Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Ahmad Bashah.. Anda Kantoi Lagi!!..

Posted: 21 Jan 2016 06:54 AM PST


Sebelum itu.. kat FB aku tadi ada empat atau lima orang yang bertanya, kenapa aku bersunguh-sungguh mempertahankan Mukhriz tu?.. he.. he..

Sebenarnya aku pertahankan dia sebab ramai yang berkata Mukhriz ni walaupun dia kaya, bapak dia bekas Perdana Menteri.. dia benar-benar melakukan kerja dia sebagai Menteri Besar..

Aku tak dengar lagi ada tuduhan yang mengatakan Mukhriz dah rembat duit dari mana-mana GLC atau apapun firma yang aku tahu salah dia hanyalah sebab dia anak Mahathir..

Lagipun kalau kita tengok muka-muka pemimpin UMNO yang ada dalam sidang media semalam tu.. muka Jamil Khir.. muka Azeez dan muka-muka Ketua Bahagian yang dikatakan bermasaalah.. alahai.. kesian kat rakyat Kedah kalau salah sorang dari muka yang ada tu jadi MB..

Aku peduli apa samada dia dari UMNO atau PAS ataupun PKR mahupun DAP.. selagi dia tak timbulkan kontroversi.. selagi dia tak terpalit dengan skandal.. selagi dia tak mengeluarkan kenyataan-kenyataan bodoh yang menyakitkan hati rakyat.. aku tak kisah..

Berbalik kepada Ahmad Bashah kantoi lagi tu.. baca ,laporan kat bawah ni..

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), Datuk Suraya Yaacob, menafikan majoriti kepimpinan UMNO di Kedah menolak Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar.

Justeru, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, menyifatkan 'serangan' dibuat terhadap Mukhriz melalui sidang media khas semalam, sebagai suatu tindakan yang gelojoh dilakukan pemimpin tertentu.

Katanya, beliau tidak menerima sebarang jemputan bagi sidang media penolakan Mukhriz itu, malah sama sekali tidak akan menyokong perbuatan seumpama itu.

"Tak boleh kata seluruh kepimpinan UMNO (Kedah) tolak Menteri Besar... kalau seluruh kepimpinan maknanya Ketua UMNO cawangan pun termasuk sekali...itu hanya melambangkan mereka yang berada di situ.

"Saya tidak dijemput dan tak akan sokong sebab itu bukan cara dalam UMNO...tak menjangka ia akan jadi sebegitu drastik, " katanya ketika ditemui di Istana Anak Bukit, di sini sebentar tadi.

Sementara itu, seorang lagi EXCO Kedah, Datuk Tajul Urus Mat Zain, yang hadir pada sidang media semalam pula, mengakui ragu-ragu sama ada kaedah dilakukan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan pemimpin UMNO lain itu betul atau tidak.

Tajul Urus berkata, beliau tidak dimaklumkan lebih awal mengenai inti pati sidang media itu dan hanya mengetahuinya sebaik hadir di Hotel Grand Alora, selepas diminta hadir.

"Ia menjadi pertanyaan pada saya sama ada ini kaedah yang betul...soal pucuk pimpinan dah tak boleh (diterima) adalah biasa, namun kaedah dia tu...saya tiba di sidang media itu dan bertanya pelbagai soalan, namun akhirnya saya akur di situ sahaja.

"Sekiranya ditanya saya pada peringkat awal, mungkin saya bagi pandangan lain, " katanya.

EXCO Kedah, Datuk Amunuddin Omar, berkata beliau turut tidak mendapat jemputan bagi menghadiri sidang media itu.

Beliau yang menyokong penuh kepimpinan Mukhriz berkata, tindakan sidang media itu dibuat secara dasarnya seolah-olah tidak menghormati Undang-undang Tubuh Negeri Kedah, iaitu Menteri Besar dilantik atas perkenan Sultan Kedah ~ Berita Harian

Bagaimanapun... walaupun aku sokong Mukhriz.. aku tak sokong UMNO!!.. Harap maklum!


Petronas Mungkin Buang Sebahagian Dari 51,000 Kakitangan?

Posted: 21 Jan 2016 04:30 AM PST


Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sedang mempertimbangkan pemberhentian sebahagian daripada kira-kira 51,000 kakitangannya sebagai salah satu opsyen berikutan syarikat minyak negara itu berdepan realiti harga minyak rendah, menurut laporan Malaysian Reserve.

Sumber memberitahu akhbar perniagaan itu, pengurusan Petronas sedang mempertimbangkan skim pemisahan sukarela (VSS) bagi kakitangan tetapnya.

Pada Selasa, The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan Petronas bercadang memotong sehingga RM50 bilion (AS$11.41 bilion) dalam bentuk modal dan perbelanjaan operasi dalam tempoh 4 tahun akan datang.

