Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Hidup Kakitangan Kerajaan Ibarat Kais Pagi Makan Pagi, Kais Petang Belum Tentu Makan..

Posted: 22 Dec 2015 08:30 AM PST


Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyifatkan kehidupan penjawat awam sepanjang tahun 2015 merupakan sesuatu yang amat tertekan.

Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda berkata tekanan yang dihadapi penjawat awam kebanyakkannya disebabkan oleh sara hidup yang tinggi selain tanggungan hutang isi rumah.

"Kalau boleh saya simpulkan kehidupan penjawat awam sepanjang 12 bulan bermula Januari hingga Disember, seolah-olah kais pagi makan pagi, kais petang belum tentu.



"Seolah-olah seperti enau dalam belukar. Masing-masing berlumba macam mana kita nak dapat peluang ini. Kita cakap negara kita nak menjadi negara maju, tapi kami masih dibelenggu keadaan seperti berhutang, terpaksa meminjam koperasi...kalau tidak kita tak mampu beri yang terbaik kepada keluarga," ujar Azih kepada media susulan mesyuarat kongres itu di sini hari ini.

Malah, Azih juga melahirkan kekecewaan apabila kerajaan seolah-olah tidak mengambil sebarang tindakan sedangkan harga barang yang diisytiharkan bebas cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dinaikkan dengan sewenang-wenangnya.

"Apa yang amat menyedihkan, harga barang sudah mula naik. Harga barang yang kerajaan isytiharkan sifar GST pun telah naik harga. Walaupun RM1, ia adalah amaun yang besar kepada kumpulan rendah macam kami termasuk juga rakyat yang berada di kampung dan luar bandar.

"Cuepacs rasa kesal kerana kenaikan harga barang ini seolah-olah tidak ada kawalan, tidak ada siapa yang boleh kawal dan kalau perkara ini berterusan kami akan berada dalam kesusahan serta tekanan hidup yang serius. Kita akan berada dalam keadaan di mana kemampuan untuk berbelanja tidak ada lagi," tegas Azih.

Selain kos sara hidup, Azih menyifatkan penjawat awam Gred 40 ke bawah kini semakin sukar untuk mendapat kelulusan pinjaman perumahan lantaran tanggungan hutang isi rumah yang tinggi.

Malah, Cuepacs juga kesal kerana Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) menetapkan pelbagai syarat kepada penjawat awam untuk memiliki rumah.

"Kita juga rasa kesal kerana hingga hari ini mekanisma penetapan harga rumah tidak disediakan oleh pihak kerajaan. Sepatutnya kerajaan ada satu mekanisma untuk menetapkan harga rumah, berapa peratus kadar keuntungan yang hendak diambil pemaju, berdasarkan harga semasa dan bukan harga spekulasi.

"Hari ini harga rumah dijual pada harga spekulasi. Semakin banyak permintaan, semakin tinggi harga, tetapi kami kumpulan pelaksana, Gred 40 kebawah kami tidak mampu nak beli rumah, apa lagi apabila LPPSA mengenakan pelbagai syarat," katanya.

Justeru, Azih mahu kerajaan memandang serius keluhan penjawat awam yang kini semakin dibelenggu pelbagai masalah lantaran desakan hidup terutama melibatkan mereka yang menetap di kawasan bandar ~ AstroAwani


Kata Najib sebelum PRU..


Selepas menang PRU13.. Kami peduli apa?



Dewan Negara Lulus Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara

Posted: 22 Dec 2015 05:59 AM PST


Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015 yang memperuntukkan 15 kuasa khas bagi penubuhan MKN serta pasukan keselamatan mengawal dan menyelaras operasi berkaitan keselamatan negara, diluluskan Dewan Negara malam ini.

Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang, ketika mengumumkan perkara itu pada pukul 8.20 malam, berkata undang-undang itu diluluskan berdasarkan undian suara dengan lebih ramai yang menyokong berbanding yang membantah.

"Ia diwujudkan untuk menambah baik dan menjaga ketenteraman negara setelah mengambil kira keseluruhan perkara-perkara yang telah dibangkitkan sebelum ini.

"Jangan ada prejudis, ia dibuat bukan untuk siapa-siapa tapi untuk negara tercinta," katanya selepas bacaan kali ketiga rang tersebut.

Rang itu telah dibahas begitu hebat oleh 37 senator baik daripada Barisan Nasional (BN) mahupun daripada pembangkang sepanjang persidangan.



Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim ketika menggulung RUU itu berkata tidak timbul isu perdana menteri mengambil kuasa Yang di-Pertuan Agong seperti yang menjadi kebimbangan banyak pihak sebelum ini.

"Fasal 18 RUU memberi kuasa kepada perdana menteri untuk mengisytihar sesuatu kawasan sebagai kawasan keselamatan dan bertujuan mengawal serta mengurus ancaman dan tindak balas di peringkat awal sebelum menjadi lebih teruk.

"Fasal ini diwujudkan bagi melengkapi Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan; bahawa Yang di-Pertuan Agong berkuasa memproklamasi (mengisytihar) darurat mengikut nasihat Jemaah Menteri.

"Kuasa mengisytihar darurat tetap terletak pada kuasa Yang di-Pertuan Agong. Maka kenyataan bahawa Fasal 18 yang mengatakan perdana menteri mengambil alih kuasa Agong adalah tidak benar sama sekali kerana proklamasi darurat dan pengisytiharan kawasan keselamatan adalah berbeza," tegasnya.

Kepada cadangan memasukkan wakil dari Sabah dan Sarawak selain keanggotaan menteri dalam MKN, Shahidan berkata keanggotaan seseorang itu dipilih berdasarkan kepakaran dan bukannya semangat kenegerian.

"Keanggotaan dipilih di kalangan mereka yang bersesuaian dengan 'subject matter'.

Keanggotaan terlalu ramai adalah kurang sesuai dengan fungsi utama majlis (MKN) yang berkisar kepada keselamatan dan rahsia negara.

"Tetapi majlis akan tubuhkan sesuatu jawatankuasa khas dan memerlukan ahli jawatankuasa (AJK) dan di sini mana-mana pihak termasuk menteri akan dipanggil jika ada keperluan demi kelancaran majlis," jelas Shahidan.

Dalam pada itu, apabila memperjelaskan tentang keperluan RUU itu sedangkan wujudnya undang-undang sedia ada seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012 dan Akta Pencegahan Keganasan (POTA) 2015, Shahidan berkata tujuan kedua-duanya adalah berbeza sama sekali dari segi fungsi dan tujuannya.

"Tujuan SOSMA adalah berkait mengenai prosedur dan siasatan berkaitan kesalahan keselamatan manakala POTA adalah untuk mencegah perlakuan pengganas yang beroperasi dari luar negara," jelasnya.

Beliau menjelaskan bahawa RUU itu lebih menjurus kepada peruntukan bagi pertubuhan Majlis Keselamatan Negara, pengisytiharan kawasan keselamatan dan pemberian kuasa khas kepada pasukan keselamatan.

"Oleh itu, apabila dibangkitkan bahawa RUU MKN adalah serupa seperti SOSMA dan POTA, ia memang tidak benar dan tidak berasas sama sekali," katanya.

Rang undang-undang itu sebelum ini diluluskan di Dewan Negara pada 3 Dis lalu selepas berdepan laluan getir daripada anggota Parlimen pembangkang yang mendesak supaya ia ditarik atau ditangguhkan.

RUU itu memperuntukkan 15 kuasa khas kepada Pengarah Operasi dan pasukan keselamatan bagi mengawal dan menyelaras operasi berkaitan keselamatan negara.

Ia antara lain menyebut Pengarah Operasi dilantik bertanggungjawab bagi operasi di dalam sesuatu kawasan keselamatan.

Pasukan keselamatan pula terdiri daripada Polis Diraja Malaysia; Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia dan Polis Bantuan; Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

RUU itu memperuntukkan bidang kuasa khas merangkumi penahanan masuk dan pemindahan orang; perintah berkurung; kuasa untuk mengawal pergerakan jalan; kuasa menangkap; kuasa untuk memeriksa dan menyita; kuasa untuk menggeledah premis bagi benda berbahaya; kuasa untuk memeriksa orang bagi benda berbahaya dan kuasa untuk menyita kenderaan, vesel, pesawat udara atau pengangkut ~ AstroAwani



Potong Stim Betullah Tuan Ibrahim Tuan Man Ni..

Posted: 22 Dec 2015 12:47 AM PST


Belum pun sampai seminggu selepas Najib Razak dan Hadi Awang duduk sepentas dengan masing-masing berbaju Melayu merah jambu yang kemudian diikuti dengan seriusnya mahu mewujudkan kerjasama atau "perkahwinan" antara UMNO dengan Pas, segala-galanya kini bagaikan berubah menjadi "pelamin anganku" bakal musnah di pertengahan jalan.

