Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Buat laporan terhadap 1MDB bukan satu keganasan - Muhyiddin

Posted: 07 Oct 2015 08:58 AM PDT


Tan Sri Muhyiddin Yassin menyelar tindakan Putrajaya terhadap bekas ahli Umno, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2012 sedangkan beliau tidak melakukan jenayah keganasan.

Bekas timbalan perdana menteri itu turut mempersoalkan sama ada syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kini begitu kebal sehinggakan mereka yang membuat laporan terhadap syarikat pelaburan strategik Kementerian Kewangan itu dianggap satu keganasan.

"Saya juga berasa bimbang dengan tindakan pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang membuat laporan mengenai 1MDB.

"Yang terbaharu ialah penahanan Khairuddin di bawah Sosma 2012 semata-mata kerana tindakan beliau membuat laporan kepada pihak berkuasa di luar negara berhubung transaksi 1MDB.

"Seingat saya Sosma adalah satu undang-undang yang diluluskan Parlimen negara kita untuk membendung kegiatan keganasan," katanya dalam satu kenyataan yang dipetik daripada laman Facebook miliknya.

Beliau berkata, membuat laporan kepada mana-mana pihak berkuasa berkenaan transaksi sebuah syarikat swasta tidak boleh dianggap sebagai satu bentuk keganasan.

"Adakah tindakan membuat laporan kepada pihak berkuasa berhubung transaksi yang dibuat sebuah syarikat swasta merupakan satu kegiatan keganasan?

"Adakah 1MDB kini menjadi satu institusi yang kebal dan amat dilindungi pihak berkuasa negara kita? Saya tidak fikir begitu," katanya yang juga merupakan ahli Parlimen Pagoh.

Muhyiddin sebaliknya berkata, 1MDB juga seperti syarikat lain yang masih tertakluk kepada undang-undang negara.

"Membuat laporan terhadap 1MDB bukanlah satu kegiatan keganasan dan 1MDB bukanlah sebuah institusi yang kebal.

"1MDB adalah satu entiti yang tertakluk kepada undang-undang negara," katanya.

Susulan titah Majlis Raja-Raja menggesa Putrajaya mengambil tindakan terhadap pihak terbabit dalam isu 1MDB, Muhyiddin berkata rakyat yang khuatir perlu membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

"Maka pada hemat saya adalah amat wajar bagi warganegara yang prihatin menyuarakan kebimbangan mereka mengenai isu 1MDB atau membuat laporan kepada mana-mana pihak berkuasa supaya menyiasat setiap dakwaan terhadap 1MDB secara telus, adil dan berkecuali," katanya.

Beliau berkata, bukan seperti tindakan yang dilakukan Putrajaya terhadap Khairuddin, pengadu seharusnya diberi perlindungan dan bukannya dihukum.

"Mereka yang membuat laporan mengenai 1MDB sewajarnya mendapat perlindungan undang-undang dan bukan sebaliknya," katanya lapor The Malaysian Insider


Ahli Wanita UMNO disiasat SPRM berhubung dakwaan salah guna dana jutaan ringgit dana banjir..

Posted: 07 Oct 2015 06:21 AM PDT


Seorang ahli Wanita Umno Kelantan hari ini dipanggil bagi sesi soal siasat dengan pihak berkuasa anti-rasuah, berhubung dakwaan menyalahguna dana diperuntukkan untuk mangsa banjir negeri itu oleh agensi kerajaan.

Sumber rapat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, agensi yang terlibat adalah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri dan seliaan menteri di jabatan perdana menteri hal ehwal Islam.

Ahli Wanita Umno itu dipercayai menjawat jawatan tinggi dalam agensi berkenaan dan kenyataannya direkodkan pada petang Isnin oleh SPRM, kata sumber.

Sesi soal siasat hari ini yang dijalankan di Shah Alam, adalah kali kedua untuknya. Ahli Wanita Umno itu dilihat tiba pada jam 10.50 pagi ditemani seorang lelaki.

Difahamkan siasatan SPRM dilakukan berhubung dakwaan salah guna dana jutaan ringgit, salah guna kuasa dan pecah amanah.

SPRM turut dijangka menyoal siasat saudara-mara wanita itu termasuk pegawai kanan Yapeim bagi membantu siasatan.

Selain dakwaan membabitkan dana mangsa banjir Kelantan, SPRM juga melihat kebarangkalian salah guna kuasa membabitkan dana Yapeim untuk rumah di negeri itu.

