Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Najib! Muhyiddin Tanya Ni.. Wang 1MDB Itu Dilabur Atau Dilebur?

Posted: 07 Dec 2015 08:08 AM PST


Langkah Muhyiddin ini berikutan dengan keputusan Majlis Tertinggi Umno untuk memecahkan tradisi dengan menghalang timbalan presiden parti merasmikan perhimpunan parti Pemuda, Wanita dan Puteri.

Muhyiddin yang disingkirkan kerana mengkritik pentadbiran Najib berhubung syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dihalang daripada memberi ucaptama pada perasmian perhimpunan Pergerakan Wanita, Puteri dan Pemuda Umno itu.

Beliau juga tidak dibenarkan membuat sebarang ucapan semasa perhimpunan agung Umno itu.

Keputusan untuk menghalang Muhyiddin daripada berucap di perhimpunan sayap parti itu dikritik kerana amalan itu menjadi sebahagian daripada tradisi parti itu sejak beberapa dekad yang lalu.

Pengkritik Najib dalam Umno menuduh beliau cuba menutup mulut Muhyiddin yang digugurkan daripada Kabinet pada Julai lalu.

LAPORAN LANGSUNG OLEH THE MALAYSIAN INSIDER



8.15pm: Sekumpulan ahli Umno mengedarkan kenyataan tidak bertandatangan dari gabungan ketua-ketua cawangan yang baru ditubuhkan, Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM), menuntut Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak berundur.

8.18pm: Muhyiddin tiba di Kelab Sultan Sulaiman dan memasuki bilik menunggu.

Di luar, sekumpulan orang menjual kemeja-T mengisytiharkan sokongan kepada Muhyiddin, dengan kata-kata "Kami Bangga", bersama-sama dengan gambar bekas timbalan perdana menteri itu dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga pengkritik utama Datuk Seri Najib Razak.

8.20 pm: Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di tempat perhimpunan.

Antara yang turut hadir ialah pemerhati Umno dan pengarang veteran kumpulan New Straits Times Press, Datuk A Kadir Jasin dan bekas naib ketua Umno bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang didakwa cuba mensabotaj ekonomi susulan tindakannya membuat laporan terhadap 1MDB dengan pihak berkuasa asing.

8.24pm: Pengkritik utama 1MDB Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan memberitahu pemberita: "Saya mahu memberi sokongan moral kepada Muhyiddin. Jika dia disekat daripada bercakap, tidak salah dia adakan semua ini kerana dia masih timbalan presiden. Jangan persoalkan kesahihan program ini, semua orang bebas bercakap.

"Kita berpegang kepada perjuangan Umno sebenar, bukan pengecut seperti Najib.

"Najib boleh lakukan apa sahaja yang dia mahu kepada saya, saya akan melawan Najib sehingga tangannya digari."

8.26pm: Seorang ketua kampung dari Pagoh, kawasan Parlimen Muhyiddin di Johor, berkata empat buah bas digunakan mengangkut penyokong untuk acara malam ini.

Turut hadir, Thamrin Ghaffar, anak bekas timbalan perdana menteri Tun Ghafar Baba, dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal, yang juga digugurkan dari Kabinet pada Julai lalu kerana secara terbuka mempertikai tindakan Najib.

8.30pm: Tan Sri Muhyiddin Yassin memasuki dewan yang padat dengan hadirin, yang mempunyai kapasiti 500 tempat duduk. Orang ramai menjerit "Hidup Umno! Hidup Muhyddin! Hidup Tun Mahathir!"

Ruang berdiri hanya terdapat di belakang dewan. Di luar, orang ramai dianggarkan berjumlah kira-kira 500 orang dan melimpah hingga ke jalan. Tiga khemah didirikan untuk hadirin berlindung dari hujan renyai yang mula turun.

8.36pm: Seorang ahli PAS dari Kampung Baru, hanya mahu dikenali sebagai Haji Mat, 67, memberitahu The Malaysian Insider: "Saya datang kerana saya menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin. Keadaan hari ini semakin teruk. Kita tidak lagi boleh bergantung kepada pembangkang. Saya berdoa Muhyiddin menjadi perdana menteri."

8.42pm: Bekas ketua Wanita Umno Langkawi yang dipecat, Anina Saadudin tiba, diiringi peguamnya Mohd Haniff Khatri Abdulla. Anina cuba mencabar pemecatan beliau di mahkamah tetapi gagal selepas Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes itu di bawah Akta Pertubuhan yang menganggap keputusan sesebuah parti politik sebagai muktamad.

