Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Kejatuhan Nilai Ringgit Sebabkan Pelajar Mesir Makan Nasi Dengan Kuah Kari.. Ada Menteri Peduli?

Posted: 29 Dec 2015 02:00 PM PST


"Kami makan nasi dengan kuah kari daripada perencah mi segera tanpa lauk kerana tak ada duit nak beli makanan lain,".

Itu pengakuan seorang pelajar Ulum Islamiyah dari Universiti Al Azhar, Mesir, Mohd Muin Mohd Noor ketika bercerita tentang kesengsaraan yang terpaksa ditanggung oleh pelajar-pelajar di Malaysia yang tidak mendapat sebarang bantuan kewangan daripada kerajaan Malaysia.

"Kebanyakan daripada kami adalah pelajar persendirian yang datang dengan pelbagai janji manis dari pihak tertentu seperti Mara, JPA dan banyak lagi.

"Walaupun tak ada hitam putih, hanya janji mulut, tetapi kami yakin akan dibantu selepas tamat pengajian tahun pertama seperti yang dijanjikan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Tabung Kemanusiaan Pelajar Melayu Mesir di Kelab Sultan Sulaiman tengahari tadi.

Katanya, dengan kejatuhan nilai ringgit, jumlah wang yang dikirim oleh ibu bapa semakin tidak mencukupi untuk menyara kehidupan di Mesir.

"Banyak bezanya. Dulu RM500 boleh bertahan sampai hujung bulan tetapi hari ini, bila tiba tengah bulan kami dah mula tak makan.

"Duit yang ada kami gunakan untuk pergi kuliah dan perkara-perkara yang lebih memerlukan untuk pembelajaran," ujarnya.

Menurut Mohd Muin, mereka pernah memohon bantuan daripada Pusat Pungutan Zakat tetapi semua permohonan mereka ditolak.

"Alasan yang diberi permohonan kami tidak lengkap sedangkan apa yang diminta semuanya telah kami sertakan termasuklah surat sokongan daripada kedutaan Malaysia.

"Kalau dah memang tak nak beri, pelbagai alasan yang akan mereka keluarkan sebab mana mungkin daripada semua permohonan kami tidak ada satu pun yang tidak lengkap," jelasnya.

Katanya, kesusahan yang ditanggung tidak siapa pun yang peduli, malah ada pelajar yang terpaksa balik ke Malaysia tanpa menamatkan pengajian kerana tidak mampu.

"Balik Malaysia pun tak boleh sambung belajar sebab sijil-sijil kami di sana kononnya tidak setaraf dengan kelayakan kemasukan universiti di Malaysia.

"Malang sekali apabila ramai di antara yang terkandas adalah pelajar tahun akhir perubatan yang merupakan pelajar cemerlang tetapi gagal menduduki peperiksaan kerana tidak menjelaskan yuran," katanya.

Sambil melahirkan rasa syukur, Mohd Muin terharu apabila Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) sedia mendengar permasalahan mereka.

"Kami datang jumpa Datuk Ibrahim Ali dan dia mendengar masalah kami dan sedia membantu selagi boleh.

"Bukan kami hendakkan kesenangan tetapi cukuplah kalau dapat membantu meringankan beban menyara hidup di sana.

"Kami di sana kerana menuntut ilmu dan tidak pernah terlintas sekali pun untuk berpoya-poya," ujarnya sambil mengharapkan ramai yang akan memberi sumbangan kepada tabung yang dilancarkan hari ini. - MalaysiaGazette


Kenapa Dividen Dan Bonus ASB Semakin Lama Semakin Sikit Ni?

Posted: 29 Dec 2015 07:34 AM PST


PNB hari ini mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 7.25 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit bagi Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2015.

Menurut Bernama agihan berkenaan rendah sedikit berbanding 7.5 sen seunit yang diumumkan bagi ASB tahun lepas.

Rendah sedikit dari tahun lepas katanya, tapi kalau kita bandingkan antara dividen dan bonus yang dibayar PNB diawal ASB diwujudkan..rendah banyak sebenarnya..

