Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Warkah Dari Mahathir Buat Ahli UMNO Dan Pemimpin UMNO..

Posted: 30 Nov 2015 07:30 AM PST


Negara Malaysia tercinta ini adalah hasil perjuangan UMNO sebagai sebuah parti, bukan oleh sesiapa atau seseorang.

2. Sebab itu apabila Dato Onn Jaafar, Pengasas dan Yang diPertua Parti yang pertama, membuat cadangan yang bertentangan dengan pejuangan parti, cadangannya di tolak dan dianya keluar dari parti.

3. Hari ini kita dapati UMNO sudah jadi milik Presiden dan perjuangan UMNO terhad kepada mendokong Presiden. Kesetiaan ahli terhad kepada Presiden, tidak lagi kepada parti, tidak lagi kepada bangsa, agama dan negara.

4. Ini ternampak jelas apabila slogan Satu Malaysia yang sama dengan Malaysian Malaysia diperkenal, penjajah dahulu dilantik sebagai penasihat, penggunaan konsultan Barat. Penubuhan Pemandu untuk mengganti Unit Perancang Ekonomi, bayaran gaji kepada badan bukan Kerajaan yang amat tinggi, meletak negara dibawah kehendak Singapura, meminjam berbillion Ringgit yang dilabur sebahagian besar di luar negera, menubuh 1MDB dengan modal pinjaman yang besar, tidak dapat membukti dimana modal yang dilabur berada, gagal membayar faedah hutang, membeli tanah Kerajaan dengan harga yang amat murah, menjual tanah ini kepada institusi Kerajaan dengan harga 50 kali ganda lebih tinggi, wang Tabung Haji diguna secara yang sama, keuntungan yang berlebihan ini diguna untuk menampung kerugian 1MDB, 2.6 billion Ringgit tiba-tiba berada dalam akaun peribadi Najib, kononnya derma dari orang Arab, siasatan oleh Badan Pencegah Rasuah dan Bank Negara ditamat oleh Najib sebelum tindakan dapat diambil, Pendakwa Raya dibuang, PAC dibubar supaya tidak dapat menyiasat 1MDB, cara hidup mewah lebih dari kemampuan Perdana Menteri, gaji minima dinaik sehingga kilang-kilang berpindah ke negara lain dan pekerja hilang pekerjaan, kejatuhan mata wang dan nilai saham yang teruk, cukai GST dikenakan sehingga peniaga kecil terpaksa tutup kedai, kos sara hidup meningkat, beban bagi rakyat bertambah, sesiapa yang menegur disoal oleh polis, dituduh sabotaj bank dan kewangan negara dan dimasuk dalam tahanan dibawah undang-undang yang salah.


5. Besar kemungkinan parti akan kalah dalam PRU 14 seperti di Selangor dan Pulau Pinang. BN dan UMNO akan menjadi parti pembangkang. Sebagai pembangkang tidak akan ada apa-apa yang boleh dibuat oleh UMNO untuk bangsa, negara dan agama.

6. Menyokong Najib mungkin memberi nikmat kepada orang tertentu hari ini. Tetapi apabila BN kalah nikmat semua akan hilang.

7. Sebaliknya jika Najib berhenti dari menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri, besar kemungkinan UMNO akan pulih semula dan BN akan menang PRU 14. Dengan itu bangsa, negara dan agama akan lebih selamat. Negara akan maju semula dan semua rakyat akan dapat nikmat.

8. Wahai ahli dan pemimpin UMNO diakar umbi. Fikirlah baik-baik. Jangan sokong dan setia secara buta tuli, atau kerana dapat nikmat hari ini. Bangsa kita akan kutuk kita jika nasib bangsa menjadi buruk kerana kita tamak dan lupakan perjuangan UMNO. Dan segala nikmat yang kita dapati akan musnah, bahkan Kerajaan parti lawan akan bertindak keatas kesalahan mereka semasa memerintah.