8.57pm: Muhyiddin, memakai baju Melayu merah, berdiri di podium dan mula berucap. Di luar, orang ramai mula duduk di atas tanah dan jalan raya untuk mendengar ucapan.

9.07pm: Muhyiddin berucap: "Setiap tahun saya dijemput merasmikan perhimpunan sayap, tetapi tahun ini entah mengapa Majlis Tertinggi (MT) putuskan saya tidak berucap, saya tidak tahu mengapa. Setelah MT buat keputusan itu, saya terima banyak permintaan untuk sampaikan sedikit amanat sebelum PAU bermula.

"Taat dan setia saya kepada Umno tetap utuh. Apatah lagi ramai yang tampil datang memberi sokongan untuk terus berjuang di landasan yg benar, mereka mahukan saya berkata benar dan jangan sekali berundur.

"Sebagai seorang Islam menjadi kewajipan saya menyatakan kebenaran menentang kemungkaran. Saya tidak akan biar kemungkaran yang nyata bermaharajalela tanpa ditentang, khususnya melibatkan agama, bangsa, negara."

9.10pm: Muhyiddin berkata, Allah berjanji kebenaran akan muncul dan kebatilan akan hancur.

"Sebagai orang Islam kita wajib percaya tiada sebenar-benar janji melainkan janji Allah," katanya.

Beliau kemudian mengucapkan terima kasih kepada GKCM dan penganjur acara malam ini kerana menyediakan platform untuknya bercakap.

Dia berterima kasih kepada penyokong lain, menyebut nama Tun Dr Mahathir Mohamad dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal.

9.15pm: Muhyiddin mula bercakap tentang 1MDB, mempersoalkan pelaburannya dan hutangnya, dan bertanya jika wangnya itu "dilabur atau lebur".

Beliau berkata apa yang rakyat mahukan hanya siasatan yang telus ke atas 1MDB dan jawapan yang jelas. Beliau menyebut akhbar mingguan The Edge dan The Edge Financial Daily, yang digantung penerbitannya oleh Kementerian Dalam Negeri kerana laporan mereka mengenai dakwaan skandal 1MDB.

9.21pm: Beliau menyindir janji Najib untuk menyelesaikan masalah 1MDB dalam masa "enam bulan", menyifatkannya "a moving deadline" (tarikh akhir yang bergerak). Sesetengah orang memanggilnya skim penipuan, kata Muhyiddin.

Wang yang diperoleh daripada pelaburan, bukan menambah kepada pendapatan negara, tetapi digunakan untuk membayar hutang.

"Bukan masuk tabung untuk rakyat, tapi bayar hutang." 

(he..he.. dulu.. bila Rafizi dan Tony Pua bangkitkan perkara ni.. macai kata fitnah.. Sekarang apa macam?)

Sewajarnya mereka yang bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan, katanya.



9.23pm: Muhyiddin berkata, beliau dan 6 pemimpin veteran Barisan Nasional yang lain, yang mengadakan sidang akhbar bersama mengutuk tindakan kerajaan menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma terhadap pengkritik 1MDB, terbukti benar akhirnya. Ini kerana mahkamah memutuskan dakwaan cubaan mensabotaj ekonomi itu bukan satu kesalahan keselamatan.

9.26pm: Najib sebagai perdana menteri mesti bertanggungjawab terhadap keadaan dalam negara ini, kata Muhyiddin kepada orang ramai.

"Bolehkah PM dan presiden parti lepas dari tanggungjawab dalam isu ini di mana negara sedang dikorbankan untuk menyelamatkan perniagaan yang tidak perlu ini?" katanya.

9.33pm: Muhyiddin kemudiannya menyentuh mengenai sumbangan RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi Najib. Beliau berkata, rakyat tidak percaya dengan penjelasan yang diberikan Najib dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, orang ramai meminta Najib memulangkan wang itu kepada Umno dan Barisan Nasional jika dana itu benar-benar satu derma politik bertujuan untuk parti pemerintah itu.

"Tidak ada kes terhadap 1MDB di mahkamah lagi, jadi kita boleh mengemukakan soalan," katanya.

Beliau juga menyebut mengenai kempen "Di mana RM2.6 bilion?" pembangkang.

"Bagaimana nak jawab jika orang berkempen pakai t-shirt yang bertanya 'mana RM2.6 bilion' semasa pilihan raya akan datang?" Muhyiddin bertanya orang ramai.

