Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


PAS Sedia Maaf, Lupakan Kesalahan UMNO..

Posted: 20 Dec 2015 04:30 AM PST


PAS bersedia memaafkan dan melupakan kesalahan Umno, kata Datuk Takiyuddin Hassan. Setiausaha agung PAS itu berkata ini kerana ia adalah sebahagian daripada ciri-ciri perjuangan mereka.

Malah, anggota Parlimen Kota Bharu itu berkata tindakan memaafkan dan melupakan kesalahan adalah perkara yang sentiasa diamalkan parti Islam itu.

"Itu antara ciri-ciri yang ada dalam perjuangan ini.

"Ini bukan perkara baru, ramai pemimpin lain masuk dalam PAS, mereka ada kedudukan baik, diterima hati terbuka di kalangan ahli, sekarang ini antara parti kita akan laksanakan perkara sama," kata Takiyuddin.

Beliau berkata kepada pemberita pada mesyuarat agung tahunan PERKASA ke-6 di Kuala Lumpur hari ini.

Proses penjelasan

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, PAS kini dalam proses memberikan penjelasan kepada anggota parti itu berhubung hasrat kerjasama kedua-dua parti Melayu itu.

"Kita dalam proses untuk beri penjelasan menyeluruh kepada ahli kita tentang hasrat itu.

"Boleh lihat benda baru ada suasana kefahaman masing-masing, pokoknya dalam PAS apa yang dibawa oleh presiden perlu bersikap kolektif atas nama parti, itu keputusan kolektif," katanya, merujuk kepada presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Tambah Takiyuddin lagi, prinsip perjuangan PAS adalah berlandaskan syariat Islam dan apabila terdapat pihak yang sama mempunyai prinsip sama PAS akan bersikap terbuka.

"Sepanjang masa PAS berjuang atas dasar itu apabila sampai ketika ada pihak lain yang mahu ambil prinsip sama dan bersikap terbuka menjayakan agenda bersama.

"Atas kata kuncinya perpaduan berdasarkan syariat kita sedia bersama dengan mana-mana pihak atas kebaikan orang Islam."

Takiyuddin bersama-sama pengarah pilihan raya PAS Datuk Mustafa Ali turut hadir bagi menjayakan mesyuarat agung tahunan PERKASA, hari ini lapor Malaysiakini


UMNO Tak Datang Perhimpunan Perkasa Sebab Sibuk ‘Sambut Krismas’?

Posted: 20 Dec 2015 12:00 AM PST


Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali hari ini menyindir kepimpinan Umno yang tidak menghadiri persidangan agung tahunan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu apabila mengatakan parti Melayu itu berkemungkinan sedang sibuk "menyambut Krismas".

Beliau berkata demikian ketika ucapan perasmian persidangan agung tahunan Perkasa ke-6 di Pusat Islam, Kuala Lumpur, sambil melahirkan penghargaan kepada PAS yang menghantar wakil mereka Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan dan Pengarah Pilihan Raya Datuk Mustafa Ali.

"Kita jemput mereka (Umno), tapi mereka tak datang, kita hantar jemputan kepada semua parti politik kecuali DAP.

"Apabila PAS menyatakan kehadiran mereka, saya mengarahkan jemputan dihantar lagi kepada setiausaha agung dan ketua penerangan Umno, saya takut nanti mereka kata kita tak jemput mereka," katanya.

Dalam ucapannya, Ibrahim juga turut meminta perwakilan Perkasa yang hadir di Dewan Muktamar, Pusat Islam untuk berdiri dan memberi penghormatan kepada Takiyuddin dan Mustafa.

Perkasa turut menjemput Tan Sri Sanusi Junid sebagai tetamu kehormat bagi merasmikan mesyuarat agung berkenaan.

Mesyuarat agung Perkasa bermula semalam dengan persidangan Wira, Wirawati dan Wiranita Perkasa di Kelab Sultan Sulaiman, di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

"Kita walaupun namanya kita tak sebut Islam, hati kita insya Allah suci," kata Ibrahim.