9. Semua ini memburukkan nama Malaysia dan merugikan rakyat.

10. Wahai ahli dan pemimpin UMNO diperingkat akar umbi.

11. Jika ingin selamat dan menang tolaklah kepimpinan DSN sebelum PRU14.

12. Tolaklah kepimpinannya sebelum PRU14 supaya UMNO selamat dan mampu memenangi PRU dan kekal sebagai Kerajaan yang adil kepada semua.

13. Saya menulis dalam blog saya kerana sekatan yang ketat diadakan supaya saya tidak dapat berjumpa dan bercakap dengan ahli UMNO dan orang awam. Jentera yang diguna yang terdiri dari badan-badan Kerajaan dan parti amatlah berkesan. Dengan sendirinya ini menjadi bukti kesalahan-kesalahan sedang dilakukan.


Dipetik dari Blog Chedet.cc




Tempat Letak Kereta Di Hospital Akan Dikenakan Bayaran

Posted: 30 Nov 2015 04:30 AM PST


Kementerian Kesihatan memutuskan untuk mengenakan caj bagi tempat letak kereta di kawasan hospital di zon tengah Semenanjung bagi mengelak salah guna kawasan parkir, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata langkah ini adalah untuk mengelak mereka yang tidak mempunyai urusan di hospital daripada menggunakan tempat parkir di hospital. 

Beliau berkata kementerian sedang menawarkan tender terbuka bagi syarikat yang ingin menguruskan tapak parkir di hospital secara sementara dengan kadar yang ditetapkan kementerian.

"Kadar tempat letak kereta akan kita tetapkan dan penender yang ingin libatkan diri kena ikut kadar yang telah ditetapkan," katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad (BN-Kuala Kangsar) yang mempersoalkan penyalahgunaan kemudahan tempat letak kereta di hospital oleh orang awam yang tidak mempunyai urusan di hospital.

Dr Hilmi juga berkata kementerian itu juga sedang berurusan untuk mengeluarkan tender bagi menambah bilangan parkir tambahan di semua hospital di seluruh negara.

Terdahulu semasa menjawab soalan Julian Tan Kok Ping (DAP-Stampin) yang bertanyakan tentang Hospital Umum Sarawak (HUS), beliau berkata kementerian sedang dalam perancangan untuk membina blok jagaan harian, blok patologi dan tempat letak kereta bertingkat yang bakal dilaksanakan secara kerjasama pihak awam dan swasta.

"Pembinaan blok jagaan harian akan melibatkan tujuh buah dewan pembedahan, empat bilik endoskopi serta kemudahan wad yang diperlukan untuk memberi rawatan harian," katanya.

Dr Hilmi berkata blok tempat letak kereta bertingkat pula bakal memuatkan 1,750 lot yang turut melibatkan pembinaan kemudahan medihotel dengan kapasiti 160 bilik.

Katanya projek pembinaan tempat letak kereta akan melibatkan kos RM351 juta - MalaysiaGazette


PLUS Akan Turut Naikkan Kadar Tol Tahun Depan..

Posted: 29 Nov 2015 11:32 PM PST


Projek Lebuhraya Usahasama Bhd (PLUS) akan menaikkan kadar tol mereka di bawah perjanjian konsesi mereka setiap 3 tahun sebanyak 5% bermula tahun hadapan, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Beliau berkata, kenaikan itu akan berterusan sehingga tamat tempoh perjanjian konsesi pada 2018.

Kadar kenaikan tol merupakan sebahagian daripada konsesi tetapi Putrajaya sebelum ini menangguhkan beberapa kali disebabkan pilihan raya.

PLUS dimiliki syarikat milik negara Khazanah Nasional Bhd.

"Berdasarkan perjanjian tambahan konsesi yang ditandatangani pada November 2011, kerajaan dan PLUS bersetuju untuk tidak menaikkan kadar tol selama 5 tahun antara 2011 dan 2015.

"Kenaikan itu hanya akan dilaksanakan pada 2016, kecuali untuk Jambatan Pulau Pinang, yang tidak mengalami kenaikan tol sehingga tamat perjanjian konsesi pada Disember 2018," katanya kepada pemberita di Parlimen, hari ini.

"Kadar kenaikan tol ditetapkan pada kadar 5% setiap 3 tahun dan akan tamat tempoh konsesi pada 2018," katanya, selepas menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat daripada Datuk Ahmad Fauzi Zahari (BN-Setiawangsa).