9.39pm: "Saya cadangkan mungkin PM berehat seketika," kata Muhyiddin.

"Ambil cuti hingga selesai. Supaya siasatan berjalan dengan bebas, telus dan adil. Supaya orang lihat tidak ada campur tangan dalam siasatan.

"Kita doakan PM tak terlibat. Kalau tiada kesalahan, balik semula sambung tugas.

"Dengan cara itu orang yakin, percaya kepada kita. Saya percaya, imej PM dan Umno dapat dipulihkan.

9.46pm: Orang ramai di luar bersorak apabila Muhyiddin mengkritik Najib. Timbalan perdana menteri yang dipecat itu menggesa 3 juta ahli Umno untuk bersuara, kerana ketika ini hanya beberapa pemimpin yang berbuat demikian.

"Jika tiga juta ahli bersuara, ia akhirnya akan membawa perubahan".

Muhyiddin menegaskan beliau akan menghadiri perhimpunan agung tahunan Umno minggu ini, dan begitu juga Datuk Seri Shafie Apdal.

"Saya tidak pasti jika saya akan diberi peluang bercakap atau tidak. Kenapa dia takut saya bercakap?" soalnya kepada Najib.

9.50pm: Muhyiddin menyentuh perhimpunan agung Umno yang akan bermula malam esok di mana beliau dihalang daripada berucap atau membuat hujah penggulungan.

"Saya diberitahu mungkin 1MDB tidak akan disentuh. Cari sesiapa asal sokong, sokong, sokong. Itu boleh.

"Mungkin isu RM2.6 bilion tidak akan disentuh. Jangan fikir menutup isu ini, tidak benarkan ahli akar umbi bercakap, boleh selamatkan pimpinan.

"Adakah sudah tiada demokrasi dalam Umno? Apakah ada sindrom bisu? Demokrasi untuk pemimpin tertentu? Sejak bila pula pemimpin Umno kebal?

10pm: Muhyiddin mencadangkan Umno menghadkan tempoh presiden kepada dua penggal sahaja. Satu penggal ialah tiga tahun, dan Umno biasanya mengadakan pemilihan parti setiap tiga tahun.

"Politik wang dan insentif kini menjadi barah dalam Umno," katanya. (Muhyiddin dah akui ni.. macai-macai diluar sana tu jangan nak berselindung di balik slogan HIDUP MELAYU lah!)

10.05pm: Media sosial penuh dengan mesej yang menggesa Najib berundur, kata Muhyiddin.

"Saya lihat di Facebook saya. Selain komen mengenai kos sara hidup, banyak desakan supaya Najib berundur.

"Kalau tak percaya, boleh semak. Kalau tak percaya, semak Facebook Najib sendiri. Twitter beliau," katanya, disambut sorakan gemuruh hadirin.

Kemudian, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak dengan senang menganggap Umno sebagai parti Melayu akan berjaya mengekalkan undi Melayu untuk selamanya.

10.17pm: Muhyiddin selesai berucap. Sebelum mengakhiri, beliau berkata, beliau tidak meminta Najib meletak jawatan untuk kepentingan peribadi.

"Ini pandangan rakyat. Jadi, apa yang boleh saya katakan kepada Najib? 'Tuan, buatlah keputusan anda. Tanya hati nurani moral anda. Lakukan perkara yang betul untuk negara'."

Katanya, beliau kini sudah menjalankan tanggungjawabnya kepada parti dengan bercakap kepada orang ramai malam ini.

"Saya mungkin dipecat daripada parti. Saya menjadi bahan celaan seolah-olah melakukan dosa besar. Tetapi saya tidak lakukan kesalahan.

"Saya lakukan atas dasar prinsip, atas dasar agama. Saya sedia berkorban demi prinsip parti dan bukan kepentingan peribadi.

10.18pm: Dr Mahathir mengambil alih podium dan memulakan ucapan. Orang ramai bersorak kuat.

10.31pm: Dr Mahathir memberitahu hadirin, pemimpin bertanggungjawab mendengar suara rakyat dan melindungi kepentingan mereka, kerana mereka mendapat kuasa daripada rakyat yang memilih mereka.

"Hari ini, malam ini, kita berhimpun kerana prinsip itu diabaikan, diketepikan. Rakyat tak diberi hak menyuarakan pendapat. Mereka cuma boleh kata 'ya' kepada apa sahaja dikatakan pemimpin.