Dividen pada tahun 1990 ialah 8.00 sen seunit dan bonusnya pula adalah 6.00 sen seunit, sepuluh tahun kemudian iaitu tahun 2000 dividennya ialah 9.75 sen seunit manakala bonusnya pula ialah 2.00 sen seunit..

Tahun 2010 pula ialah 7.50 sen seunit dividen dan 1.25 sen seunit bagi bonus.. dan tahun tahun 2015 dividen 7.25 sen seunit bonus 0.50 sen seunit.

Kenapa semakin lama semakin sikit ni??

Baca laporan ni..

Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) hari ini mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 7.25 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit bagi Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2015.

Agihan berkenaan rendah sedikit berbanding 7.5 sen seunit yang diumumkan bagi ASB tahun lepas.

Pengerusi PNB Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata agihan pendapatan itu akan melibatkan pembayaran sejumlah RM10.41 bilion, peningkatan sebanyak 4.3 peratus berbanding RM9.98 bilion yang dibayar tahun lepas.

Bagi bonus, beliau berkata ia melibatkan jumlah pembayaran sebanyak RM451.73 juta.

"Pembayaran berkenaan akan memberi manfaat 8.87 juta pemegang unit yang kini memiliki sejumlah 142.54 bilion unit ASB," katanya pada sidang media selepas mengumumkan agihan dividen berkenaan di sini.

Ahmad Sarji berkata setakat 23 Dis, 2015, ASB mencatatkan pendapatan kasar sebanyak RM10.06 bilion ~ Bernama

Berikut adalah pengagihan dividen dan bonus ASB dari tahun 1990 - 2015:



Apa dah jadi??

Cari Satu Kerja Pun Susah, Kata Ku Li

Posted: 29 Dec 2015 04:41 AM PST


Tengku Razaleigh Tengku Hamzah hari ini menolak cadangan seorang timbalan menteri yang mencadangkan rakyat melakukan 2 kerja untuk menangani kenaikan kos sara hidup dan berkata, mencari 1 kerja dalam persekitaran semasa sekarang sudah cukup sukar.

Pemimpin veteran Umno itu menambah, beliau sendiri tidak mempunyai kerja, apabila ditanya komennya kepada cadangan Timbalan Menteri Datuk Ahmad Maslan 2 kerja akan membantu rakyat berdepan dengan kenaikan harga barangan yang berlaku kini.

"Masalahnya, adakah ada peluang kerja? Kita kata kalau ada kerja dan gaji tidak cukup, cari kerja lain untuk tingkatkan pendapatan.

"Tetapi masalah yang kita ada sekarang ialah tidak ada kerja. Seperti saya. Saya tak ada satu kerja pun," kata Tengku Razaleigh pada satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

The Malaysian Insider tidak menghadiri sidang media itu, akan tetapi berjaya memperolehi rakaman kenyataan beliau.

Ahmad Maslan dilaporkan sebagai berkata, mempunyai 2 pekerjaan bukanlah perkara luar biasa kerana ia banyak dilakukan orang di seluruh dunia.

Tetapi cadangannya mengundang cemuhan dan kritikan ramai, dan Ahmad Maslan kemudian mempertahankan dirinya dengan mengatakan beliau mempunyai 3 pekerjaan iaitu sebagai timbalan menteri, ahli Parlimen Pontian dan ketua penerangan Umno.

Tetapi kenyataannya itu dicemuh hebat pelawak tanah air Harith Iskander yang membalas dengan kenyataan di Facebook dan Twitter mengatakan walaupun dikenali sebagai juruacara, penulis dan pelakon, antara lainnya, tidak bermakna dirinya mempunyai banyak pekerjaan.

Menyentuh isu ini, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata melalui akaun Facebooknya yang seorang menteri perlu bijak dan segera menyelesaikan masalah dihadapi negara dan rakyat.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang pula mendesak ahli Kabinet berhenti bersikap seperti "pelawak" dan menilai kembali Bajet 2016 serta membentangkan Pelan Jangka Panjang Ekonomi untuk menyelesaikan masalah kenaikan kos sara hidup.