Fauzi bertanyakan sekiranya tempoh konsesi dilanjutkan, ia bermakna tidak akan berlaku kenaikan tol sehingga 2018

Kali terakhir perjanjian konsesi PLUS disemak semula adalah pada 2011, di mana syarikat konsesi itu dibenarkan menaikkan tol sebanyak 5% setiap 3 tahun.

Rosnah bagaimanapun berkata, tiada kenaikan tol sejak 2011 sehingga sekarang.

Beliau turut mengesahkan kenaikan kadar tol hanya akan bermula tahun hadapan.

Ahli Parlimen Pokok Sena, daripada PAS, Datuk Mahfuz Omar di lobi Parlimen mengkritik tindakan itu dan berkata, ketika tempoh konsesi PLUS dipanjangkan, kadar tol tidak seharusnya dinaikkan lapor The Malaysian Insider


Kalau Khairy Dikatakan Gagal.. Apa Pula Pencapaian Nik Nazmi?

Posted: 29 Nov 2015 08:12 PM PST


Apa yang dipersoalkan oleh Pemuda UMNO tentang Nik Nazmi ini ada kebenarannya dan aku setuju kalau dikatakan kita perlu cermin diri sendiri dulu sebelum mempertikaikan orang lain dan menyerang peribadi orang lain.

Semalam dalam ucapan penggulungan Kongres Nasional PKR Nik Nazmi Nik Ahmad mendakwa usaha dilakukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar selama ini untuk memenangi undi anak muda akan menemui kegagalan kerana masih setia dengan Datuk Seri Najib Razak meskipun presiden Umno itu dilanda dengan pelbagai skandal dan kontroversi.

Ketua Pemuda PKR itu dalam nada menyindir menasihati ketua Pemuda Umno itu supaya fokus menjadi bintang televisyen ekoran kegagalannya itu.

"Lihatlah kegagalan usaha ketua Pemuda Umno yang kononnya sederhana dan liberal. Beliau setia bersama presiden parti yang dibelenggu begitu banyak skandal dan kontroversi.

"Beliau tidak menghentikan kemusnahan hak-hak asasi dan kebebasan politik yang ada di negara ini. Pokoknya beliau sudah gagal kerana Umno sudah tidak mampu berubah.

"Nasihat saya kepadanya lebih baik fokus saja menjadi bintang televisyen!" katanya ketika berucap di Kongres Nasional Tahunan PKR ke-11 di Shah Alam semalam..

Persoalan utamanya disini ialah apa kena mengena Khairy Jamaluddin dengan PKR?

Kenapa perlu Nik Nazmi mengingatkan Khairy Jamaluddin yang usahanya untuk memenangi undi anak muda akan menemui kegagalan?.. biarkan.. tak perlu ditegur kerana ini akan menguntungkan pihak kita..

Sebagai seorang yang menjawat jawatan Ketua AMK dan Exco Kerajaan Negeri Selangor, beliau seharusnya lebih matang dalam berpolitik.

Selama beliau menjawat jawatan Ketua AMK dan Exco Selangor, apakah pencapaiannya?

Baca laporan ni..

