Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Lupakan 'Bebas Anwar', Cari Hero Baru.. Zaid Ibrahim Kata..

Posted: 21 Jan 2016 11:28 PM PST


Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim mahu Pakatan Harapan, khususnya, PKR menamatkan tumpuan terhadap cubaan membebaskan bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi sebaliknya melihat bagaimana impiannya dapat dilaksanakan.

Sambil menyifatkan pemenjaraan Anwar berhubung kes Liwat II sebagai malang, beliau menggesa pembangkang supaya bergerak ke hadapan dan berusaha memenuhi impian Anwar. 

"Mereka perlu bercakap tentang idea, cita-cita, perjuangannya untuk membebaskan bangsa Melayu daripada belenggu. Mengenai maqasid syariah dan ideanya mengenai Islam.

"Usahakan ini agar ia mampu dilaksanakan dan bukan hanya memberi tumpuan untuk membebaskannya," katanya.

Menurut Zaid, pakatan pembangkang terlalu menghabiskan masa memberi tumpuan dalam cubaaan untuk membebaskan Anwar.

"Ini adalah perkara yang malang buat pembangkang, mereka tidak mempunyai pemimpin seperti Anwar.

"Tetapi mereka perlu mencari seorang wira baru," katanya.

Zaid yang pernah berjuang bersama PKR bercakap dengan Malaysiakini dalam satu wawancara di kediamannya pada Selasa lalu.

Ditanya pandangannya mengenai dakwaan DAP terlalu dominan dalam gabungan baru yang dikatakan sebagai antara punca perpecahan Pakatan Rakyat, Zaid berkata beliau tidak fikir begitu. 

"Saya tidak percaya DAP mendominasi pembangkang. Ia adalah kerana mereka cekap (dalam organisasi) dan mahir menggunakan teknologi.

"Masalahnya yang lain tidak menonjol apabila sesuatu isu timbul. Lihat Lim Guan Eng, Lim Kit Siang, Tony Pua. Mereka mencipta imej ini dan seolah-olah kelihatan ke hadapan.

"Yang lain dilihat seolah-olah lembap dan ini wujudkan persepsi bahawa orang Cina mendominasi," katanya.

Zaid berharap parti lain dalam pembangkang terutamanya Parti Amanah Negara yang baru ditubuhkan akan lebih ke hadapan.


Pegawai Kanan Polis Didakwa Gagal Isytihar ‘Komisen’ Hampir RM1 Juta

Posted: 21 Jan 2016 07:32 PM PST


Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumprur, SAC Ku Chin Wah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana gagal mengisytiharkan komisen yang diperolehinya berjumlah RM961,500.

Dia didakwa mengikut Seksyen 49 (3) Akta Penggubahan Wang Haram dan Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 kerana gagal memenuhi arahan pendakwaraya mengikut Seksyen 49(1) akta yang sama.

Chin Wah didakwa gagal mengisytiharkan bagaimana dia memperoleh sejumlah wang komisen itu yang dinyatakan dalam kenyataan sumpahnya pada 8 Januari 2014.

Dia boleh dikenakan hukuman maksimum setahun penjara, denda RM1 juta atau kedua-duanya jika didapati bersalah.

Chin Wah yang kini berkhidmat di bahagian sekretariat Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan.

Hakim Mohd Nasir Nordin membebaskan dia dengan jaminan RM30,000 dan seorang penjamin, manakala sebutan semula kes pada 23 Februari ini.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya Budiman Lufti Mohamed dan Muhammad Saifuddin Hashim manakala tertuduh diwakili Geethan Ram Vincent ~ Free Malaysia Today


Setelah Teruk Dikritik, Wee Ka Siong Nafikan Biasiswa JPA Dihentikan..

Posted: 21 Jan 2016 04:30 PM PST


Menurut laporan Sin Chew Daily yang dipetik Malaysiakini, Putrajaya dilaporkan telah menggantung biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk kursus ijazah dan bursari Kementerian Pendidikan bagi program pra-universiti, di tengah-tengah kejatuhan pendapatan negara.

Perkara ini telah disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Wee Ka Siong yang membangkitkan isu itu dalam mesyuarat kabinet semalam berikutan beberapa aduan daripada pelajar cemerlang.

Wee berkata beliau telah meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak untuk memikirkannya semula dan menyediakan semula pemberian biasiswa itu.

Akhbar itu menurut Malaysiakini telah memetik Wee sebagai berkata perdana menteri memahami bahawa ekonomi tidak baik masa ini dan rakyat menghadapi beban berat, dan mengarahkan Ketua Setiausaha Negara dan JPA memikirkan penyelesaian baru.

Menurut Wee lagi, beliau tidak boleh mengatakan dengan pasti sama ada akan ada perubahan terhadap keputusan tersebut, "tetapi kami (MCA) mencuba sedaya upaya merayu kepada kerajaan kerana kita tidak pasti bagaimana perkembangan ekonomi nanti."

Bagaimanapun setelah teruk dikritik pelbagai lapisan masyarakat.. Wee Ka SIong menafikannya..

KUALA LUMPUR: Jangan anggap Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah berhenti mengagihkan dana terhadap semua biasiswa, kata Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

"Apabila berita JPA menghentikan biasiswa telah tersebar, ia menyebabkan keadaan panik," katanya kepada pemberita di Wisma MCA Khamis.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengulangi bahawa sekarang, hanya mereka yang menerima bursari pra-universiti yang terjejas.

"Jangan heret skim lain ke dalam perkara ini," tegas beliau.

Dr Wee berkata JPA masih belum membuat pengumuman mengenainya.

"Pertama, anda tidak mempunyai bukti. Seterusnya, saya tidak menerima sebarang aduan seperti itu. Saya hanya boleh menyatakannya apabila saya menerimanya," katanya.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Dr Wee telah membawa perkara itu ke Kabinet pada Rabu selepas penerima biasiswa bursari pra-universiti mengadu bahawa masih belum menerima afidavit kewangan daripada JPA ~ mStar



-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Marilah rakyat Malaysia, berikan pendapat anda supaya anda boleh meluahkan apa yang anda fikirkan kepada semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...