"Ini bermakna kita tak demokratik. Kita jadi parti pemimpin berkuasa mutlak.

"Timbalan presiden tak dibenar bercakap, naib tak dibenar. Ahli dipilih hanya yang berkata 'ya' sahaja.

"Mereka dilarang sebut perkara tertentu, umpamanya 1MDB, RM2.6 bilion," katanya.

10.42pm: Dr Mahathir berkata, Najib yang sepatutnya ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma, bukan pengkritik 1MDB seperti Khairuddin.

"Membuat laporan dianggap perbuatan ganas, jadi dia ditangkap di bawah Sosma.

"Najib yang patut kena tahan bawah Sosma, sebab dia yang jejaskan demokrasi," katanya.

Bekas perdana menteri itu menegaskan, "kita bukan nak gulingkan kerajaan, kita nak gulingkan Najib.".. (Apa kata macai?.. Mahathir yang kata ni..)



Shahrir Ibarat Singa Sarkas Kata Khairuddin

Posted: 07 Dec 2015 06:30 AM PST


Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Samad dilihat sudah kehilangan 'taringnya' bahkan kini dianggap singa tua di dalam UMNO.

Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, sikap dan pendirian Shahrir dalam politik jauh berbeza sama sekali.

"Saya kenal Shahril Samad sejak Semangat 46 lagi, dia antara pengasas dalam parti itu. Dia sungguh berani menolak rasuah, menentang pemimpin kuku besi dan berani menegakkan kebenaran.

"Tetapi kini Shahrir ibarat singa tua yang tidak ada taringnya lagi, tidak bergigi. Dia kini seperti singa sarkas yang mana tidak lagi digeruni dan ditakuti," katanya dalam wawancara bersama Free Malaysia Today.

Tanpa berselindung, Khairuddin menjelaskan beliau kecewa dengan sikap Shahrir kini yang seolah-olah sudah menjadi 'pak turut' dalam setiap keputusan yang dibuat oleh Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri.

"Saya kecewa dengan sikap Shahrir sekarang ini. Dia sudah tidak mempunyai prinsip lagi dan sudah tidak relevan. Bahkan Shahrir juga tidak popular pada masa kini dalam kalangan rakyat. Eranya sudah habis," tegasnya.

Bagi membuktikan telahannya salah, Khairuddin mencabar Shahrir untuk berdebat dengannya dalam isu kontroversi syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Saya cabar Shahrir untuk berdebat dalam siaran langsung di stesen televisyen RTM dalam soal 1MDB. Kita biar rakyat hakimi siapakah yang bercakap benar dan siapakah yang berbohong.

"Kalau mereka (menteri-menteri kabinet) tidak berani untuk berhadapan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, marilah berdebat dengan saya tentang isu 1MDB," ujarnya lagi.

Shahrir merupakan Ahli Parlimen Johor Bahru yang suatu ketika dahulu lantang bersuara. Beliau telah memegang pelbagai jawatan di dalam kabinet antaranya menjadi Menteri Wilayah Persekutuan pada 1987.

Shahrir juga mencatat rekod apabila menjadi setiausaha politik termuda di Malaysia kepada Tun Musa Hitam yang kemudiannya menjadi Timbalan Perdana Menteri lapor Free Malaysia Today


KSU Ketua Menteri Sarawak Dedah Sebab Nurul Izzah Dilarang Masuk Sarawak..

Posted: 07 Dec 2015 04:30 AM PST


Larangan masuk ke Sarawak yang dikenakan ke atas Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dibuat atas pertimbangan sikap tidak patriotik dan tidak sensitifnya baru-baru ini.

Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak Abdullah Saidol hari ini berkata Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu perlu lebih tahu sikapnya itu telah melukakan penduduk negeri ini dan Sabah.

"Seorang pegawai polis berasal dari Sarawak antara yang terbunuh semasa pencerobohan kumpulan bersenjata Filipina ke atas Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 2013.

"Nurul baru-baru ini bertemu dengan Jacel Kiram, anak perempuan Jamalul Kiram yang mendakwa Sultan Sulu, orang yang terbabit secara langsung (pencerobohan di Lahad Datu)," katanya.

Abdullah menambah pada bulan lalu seorang lagi penduduk Sarawak, Bernard Then dibunuh secara kejam oleh penculik Suluk dari Filipina.

