Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


UMNO Dan PAS Bersatu Tanpa Bergabung..

Posted: 17 Dec 2015 04:30 AM PST


Biarpun ada sinar untuk melihat UMNO dan PAS bersatu demi kepentingan umat Islam dan orang Melayu di negara ini, penyatuan itu dilihat tidak akan berlaku menerusi penggabungan parti politik. 

Menurut Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, kedua-dua pihak dilihat sangat berminat kepada pengukuhan umat Islam dan Melayu di negara ini dan ia perlu dilakukan dengan segera.

Jelasnya, penyatuan di atas nama agama dan bangsa itu boleh dilakukan dengan memberi sokongan kepada satu sama lain tanpa penggabungan parti.

"Apa yang diucapkan Perdana Menteri dan (Haji) Abdul Hadi Awang menunjukkan kedua-duanya menuju ke arah penyatuan. Jika hendak bergabung dari segi politik mungkin susah tetapi penyatuan masih boleh dilakukan menerusi memberi sokongan kepada polisi-polisi yang membantu orang Islam dan Melayu.

"Contohnya, sekarang parti Barisan Nasional sedang memerintah, jika ada polisi yang baik untuk orang Islam dan Melayu, PAS patut menyokongnya. Janganlah asyik membangkang sahaja.

"Kita sudah tidak mempunyai masa yang banyak, kira-kira dua tahun sahaja lagi. Jika penyatuan tersebut lambat dilakukan, bimbang ia akan menjejaskan perkembangan orang Islam dan Melayu di Malaysia," katanya kepada pemberita selepas menjadi panel di Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 di sini hari ini.

Tambah Harussani, terdapat banyak titik persamaan yang boleh dijadikan asas kepada kedua-dua parti untuk bersatu demi kemajuan ummah.

Pendapat berkenaan turut disokong oleh Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed yang melihat penyatuan dua parti berkenaan boleh dilaksanakan tanpa perlu penggabungan parti politik.

"Apa pun perlu merujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Kalau hendak selesaikan masalah umat Islam, saya lihat sudah banyak kita (PAS dan UMNO) bersatu contohnya dalam isu Palestin dan Masjid Al-Aqsa.

"Ini pastinya tidak ada masalah jika melibatkan isu-isu di negara ini cuma bukan penggabungan parti politik. Itu susah sikit kerana masing-masing ada pengalaman dan sejarah sendiri," katanya ketika menjadi salah seorang ahli panel multaqa berkenaan.-MalaysiaGazette


Laporan Audit 1MDB Ditangguh Lagi.. Kenapa?

Posted: 16 Dec 2015 11:54 PM PST


Laporan penuh yang dinanti-nantikan daripada ketua audit negara mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditangguhkan tetapi itu mungkin bukan aspek paling penting dalam siasatan ke atas syarikat sarat hutang itu.

Ahli politik dan aktivis anti rasuah yang sudah lama mengikuti isu itu berkata laporan itu hanya sekadar mengikut skop diberikan kepada ketua audit kerana ini akan menentukan sama ada beliau boleh mendedahkan betapa teruknya skandal itu.

Satu lagi yang penting ialah adakah laporan itu akan didedahkan kepada umum, kata Cynthia Gabriel dari Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4).

Ini akan membuktikan sejauh mana kejujuran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak apabila beliau berkata tindakan akan diambil jika sememangnya ada salah laku dalam syarikat pelaburan negara itu.

"Saya bimbang jika kita tidak berhati-hati, Laporan Ketua Audit Negara boleh menjadi pelindung kepada isu 1MDB dan akan digunakan kerajaan untuk berselindung di sebaliknya," kata Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli.

"Ini kerana bidang tugas yang diberikan kepada Jabatan Audit Negara yang saya khuatir adalah terhad dan tidak terperinci seperti sepatutnya," kata Rafizi, pengkritik utama 1MDB.

Laporan Bernama semalam memetik Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Hasan Arifin sebagai mengesahkan laporan ketua audit negara ditangguhkan. Ia sepatutnya dibentangkan kepada PAC hari ini.

Kesangsian umum

Siasatan 1MDB oleh agensi lain menimbulkan syak wasangka kerana penglibatan Najib dalam syarikat itu sebagai ketua lembaga penasihatnya.

Putrajaya membubarkan satu pasukan petugas khas pelbagai agensi yang terdiri daripada polis, Jabatan Peguam Negara, Bank Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 5 Ogos lepas.

Pengkritik mendakwa pentadbiran Najib campur tangan dalam siasatan 1MDB walaupun kerajaan berkata agensi itu boleh terus menjalankan siasatan mereka sendiri.

Polis berkata, mereka hanya akan menyelesaikan siasatan mereka ke atas 1MDB selepas laporan audit negara lengkap.

Laporan ketua audit itu ditunggu-tunggu kerana kedua-dua kerajaan dan pembangkang menghormati jabatan itu dan kredibilitinya.

Laporan itu kunci kepada apa yang berlaku dalam 1MDB dan pengkritik berharap ia akan menerangkan bagaimana syarikat itu mengumpul hutang RM42 bilion walaupun baru 6 tahun beroperasi, kata Gabriel.

"Pelbagai tuduhan dibuat mengenai 1MDB dan di peringkat antarabangsa, terdapat siasatan terhadap dakwaan pengubahan wang haram. Inilah sebabnya mengapa Laporan Ketua Audit Negara perlu didedahkan kepada umum."

Kelewatan laporan itu, katanya, perlu juga diperjelaskan kerana ia bermakna kebenaran tentang apa yang berlaku akan makin jauh daripada pengetahuan umum.