Banjir Kelantan berlaku pada Disember tahun lalu merupakan antara yang terburuk dalam sejarah, menyaksikan 200,000 mangsa dipindahkan lapor The Malaysian Insider


Sanusi Junid kata kalau puji Mahathir tak dapat projek?

Posted: 06 Oct 2015 11:00 PM PDT


Tindakan pemimpin pembangkang untuk menggulingkan kerajaan melalui undi tidak percaya di Parlimen dan perhimpunan jalanan didakwa lebih selamat berbanding usaha untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak daripada jawatan Perdana Menteri.

Demikian kata pemimpin veteran Umno, Tan Sri Sanusi Junid sambil menyifatkan beliau kini dalam bahaya kerana menjadi penyokong kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang lantang mengkritik dan cuba menjatuhkan pentadbiran Najib.

"Sekarang ini, Mat (Mohamad) Sabu lebih selamat duduk di Malaysia daripada saya, pasal Mat Sabu dia nak guling kerajaan, itu OK.

"Yang tak boleh, saya ini orang Tun Mahathir...Tun Mahathir pula nak guling Perdana Menteri, itu salah.

"Mengguling kerajaan OK, tak boleh tangkap, jadi itulah masalah kita," katanya pada program Bicara Minda Sinar Harian yang bertajuk: Perpaduan: Kenapa kita masih keliru di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Sanusi juga mendakwa mana-mana pihak yang menyokong termasuk memuji tindakan Dr Mahathir itu boleh kehilangan projek daripada kerajaan.

"Sekarang ini, kita punya pemimpin hampir semua mencemarkan, (bila) kita asyik puji Tunku Abdul Rahman, orang pula serang dia, (bila) kita nak puji Tun Razak, takut anak dia untung, nak puji Tun Hussein Onn, takut anak dia untung.

"Jadi nak puji siapa? Sekarang nak puji Dr Mahathir, ada orang kata nanti tak dapat kontrak," ujarnya.

Sanusi berkata lagi, bangsa Melayu tidak akan selamat jika dakwaan mengatakan pakatan pembangkang membeli beliau dan Dr Mahathir itu benar.

"Kalau saya pembangkang boleh beli, kalau cina DAP boleh beli saya, saya ingat tiada Melayu boleh selamat, saya yakin sangat (saya masih) sayangkan Melayu ini.

"Kalau Dr Mahathir nak ikut pembangkang, saya ingat orang yang bercakap itu kena pergi periksa otak dia dengan doktor, sebab dia tak kenal (Dr Mahathir)," katanya lagi lapor Sinar Harian


Berdosa fitnah Najib jumpa PM Israel kata Sharizat

Posted: 06 Oct 2015 08:11 PM PDT


Perbuatan menyalahgunakan teknologi maklumat untuk membuat dakwaan palsu terhadap pemimpin negara adalah perbuatan berdosa.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizal Abdul Jalil berkata, sejak akhir-akhir ini kepimpinan negara sering menjadi sasaran fitnah dan menerima tuduhan palsu di media sosial.

"Bukan sahaja Najib (Perdana Menteri) tetapi pemimpin-pemimpin lain dalam kerajaan turut menjadi mangsa fitnah dalam media sosial," katanya.

Bercakap pada sidang media di ibu negara pada Selasa, Shahrizat menggesa orang ramai agar menggunakan media sosial dengan cara sewajarnya agar masyarakat dapat manfaat daripadanya.

"Sebenarnya, informasi di media sosial ini boleh menjadi sesuatu yang boleh memberi faedah kepada orang ramai dan kita perlu mendidik mereka," katanya.

Shahrizat menjelaskan, penyalahgunaan teknologi maklumat seperti membuat dakwaan palsu terhadap orang lain dianggap dosa dalam Islam.

"Kita perlu mendidik diri kita sendiri dengan semua orang tidak menyalahgunakan teknologi ICT dengan tuduhan palsu dan fitnah yang merupakan satu dosa dan menyalahi undang-undang," katanya.

Shahrizat membuat kenyataan demikian selepas gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan rakan sejawatannya dari Israel, Benyamin Netanyahu tersebar di alam maya.

Gambar yang tersebar itu telah mendapat kritikan keras daripada pengguna media sosial yang masih terhadap pencerobohan tentera Israel terhadap Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqadis, baru-baru ini.

Najib bagaimanapun menafikan pernah mengadakan pertemuan dengan Netanyahu dan menyatakan hanya terserempak antara satu sama lain ketika menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), di New York lapor Free Malaysia Today


-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...