Para pegawai Imigresen telah bertemu dengan Nurul Izzah sebaik sahaja beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada pukul 4 petang semalam bagi mengumumkan calon PKR pada pilihan raya negeri yang akan datang.

Seorang pegawai Imigresen memaklumkan bahawa beliau tidak dibenarkan memasuki negeri ini dan diminta meninggalkan Sarawak melalui penerbangan yang kemudiannya.

Abdullah menambah tindakan menyekat itu bukan penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan negeri kerana ia memiliki hak untuk memelihara keharmonian dan perpaduan masyarakat negeri ini.

"Jika Sabah boleh menyekat Nurul masuk, kenapa Sarawak tidak boleh?" katanya

"Kami bukan saja sekat Nurul, malah sesiapa sahaja yang mempunyai niat tidak baik dan ingin menyemai benih perbalahan kaum dan agama di negeri ini," jelas beliau.

Abdullah menambah Nurul Izzah telah menyalahgunakan kebebasan bercakap dengan bersama Jacel, anak Jamalul Kiram yang dianggap sebagai musuh negara - MalaysiaGazette


Habislah Azmin Kali Ni.. Silap-silap Boleh Hilang Deposit Nih..

Posted: 07 Dec 2015 02:00 AM PST


Jangan terkejut jika Presiden Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) Abdul Rani Kulup Abdullah atau lebih dikenali dengan panggilan Kipidap menyertai politik dengan menjadi calon kawasan parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali merupakan Ahli Parlimen kawasan itu dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa.

Abdul Rani, hasratnya itu merupakan alternatif kepada rakyat yang sudah bosan dengan wakil rakyat yang berasaskan parti politik di negara ini.

"Saya membawa nama Kipidap akan bertanding di Gombak dan juga di kerusi Dewan Undangan Negeri pada PRU akan datang dan juga bercadang meletakkan calon Bebas di kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri dan 222 kerusi Parlimen.

"Mungkin anda di luar sana tertawa dengan apa yang saya cakap sekarang, tetap sebenarnya memang benar saya berhasrat nak bertanding.

"Lagipun saya membuat keputusan ini atas keinginan dan permintaan para peminat saya di serata negara melibatkan lebih sejuta orang. Sudah pasti jutaan peminat saya akan gembira jika saya bertanding dan memberi sokongan padu pada PRU nanti.

"Manakala kami akan meletakkan calon Bebas di kerusi-kerusi lain selepas ditapis kelayakan mereka. Yang pasti kita akan cari calon bebas berdasarkan semangat jujur dan kesediaan berkhidmat untuk rakyat selain memenuhi kriteria dan peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) nanti," katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media selepas membuat laporan polis mengenai pemecatan seorang jururawat yang dibuang kerja kerana enggan memakai pakaian seragam berlengan pendek baru-baru ini.

Abdul Rani menggesa kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan, Kementerian Sumber Manusia dan polis menyiasat perkara ini dan tampil dengan penyelesaian yang rasional dan tegas.

Katanya, siasatan kes melibatkan jururawat Naziah Sauni Samat dibuang kerja perlu mengambil kira semua aspek supaya ia tidak dijadikan bahan politik oleh pihak tertentu.

"Saya difahamkan oleh pegawai hospital itu bahawa jururawat itu dipecat hanya disebabkan masalah disiplin tidak datang ke kerja selama dua hari dan bukannya disebabkan cara pemakaian dan pada masa yang sama mengakui wanita itu tidak dibenarkan memakai pakaian seragam berlengan panjang yang dikatakan tidak mengikut etika pemakaian yang ditetapkan hospital itu.

"Saya rasa kerajaan harus memikirkan semula sama ada wujud keperluan untuk mengkaji semula etika kod serta peraturan pemakaian seragam untuk semua kakitangan termasuk jururawat di hospital swasta jika perlu.

"Isu ini pertama kali berlaku dan adalah penting satu siasatan yang bertanggungjawab dan tidak memihak mana-mana pihak bagi memastikan kerjaya perubatan kesihatan di negara ini terus terpelihara tanpa terganggu dengan perkara-perkara sebegini.- MalaysiaGazette


‘Pegawai Atasan Korup’ Punca Tekanan Kerja Dakwa Bekas Diplomat

Posted: 06 Dec 2015 11:57 PM PST


Bekas kakitangan diplomatik Malaysia Mohammed Rizalman Ismail yang mengaku bersalah atas dakwaan serangan sumbang ke atas seorang wanita New Zealand memberitahu mahkamah beliau tertekan di tempat kerja sehingga menyebabkan laporan penilaian mentalnya negatif.