Terma rujukan

Tetapi berapa banyak fakta akan dinyatakan dalam laporan itu akan bergantung kepada terma rujukan atau skop yang perlu dipatuhi jabatan itu, kata Rafizi.

Malangnya, terma rujukannya tidak pernah didedahkan kepada umum, kata bekas juruaudit itu, sekali gus mencetuskan persoalan sejauh mana skandal itu akan didedahkan.

Yang terbaik, katanya, jika ketua audit dapat melakukan audit forensik yang akan mendedahkan jejak wang syarikat itu, seperti siapa yang memberi kebenaran, ke akaun mana wang itu disalurkan dan adakah ia dibelanjakan mengikut prosedur.

Audit sedemikian akan menjawab beberapa soalan termasuk mengenai peranan ahli perniagaan kontroversi Low Teck Jho dan sama ada wang AS$700 juta (RM2.6 bilion) yang masuk ke dalam akaun Najib itu sebenarnya daripada 1MDB atau penderma Timur Tengah.

"Kita harus ingat dakwaan AS$700 juta itu kali pertama dibuat bersumberkan maklumat yang bocor daripada pasukan petugas 1MDB," kata Rafizi.

Pada 2 Julai, The Wall Street Journal melaporkan penyiasat Malaysia menemui bukti AS$700 juta disalurkan dari bank dan syarikat berkaitan dengan 1MDB ke dalam akaun peribadi Najib.

Najib menafikannya dan pada 3 Ogos, SPRM menyatakan wang berkenaan daripada penderma Timur Tengah yang tidak dikenal pasti, bukan syarikat berkaitan 1MDB.

Rafizi bimbang Jabatan Audit Negara tidak akan diberi mandat melaksanakan audit forensik yang boleh menjelaskan kes ini.

"Saya yakin jika anda memberikan mereka mandat penuh, mereka akan menyelongkar isu ini hingga ke lubang cacing.

"Tetapi orang ramai tidak boleh terlalu menaruh harapan terhadap laporan itu dan menyalahkan ketua audit jika beliau tidak menyelongkar isu ini sedalam-dalamnya kerana beliau tidak diberi terma rujukan untuk berbuat demikian." lapor The Malaysian Insider


Untuk Apa Yapeim Wujudkan Pusat Sukan Golf Simulator Ini?

Posted: 16 Dec 2015 10:11 PM PST


Selepas pendedahan demi pendedahan dibuat mengenai skandal melibatkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), Pusat Pemantau dan Pendedahan Maklumat Nasional (NOW) hari ini menuntut penjelasan berhubung keperluan agensi itu memiliki pusat sukan golf simulator yang dinamakan "Pusat Latihan INPUT Golf".

INPUT ialah singkatan bagi Institut Penyelidikan dan Perundingan Yapeim.

Pengarahnya Akmal Nasir berkata banyak persoalan timbul mengenai pusat sukan itu, memandangkan Yapeim berteraskan amal jariah sebagaimana penyataan misinya, iaitu "Membangun Ummah Melalui Beramal Jariah".

Beliau berkata, menurut laporan bajet yayasan itu bagi 2013, Kelab Sukan Korporat Yapeim mengadakan aktiviti permainan golf melibatkan kakitangannya dan agensinya, serta institusi luar, sebanyak 8 kali pada tahun tersebut.

"Laporan bajet itu menyatakan, termasuk bagi tujuan aktiviti sukan korporat dan program permainan golf adalah mewujudkan Pusat Sukan INPUT Golf Simulator melalui INPUT Yapeim.

"Ini termasuk mengenal pasti kelab golf bersesuaian bagi tujuan dijadikan Pusat Kegiatan dan Latihan Sukan Korporat Golf," katanya pada satu sidang media di ibu pejabat NOW hari ini.

Akmal turut menunjukkan kepada pemberita, bukti gambar yang mengesahkan pusat latihan golf itu, yang terletak di Mentari Business Park, Petaling Jaya, milik Yapeim.

Antara persoalan yang dibangkitkan NOW mengenai pusat sukan itu ialah, berapa kos pembelian dan penyelenggaraan peralatan golf simulator itu dari tempoh ia dibeli sehingga hari ini.

NOW juga ingin tahu kos pemilikan, pengurusan dan pentadbiran pusat sukan itu dan keperluan mewujudkan pusat berkenaan.

"Seperti mana dinyatakan dalam laporan bajet 2013, tujuannya dikatakan hanya sekadar memenuhi program sukan korporat Yapeim," kata Akmal.

Mengulas lanjut, beliau menyenaraikan antara aktiviti permainan golf yang disertai warga Yapeim dan agensinya serta institusi luar.

"Berdasarkan senarai permainan golf yang direkodkan, program terbesar berlangsung pada 18 Ogos 2013, iaitu 'Majlis Hi-Tea Golf Amal Silaturrahim Sambutan Aidil Fitri Yapeim' di Kota Kinabalu, Sabah yang melibatkan seramai 56 orang peserta, dan turut dihadiri pemimpin-pemimpin negeri Sabah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom," katanya.

Mengukuhkan lagi kenyataannya, Akmal berkata, berdasarkan Nota-nota Penyata Kewangan Yapeim bagi tahun berakhir 31 Disember, 2014, bahagian Hartanah, Loji dan Peralatan Susutnilai menunjukkan peralatan golf simulator tersenarai dalam peralatan yang mengalami susutnilai tahunan.

"(Sedangkan) dokumen yang sama turut menunjukkan kegiatan utama INPUT adalah menyediakan khidmat latihan, penyelidikan dan perundingan di dalam pelbagai perkara yang memberi faedah kepada masyarakat Islam, mengikut sistem pengurusan moden yang berlandaskan hukum syarak." lapor The Malaysian Insider


-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...