Petronas, yang menyumbang kepada hampir separuh hasil minyak Malaysia, akan menangguhkan beberapa projeknya, kata WSJ, memetik memo dalaman daripada ketua eksekutif syarikat minyak itu, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Syarikat itu terjejas akibat harga minyak merudum, jatuh paling rendah sejak 2003, pada Isnin.

Harga jatuh melepasi 70% dalam tempoh 18 bulan berikutan pengeksport seluruh dunia mengeluarkan lebih sejuta tong minyak mentah setiap hari akibat permintaan berlebihan.

Pada Februari tahun lalu, Petronas berkata ia merancang memotong perbelanjaan modal sebanyak 10% dan perbelanjaan operasi sehingga 30% pada 2015.

Ia juga berkata pada masa itu, akan memotong perbelanjaan modal sehingga 15% pada 2016 ~ The Malaysian Insider


Bila Buku Berunsur Seks Dijadikan Buku Teks...

Posted: 21 Jan 2016 12:07 AM PST


Sungguh ironis.. Ketika Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi amaran akan mengambil tindakan tegas kepada penerbit yang menerbitkan novel berunsur lucah di negara ini.

Panel pemilih bagi Komponen Sastera (Komsas), Kementerian Pendidikan pula menjadikan novel berunsur lucah atau buku seks untuk dijadikan teks di Sekolah Menengah..

Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN), Hashimah Nik Jaafar berkata, pihaknya akan menyiasat dengan teliti novel yang dikatakan dijual secara meluas di pasaran dan menjadikan pelajar sekolah selain remaja sebagai sasaran pembaca. 

"Pada kebiasaannya, novel sebegini diterbitkan oleh penerbit yang tiada permit dengan KDN dan pencetak yang tidak ada permit pencetakan. Pihak KDN boleh ambil pelbagai tindakan kepada mereka,"

Malangnya...  Novel Pantai Kasih dikarang oleh Azmah Nordin menjadi polemik di media sosial apabila ia dijadikan sebagai teks Komsas bagi pelajar tingkatan empat.

Novel itu juga berkisarkan profesion doktor dan jururawat di sebuah hospital swasta didakwa mengandungi elemen negatif selain lebih berkonsepkan novel popular.

Novel yang dijadikan Komsas Tingkatan Empat tetapi turut mengandungi unsur lucah dan menonjolkan hubungan negatif antara doktor dan jururawat, sehingga mencetus kemarahan ibu bapa dan orang ramai.

Entah macam manalah novel ini boleh dipilih sidangkan ianya dijangka akan menimbulkan rasa tidak selesa pelbagai pihak selain guru-guru dan juga ibu bapa..

Tentu pening cikgu-cikgu nak menjawabnya terutama cikgu-cikgu wanita bila ada antara perenggan dalam buku itu mereka diminta menjelaskannya oleh anak murid yang nakal..

Guru yang mengajar Komsas sendiri dikatakan jadi keliru bagaimana mahu menerangkan bahagian tersebut dengan baik sedangkan ia jelas berunsur lucah...

Bahagian kontroversi daripada novel popular tulisan Azmah Nordin itu adalah seperti berikut: 

"Bagaikan tidak dapat ditangguhkan lagi, Doktor Sadiz sudah tidak mampu mengawal nafsunya. Raiha telah menjadi mangsa kerakusannya. Tanpa sebarang perencanaan dan tanpa kerelaan Raiha, terlucutlah sel daripada genetik 'istimewa' milik Doktor Sadiz ke dalam badan Raiha.  
"Doktor Sadiz terus menyeringai dan terus giat menyempurnakan autopsi ataupun bedah siasat ke atas jasad Raiha yang terhimpit dan terlentang di atas lantai lif itu". 

Maka tak hairanlah Editor Kanan Bahagian Buku Umum Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Shahrul Nizal Mohd Nor turut mempersoalkan pemilihan novel tersebut.

Katanya "Setiap karya harus dibaca sehingga selesai agar memahami struktur penulisan serta mengetahui keseluruhan isi kandungan novel yang dipilih.

"Panel tersebut telah diberi tanggungjawab untuk berperanan memilih karya yang terbaik yang dapat memberi kebaikan serta mempunyai makna kepada masyarakat. Jadi kaji ia terlebih dahulu dulu sebelum membuat pilihan," katanya.

Laporan berkaitan..

SHAH ALAM - Badan bukan kerajaan (NGO), Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) menegaskan bahawa novel sastera untuk pelajar sekolah tidak seharusnya mempunyai unsur negatif seperti lucah.