Katanya, ini disebabkan beliau mempunyai "pegawai atasan korup" yang suka menyalahkan kakitangan bawahan.

Rizalman memberitahu Mahkamah Tinggi Wellington di New Zealand terdapat budaya "menyalahkan orang bawahan" di tempat kerjanya, lapor New Zealand Herald hari ini.

Rizalman berkata laporan yang dikeluarkan tentera Malaysia pada 2014 mengenai keadaan mentalnya mengandungi perkara negatif tentang dirinya kerana itulah "cara Malaysia" menyalahkan orang bawahan.

Laporan yang dihantar ke mahkamah juga mendapati Rizalman kekurangan tidur sebelum hari beliau melakukan kesalahan, bergantung kepada tahap penggunaan dadahnya.

Laporan juga menyebut ujian air kencing menunjukkan beliau mengambil alkohol dan ganja walaupun Rizalman mendakwa sebaliknya.

Laporan perubatan Wellington pada 2014 juga mendapati beliau dalam keadaan "tertekan dan gelisah".

Minggu lepas, bekas kakitangan Kementerian Pertahanan Malaysia berusia 39 tahun itu mengaku bersalah atas kesalahan serangan sumbang ke atas seorang wanita New Zealand, Tania Billingsley pada Mei 2014, tetapi sedang menafikan fakta kes yang dibawa barisan pendakwaraya.

Beliau juga mengaku membuang air besar di depan kediaman Billingslet, yang didakwa merupakan sebahagian upacara untuk "menyihir" Billingsley, tetapi Rizalman mendakwa kejadian itu berlaku disebabkan beliau cirit birit.

Beliau juga mendakwa Billingsley memberikan senyuman kepadanya dan menurutnya ia adalah "budaya Malaysia" ditakrifkan sebagai jemputan untuk mengikut wanita itu lapor The Malaysian Insider


1MDB: Takut Nak Salahkan Mahathir, Najib Salahkan Pembangkang..

Posted: 06 Dec 2015 08:15 PM PST


Umum mengetahui.. individu-individu yang lantang bersuara mengkritik 1MDB yang diilhamkan oleh Najib ini ialah beberapa pemimpin tertinggi UMNO sendiri..

Tapi dalam cubaannya untuk memperbodohkan rakyat khususnya Mahasiswa yang mendengar auta nya.. Najib meletakkannya kepada pihak Pembangkang pula.. katanya Pembangkang hanya auta mengenai isu ini..

Mahathir bekas Perdana Menteri dan juga mantan Presiden UMNO, Muhyiddin bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden UMNO, Mukhriz Menteri Besar Kedah juga dari UMNO..

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sehingga kerajaan membenarkan audit yang betul oleh juruaudit bukan kerajaan, beliau berhak untuk membuat andaian munasabah dan menganggap bahawa terdapat lebih daripada sekadar tipu muslihat dalam transaksi 1MDB dan RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Tan Sri Muhyiddin Yassinsecara terbuka mengkritik cara kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditangani, dengan berkata isu itu sangat serius dan bakal menjadi parah.

Bercakap pada wartawan yang bersamanya dalam rombongan rasmi ke Milan, Itali pada 9 Mei lalu, Muhyiddin berkata isu hutang 1MDB merupakan faktor utama kekalahan Barisan Nasional (BN) di Permatang Pauh semalam.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut mempertikaikan cara Putrajaya mengendalikan firma pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Secara khusus Mukhriz bertanya kepada Kementerian Kewangan - yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak - bagaimana tanah di kawasan Tun Razak Exchange di tengah ibu kota boleh dijual begitu murah kepada 1MDB.

Melalui Twitter, Mukhriz bertanya: "Kalau TH (Tabung Haji) sanggup bayar harga begitu tinggi utk tanah kepunyaan 1MDB, apa alasan Kem Kewangan jualnya pd harga begitu murah kpd 1MDB dulu?"

Adakah pemimpin-pemimpin UMNO itu telah terpengaruh dengan auta pembangkang?

Kalau Tun Mahathir pun boleh dipengaruhi oleh pembangkang mengenai isu ini.. hebat betulllah jentera pembangkang...

Laporan berkaitan..