SHAH ALAM – Pemuda Umno membidas Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad susulan ucapannya pada penggulungan Kongres Nasional PKR hari ini yang menyerang ketuanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. 
Exco Pemuda Umno, Ibdilillah Ishak berkata, politik sempit dengan cara menyerang peribadi Khairy tidak mencerminkan Nik Nazmi sebagai pemimpin yang kononnya intelektual dan progresif. 
"Sebagai seorang yang menjawat jawatan Ketua AMK dan Exco Kerajaan Negeri Selangor, beliau seharusnya lebih matang dalam berpolitik. Beliau perlu cermin diri dahulu sebelum menuduh dan menyerang peribadi orang lain. 
"Selama beliau menjawat jawatan Ketua AMK dan Exco Selangor, apakah pencapaiannya? Apa yang telah beliau anjurkan untuk anak muda Selangor selain hanya menyampaikan ceramah ataupun ucapan yang berunsur retorik politik semata-mata?," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 
Nik Nazmi hari ini melalui ucapan penggulungannya menyarankan agar Khairy fokus untuk menjadi bintang TV susulan kegagalannya dalam mengekang belenggu perkauman, menghentikan kemusnahan hak-hak asasi dan kebebasan politik serta kesetiaannya terhadap Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dibelenggu banyak skandal dan kontroversi. 
Mengulas lanjut, Ibdilillah berkata, sepanjang Khairy menjadi Ketua Pemuda dan Menteri Belia dan Sukan, Ahli Parlimen Rembau itu tidak henti menganjurkan program, mencadangkan idea, polisi dan dasar yang memberi nilai tambah kepada orang muda Malaysia. 
"Pemuda Umno dibawah kepimpinan beliau mengambil pendekatan politik khidmat bakti. Pelbagai program yang telah dianjurkan dan pelbagai idea yang telah direalisasikan kerajaan. 
"Contohnya, berkait kos sara hidup rakyat, pemilikan rumah mampu milik, peluang pekerjaan, kadar gaji minimum, pendidikan dan berbagai lagi," katanya. 
Sehubungan itu, beliau menyifatkan kenyataan Nik Nazmi itu sebagai satu helah untuk mengalih perhatian rakyat daripada krisis kepercayaan ahli AMK terhadapnya sekarang. 
"Saya difahamkan YB Nik Nazmi sedang berdepan krisis kepercayaan dalam AMK yang beliau sendiri terajui. 
"Namun menyerang peribadi YB Khairy bukanlah 'jalan keluar' daripada krisis politik dalaman yang serius dalam AMK itu," katanya lapor Sinar Harian


Aku ulang soalan-soalan dari Pemuda UMNO tu..

Selama beliau menjawat jawatan Ketua AMK dan Exco Selangor, apakah pencapaiannya?

Apa yang telah beliau anjurkan untuk anak muda Selangor selain hanya menyampaikan ceramah ataupun ucapan yang berunsur retorik politik semata-mata?

Nasihat aku kepada Nik Nazmi.. lebih baik fokus kepada AMK daripada menyibuk hal rumah tangga orang lain..


UMNO Yakin Boleh Rampas Kelantan Pada PRU14

Posted: 29 Nov 2015 04:30 PM PST


Umno Kelantan yakin mampu merampas kembali negeri ini dari tangan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa berkata ia berdasarkan beberapa faktor utama antaranya perpecahan dalam PAS pada muktamar tahunan parti itu baru-baru ini serta penyelesaian beberapa isu nasional yang turut mempengaruhi Umno ketika ini.

"Hari ini kita dapati ada anggota PAS yang nak bersama-sama dengan DAP sehingga tertubuhnya Parti Amanah Negara (Amanah) dan ada yang masih setia dengan parti itu.

"Selain itu, kita sedia maklum ada beberapa isu nasional yang turut pengaruhi Umno, namun dengan usaha-usaha yang diambil kita yakin isu-isu berkenaan dapat diselesaikan pada tahun hadapan," katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Konvensyen Umno 2015 di Kota Bharu, semalam.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Hanafi Mamat serta Ketua Penerangan Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Md Alwi Che Ahmad.

Konvensyen selama dua hari yang bermula semalam menghimpunkan lebih 2,000 perwakilan Umno Kelantan.

Mengulas mengenai konvensyen berkenaan, Mustapa berkata Badan Perhubungan Umno Kelantan akan meneliti beberapa usul yang dicadangkan oleh perwakilan sebagai persiapan menghadapi PRU14 nanti.

"Apa yang penting pelan tindakan (pada masa depan). Ada perwakilan yang memberi teguran mengenai cara kita bawa diri, ada yang cadangkan ditubuhkan sebuah institut pemikiran untuk melahirkan lebih ramai pemimpin muda.

"Insya-Allah kita akan perhalusi dan laksanakan cadangan-cadangan berkenaan. Namun apa yang lebih penting, ia menunjukkan Umno Kelantan masih lagi bersatu," katanya lapor Malaysiakini


-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...