Pengerusinya, Halim Ishak berkata, unsur lucah yang terkandung dalam novel tersebut dikhuatiri boleh merosakkan minda pelajar. 
"Novel yang mempunyai unsur lucah tidak boleh digunakan dalam proses pembelajaran. Ia tidak memberikan pendidikan kepada pelajar dalam konteks sastera. 
"Banyak lagi buku ilmiah yang diterbitkan Sasterawan Negara dan mengapa buku ini tidak dijadikan buku pelajar?," katanya.

Novel berkisar profesion doktor dan jururawat di sebuah hospital swasta didakwa mengandungi elemen negatif selain lebih berkonsepkan novel popular. 
"Saya sebagai individu yang aktif dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru di Selangor dan Melaka mendapati rata-rata ibu bapa terkejut dan tidak berpuas hati setelah membaca antara kandungan dalam novel tersebut," kata Halim. 
Katanya, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan perlu memandang serius situasi ini dan harus mengambil langkah segera. 
"MCCF mendesak agar novel Pantai Kasih dibatalkan sebagai buku teks tingkatan empat. Kandungannya tidak bersesuaian untuk remaja," katanya.

Pemilihan dibuat berdasarkan apa?.. kualiti atau kroni?


Ahmad Bashah Kantoi!!.. Ketua Wanita UMNO Kedah Dedahkan Tak Tahu Apa Tujuan Sidang Media Diadakan..

Posted: 20 Jan 2016 10:00 PM PST


Mula-mula kita fahamkan apa yang Ahmad Bashah yang orang kata dok gila nak jadi Menteri Bersa Kedah kata dalam sidang media semalam..

Dia kata.. Pemimpin UMNO Kedah dah hilang kepercayaan terhadap Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah dan Pengerusi UMNO negeri.

Jadi sebagai wakil seluruh kepimpinan UMNO Kedah dia merayu kat Perdana Menteri, supaya membuat perubahan segera terhadap kepimpinan tertinggi parti negeri dan jawatan Menteri Besar Kedah.

Dilaporkan seramai 14 ketua bahagian hadir kecuali Jerlun, Padang Terap dan Kulim Bandar Baharu yang diwakili timbalan ketua bahagian masing-masing.

Yang hadir sama ketua semua sayap parti dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional.

Kata Ahmad Bashah lagi kata sepakat itu dicapai berikutan kelemahan serta ketidakupayaan Mukhriz yang dilihat gagal menyatupadukan kepimpinan dan jentera parti di semua peringkat.

Ada cerita disebaliknya rupa-rupanya..

SHAH ALAM - Ketua Wanita Umno Kedah, Datuk Maznah Hamid hari ini mendedahkan perkara sebenar disebalik sidang media Umno negeri itu yang menarik sokongan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir. 
Mendedahkan perkara itu, katanya, sebelum sidang media itu, mereka (kepimpinan Umno Kedah dan bahagian) telah dipanggil untuk menghadiri satu taklimat tertutup bersama kepimpinan. 
"Selaku ketua sayap negeri dan bahagian, saya hadir untuk mengetahui perkembangan parti terutamanya di Kedah. 
"Sebaik sampai langsung tiada mesyuarat mesyuarat taklimat, sebaliknya saya dan beberapa pemimpin lain diminta ke barisan depan untuk menyertai sidang media, sedangkan kami tak tahu apa sebenarnya dan tujuan sidang media diadakan," katanya kepada Sinar Online, hari ini. 
Beliau berkata demikian mengulas sidang media yang diketuai Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Hanipah bersama hampir keseluruhan kepimpinan Umno Kedah semalam. 
Katanya lagi, tidak semestinya kehadiran beliau di situ menyokong tindakan itu, sebaliknya hanya ingin mengetahui perkara sebenar. 
"Saya amat berharap kepada kepimpinan Umno agar semua kembali rasional dalam membuat keputusan. 
"Janganlah kita membuat sesuatu yang menyusahkan rakyat dan merugikan bangsa kit sendiri. Semoga Kedah kembali aman sejahtera," katanya.

Dalam politik.. tindakan Ketua Wanita itu adalah satu tindakan yang dipanggil 'Play Safe'.. tapi kalau betul macam tu.. tunggu apa lagi Mukhriz.. pecat saja dia tu..



Selain Dari Derma RM2.6 Billion, Najib Juga Akui Terima RM42 Juta?

Posted: 20 Jan 2016 07:09 PM PST


Yang jelas dalam hal ini kita perlu hormat Najib sebab beliau sebenarnya amat jujur serta berani mengakui selain dari menerima derma berjumlah RM2.6 Billion.. beliau juga akui terima RM42 Juta dari SRC International..

Beliau tidak menyembunyikannya tapi mendedahkannya meskipun tahu beliau akan menjadi sasaran kritikan rakyat kebanyakkan kecuali macai..