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa pembangkang akan kalah sekiranya mereka dicabar untuk membentang fakta berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 
Najib mendakwa pembangkang selama ini hanya bercakap 'auta' (tidak benar) mengenai 1MDB yang hakikatnya syarikat itu tidak mempunyai hutang yang membebankan kerajaan dan negara. 
"Ada syarikat negara dari China, beli dengan nilai keseluruhan RM17 bilion (1MDB)... nampak boleh selesai. 
"Mereka nak serang kita melalui peperangan persepsi. 
"Kalau bentang fakta dia kalah... kalau bentang logik dia kalah... kalau lawan rasional dia kalah.. dia lawan apa, dia lawan bukan fakta tetapi auta," katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional 2015 (PEMANAS 3.0) malam tadi. 
Mengulas lanjut, Najib berkata isu 1MDB ini juga telah menjadikan Arul Kanda lebih popular berbanding pengkritik. 
Katanya, penjelasan Arul itu juga membuatkan pengkritik semakin senyap. 
"Apabila muncul isu 1MDB, bila Arul Kanda beri penerangan, saya anggap dia adalah popular di Malaysia. 
"1MDB ditimbulkan melalui persepsi, tetapi realitinya kita dah tegok pencerahan isu itu semakin jelas bahawa penyelesaian itu ada, belum rugi lagi," katanya. 
Sehubungan itu, Najib yakin sekiranya penjelasan diberikan dengan baik, rakyat akan terus bersama kerajaan. 
"Kalau kita dapat terangkan, kita percaya mereka akan bersama kerajaan," tegasnya lapor Malaysiakini

Ni ayat dia yang paling lawak.. "Kalau kita dapat terangkan, kita percaya mereka akan bersama kerajaan,"..

Kah.. kah.. kah..

Bila diberi peluang kepada dia untuk menjelaskan segalanya dalam Dewan dia lari.. dari jauh berani pulak dia bercakap..

Pahlawan Bugis kononnnn....


Isu Jururawat Dilarang Tutup Aurat: PPIM Sedia Bongkar Segalanya Di Mahkamah..

Posted: 06 Dec 2015 04:30 PM PST


"Pihak kita tidak ada masalah. Kami akan bongkar di mahkamah dan ini peluang kami hendak dedahkan perkara sebenar'.

Demikian respons Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan ketika ditanya ‎tentang status terkini mengenai kenyataan Damai Services Hospital (Melawati) Sdn Bhd akan mengambil tindakan saman terhadap seorang bekas jururawatnya, Naziah Sauni Samat,24, dan PPIM dalam tempoh terdekat.

Tindakan saman itu, susulan sidang media Naziah, bersama Nadzim yang mendakwa jururawat itu dibuang kerja kerana cuba menutup aurat semasa bekerja.

Mengulas lanjut, Nadzim mendakwa, beliau mempunyai bukti yang kukuh untuk mempertahankan kenyataannya bersama Naziah sebelum ini.

"Kita ada rakaman itu, ‎kita buat perkara betul, kita tidak menyebut apa benda.

"Ini kerana dia menafikan hak-hak rakyat Malaysia yang dilindungi oleh Perlembagaan Negara, itu sahaja Islam adalah agama rasmi, dia hendak buat apa ikut dialah," katanya kepada Sinar Online.

Dalam pada itu, Nadzim berkata pihaknya pernah berjumpa sendiri dengan pihak Hospital Damai untuk meleraikan isu tersebut.

"Tiga minggu lepas saya jumpa sendiri (Pengurus Kewangan dan Pentadbiran Hospital Damai Service) Regina Sundram, dia kata OK. Tetapi dia hendak tengok pengesahan daripada Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) yang mana kita sudah hanta, dan dia hendak surat Kementerian Kesihatan sahkan.

"Jadi surat Jakim kita sudah hantar, cuma surat untuk Kementerian Kesihatan 'pending' kerana Dr Hamidah di luar negara, jadi saya kata, biarlah mereka pakai, jadi dia setuju, tapi bila kita balik dia buat laporan polis, katakan kita ugut dia pula," ujarnya.

‎Kelmarin, Naziah dalam kenyataannya berkata, beliau diberhentikan oleh pihak pengurusan sebuah hospital swasta kerana memakai baju lengan panjang dan tudung. Perbuatan itu dianggap kesalahan besar.



... Sebelumnya SinarHarian melaporkan pihak Hospital mahu saman Naziah dan PPIM berkenaan pendedahan ini..