Turut kelihatan dalam dewan itu adalah wakil pertubuhan Kristian, India, dan Cina.

Turut hadir jurucakap kumpulan Gerakan Ketua Cawangan Malaysia (KGCM) Kamarul Azman Habibur Rahman, yang digantung keahlian Umno untuk memilih dan dipilih dalam pemilihan parti baru-baru ini kerana mendesak Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatan dalam parti lapor The Malaysian Insider

Derma RM2.6Bilion: Najib Kencing SPRM Mahfuz Kata?

Posted: 19 Dec 2015 09:11 PM PST


Persoalan paling asas berkaitan Skandal RM2.6 bilion di dalam akaun peribadi Perdana Menteri, iaitu siapa yang 'mendermakan' wang tersebut nampaknya masih belum terjawab sehingga kini.

2. Rentetan siri penjelasan dan kenyataan yang dikeluarkan sama ada oleh pihak Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semakin menunjukkan percanggahan yang ketara.

3. Selepas Perdana Menteri gagal memberikan penjelasan secara telus kepada sidang Parlimen dan kepada ahli UMNO sendiri di dalam beberapa kesempatan, 'skrip' terbaru yang didendangkan secara 'berduet' oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri ialah betapa wang RM2.6 bilion yang berada di dalam akaun peribadi Perdana Menteri adalah sumbangan politik yang disumbangkan oleh 'penderma-penderma' dari Timur Tengah.

4. Ini sekaligus bercanggah dan menimbulkan keraguan kepada beberapa kenyataan awal daripada pihak kerajaan yang sebelum ini cuba menggambarkan bahawa wang RM2.6 bilion tersebut datangnya daripada hanya satu sumber. Timbalan Perdana Menteri selaku Naib Presiden UMNO sewaktu berucap di dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading, Johor pada Ogos lalu dengan penuh yakin menyatakan bahawa beliau telah berjumpa dengan wakil penderma tersebut yang memberikan sumbangan RM2.6 bilion kepada UMNO sebagai tanda penghargaan kepada Malaysia di dalam usaha memerangi keganasan.

5. SPRM pula di dalam dua kenyataan berasingan pada awal Ogos mengesahkan bahawa wang RM2.6 bilion tersebut adalah sumbangan politik dan mereka telah memperolehi maklumat terperinci berkaitan dengan seorang individu yang dikenalpasti sebagai penderma tersebut. Bahkan, di dalam kenyataan terkini SPRM yang disiarkan di dalam akhbar the New Straits Times pada 7 Disember 2015, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki menyatakan bahawa SPRM telah pun mengadakan perjumpaan dengan individu penderma tersebut di sebuah Negara Timur Tengah baru-baru ini.

6. Lantas, persoalan yang perlu dijawab secara jujur oleh Perdana Menteri adalah berapakah sebenarnya penderma yang kononnya telah menyumbangkan wang sebanyak RM2.6 bilion tersebut? Adakah hanya seorang penderma atau terdiri daripada beberapa orang penderma? Sepanjang siasatan dijalankan SPRM, apakah maklumat atau keterangan yang telah Perdana Menteri salurkan kepada SPRM bagi membantu siasatan SPRM?

7. Dengan percanggahan dan kekeliruan yang wujud ini, saya tertanya-tanya adakah Perdana Menteri selama ini telah memberikan "MAKLUMAT PALSU"kepada SPRM? Apakah sikap SPRM sendiri apabila SPRM yang selama ini telah begitu yakin dan bersusah payah menemui individu penderma tersebut yang dipercayai adalah satu-satunya penderma wang RM2.6 bilion tersebut, tiba-tiba mendapati Perdana Menteri dan Timbalannya dalam sehari dua ini mengatakan wang tersebut disumbangkan oleh "beberapa orang penderma"? Siapakah sebenarnya yang ditemui oleh SPRM? Adakah yang ditemui oleh SPRM adalah PENDERMA UPAHAN Najib yang juga mendapat habuan dari RM2.6 bilion?