Yang membezakan antara derma RM2.6 Billion itu dan RM42 Juta yang masuk ke akaunnya ialah penderma RM2.6 Billion itu diketahui siapa pendermanya oleh Najib.

Tapi RM42 Juta ni dia tak tahu duit itu disalurkan melalui 2 pengantara.

Beruntungnya dia... mungkin ini apa yang dikatakan oleh orang tua-tua.. Tuah ayam nampak dikaki.. Tuah manusia siapa yang tahu?..

Tuah badan lah katakan..

Jadi apa yang disiarkan oleh Sarawak Report dan The Wall Street Journal pada 2 Julai tahun lepas iaitu wang RM2.6 bilion dan RM42 juta dipindahkan melalui AmPrivate Banking menerusi Gandingan Mentari dan Ihsan Perdana itu benarlah..

Laporan berkaitan..

Datuk Seri Najib Razak mengakui dalam plidingnya, RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya, tetapi menambah beliau tidak mengetahui ia disalurkan melalui 2 pengantara. 
Kenyataan bertulis yang ditunjukkan kepada The Malaysian Insider itu, adalah jawapan kepada pembelaan Tun Dr Ling Liong Sik bagi saman fitnah yang difailkan Najib pada Oktober lalu terhadap bekas presiden MCA itu. 
Dr Ling berkata, perdana menteri tidak layak memimpin Malaysia selepas menerima sumbangan RM2.6 bilion daripada seorang penderma di Timur Tengah dan sejumlah RM42 juta daripada firma milik Kementerian Kewangan itu, yang merupakan bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 
Najib mengakui dalam plidingnya, RM42 juta daripada SRC International dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya tetapi berkata beliau tidak tahu wang itu disalurkan melalui 2 pengantara seperti didakwa Dr Ling. 
Kedua-dua pengantara yang dirujuk adalah Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd. 
"Oleh itu, defendan (Dr Ling) perlu membuktikannya," kata Najib dalam kenyataan itu yang difailkan pada 12 Januari melalui firma guaman Tetuan Hafarizam Wan & Aishah Mubarak. 
Dr Ling dalam pembelaannya sebelum ini berkata, laman web pemberi maklumat iaitu Sarawak Report dan The Wall Street Journal melaporkan pada 2 Julai tahun lepas, wang RM2.6 bilion dan satu lagi transaksi (RM42 juta) dipindahkan melalui AmPrivate Banking menerusi Gandingan Mentari dan Ihsan Perdana. 
Perdana menteri berkata kes itu sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan beliau tidak mahu mengatasi agensi anti rasuah itu.
Najib berkata beliau akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada agensi yang menjalankan siasatan secara bebas dan telus. 
"Plaintif (Najib) mempunyai hak menangani isu ini (jika perlu) selepas siasatan selesai," katanya. 
Sarawak Report mendakwa RM2.6 bilion dipindahkan sebelum pilihan raya umum 2013 adalah hanya sebahagian daripada sejumlah wang yang dimasukkan ke akaun AmBank sama dalam tempoh itu selepas 2011. 
SPRM mengesahkan RM2.6 bilion itu sumbangan politik daripada individu tidak dinamakan dari Timur Tengah. 
Najib enggan mengulas mengenai RM42 juta daripada SRC tetapi berulang kali menafikan menyalah guna wang rakyat untuk kepentingan peribadi dan sebaliknya menuduh pihak yang berkonspirasi untuk menjatuhkannya. 
Dr Ling berkata, presiden Umno itu gagal mendedahkan identiti penderma, sumber dana dan bagaimana ia digunakan. 
Bekas presiden MCA itu juga berkata, tidak ada sebab yang sah mengapa SRC menyalurkan RM42 juta ke dalam akaun peribadi Najib dan mengapa beliau secara peribadi menerima sejumlah wang yang amat besar. 
Beliau berkata walaupun Najib pada 8 Disember tahun lepas mengaku menerima wang itu sebagai derma, beliau tidak menyalurkan wang itu ke dalam akaun Umno. 
Dalam saman balas yang difailkan pada bulan lalu, Dr Ling mendakwa Najib menyalahgunakan proses mahkamah dan tidak mengambil tindakan saman fitnah terhadap orang lain, termasuk pemimpin Umno yang berkali-kali mengkritik tingkah laku dan integriti beliau. 
Sehubungan itu, Dr Ling berkata Najib mewujudkan persepsi masyarakat yang pemindahan wang itu bukan untuk tujuan sah dan beliau tidak jujur dan telus. 
Pengurusan kes akan datang di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur John Louis O'Hara ditetapkan pada 18 Februari ~ The Malaysian Insider

Tapi... macai tak kisah ini semua.. bila tiba pilihanraya dapat upah RM20 atau RM30, dapat makan nasi bungkus dengan teh ais dah cukupdah..


