepada kemusnahan martabat kaum, bangsa, rakyat, agama dan negara," katanya. -- BERNAMA

Bimbang UMNO kalah PRU14, 13 Ketua UMNO Cawangan gesa Najib letak jawatan..

Posted: 23 Oct 2015 11:01 PM PDT


Walaupun tindakan mereka ini menjadi satu tamparan buat Najib kerana mungkin inilah yang pertama dalam sejarah seorang Presiden UMNO yang menjadi Perdana Menteri diminta secara terbuka meletakkan jawatan.. tetapi percayalah Najib tak akan undur punyalah..

Lagipun kalau nak dibandingkan dengan jumlah keseluruhan ahli UMNO yang menyokong Najib, jumlah mereka itu langsung tak menjadi kudis buat Najib..

UMNO kan ada 3,430,750 ahli dan 21,208 Cawangan.. setakat 12 Cawangan tu apalah sangat..

Tiga belas ketua Umno cawangan dari Telok Kemang, Negeri Sembilan hari ini mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Razak dan menggesa beliau meletakkan jawatan sebagai presiden bagi memulihkan kredibiliti parti itu sebelum pilihan raya umum akan datang. 
Di bawah pimpinan ketua Umno cawangan dari Taman TKK, Kamarul Aznan Habibur Rahman, mereka berkata, tiba masanya parti itu melakukan perubahan dan ia perlu bermula daripada presiden, Najib yang juga perdana menteri. 
"Kami berpendapat, adalah lebih baik presiden berundur untuk membolehkan Umno tidak menjadi mangsa keadaan dan dihukum pengundi pada pilihan raya yang akan datang. 
"Kebimbangan utama kami ialah, kita perlu mempunyai pemimpin yang kuat untuk mengemudi Umno pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). 
"Kami tak yakin apa yang ada sekarang akan beri perkembangan positif dalam PRU akan datang," kata Kamarul pada satu sidang media di Port Dickson, Negeri Sembilan hari ini.
Malaysia dijangka menghadapi PRU14 pada pertengahan 2018 lapor The Malaysian Insider

Sikit hari lagi kalau Najib hulur sikit dari dana RM2.6 Billion yang dia dapat.. senyap lah..


-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...