KUALA LUMPUR - Damai Services Hospital (Melawati) Sdn Bhd akan mengambil tindakan saman terhadap seorang bekas jururawatnya, Naziah Sauni Samat dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dalam tempoh terdekat.

Tindakan saman itu, susulan kenyataan media yang dikeluarkan Naziah di Pejabat PPIM kelmarin.

Naziah dalam kenyataannya berkata, beliau diberhentikan oleh pihak pengurusan sebuah hospital swasta kerana memakai baju lengan panjang dan tudung. Perbuatan itu dianggap kesalahan besar.

Susulan tindakan Naziah, Pengurus Kewangan dan Sumber Manusia Damai Services Hospital (Melawati) Sdn Bhd, Regina Sundram berkata, pihaknya akan mengambil tindakan kerana perbuatan Naziah telah merosakkan imej hospital dan kakitangan mereka.

"Sejak semalam (kelmarin), pihak hospital tidak berhenti menerima panggilan telefon bertanyakan hal berkenaan sehingga ada pihak yang mahu memboikot serta mengeluarkan kata-kata tidak sepatutnya.

"Bahkan laman sosial Facebook hospital turut dihujani pelbagai dakwaan dan kata-kata yang tidak baik sehingga memaksa kami menapis setiap komen pengguna sebelum disiarkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Menurut Regina, orang luar hanya membuat tuduhan berdasarkan kenyataan sebelah pihak tanpa merujuk dan mendapatkan penjelasan sebenar dari pihak hospital.

"Kami akan berbincang dan mendapatkan menasihatkan peguam Isnin ini, sebelum tindakan lanjut diambil.

"Kita juga sedang mengumpul segala dokumen termasuk laporan akhbar dan komen pengguna laman sosial yang menjurus kepada merosakkan dan menjatuhkan imej hospital dan kakitangan kami," katanya.

Jelasnya, hospital berkenaan sudah beroperasi sejak 1989 dan kini mempunyai seramai 120 kakitangan, 41 daripadanya beragama Islam.

Dalam pada itu, mengenai dakwaan Naziah diberhentikan tugas kerana faktor pakaian, Regina menafikannya.

"Pihak hospital tidak pernah mengeluarkan sebarang surat rasmi berkaitan pemecatannya. Sebaliknya beliau diberi surat yang mana kami memberi tempoh untuknya mematuhi peraturan hospital.

"Naziah bagaimanapun tidak hadir bertugas selama lima hari sejak 25 November tanpa sebarang penjelasan dan kami dianggap beliau berhenti secara sukarela," katanya.

Regina berkata, pihak hospital turut memberi ruang kepada Naziah untuk berfikir sama ada meneruskan kerja di situ atau berhenti sendiri.

"Naziah bagaimanapun hadir bertugas pada 30 November dengan memakai stoking lengan. Ia masih melanggari peraturan pemakaian hospital.

"Teguran dibuat, tetapi Naziah tidak mematuhinya sehingga tamat waktu bertugas. Kalau benar kami berhentikan Naziah, gajinya masih dibayar mengikut jadual," katanya.

Mengenai larangan memakai baju lengan panjang dan tudung, Regina akui peraturan hospital tidak membenarkan jururawat mengenakan pakaian seragam berlengan panjang.

"Peraturan ini telah diguna pakai sejak hospital beroperasi. Jururawat tidak dibenarkan memakai lengan panjang kerana dikhuatiri akan menyebabkan jangkitan kuman ketika mengurus pesakit.

"Ia juga atas faktor keselamatan dan demi memudahkan tugas jururawat. Jadi tidak perlulah jururawat menyingsing lengan baju sehingga mengganggu tugas yang memerlukan tindakan segera dan pantas," katanya.

Berkenaan, Sijil Perakuan Amalan Tahunan (APC) milik Naziah yang digantung, pihak hospital tiada kuasa berbuat demikian, sebaliknya ia hanya boleh dilakukan oleh Kementerian Kesihatan.

"Bagaimanapun kami memutuskan untuk tidak memperbaharui sijil berkenaan, atas faktor keselamatan pesakit," katanya.

Bagi Regina, Naziah seharusnya bersemuka dan berbincang dengan pengurusan hospital dan bukannya hanya berhubung melalui aplikasi WhatApps atau membuat aduan kepada PPIM.

"Tindakan Naziah hanya membunuh profesion jururawat itu sendiri. Beliau hanya memburukkan keadaan. Ini bukan isu perkauman atau agama. Kami hormati setiap kaum dan agama mereka," katanya.


-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...