Mukhriz Bakal Dipecat?

Posted: 20 Jan 2016 04:30 PM PST


Kemelut yang melanda kepimpinan tertinggi negeri Kedah hari ini dilihat berpunca ekoran kegagalan Menteri Besarnya (MB), Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam menyusun strategi dan juga jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

Menurut Penganalisis Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Shukri Shuaib, hal ini sudah diperkatakan untuk satu tempoh masa yang agak lama.

Menurutnya lagi, tiada usaha yang diambil dari pihak Muhriz untuk mempertahankan dirinya atau menambah baik perkhidmatan beliau selaku Pengerus Perhubungan Umno Negeri Kedah itu.

"Saya lihat, perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Timbalan Pengerusi Perhubungan Negeri Datuk Seri Ahmad Bashah Hanipah ada betulnya, tetapi bukan semua. Apa yang saya lihat perlu diberi perhatian adalah dalam konteks menyusun jentera parti dan juga kerjasama ahli parti di peringkat akar umbi dan juga kepimpinan bahagian.

"Jadi ini lebih kepada soal visi dan gerak kerja. Dari segi persepsi rakyat, kepimpinan MB adalah bagus." katanya ketika dihubungi The Rakyat Post ketika diminta mengulas berkenaan perkara itu.

Hari ini, kepimpinan Umno Kedah merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menukar kepimpinan tertinggi negeri dan juga parti yang kini dipegang oleh Mukhriz selaku Menteri Besar dan juga Ketua Perhubungan Negeri.

Perkara itu diumumkan Ahmad Bashah bersama 14 ketua bahagian Kedah melalui sidang media yang diadakan di sebuah hotel di Alor Setar kira-kira jam 3 petang tadi.

Jelas Shuaib, dari aspek pentadbiran Mukhriz di negeri Kedah, rakyat kebanyakannya berpuas hati dengan pencapaian anak Tun Dr Mahathir itu disamping hubungannya dengan rakyat yang disifatkannya sebagai baik.

"Kita tidak kata Mukhriz tidak baik untuk negeri Kedah, cuma beliau mungkin berhadapan masalah dalam soal pemantapan Umno untuk menghadapi PRU14 nanti.

"Beliau sendiri tidak ada masalah besar yang melibatkan dirinya, dari segi hubungan dengan rakyat cukup baik, tetapi kita tidak boleh bergantung kepada satu-satu tokoh sahaja untuk membangunkan negeri Kedah," tambah anak jati Kedah itu lagi.

Malah jelasnya, perkara ini dilihat bukanlah sebagai satu krisis, sebaliknya beliau berpandangan ini merupakan satu desakan pembaharuan dari segi daya kerja dan juga tindakan.

"Mujur ini berlaku jauh dari tarikh kita nak PRU..jadi masih tidak terlalu terlewat untuk melakukan perubahan. Walaupun diliihat drastik, tetapi sekiranya ianya untuk kebaikan negeri, saya tidak lihat ada masalah.

"Apa yang paling penting di sini ialah kerjasama, dan saya lihat ini bukanlah dari sudut pandangan politik, sebaliknya ini dilihat dari konteks akademik.

"Kita mahu lihat pemantapan Umno dan jenteranya supaya Umno Kedah dapat dimantapkan semula kerjanya," tambah beliau yang juga Pensyarah Kanan di UUM ~ The Rakyat Post


Kenyataan Media Mukhriz Mahathir Setelah UMNO Kedah Hilang Kepercayaan Terhadapnya..

Posted: 20 Jan 2016 06:30 AM PST


Menurut Mukhriz beliau mendengar kenyataan dikeluarkan "sebahagian daripada kepimpinan UMNO negeri diketuai Ahmad Bashah" di Alor Setar petang tadi.

Mengenai alasan dikemukakan Ahmad Bashah bagi mewajarkan desakan mereka supaya Mukhriz digantikan, beliau berkata, rakyat berhak menilai prestasi dan keberkesanan tugas dijalankannya bersama kepimpinan parti seluruh negeri sejak hari pertama BN kembali mentadbir Kedah selepas pilihan raya umum ke-13.

"Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, saya memegang amanah untuk berkhidmat dengan sebaiknya demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

"Rakyat dan pengundi jua yang akan menilai kemampuan pentadbiran saya," katanya.

KENYATAAN AKHBAR

Saya mendengar kenyataan yang dikeluarkan oleh sebahagian daripada kepimpinan UMNO Negeri yang diketuai oleh Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, YB Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di Alor Setar petang tadi.