Dalam reaksi terhadap kenyataan sepupu Najib, Hishammuddin Hussein yang meminta Pas lebih mengutamakan Islam dan martabat agama daripada politik sekiranya ingin bekerjasama dengan UMNO,

Tuan Ibrahim Tuan Man membalasnya balik dengan menggariskan enam perkara yang perlu dilakukan terlebih dahulu oleh UMNO.

Kata Timbalan Presiden Pas itu, semua enam perkara itu perlu dilakukan sebagai langkah menunjukkan kepada rakyat, terutamanya yang beragama Islam, kesungguhan UMNO untuk mendaulatkan agama itu.

Enam perkara tersebut ialah:-

- Perdana Menteri, Najib Razak hendaklah bercuti sehingga siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara dan Audit Negara melengkapkan siasatan dan laporan terhadap 1MDB.

- Menghapuskan cukai GST di mana ia bertentangan dengan Islam kerana mengenakan cukai kepada golongan miskin.

- Mengurangkan pembaziran dan salah guna dana kerajaan dengan mengambil tindakan tegas berdasarkan laporan audit terbaru.

- Mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan hidup berjimat kementerian sesuai dengan kejatuhan harga minyak dan kenaikan kos hidup yang kian melambung.

- Menyiasat Yapeim dengan telus dan terbuka serta memastikan mereka yang didapati menyeleweng dibawa ke muka pengadilan.

- Berhenti menganiaya Kelantan dan memulangkan royalti minyak dengan kadar segera.

Aduhh...betul-betul syarat potong stim yang diberi oleh Tuan Ibrahim ini. Nak "kahwin" bagaimana dengan adanya syarat sebegini?

Bagi Najib keenam-enam perkara yang diminta oleh Tuan Ibrahim ini mungkin lebih berat daripada syarat meminang Puteri Gunung Ledang untuk dipenuhinya.

Daripada keenam-enam perkara itu, tentunya yang paling payah untuk Najib memenuhinya ialah saranan bercuti sehingga siasatan terhadapnya berkaitan 1MDB selesai.

Ini kerana Najib ingin menjalinkan kerjasama dengan Pas ialah untuk kelangsungan lebih lama dalam hayat politiknya, manakala cadangan bercuti yang disarankan oleh Tuan Ibrahim itu lebih bermaksud memendekkan nafas politiknya.

Kalau sudah bercuti, untuk apa Najib nak bekerjasama lagi? Jika bekerjasama dalam keadaan Najib setuju bercuti, mungkin orang lain yang akan dapat untungnya?

Kiranya Najib tidak sedia bercuti, maknanya Tuan Ibrahim sudah menunjukkan isyarat kemungkinan akan menjadi penentang paling utama kepada kerjasama UMNO dengan Pas itu.



Belum dikira perkara-perkara lain, saranan bercuti yang dicadangkan itu saja sudah cukup memeningkan kepala Najib untuk memenuhinya.

Secara langsung pendirian Tuan Ibrahim ini menunjukkan jalan gelap lebih terbentang di hadapan sebelum gerbang "perkahwinan" kedua-dua parti itu mahu didirikan dan dijadikan kenyataan.

Seterusnya silalah sambung bacaan anda di ( SINI )

Keluar Dari PAS Jika Nak Bergabung Dengan UMNO - Naib Presiden PAS

Posted: 21 Dec 2015 10:00 PM PST


Di tengah-tengah isu keakraban Umno-PAS, Naib Presiden PAS Idris Ahmad menegaskan bahawa pandangan peribadi tidak boleh dipakai dalam isu itu.

"Jika ada individu yang hendak bergabung dan teringin dengan Umno, maka individu itu sahaja yang pergi," katanya.

Beliau menegaskan PAS pernah kehilangan pemimpin-pemimpin kanannya sebelum ini, termasuk dua presiden, Ahmad Fuad dan Datuk Asri Muda tetapi PAS tidak lemah.

"PAS tetap hebat, kerana dasar, bukan kerana individu. Siapa pun boleh pergi, Insya-Allah PAS berdiri gagah," katanya.

Beliau sebelum itu mengulas spekulasi parti itu mahu bergabung dengan Umno, dengan menegaskan mereka mempunyai organisasi pelbagai peringkat.

"Heboh di peringkat media sosial dan media perdana, PAS hendak bergabung dengan Umno.