Sultan Melaka Anugerah 'Datuk' Kepada Rani Kulup Sebab Berjasa Kepada Rakyat..

Posted: 28 Dec 2015 10:00 PM PST


Rani Kulup Abdullah baru-baru ini menerima gelaran Datuk Paduka Mahkota Melaka dari individu yang mendakwa dirinya Sultan Melaka Darul Islam, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Noor Jan Shah Ibni Almarhum Yam Raja Tuah.

Rani, ketika dihubungi FMT berkata, pengurniaan gelaran itu barangkali hasil perjuangannya membawa isu rakyat dan mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu.

"Saya mendapat gelaran ini, mungkin sebab saya memperjuangkan isu rakyat, mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu, agama dan negara dengan membuat laporan polis apabila sesuatu isu itu dibangkitkan," kata Presiden Martabat Jalinan Muhibah Malaysia (MJMM) itu.

Mengulas lanjut, Rani berkata walaupun individu yang mengelar dirinya sebagai 'Sultan Melaka' itu tidak diiktiraf oleh Majlis Raja-Raja, namun beliau menghormati undang-undang yang ada pada insitusi tersebut.

Malah, Rani bingkas membidas pihak yang berani mengkritik 'Sultan Melaka' dan pengurniaan gelaran itu tanpa usul periksa.

"Nak kritik tak tahu hujung pangkal, kutuk sana sini, jadi nak kritik ikut sedap mulut, tetapi tak mahu kaji sejarah, saya angap pemikiran mereka (pengkririk) terlalu lemah dan cetek ilmu.

"Sultan Melaka telah diiktiraf dunia, kalau nak tahu cerita sebenar tanya Sultan Melaka, dia boleh tunjuk bukti dan ada sijil pengiktirafan oleh Mahkamah Agung Antarabangsa (ICJ)," katanya.

Nama Rani mulai terkenal kerana jumlah laporan polis yang dibuatnya meliputi pelbagai isu terutamanya berkenaan isu pengguna dan politik.

Untuk rekod, beliau telah membuat sekurang-kurangnya 1,000 laporan polis sejak dari tahun 2011 lapor Free Malaysia Today


Isu 2 Kerja: Harith Iskander Sindir Ahmad Maslan...

Posted: 28 Dec 2015 05:15 PM PST


Pelbagai reaksi timbul apabila Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan mengeluarkan kenyataan tentang 2 kerja yang kini menjadi kebiasaan kepada rakyat demi menampung perbelanjaan harian yang semakin meningkat.

Namun kenyataan terbarunya itu menjelaskan bahawa dia sendiri melakukan 3 kerja, bagi memberitahu kononnya dia juga turut bersusah payah bekerja lebih selain menjelaskan bahawa orang kampung pun sudah biasa melakukan perkara yang sama.


Dalam kenyataan Harith Iskander di Facebook, pelawak tersebut menjelaskan bahawa dia sendiri melakukan enam perkara berbeza namun ia tidak dikira sebagai enam pekerjaan.

"Di dalam konteks pekerja kerajaan, anda boleh kata saya pegang enam pekerjaan berbeza. Kerja adalah sesuatu yang kita lakukan setiap hari, sepanjang hari. Jadi, untuk seseorang itu mempunyai dua pekerjaan, maksudnya dia perlu bekerja minimum 2 kali dalam 8 jam sehari – iaitu 16 jam waktu bekerja setiap hari," jelas Harith.

Rata-rata komen yang ditinggalkan di Facebook Harith menyokong apa yang dinyatakan itu.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahmad Maslan itu menimbulkan pelbagai reaksi di laman sosial media. Malah sebuah akhbar tempatan sebelum ini pernah menasihatkan agar dia berfikir terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Jadi apa kata anda? Berapa kerja anda telah buat sehingga ke hari ini? ~ RotiKaya


-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...