Kedudukan saya sebagai Menteri Besar adalah atas mandat dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat dan juga atas perkenan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah setelah dicadangkan oleh YAB Perdana Menteri.

Saya menyerah kepada Rakyat jelata untuk menilai prestasi dan keberkesanan kerja buat saya bersama kepimpinan parti seluruh negeri sejak hari pertama Barisan Nasional kembali mentadbir Kerajaan Negeri Kedah pada pilihanraya umum ke13.

Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, saya memegang amanah untuk berkhidmat dengan sebaiknya demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat. Rakyat dan pengundi jua yang akan menilai kemampuan pentadbiran saya.

DATO' SERI HJ MUKHRIZ TUN MAHATHIR

Alor Setar
20 Januari 2016

Pakai nganga lagi la Ahmad Bashah tu nak jadi MB..


Ahmad Bashah Bakal Menteri Besar Kedah Yang Baru?

Posted: 20 Jan 2016 04:30 AM PST


Sebuah portal yang menyokong kuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuat spekulasi mengenai calon baru menteri besar Kedah kurang sejam selepas pemimpin Umno secara terbuka mengumumkan pemberontakan mereka terhadap Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Mykmu.net berkata ketiga-tiga calon itu adalah ADUN Bakar Bata, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah; ADUN Bukit Lada Datuk Ahmad Lebai Sudin dan ADUN Bukit Kayu Hitam Datuk Ahmad Zaini Zapar.

Menurut portal itu, Mukhriz mungkin dalam perjalanan keluar pada Ahad ini dan bakal digantikan oleh salah satu daripada ketiga-tiga mereka.

Awal hari ini, Ahmad Bashah, yang juga adalah timbalan pengerusi Umno Kedah mengetuai beberapa pemimpin Umno dan wakil rakyat dalam mengumumkan pemberontakan terbuka mereka terhadap Mukhriz dan menggesa Najib untuk menggantikan menteri besar itu.

Menurut portal itu, Ahmad Lebai Sudin diketahui rapat dengan Najib dan antara terkehadapan mengkritik pentadbiran Mukhriz.

Ahmad Zaini pula dikatakan mempunyai pengaruh dalam gerakan belia sebelum ini mungkin calon "dark horse" yang dilihat boleh menyatukan kem Najib dan Mahathir di Kedah.

Bagaimanapun, Mykmu berkata calon popular masih adalah Ahmad Bashah yang juga adalah pengarah pilihan raya umum BN Kedah pada 2013.

"Ahmad Bashah antara disebut sebagai bakal menteri besar sebelum pilihan raya umum lalu.

"Namun menjelang kempen pilihan raya umum lalu, Najib dan Tun Mahathir Mohamad mengumumkan Mukhriz sebagai calon menteri besar.

"Apabila BN menawan semula Kedah, Mukhriz dilantik sebagai menteri besar sebagai memenuhi janji pilihan raya," kata portal itu.

Mykmu juga mendakwa bahawa pertukaran menteri besar dijangka menerima perkenan Istana Kedah dengan baik dan tertib.

Mukhriz yang menjadi sasaran berikutan percubaan terbuka bapanya, Mahathir yang mahu menumbangkan Najib sebagai perdana menteri.

Bekas perdana menteri itu telah menuduh Najib dengan pelbagai salah laku dan berikrar tidak akan berputus asa sehingga berjaya ~ Malaysiakini


UMNO Kedah Hilang Kepercayaan Terhadap Mukhriz, Minta Najib Tukar MB

Posted: 20 Jan 2016 01:30 AM PST


Pemimpin UMNO Kedah hilang kepercayaan terhadap Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah dan Pengerusi UMNO negeri.

Perkara itu diumumkan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah selepas perjumpaan tertutup pemimpin UMNO negeri di Grand Alora Hotel, Alor Setar, sebentar tadi.

Sehubungan itu, katanya, seluruh kepimpinan UMNO Kedah merayu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat perubahan segera terhadap kepimpinan tertinggi parti negeri dan jawatan Menteri Besar Kedah.

Seramai 14 ketua bahagian hadir kecuali Jerlun, Padang Terap dan Kulim Bandar Baharu yang diwakili timbalan ketua bahagian masing-masing.

Yang hadir sama ketua semua sayap parti dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional.

Mengulas lanjut, Ahmad Bashah berkata, kata sepakat itu dicapai berikutan kelemahan serta ketidakupayaan Mukhriz yang dilihat gagal menyatupadukan kepimpinan dan jentera parti di semua peringkat.

Alasan lain diberikan, katanya termasuk tiada sebarang perancangan strategik parti dilakukan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), serta kegagalan Mukhriz dalam mengetuai dan menggerakkan jentera parti selepas mengambil alih kepimpinan negeri.