"Ingin saya tegaskan bahawa PAS ada organisasi daripada peringkat Majlis Syura Ulama, AJK (anggota jawatankuas) PAS Pusat, dan muktamar (tahunan)," katanya.

Acara 'proksi kerajaan'

Beliau berkata demikian ketika menyentuh majlis anjuran alumni Universiti Al-Azhar yang menyaksikan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak berkongsi pentas.

Selain warna baju mereka yang sedondon mencuri perhatian, ramai dilihat cuba membaca bahasa tubuh dan kemesraan kedua-dua pemimpin itu di pentas.

Hadi menyampaikan ucap utama dalam acara itu manakala Najib pula merasmikannya.

Dalam kenyataannya, Idris berkata sejak acara yang menurutnya disediakan "proksi kerajaan" itu, terbukti PAS tidak akan mengikut agenda orang lain tetapi hanya apa yang diajar oleh agama.

Sementara itu, Idris juga menyeru anggota dan penyokongnya supaya menjadikan media rasmi parti – Harakah dan Harakahdaily – sebagai rujukan untuk sebarang keputusan parti.

Selain itu, anggota PAS juga diseru hadir ke acara dan dialog bersama pemimpin dan mendapatkan maklumat terus keputusan parti dan bukan pandangan peribadi.

"Jangan jadikan media perdana, media sosial, hatta media alternatif, mereka ada agenda yang tersendiri untuk memadam cahaya perjuangan PAS," dakwanya lapor Malaysiakini

RM396,465.37 Habis Untuk 14 Lawatan Ng Yen Yen?

Posted: 21 Dec 2015 07:20 PM PST


Lawatan sehari bekas Menteri Pelancongan, Tan Sri Dr Ng Yen Yen ke Singapura pada bulan Jun tahun ini membabitkan kos RM12,978.50 manakala kos bagi satu lagi lawatan yang sama pada bulan Februari ialah RM9,263.

Dalam kapasiti beliau sebagai pengerusi Tourism Malaysia, Ng telah mengadakan 14 lawatan rasmi yang membabitkan kos berjumlah RM396,465.37.

Ini didedahkan dalam jawapan bertulis Parlimen oleh Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz kepada Ahli Parlimen DAP Seremban, Anthony Loke, yang ingin tahu senarai lawatan rasmi Ng dan kosnya dari 17 Jun 2013 hingga 16 Jun tahun ini.

Menurut jawapan bertulis Nazri semasa sidang Parlimen baru-baru ini, Ng ke Singapura pada bulan Jun untuk menyampaikan taklimat kepada peserta industri di MyFest2015.

Bagaimanapun, kunjungan sehari pada bulan Februari hanya disenaraikan sebagai 'lawatan kerja'.

Kos lain termasuk RM67,266 yang dibelanjakan untuk lawatan lima hari ke Durban dan Johannesburg di Afrika Selatan, di mana Ng menghadiri pameran pasaran pelancongan dunia Afrika.

Pada bulan Mac, lawatan selama seminggu ke Bali dan Jakarta, Indonesia, membabitkan kos RM34,813.

Loke pertama kalinya membangkitkan isu lawatan Ng atas perbelanjaan wang rakyat dalam satu perbahasan di Parlimen pada tahun 2013.

Nazri, dalam jawapannya ketika itu, berkata Ng dipilih menjadi pengerusi Toursim Malaysia atas keupayaannya bertutur dalam Mandarin kerana Malaysia ingin menarik lebih ramai pelancong dari China.

Loke menyangkal, dengan mengatakan bahawa lawatan rasmi pertama Ng adalah ke Mumbai, India, dan bukan ke China, di mana Nazri dilaporkan secara berseloroh berkata beliau akan meminta Ng memberi lebih tumpuan kepada negara China.

Bagaimanapun, dalam jawapan terbarunya kepada Loke, Nazri berkata lawatan rasmi pertama Ng yang disenaraikan ialah ke Guangzhou, Zhangjiajie, Xian, Beijing dan Huangzhou di China, yang membabitkan kos sejumlah RM27,380.

Dalam tempoh dua tahun yang lalu, Ng juga telah mengadakan empat lagi lawatan rasmi ke pelbagai daerah di China, katanya.

Juga tidak disebut sebarang lawatan rasmi ke Mumbai.

Ng telah digantikan sebagai pengerusi Tourism Malaysia oleh bekas Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong pada 17 Jun tahun ini lapor Malaysiakini


-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...