8. Suka saya mengingatkan bahawa memberikan KETERANGAN PALSU kepada agensi penyiasat seperti SPRM adalah merupakan "satu kesalahan jenayah"dan boleh didakwa sama ada di bawah Akta SPRM sendiri atau peruntukan-peruntukan undang-undang yang lain seperti Seksyen 177 dan Seksyen 181 Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 32 (8) (c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 yang boleh membawa kepada hukuman penjara dan denda. Dengan timbulnya 'skrip' terbaru daripada Perdana Menteri ini, saya ternanti-nanti apakah langkah dan tindakan selanjutnya yang akan diambil oleh SPRM atas KETERANGAN PALSU PM Najib?

"SELAMATKAN RAKYAT DAN MALAYSIA TERCINTA"

DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena

Individu Enggan Beri Laluan Kepada Polis Pengiring Boleh Dikenakan Tindakan Kata KPN..

Posted: 19 Dec 2015 06:30 PM PST


Pihak yang ingkar kepada arahan polis pengiring bagi orang kenamaan utama (VVIP) termasuk enggan memberi laluan boleh dikenakan tindakan undang-undang, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata pihak tidak bertanggugjawab itu boleh dikenakan tindakan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas selain berdepan hukuman mengikut Akta Polis 1967.

"Ada perbincangan (pihak tertentu) yang mengajak orang ramai supaya tidak mengikut arahan polis semasa iring orang kenamaan.

"Saya nasihatkan pengguna jalan raya supaya patuhi arahan polis yang bertugas, ada sebab kenapa mereka iringi VVIP itu...yang utama adalah sebab keselamatan," katanya kepada pemberita selepas menerima Ijazah Doktor Kehormat dalam Kepimpinan daripada Universiti Limkokwing di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas viral mengenai polis pengiring tidak diberi laluan pengguna jalan raya semasa mengiringi seorang VVIP baru-baru ini.

Sehubungan itu, Khalid meminta beberapa portal berita yang memainkan isu polis pengiring supaya berhenti berbuat demikian dan menyifatkannya sebagai tindakan mengajak rakyat supaya mengingkari undang-undang.

"Saya minta anda hentikan perkara ini...tiada baiknya, anda mengajak rakyat supaya ingkar undang-undang," katanya.

Mengulas mengenai catatan Twitter beliau pada Jumaat berkenaan rampasan 4 pucuk pistol di Kajang Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFFOC) Bukit Aman, Khalid berkata pihaknya mengesyaki ia mempunyai kaitan dengan kes tembak seorang bapa dan anak di Semenyih bulan lepas.

Menurutnya polis giat menjalankan siasatan dan yakin lebih ramai suspek akan ditahan.

Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun meninggal dunia manakala bapanya cedera parah akibat ditembak di Jalan Besar, Semenyih pada malam 24 November lepas.

"Saya minta masyarakat terus beri kerjasama dengan kita dengan menyalurkan maklumat. Kita akan pastikan tindakan diambil ke atas mereka (suspek) ini," tegas Khalid.

Mengenai tunjuk perasaan yang dibuat seorang veteran tentera Ali Tinju di depan bangunan Kota Raya di Kuala Lumpur pada Jumaat, Khalid berkata lelaki itu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 jika didapati melanggar undang-undang.

Ali Tinju atau nama sebenarnya Mohd Ali Baharom dilapor membuat kenyataan yang menyentuh sentimen perkauman semasa melakukan tunjuk perasaan itu.

Sementara itu, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata pihaknya tidak boleh dipersalahkan dalam isu Ali Tinju hanya kerana keputusan membebaskannya daripada tuduhan menghasut 17 September lepas.

"Tidak adil untuk tuduh (pihak kami) bertanggungjawab. Saya dah jelaskan, rakaman video mengenai tuduhan menghasut Ali Tinju tidak cukup, kalau cukup saya akan dakwa," katanya ketika ditemui pada majlis sama lapor The Malaysian Insider


-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...