"Sebagai Menteri Besar, beliau gagal mengurus tadbir kerajaan negeri secara berkesan.

"Dengan ini kami merayu keprihatinan Perdana Menteri untuk membuat perubahan segera ke atas kepimpinan tertinggi parti negeri serta jawatan Menteri Besar Kedah," katanya ~ Berita Harian


Indeks Harga Pengguna Sahkan Kos Sara Hidup Kini Lebih Tinggi

Posted: 20 Jan 2016 12:14 AM PST


Wang anda sentiasa tidak mencukupi - statistik rasmi membuktikan bahawa ia bukan imaginasi anda. 

Menurut Indeks Harga Pengguna (CPI) yang dikeluarkan hari ini, harga barangan dan perkhidmatan naik 2.7 peratus pada bulan Disember 2015, berbanding dengan bulan yang sama tahun sebelumnya.

Kos makanan dan minuman bukan alkohol meningkat sebanyak 4.6 peratus.

Data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan menunjukkan kos kesihatan juga naik 4.6 peratus pada Disember 2015 manakala penyelenggaraan isi rumah meningkat sebanyak 4.2 peratus berbanding tahun 2015.

Walau bagaimanapun, CPI kekal sama pada Disember 2015, berbanding sebulan sebelumnya dengan kenaikan kurang daripada dua peratus dalam pelbagai kategori, termasuk kesihatan dan pendidikan. 

CPI dikira berdasarkan harga sekumpulan barangan asas yang terpilih ~ Malaysiakini


AES Bukan Untuk Kurangkan Kemalangan Jalan Raya Tapi Kaut Untung Dari Rakyat..

Posted: 19 Jan 2016 10:00 PM PST


Datuk Mahfuz Omar hari ini membidas keputusan Putrajaya yang bakal melaksanakan semula Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) atas alasan mengurangkan kadar kemalangan, menegaskan ia satu lagi pembohongan bertujuan mengaut keuntungan daripada rakyat.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu membangkitkan persoalan di mana sistem AES itu tidak terpakai ke atas beberapa golongan seperti Yang di-Pertuan Agong, Raja, Permaisuri termasuk mana-mana kenderaan bermotor mengiringi perdana menteri, timbalan perdana menteri atau tetamu negara.

Bekas ketua penerangan PAS itu mempersoalkan, adakah dengan meneruskan sistem itu, pengecualian akan diberikan kepada pihak tertentu, Putrajaya mahu pembesar negara atau pegawai pengiring mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya.

"Saya katakan kerajaan berbohong menggunakan alasan mengurangkan kadar kemalangan, khusus pada kes kemalangan maut. Ini adalah pembohongan dari awal.

"Kalau kita lihat Kaedah 8 Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan (Kesalahan Yang Dirakam Melalui Kamera) di bawah Seksyen 53 A, Akta Pengangkutan Jalan memperuntukkan kereta membawa pembesar seperti Agong, Sultan, perdana menteri dikecualikan daripada AES.

"Sedangkan kita tahu kenderaan-kenderaan inilah yang sememangnya akan dipandu dengan laju," katanya kepada The Malaysian Insider ketika diminta mengulas pengumuman Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai yang dilaporkan Berita Harian hari ini.

"Sebab itu saya kata, ia hanya alasan, kononnya mahu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

"Ia adalah satu pembohongan. Sebaliknya, mereka mahu mengutip seberapa banyak hasil atas nama kesalahan jalan raya," katanya.

Berita Harian hari ini memetik Liow sebagai berkata, Putrajaya akan melaksanakan semula AES selewat-lewatnya Mac ini dan menguatkuasa semula sistem pemberian mata demerit kesalahan jalan raya (Kejara) sebagai usaha mengurangkan kadar kemalangan.

Mahfuz berkata, dakwaan pembohongan beliau disokong kenyataan syarikat baharu yang mengendalikan AES, iaitu Boustead Holdings Bhd (BHB), yang pernah menyatakan pihaknya berorientasikan keuntungan.

"Pengarah urusan Kumpulan Boustead Holdings Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin ketika membeli 50% ekuiti daripada pengendali AES terdahulu pada 3 Mac 2015 menyatakan, syarikat itu berorientasikan keuntungan.

"Di mana, menjadi faktor perkiraan syarikat itu dalam mengambil alih perniagaan yang ia mesti berasaskan keuntungan.

"Beliau sendiri akui, perniagaan AES ini sesuatu yang menguntungkan dan pengambilalihan daripada syarikat terdahulu, bukan kerana mahu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya sebaliknya lebih kepada keuntungan," katanya.

Mahfuz yang juga pengerusi Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) tidak menolak akan berlakunya pertambahan kamera AES di seluruh negara berbanding 14 sedia ada.

Katanya, sekiranya keadaan itu berlaku, ia akan membebankan rakyat terutamanya ketika tambang pengangkutan awam juga meningkat naik.

Pada masa sama beliau turut mendesak kerajaan mendedahkan bentuk model kewangan diputuskan, iaitu pengagihan saman yang diperolehi syarikat pengendali.

"Kerajaan mesti dedahkan bentuk model kewangan, iaitu berapa yang diputuskan dalam pengagihan saman.

"Berapa diperolehi Boustead dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), juga kerajaan.

"Kalau dengan syarikat terdahulu, model kewangannya melibatkan 3 langkah. Adakah kaedah tersebut masih terpakai?" soalnya.

Mahfuz berpendapat undang-undang sedia ada sebenarnya mencukupi untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, cuma ia perlu diperkemas dan diperbaiki.

Projek swasta bernilai RM700 juta itu bermula pada September 2012 dengan 14 kamera fasa percubaan tetapi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berikrar melancarkan 831 kamera menjelang akhir 2013 untuk menangkap pemandu laju dan mencegah lebih banyak kematian di jalan raya.

Pada 16 November tahun lalu, memetik jawapan lisan Parlimen, Liow menyatakan Putrajaya membayar fi perkhidmatan sebanyak RM60,122,080 kepada 2 syarikat penyedia AES sejak beroperasi pada 2012.

Pada awal penguatkuasaan, projek AES menerima kritikan daripada ramai pihak dan dijadikan modal pembangkang semasa kempen pilihan raya umum pada 2013 lalu.

Selepas kontroversi tercetus, Pejabat Peguam Negara bertindak membekukan semua saman dikeluarkan susulan pelbagai masalah teknikal yang timbul dalam penguatkuasaan undang-undang berkaitan ~ The Malaysian Insider


Ini Barulah Dikatakan 'Rakyat Didahulukan...'

Posted: 19 Jan 2016 07:23 PM PST


Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.. sedap sekali didengar moto pentadbiran Najib itu.. sayangnya perlaksanaannya hampeh!

Jika benar Najib dan pentadbirannya meletakkan kepentingan rakyat melebihi segalanya, mereka harus mengambil inisiatif untuk membantu Penoreh-penorah getah yang menderita sekarang ini..

Bantu mereka sebagaimana pihak Thailand membantu penoreh-penoreh mereka menangani isu harga getah yang merudum ini..

Di Thailand, Kerajaan mereka telah memperuntukkan sebanyak 5.4 bilion Baht (RM648 juta) untuk membeli 100,000 tan getah daripada pekebunnya yang terjejas kerana kejatuhan harga komoditi itu.

Kenapa Kerajaan Malaysia tidak boleh mengikut langkah Thailand itu?..

Atau para penoreh getah dalam negara kita ini hanya wujud di musim-musim Pilihanraya..

Laporan berkaitan..

BANGKOK: Thailand memperuntukkan sebanyak 5.4 bilion Baht (RM648 juta) untuk membeli 100,000 tan getah daripada pekebunnya yang terjejas kerana kejatuhan harga komoditi itu. 
Jurucakap kerajaan, Kol Sansern Kaewkamnerd berkata program pembelian getah itu akan memberi manfaat kepada 850,000 pekebun di seluruh negara dan membantu menaikkan harga semasa yang rendah. 
"Peruntukan untuk program tersebut akan diambil daripada bajet beberapa kementerian, Bank Pertanian dan Koperasi Pertanian serta ses daripada eksport getah," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Kabinet di sini hari ini. 
Sebagai antara negara pengeluar getah terbesar dunia, Thailand terjejas teruk disebabkan harga semasa komoditi itu yang rendah terutamanya kerana permintaan daripada China yang perlahan. 
Sementara itu, Sansern berkata kabinet turut meluluskan bajet sebanyak 20 bilion Baht (RM2.4 bilion) bagi projek pembangunan telekomunikasi, termasuk merapatkan jurang internet bandar-luar bandar. 
Beliau berkata projek itu akan menyediakan kemudahan kepada 43 peratus daripada kampung-kampung di Thailand yang belum dihubungkan dengan internet dan akan bermula pada Mac tahun ini, dengan sebahagian besar peruntukan digunakan dalam tahun ini. 
Projek tersebut akan dilaksanakan oleh syarikat milik kerajaan yang turut termasuk menjadikan Thailand sebagai Gerbang Digital, setanding dengan Malaysia dan Singapura, katanya lapor AstroAwani

Kalau Kerajaan tak ada duit.. Najib kan ada RM2.6 Billion.. tak habispun separuh kalau diguna untuk membantu semua penoreh tu..



-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...